Thursday, August 25, 2011

Paulus Melawat Yerusalem

16

Tidak lama selepas menjadi Kristian, Paulus melawat Yerusalem. Di situ dia memberitakan Yesus dan keajaiban kasih kurnia-Nya. Paulus menceritakan mukjizat pertaubatannya yang telah menimbulkan  kemarahan imam-imam dan para pemerintah. Oleh sebab itu mereka mencari jalan untuk membunuhnya. Bagaimanapun, untuk menyelamatkan nyawanya, Yesus menampakkan diri-Nya sekali lagi dalam satu penglihatan ketika dia sedang berdoa. Yesus berkata kepadanya, “Segeralah engkau keluar dari Yerusalem, sebab mereka tidak akan menerima kesaksian tentang Aku.” Paulus bersungguh-sungguh merayu kepada Yesus, “Tuhan, mereka tahu aku telah memenjarakan dan memukul setiap orang yang percaya akan engkau dalam rumah-rumah ibadat. Ketika darah Stefanus yang syahid itu tertumpah, aku juga berdiri dekat situ dan berkenan kepada kematiannya dan menyimpan pakaian mereka yang membunuhnya.” Paulus fikir orang-orang Yahudi di Yerusalem itu tidak akan menolak kesaksiannya dan mereka akan memberi pertimbangan bahawa perubahan besar dalam hidupnya itu hanya dapat dilakukan oleh kuasa Tuhan. Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Bertolaklah kerana Aku akan menghantar engkau jauh ke tempat orang-orang bukan Yahudi.

Sepeninggalannya daripada Yerusalem, Paulus telah menulis banyak surat ke pelbagai tempat menceritakan pengalamannya dan memikul kesaksian yang sangat kuat. Tetapi ada beberapa orang yang berusaha untuk menghapuskan pengaruh surat-surat tersebut. Mereka terpaksa mengakui bahawa surat-suratnya itu berat dan berkuasa, namun mengisytiharkan bahawa kehadirannya secara badani adalah lemah dan ucapan-ucapannya itu kekejian.

Aku melihat bahawa Paulus adalah seorang yang berpendidikan tinggi dan hikmat dan penampilannya menawan para pendengarnya. Orang-orang yang berpelajaran berasa senang dengan pengetahuannya dan banyak di antara mereka yang percaya akan Yesus. Ketika di hadapan raja-raja dan di perhimpunan-perhimpunan besar dia akan meluahkan dengan kepetahan sehingga semua orang terdiam dihadapannya. Hal ini menimbulkan kemarahan di kalangan para imam dan para penatua. Paulus bersedia untuk berdebat lebih mendalam, menjulang tinggi, membawa umat itu bersamanya dalam perjalanan pemikiran yang paling tinggi dan membawa mereka melihat kasih kurnia yang maha besar dari Tuhan. Seterusnya memaparkan di hadapan mereka kasih ajaib Kristus. Kemudian dengan cara yang mudah, dengan kefahaman orang-orang biasa dan dalam cara yang sangat kuat dia menceritakan pengalamannya yang dapat menimbulkan satu keinginan ghairah dalam diri mereka untuk menjadi murid-murid Kristus.

Tuhan menyatakan kepada Paulus yang dia harus pergi ke Yerusalem lagi, kali ini dengan dibelenggu dan menderita kerana nama-Nya. Walaupun dia sudah menjadi banduan begitu lama namun Tuhan meneruskan pekerjaan istimewa-Nya itu melalui Paulus. Belenggu Paulus akan menjadi alat penyebaran pengetahuan akan Kristus dan dengan itu akan memuliakan Tuhan. Ketika dia dihantar dari bandar ke bandar untuk perbicaraannya, kesaksiannya berkenaan Yesus dan insiden pertaubatannya diceritakan di hadapan raja-raja dan gabenor-gabenor supaya mereka tidak tertinggal mendengar kesaksian berkenaan Yesus. Beribu-ribu orang yang percaya kepadanya dan bergirang dalam nama-Nya. Aku melihat bahawa tujuan istimewa Tuhan itu telah digenapi dalam perjalanan Paulus di laut apabila anak-anak kapal menyaksikan kuasa Tuhan melalui Paulus dan juga orang-orang kafir akan mendengar nama Yesus. Ramai orang yang bertaubat melalui ajarannya dan dengan menyaksikan mukjizat yang dilakukannya. Raja-raja dan gabenor-gabenor tertarik dengan hujah-hujahnya.

Dengan kesungguhannya dan oleh kuasa Roh Kudus, dia berkhutbah tentang Yesus dan menceritakan peristiwa-peristiwa menarik dari pengalamannya, keyakinan dalam diri mereka diperteguhkan lagi bahawa Yesus adalah anak Yahweh. Manakala sebahagian pendengar tercengang-cengang dengan kekaguman ketika mendengar khutbah Paulus, seseorang berkata, “Hampir sahaja engkau menjadikan aku seorang Kristian.” Namun mereka berfikir bahawa pada satu masa akan datang mereka akan mempertimbangkan apa yang telah mereka dengar. Syaitan mengambil kesempatan penangguhan itu dan bila mereka mengabaikan peluang itu ketika hati mereka masih lembut lagi, kesempatan itu tidak akan datang lagi. Hati mereka menjadi keras.

