Friday, August 12, 2011

Perbicaraan Terhadap Kristus

Para malaikat ketika meninggalkan syurga dalam keadaan yang sedih telah menanggalkan mahkota mereka yang gemerlapan. Mereka tidak sanggup memakai mahkota itu sementara Panglima mereka sedang menderita dengan mahkota duri di kepala-Nya. Syaitan dan para iblisnya pula sedang sibuk dalam dewan perbicaraan itu berusaha untuk melenyapkan keperimanusiaan dan rasa simpati. Suasana pada saat itu sangat menyebakkan dan dicemari dengan pengaruh-pengaruh Syaitan dan para iblisnya. Imam-imam ketua dan para pemimpin bangsa itu telah diilhamkan oleh Syaitan dan para iblisnya supaya menghina dan mendera Yesus dengan cara yang paling sukar bagi manusia menanggungnya. Syaitan berharap dengan ejekan dan keganasan yang ditimpakan kepada-Nya, Anak akan meluahkan kata-kata aduan dan rungutan atau Dia akan menunjukkan kuasa ilahi-Nya dan melepaskan diri-Nya daripada himpunan manusia dalam dewan itu dan dengan itu rancangan penyelamatan akhirnya gagal.

Petrus menyusuli Tuhannya setelah pengkhianatannya. Dia ingin sekali melihat apakah yang akan berlaku kepada-Nya. Tetapi bila dia dituduh sebagai salah satu daripada murid-murid Yesus dia menafikannya. Dia berasa nyawanya terancam. Oleh sebab itu dia mengatakan yang dia tidak kenal Orang itu. Murid-murid Yesus terkenal dengan tutur kata yang sopan. Bagi meyakinkan orang yang menuduhnya itu bahawa dia  bukan salah satu daripada murid-murid-Nya, Petrus menyangkal dakwaan itu kali ketiga dengan mengutuk dan bersumpah. Yesus yang berada tidak jauh daripada Petrus, memandang sedih ke arahnya dengan suatu renungan yang memberi teguran. Kemudian Petrus teringat kata-kata yang diucapkan oleh Yesus kepadanya di satu ruang atas dan juga perakuan tegasnya, “Biarpun mereka semua tergoncang imannya kerana Engkau, aku sekali-kali tidak.” Dia telah menyangkal Tuhannya dengan mengutuk dan bersumpah tetapi renungan Yesus itu telah mencairkan hati Petrus dan menyelamatkannya. Dia menangis dengan perasaan yang amat sedih dan lalu bertaubat dari dosa besarnya itu. Dia akhirnya benar-benar insaf dan bersedia untuk memperkuatkan saudara-saudaranya.

Orang ramai dalam dewan itu dahaga akan darah Yesus. Mereka dengan kejam memukul-Nya dengan cemeti dan memakaikan-Nya dengan jubah raja berwarna ungu yang sudah lusuh. Mereka meletakkan di kepala-Nya yang suci itu sebuah mahkota yang diperbuat daripada akar berduri. Mereka menyuruh-Nya memegang sebatang buluh. Kemudian mereka dengan olok-olok berlutut di hadapan-Nya dan menabik Dia, kata mereka, “Salam, hai Raja orang Yahudi.” Kemudian mereka mengambil batang buluh dari tangan-Nya itu dan memukul kepala-Nya sehingga duri-duri itu menusuk pelipis-Nya. Darah menitis dari luka akibat duri itu dan membasahi pipi dan janggut-Nya.

Amat sukar bagi para malaikat menahan hati melihat kejadian tersebut. Mereka ingin sekali melepaskan Yesus tetapi ketua malaikat menghalang mereka dengan mengatakan bahawa hal itu merupakan penebusan paling besar yang harus dibayar bagi pihak manusia. Penebus itu adalah sempurna dan mengakibatkan kematian kepada Dia yang mempunyai kuasa ke atas maut. Yesus mengetahui bahawa para malaikat sedang menyaksikan penghinaan yang dihadapi-Nya. Aku melihat bahawa malaikat yang paling lemah sekalipun boleh merebahkan kumpulan besar pengolok itu hingga tidak bermaya dan membebaskan Yesus. Yesus mengetahui jika Dia menghendakinya daripada Bapa, tentulah para malaikat itu dengan segera membebaskan-Nya. Tetapi adalah penting bagi-Nya mengalami kekejaman manusia jahat itu supaya rancangan penyelamatan ke atas manusia dapat dilaksanakan.

