Monday, August 01, 2011

Jatuhnya Manusia

Aku melihat malaikat-malaikat suci kerap melawat taman itu untuk mengajar Adam dan Hawa dalam pekerjaan mereka serta memberitahu mereka tentang pemberontakan Syaitan dan kejatuhannya. Malaikat-malaikat itu juga memberi amaran kepada mereka tentang Syaitan dan mengingatkan supaya mereka tidak menjauhkan diri dari satu dengan yang lain dalam melakukan pekerjaan mereka itu. Jika mereka berjauhan, mungkin mereka akan bersemuka dengan musuh yang sudah jatuh. Malaikat-malaikat itu menyuruh mereka menuruti dengan teliti arahan yang Tuhan berikan kepada mereka sebab dengan penurutan sempurna sahaja mereka akan selamat. Jika mereka taat, musuh yang telah jatuh itu tidak akan berkuasa atas mereka.

Syaitan memulakan pekerjaannya terhadap Hawa iaitu untuk mendorongnya ingkar kepada Tuhan. Hawa membuat kesalahan pertama dengan menjauhkan diri daripada suaminya. Selepas itu merayau-rayau di sekitar pohon larangan. Kemudian mendengarkan suara penggoda. Bahkan dengan beraninya meragui firman Tuhan – pada hari engkau memakan buahnya pastilah engkau akan mati. Dia berfikir, barangkali maksud firman Tuhan itu tidak seperti yang Dia katakan. Dia mengorak langkah untuk mengingkari. Dia menghulurkan tangannya dan mengambil buah pohon larangan itu lalu memakannya. Buah itu sangat menyenangkan pandangan mata dan sungguh menyelerakan. Dia berasa cemburu yang Tuhan telah menahan apa yang benar-benar untuk kebaikan mereka. Dia menghulurkan buah itu kepada suaminya dan dengan itu dia telah digoda. Hawa menceritakan kepada Adam semua yang diperkatakan oleh ular itu. Hawa menyatakan ketakjubannya terhadap ular yang mempunyai kuasa untuk berkata-kata.

Aku melihat kesedihan menyelubungi wajah Adam. Dia kelihatan takut dan takjub. Satu pergelutan sedang berlaku dalam mindanya. Dia berasa pasti bahawa inilah musuh yang selama ini mereka diberi amaran. Isterinya pasti akan mati. Mereka akan dipisahkan. Cintanya terhadap Hawa sangat kukuh. Dalam keadaan sangat putus asa itu, dia memutuskan untuk berkongsi takdir dengan perempuan itu. Dia mengambil buah yang dihulurkan kepadanya lalu tanpa berlengah memakannya. Syaitan sangat bergembira. Dia telah memberontak di syurga. Dia mempunyai pengikut-pengikutnya yang bersimpati dan mengasihinya dan menyertainya dalam pemberontakan itu. Dia sudah jatuh dan menyebabkan yang lain-lain itu jatuh bersama-sama dengannya. Kini dia telah mencuba perempuan itu untuk tidak mempercayai Tuhan, untuk menyiasat hikmat-Nya dan mencari jalan untuk memahami rancangan-Nya yang maha bijaksana itu. Syaitan tahu yang perempuan itu tidak akan jatuh sendirian. Adam, atas cintanya yang sangat mendalam ke atas Hawa, mengingkari suruhan Tuhan lalu jatuh bersama perempuan itu.

Berita kejatuhan manusia tersebar luas di seluruh syurga. Seluruh syurga dalam keributan. Satu perundingan diadakan untuk memutuskan apakah tindakan yang akan diambil ke atas pasangan yang bersalah itu. Para malaikat berasa takut kalau-kalau mereka menghulurkan tangan dan mengambil buah pohon kehidupan dan memakannya sehingga mereka hidup kekal sebagai orang berdosa selama-lamanya. Tetapi Tuhan mengatakan bahawa mereka yang telah melanggar perintah itu akan dihalau keluar daripada taman tersebut. Tanpa berlengah lagi, malaikat-malaikat dikerah menyekat jalan menuju ke pohon kehidupan. Peristiwa itu merupakan rancangan Syaitan yang teliti. Tujauannya adalah supaya Adam dan Hawa akan mengingkari Tuhan. Akibatnya mereka akan menerima kerutan-Nya. Rancangan Syaitan seterusnya adalah untuk membawa mereka memakan buah kehidupan suapaya mereka akan hidup kekal dalam dosa dan keingkaran. Dengan demikian dosa akan menjadi kekal selama-lamanya.

Tetapi malaikat-malaikat suci diutuskan untuk menghalau mereka keluar dari taman itu. Sepasukan malaikat lagi disuruh menjaga jalan ke pohon kehidupan. Setiap satu dari setiap malaikat-malaikat perkasa itu kelihatan menggenggam sesuatu di tangan kanan mereka, seperti sebilah pedang yang bernyala-nyala.

Kemudian syaitan menang. Kejatuhannya menyebabkan penderitaan kepada yang lain. Pintunya ke syurga sudah tertutup, mereka yang lain pula sudah terkeluar daripada Firdaus.

Rujuk Kejadian 3.

No comments:

Post a Comment