Aku telah diperlihatkan pekerjaan Syaitan, pertama pada masa pembutaan mata orang-orang Yahudi supaya mereka tidak akan menerima Yesus sebagai Juruselamat mereka. Selepas itu dalam memimpin mereka melalui kedengkian oleh kerana pekerjaan-Nya yang hebat itu, mengingini nyawa-Nya. Syaitan memasuki salah seorang pengikut Yesus sendiri, memimpin orang itu mengkhianati-Nya ke tangan orang-orang Yahudi dan mereka menyalibkan Tuhan kehidupan dan kemuliaan. Selepas Yesus bangkit daripada kematian, orang-orang Yahudi menambahkan dosa kepada dosa apabila mereka cuba menyembunyikan fakta kebangkitan-Nya dengan cara mengupah pengawal Roma dengan wang supaya memberi kesaksian dusta. Bagaimanapun kebangkitan Yesus dipastikan dua kali oleh kebangkitan banyak orang saksi-saksi yang bangkit bersama-sama dengan Dia. Yesus menampakkan diri-Nya di hadapan murid-murid dan di hadapan lima ratus orang pada masa yang sama. Manakala mereka yang Yesus bawa bersama-Nya menampakkan diri mereka kepada banyak orang, mengisytiharkan bahawa Yesus telah bangkit.

Syaitan menyebabkan orang-orang Yahudi memberontak menentang Tuhan dengan enggan menerima Anak Yahweh dan dengan menodai tangan-tangan mereka oleh darah yang mahal itu melalui penyaliban-Nya. Bagaimana kuat sekalipun bukti-bukti yang diberikan bahawa Yesus adalah Anak Yahweh, Penebus dunia, mereka telah membunuh-Nya juga dan tidak dapat menerima bukti-bukti yang memihak kepada-Nya. Satu-satunya pengharapan dan penghiburan bagi mereka, sebagaimana halnya Syaitan selepas kejatuhannya, adalah untuk cuba menang menentang Anak Yahweh. Mereka meneruskan pemberontakan mereka dengan menganiaya murid-murid Yesus dan membunuh mereka. Tidak ada satupun yang sangat menyakitkan telinga mereka selain nama Yesus yang mereka salibkan dan mereka bertekad untuk tidak mendengar apa-apa buktipun yang berpihak kepada-Nya. Seperti hal Stefanus, bila Roh Kudus melaluinya mengisytiharkan bukti yang amat kuat bahawa Yesus adalah Anak Yahweh, mereka menutup telinga, jika tidak mereka akan diyakinkan. Sementara Stefanus diselubungi dengan kemuliaan Tuhan, mereka melemparinya dengan batu hingga mati. Syaitan mendapatkan pembunuh-pembunuh Yesus dengan segera ke dalam tangannya. Melalui pekerjaan jahat itu, mereka telah menyerahkan diri mereka sebagai pengikutnya yang rela dan melalui mereka Syaitan akan bekerja untuk menyusahkan dan mengganggu orang-orang yang percaya kepada Kristus. Dia bekerja melalui orang-orang Yahudi untuk menghasut orang-orang bukan Yahudi menentang nama Yesus dan para pengikuti-Nya serta yang percaya dalam nama-Nya. Tetapi Tuhan telah mengutus malaikat-Nya untuk memperkuatkan murid-murid melakukan pekerjaan mereka untuk bersaksi tentang hal-hal yang mereka telah lihat dan dengar. Akhirnya dalam keteguhan pendirian mereka itu, kesaksian mereka itu dimeteraikan dengan darah mereka sendiri.

Syaitan bergembira melihat orang-orang Yahudi selamat dalam jeratnya. Mereka masih meneruskan upacara tradisi mereka yang tidak berguna, persembahan-persembahan korban dan upacara-upacara keagamaan lain.

Ketika Yesus tergantung di salib dan berseru, “Sudah selesai!” tabir kaabah terkoyak di tengah dari atas hingga ke bawah yang menandakan bahawa Tuhan tidak lagi akan menemui imam-imam di kaabah untuk menerima persembahan-persembahan korban dan upacara-upacara mereka. Hal itu juga menunjukkan bahawa dinding pemisah di antara Yahudi dan bukan Yahudi telah diruntuhkan. Yesus telah mengadakan persembahan dengan diri-Nya sendiri untuk orang Yahudi dan bukan Yahudi. Jika diselamatkan, kedua-duanya mestilah percaya  dalam Yesus sebagai satu-satunya persembahan untuk dosa dan Juruselamat untuk dunia.

Ketika Yesus masih tergantung di kayu salib, askar menikam rusuk-Nya dengan lembing, mengalirlah keluar darah dan air dalam dua aliran yang berbeza. Satu aliran darah dan satu aliran air yang jernih. Darah itulah yang membasuh bersih dosa-dosa mereka yang percaya dalam nama-Nya. Air itu pula melambangkan air kehidupan yang diperolehi daripada Yesus  untuk memberi hidup kepada orang-orang percaya.

Rujuk : Matius 27:51; Yohanes 19:34; Kisah Para Rasul 24 & 26.

No comments:

Post a Comment