Di situ Yesus berdiri dengan lemah lembut dan rendah hati di hadapan kumpulan manusia yang naik berang sementara mereka mendera-Nya dengan perbuatan-perbuatan yang paling kejam. Mereka meludahi muka-Nya – muka yang pada satu hari nanti, mereka ingin bersembunyi daripada melihat-Nya, muka yang akan menerangi kota Tuhan dan bersinar lebih terang daripada sinaran cahaya matahari. Kristus tidak menunjukkan pandangan marah kepada mereka yang mendera-Nya itu. Mereka menutup kepala-Nya dan menutup mata-Nya dengan kain buruk lalu menampar muka-Nya sambil berteriak, “Cubalah katakan siapakah yang memukul Engkau.” Huru hara timbul di kalangan malaikat. Mereka ingin menyelamatkan Kristus pada saat itu juga tetapi ketua malaikat menahan mereka.

Murid-murid itu mendapat keyakinan untuk masuk ke dalam dewan itu dan menyaksikan bagaimana Yesus dibicarakan. Mereka menjangkakan Yesus akan menunjukkan kuasa keilahian-Nya, membebaskan diri-Nya daripada tangan musuh-musuh-Nya, kemudian menghukum musuh-musuh-Nya itu kerana kekejaman yang mereka lakukan kepada-Nya. Pengharapan murid-murid itu pula sekejap meningkat dan sekejap menurun mengikut suasana yang timbul dari perbicaraan itu. Kadangkala mereka berasa ragu dan takut kalau-kalau mereka telah ditipu. Tetapi suara yang mereka dengar di gunung di mana berlaku perubahan rupa Yesus dan kemuliaan yang mereka pernah lihat memperkuatkan iman mereka bahawa Yesus itu adalah Anak. Mereka mengimbas kembali peristiwa-peristiwa yang mereka telah saksikan, mukjizat yang pernah mereka lihat dilakukan oleh Yesus dalam penyembuhan orang sakit, membolehkan orang buta melihat semula, memberi pendengaran semula kepada mereka yang pekak, mengherdik dan menghalau iblis, menghidupkan semula orang yang sudah mati bahkan memerintahkan ribut dan gelombang di laut dan itupun tunduk kepada-Nya..

Murid-murid Yesus tidak percaya yang Yesus akan mati. Mereka berharap Yesus akan bangkit dalam kuasa. Mereka berharap dengan suara-Nya yang penuh kuasa akan menyuraikan himpunan manusia yang dahagakan darah sebagaimana Dia masuk ke dalam Kaabah dahulu dan menghalau orang-orang yang menjadikan rumah Tuhan itu sebagai pasar. Ketika itu mereka lari bertempiaran bagaikan dikejar sekumpulan bala tentera bersenjata. Para murid berharap Yesus akan menunjukkan kuasa-Nya dan meyakinkan semua yang berada di situ bahawa Dia adalah Raja Israel.

