Thursday, August 11, 2011

Pengkhianatan Terhadap Kristus

Aku kemudiannya telah dibawa kepada tempoh bila Yesus sedang makan perjamuan Paskah bersama dengan murid-murid-Nya. Ketika itu Syaitan telah menyesatkan Yudas dengan memimpin Yudas berfikir yang dia adalah salah seorang daripada murid-murid Yesus yang benar. Tetapi hatinya sentiasa duniawi. Dia telah menyaksikan pekerjaan Yesus yang besar. Dia sentiasa mengikuti Yesus sepanjang pelayanan-Nya. Dia telah menerima bukti-bukti yang meyakinkan bahawa Yesus itu ialah Mesias. Tetapi Yudas itu tamak haloba, mengingini sesuatu yang bukan haknya menjadi milik dirinya. Dia cinta akan wang. Dia membantah dengan marahnya bila minyak wangi yang sangat mahal dicurahkan kepada Yesus. Maria mengasihi Tuhannya. Tuhan telah mengampuni dosa-dosanya yang begitu banyak. Dia juga telah membangkitkan adik lelakinya yang amat dikasihinya itu daripada alam maut. Maria fikir tidak ada sesuatupun yang sangat berharga untuk diserahkan kepada Yesus. Lebih mahal minyak wangi itu, lebih mudahlah dia dapat menyatakan penghargaannya kepada Juruselamatnya itu dengan menyerahkan benda berharga itu kepada-Nya. Yudas membuat suatu alasan bagi menutupi ketamakannya terhadap benda berharga itu dengan mengatakan yang minyak wangi itu patut dijual untuk membantu orang miskin. Tetapi sebenarnya dia sendiri tidak mempunyai niat langsung untuk membela orang-orang miskin. Sebab dia suka mementingkan diri dan kerap kali mengasingkan sedikit daripada kutipan-kutipan yang diamanahkan kepadanya bagi pihak orang-orang miskin untuk dirinya. Yudas tidak langsung mengambil peduli tentang keselesaan bahkan terhadap keperluan asas hidup Yesus. Bagi menutup perbuatan tamaknya itu, dia selalu memberi alasan dengan menyebut hal orang-orang miskin. Perbuatan Maria yang penuh berkemurahan itu merupakan satu herdikan langsung kepada sifat tamak haloba Yudas.

Jalan telah tersedia luas dalam hati Yudas bagi menerima godaan Syaitan. Orang-orang Yahudi benci akan Yesus. Tetapi orang datang berduyun-duyun untuk mendengar kata-kata hikmat-Nya dan untuk menyaksikan pekerjaan-pekerjaan besar-Nya. Hal ini menarik perhatian pihak Imam-imam ketua dan para penatua oleh kerana suatu keinginan yang sangat mendalam di sanubari mereka. Mereka begitu ghairah mengikuti Yesus, Guru yang hebat itu dan untuk mendengar ajaran-ajaran guru yang sungguh baik itu. Banyak di antara para pemimpin bangsa Israel itu yang percaya tetapi mereka tidak berani berterus terang, takut nanti kehilangan kedudukan di rumah-rumah ibadat. Para imam dan pemimpin itu sependapat bahawa mereka harus melakukan sesuatu untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada Yesus. Mereka takut kalau-kalau semua orang akan percaya kepada-Nya. Mereka berasa tidak lagi selamat. Mereka sama ada kehilangan kedudukan dalam masyarakat atau membunuh Yesus. Tetapi selepas Yesus dibunuh, masih ada tugu peringatan yang hidup bersaksi tentang kuasa Yesus. Yesus telah membangkitkan Lazarus dari alam maut. Mereka takut jika mereka membunuh Yesus, Lazarus akan bangkit bersaksi tentang kuasa-Nya yang kuat. Orang ramai berpusu-pusu ingin melihat Lazarus yang telah dibangkitkan dari kematian. Para pemimpin bangsa itu berusaha untuk membunuh Lazarus juga supaya segala keghairahan rakyat itu akan terus pudar. Kemudian mereka akan memimpin rakyat itu kepada amalan tradisi dan ajaran manusia, memungut “persepuluhan hasil selasih dan inggu” dan seterusnya menguasai mereka. Mereka bersetuju untuk menangkap Yesus ketika bersendirian kerana jika mereka menangkap Yesus di tengah-tengah perhimpunan orang ramai yang sedang memberi perhatian penuh kepada-Nya, mereka akan dilempar dengan batu pula.

Yudas mengetahui betapa ghairahnya para imam dan pemimpin bangsa itu mendapatkan Yesus. Lalu dia menawarkan diri kepada Imam-imam ketua dan para pemimpin itu untuk mengkhianati Yesus dengan upah beberapa keping perak. Cinta Yudas kepada wang yang begitu menebal menyebabkan dia bersetuju mengkhianati Tuhannya ke tangan musuh-musuh ketat Yesus. Syaitan itu sebenarnya yang bekerja secara langsung melalui Yudas. Di tengah-tengah senario menarik pada acara perjamuan malam yang terakhir, pengkhianat itu merancang dengan teliti bagaimana melaksanakan pengkhianatan ke atas Yesus. Yesus dengan sedih memberitahu para murid-Nya bahawa mereka semua akan berasa tersinggung oleh-Nya pada malam itu. Namun Petrus dengan sungguh-sungguh bertegas mengatakan walaupun semua murid yang lain itu akan tersinggung oleh-Nya, dia tidak akan tersinggung. Yesus berkata kepada Petrus, “Iblis telah menuntut untuk menampi kamu seperti gandum tetapi Aku telah berdoa untuk engkau supaya imanmu jangan gugur. Jikalau engkau sudah insaf, kuatkanlah saudara-saudaramu.”

