Wednesday, August 17, 2011

Kenaikan Kristus

Seluruh syurga sedang menunggu saat kemenangan itu bila Yesus naik kepada BapaNya. Para malaikat datang menyambut Raja kemuliaan dan mengiringi-Nya ke syurga dengan penuh kemenangan. Selepas Yesus memberkati murid-murid-Nya, Dia berpisah dengan mereka. Dia dibawa pergi ke syurga. Ketika Yesus mendahului perjalanan naik ke angkasa, sekumpulan orang yang telah dibangkitkan pada hari kebangkitan-Nya juga turut mengikuti-Nya dari belakang. Sekumpulan besar penghuni syurga juga turut sama dalam perjalanan itu. Sementara itu, sekumpulan malaikat lagi yang tidak terkira banyaknya sedang menunggu ketibaan-Nya di syurga. Ketika mereka naik masuk ke dalam Kota Kudus, para malaikat yang mengiringi Yesus berseru, “Angkatlah kepalamu, hai pintu-pintu gerbang, dan terangkatlah kamu hai pintu-pintu yang berabad-abad, supaya masuk Raja Kemuliaan!” Para malaikat di dalam kota itu bersorak dengan satu tempikan, “Siapakah itu Raja Kemuliaan? Malaikat pengiring menjawab dengan jawapan kemenangan, “Tuhan jaya dan perkasa, Tuhan, perkasa dalam peperangan! Angkatlah kepalamu, hai pintu-pintu gerbang, dan terangkatlah kamu hai pintu-pintu yang berabad-abad, supaya masuk Raja Kemuliaan! Sekali lagi para malaikat di dalam kota itu bertanya, “Siapakah Dia itu Raja Kemuliaan?” Malaikat pengiring menjawab dengan satu nyanyian yang merdu, “Tuhan semesta alam. Dialah Raja Kemuliaan!” Dan keretapi syurga itu bergerak masuk ke dalam kota Tuhan. Kemudian, seluruh penghuni syurga mengelilingi Anak Yahweh, Panglima mereka yang hebat dan agung itu. Dengan pemujaan yang mendalam, mereka sujud meletakkan mahkota mereka yang gemerlapan itu di kaki-Nya. Kemudian mereka memetik kecapi emas masing-masing. Seluruh ruang syurga dipenuhi dengan irama muzik dan nyanyian yang sungguh merdu dipersembahkan untuk Domba yang telah disembelih tetapi hidup kembali dalam keagungan dan kemuliaan.

Selepas itu aku diperlihatkan pada ketika para murid menatap dengan sedihnya ke arah langit untuk melihat kali terakhir wajah Tuhan yang sedang naik ke angkasa. Dua malaikat yang berpakaian putih berdiri bersama mereka berkata, “Hai orang-orang Galilea, mengapakah kamu berdiri melihat ke langit? Yesus ini, yang terangkat ke syurga meninggalkan kamu, akan datang kembali dengan cara yang sama seperti kamu melihat Dia naik ke syurga,”  Para murid dan ibu Yesus yang telah menyaksikan Anak Yahweh naik ke syurga berkumpul sepanjang malamnya memperkatakan perbuatan-perbuatan baik Yesus dan peristiwa-peristiwa penuh kemuliaan serta menakjubkan yang telah berlaku dalam tempoh yang singkat itu.

Syaitan sekali lagi bermusyawarah dengan para iblisnya. Dengan perasaan penuh kebencian terhadap kerajaan Tuhan, Syaitan memberitahu para iblisnya bahawa sementara dia masih memiliki kuasa dan otoritinya ke atas bumi, mereka perlu meningkatkan usaha-usaha sepuluh kali ganda menentang pengikut-pengikut Yesus. Mereka tidak mendapat apa-apa kemenangan menentang Yesus tetapi jika mungkin, mereka mestilah menjatuhkan para pengikut-Nya. Pada setiap generasi, mereka mestilah mencari jalan menjerat mereka yang akan percaya kepada Yesus. Dia memberitahu para iblisnya bahawa Yesus telah memberikan kuasa kepada murid-murid-Nya mengherdik dan membuang mereka keluar daripada orang-orang yang dirasuk serta menyembuhkan orang-orang yang ditimpa penyakit oleh mereka.

Kemudian para iblis dan Syaitan beredar dengan marah bagaikan singa yang mengaum-ngaum mencari mana-mana pengikut Kristus untuk dibinasakan.

Rujuk:  Mazmur 24:7-10; Kisah Para Rasul 1:1-11

No comments:

Post a Comment