Yudas dipenuhi dengan perasaan kesal yang sangat pahit dan rasa malu di atas perbuatan khianatnya terhadap Yesus. Apabila dia menyaksikan penderaan yang dialami oleh Yesus, dia berasa begitu lemas sekali. Dia mengasihi Yesus, tetapi cintanya lebih kepada wang. Dia tidak menyangka Yesus akan membiarkan diri-Nya diheret oleh gerombolan yang dibawanya itu. Dia menyangka Yesus akan mengadakan mukjizat dan melepaskan diri-Nya daripada mereka. Tetapi apabila dia melihat orang ramai yang berang dahagakan darah-Nya dalam dewan pengadilan itu, dia berasa bersalah yang sangat mendalam. Sementara orang ramai itu bersungguh-sungguh membentangkan tuduhan-tuduhan terhadap Yesus, Yudas pula segera ke tengah-tengah orang ramai itu membuat pengakuan bahawa dia telah berdosa kerana mengkhianati darah yang tidak berdosa. Kemudian dia mengembalikan semula wang yang telah diterimanya daripada para imam itu kepada mereka dan merayu supaya melepaskan Yesus dengan mengatakan Dia sememangnya tidak bersalah.

Buat seketika, rasa sakit hati dan kebingungan timbul dalam diri para imam menyebabkan mereka terdiam. Mereka tidak ingin orang ramai itu mengetahui yang mereka telah mengupah salah seorang yang mengaku sebagai pengikut Yesus untuk mengkhianati-Nya dan menyerahkan Dia ke tangan mereka. Pemburuan mereka terhadap Yesus dilakukan bagaikan pencuri dan membawa-Nya secara rahsia. Mereka mahu bersembunyi.

Tetapi pengakuan Yudas dengan keadaan yang lesu dan muka yang rasa bersalah telah mendedahkan para imam itu kepada orang ramai, menunjukkan bahawa kebencian mereka itulah yang menyebabkan mereka telah menangkap Yesus. Ketika Yudas dengan lantang mengatakan bahawa Yesus itu tidak bersalah, para imam itu menjawab, “Apa urusan kami dengan itu? Itu urusanmu sendiri!” Yesus berada dalam kuasa mereka. Mereka bertekad untuk mempastikan demikian. Yudas yang sudah tenggelam dalam seksaan jiwa melemparkan wang yang sekarang dibencinya ke kaki orang-orang yang mengupahnya. Dengan perasaan azab dan rasa takut yang amat sangat atas jenayahnya, dia keluar dari tempat itu lalu pergi menggantungkan dirinya.

Banyak orang di dalam dewan pengadilan itu yang bersimpati terhadap Yesus. Keengganan Yesus menjawab banyak soalan yang dikemukakan kepada-Nya amat menakjubkan mereka. Dengan segala olok-olokan dan keganasan gerombolan manusia itupun, tidak menimbulkan kerutan di dahi-Nya. Tidak ada tanda kesusahan yang terpantul dari muka-Nya. Dia berasa terhormat dan tenang. Dia kelihatan sempurna dan agung. Para penonton melihat ke arahnya dengan perasaan tertanya-tanya. Mereka membandingkan pembawaan terhormat, ketegasan dan ketrampilan-Nya dengan keadaan mereka yang duduk di kerusi pengadilan bagi menghakimi-Nya. Orang yang bersimpati kepada Yesus berkata satu kepada yang lain, “Dia kelihatan lebih seperti raja yang mempunyai kerajaan berbanding dengan mana-mana raja itu.” Dia tidak menunjukkan tanda-tanda sebagai seorang penjenayah. Mata-Nya lembut, jelas dan kelihatan seperti tidak serik. Dahi-Nya lebar dan tinggi. Raut mukanya memperlihatkan prinsip-prinsip mulia dan berkemurahan.  Ketahanan diri dan kesabaran-Nya tidak akan ada saingan di kalangan manusia. Dalam keadaan sedemikan, manusia biasa pasti akan menggeletar. Bahkan Herodes dan Pilatus juga berasa tidak senang dengan pembawaan mulia-Nya  yang salih.