Aku kemudiannya memandang Yesus berada di taman bersama-sama dengan murid-murid-Nya. Dengan rasa teramat sedih, Dia menyuruh mereka berjaga dan berdoa supaya mereka tidak jatuh ke dalam pencubaan. Dia tahu bahawa iman mereka akan diuji dan harapan-harapan mereka akan dikecewakan. Mereka memerlukan segala kekuatan yang mereka boleh perolehi dengan cara berjaga-jaga dan berdoa bersungguh-sungguh. Dengan tangisan dan seruan yang keras, Yesus berdoa, “Ya Bapa-Ku, jikalau Engkau mahu, ambillah cawan ini daripada-Ku, tetapi bukanlah kehendak-Ku melainkan kehendak-Mulah yang terjadi.” Anak berdoa dalam kesakitan. Titisan-titisan peluh yang banyak seperti darah keluar dari muka-Nya dan gugur ke tanah. Malaikat-malaikat mengepak-ngepak di awang kawasan itu menyaksikan peristiwa yang sedang berlaku tetapi hanya satu di antara malaikat itu yang diutus untuk menguatkan Anak yang dalam keadaan kesakitan. Para malaikat menanggalkan mahkota dari kepala dan kecapi dari tangan mereka. Tidak ada kegembiraan di syurga. Dengan minat yang mendalam dan dalam senyap mereka memerhatikan Yesus. Mereka ingin sekali mengelilingi Anak itu. Tetapi ketua para malaikat tidak membenarkan mereka berbuat demikian, kalau-kalau ketika mereka melihat Yesus dikhianati, mereka akan membebaskan Yesus dari keadaan itu: sebab rancangan telah disediakan sedemikian dan itu harus digenapi.

Selepas Yesus selesai berdoa, Dia pergi kepada murid-murid-Nya tetapi mereka didapati sedang tidur. Dalam keadaan yang genting itu, Dia tidak mendapat simpati walaupun dari murid-murid-Nya sendiri. Petrus yang sebelum itu menunjukkan kesungguhan juga didapati tidur dengan nyenyak. Yesus memperingatkan tentang ikrarnya. Kata Yesus kepadanya, “Tidakkah kamu sanggup berjaga-jaga satu jam dengan Aku?”. Anak  itu berdoa tiga kali dalam keadaan kesakitan bila Yudas dengan gerombolannya yang bersenjata muncul. Seperti kebiasaan, dia mendekati Yesus dengan memberi salam. Dengan perbuatan Yudas itu, gerombolannya itu mengelilingi Yesus. Pada ketika itu Yesus memperlihatkan kuasa ilahi-Nya bila dia berkata, “Siapakah yang kamu cari? Akulah Dia.” Mereka terundur dan jatuh ke tanah. Yesus bertanya demikian supaya mereka dapat menyaksikan kuasa-Nya dan menunjukkan bukti yang Dia boleh melepaskan diri-Nya sendiri daripada tangan mereka jika Dia mahu.

Para murid itu mula menaruh harapan bila mereka melihat kumpulan bersenjata tombak dan pedang itu berjatuhan ke tanah. Bila mereka bangun semula dan mengelilingi Anak, Petrus menghunus pedangnya lalu menetak ke arah hamba Imam Besar sehingga putus satu cuping telinga. Yesus menyuruh Petrus menyarungkan pedangnya dan berkata, “Kamu sangka bahawa Aku tidak dapat berseru kepada Bapa-Ku supaya Ia segera mengirim lebih dari dua belas pasukan malaikat membantu aku?”.

Aku melihat, ketika kata-kata itu dituturkan, wajah-wajah para malaikat membayangkan harapan. Mereka berharap sekali pada ketika itu dapat mengelilingi Panglima mereka dan menyuraikan gerombolan yang mengganas itu. Tetapi sekali lagi kesedihan menyelubungi mereka semua ketika Yesus menyambung, “Bagaimanakah akan digenapi yang tertulis dalam kitab suci, yang mengatakan bahawa harus terjadi demikian?” Hati para murid juga tenggelam dalam keputusasaan dan kekecewaan yang amat pahit bila melihat Yesus membiarkan diri-Nya dibawa kepada musuh-musuh-Nya.

Para murid mula berasa takut akan keselamatan diri mereka masing-masing. Mereka semua melarikan diri meninggalkan Yesus sendirian, sebahagian ke arah sana dan sebahagian lagi ke arah sini. Yesus ditinggalkan bersendirian dalam tangan gerombolan pembunuh. Oh, nampaknya Syaitan telah menang pada saat itu! Betapa sedih dan sakitnya hati para malaikat Tuhan! Banyak pasukan malaikat suci, setiap satunya terdapat satu malaikat yang tinggi sebagai pemimpin mereka diutus untuk menyaksikan peristiwa itu. Mereka ditugaskan untuk mencatat setiap penghinaan dan kezaliman yang dilemparkan kepada Anak. Para malaikat itu menuliskan setiap tusukan dari seksaan yang dialami oleh Yesus sebab mereka yang mengambil bahagian dalam perbuatan kejam itu akan melihat peristiwa itu lagi dalam watak-watak yang hidup pada masa akan datang.

Rujuk: Matius 26:1-56; Markus 14:1-52; Lukas 22:1-46; Yohanes 11; 12:1-12; 18:1-12

No comments:

Post a Comment