Sejak dari mula lagi Pilatus berasa yakin bahawa Yesus bukanlah orang biasa tetapi merupakan satu watak cemerlang. Dia percaya Yesus memang tidak bersalah. Para malaikat yang menyaksikan peristiwa itu mengambil perhatian terhadap kepercayaan Pilatus itu, terhadap simpati dan rasa belas kasihannya terhadap Yesus. Bagi membebaskan dia daripada terlibat dalam usaha jahat menyalibkan Yesus, satu malaikat telah diutus untuk memberikan maklumat kepada isteri Pilatus melalui satu mimpi bahawa orang yang sedang diadili dalam perbicaraan yang dikendalikan oleh suaminya itu adalah Anak yang mengalami penderitaan sedangkan Dia tidak bersalah. Isteri Pilatus dengan segera menghantar pesanan kepada Pilatus mengatakan dia telah mengalami penderitaan dalam satu mimpi berkenaan dengan Yesus. Dia memberi amaran kepada suaminya supaya tidak melibatkan diri dengan hal orang salih itu. Pembawa berita itu dengan tergesa-gesa masuk menyelinap di celah-celah orang ramai dalam dewan itu menuju ke hadapan pengadilan dan menyerahkan surat itu kepada Pilatus. Ketika Pilatus membaca kandungan surat itu, dia menggeletar dan menjadi pucat. Pada saat itu juga dia menetapkan tidak akan campur tangan  dalam menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus. Jika orang-orang Yahudi itu mahukan darah Yesus, dia tidak akan mempengaruhi mereka tetapi berusaha untuk membebaskan Dia.

Bila Pilatus mendengar yang Herodes sedang berada di Yerusalem, dia berasa sungguh lega kerana dia berharap dapat melepaskan diri daripada perkara yang dia tidak setujui itu dan bukan urusannya menhukum Yesus. Pilatus menghantar Yesus bersama dengan pendakwa-pendakwa kepada Herodes. Herodes memang sudah sedia keras hati. Pembunuh Yohanes Pembaptis itu masih lagi dihantui noda-noda yang sukar baginya untuk melepaskan diri. Apabila dia mendengar akan hal Yesus dan pekerjaan-pekerjaan besar yang dilakukan-Nya itu, dia berasa takut dan gementar. Dia percaya Yesus itu ialah Yohanes Pembaptis yang telah bangkit dari kematian. Yesus diserahkan ke tangannya oleh Pilatus. Herodes menganggap tindakan itu sebagai satu pengiktirafan oleh Pilatus terhadap kuasa, otoriti dan penghakimannya. 
Perkara ini memberi kesan dalam mengujudkan persahabatan di antara dua raja itu yang selama ini bermusuhan. Herodes senang hati melihat Yesus dan berharap Dia akan melakukan mukjizat besar yang akan memuaskan hatinya. Tetapi pekerjaan Yesus bukan untuk memuaskan perasaan ingin tahu manusia atau untuk mencari jalan keselamatan diri-Nya sendiri. Kuasa mukjizat keilahian-Nya dilaksanakan semata-mata untuk menyelamatkan orang lain tetapi bukan diri-Nya sendiri.

Yesus tidak menjawab satupun daripada banyak soalan-soalan yang dikemukakan kepada-Nya oleh Herodes. Demikian juga Dia tidak menjawab soalan-soalan daripada musuh-musuh-Nya yang bertubi-tubi melemparkan tuduhan-tuduhan ke atas-Nya. Herodes menjadi marah kerana Yesus tidak kelihatan takut kepada kuasanya. Dia dengan tenteranya mengejek-ejek, mengolok-olok dan mendera Anak itu. Namun demikian, dia berasa sangat hairan melihat perwatakan Yesus yang mulia dan salih ketika didera secara hina. Bila timbul rasa takut untuk menjatuhkan hukuman ke atas Yesus, dia menghantar semula Yesus kepada Pilatus.

Syaitan dan para iblisnya mencubai Pilatus. Mereka cuba membawa dia kepada kebinasaannya sendiri. Mereka mengatakan kepadanya, jika dia tidak mahu menjatuhkan hukuman kepada Yesus, orang lain akan melakukannya. Orang ramai itu begitu dahagakan darah Yesus. Jika dia tidak menjatuhkan hukuman salib kepada Yesus, dia akan kehilangan kuasa dan kehormatan dunia. Dia akan dianggap sebagai pengikut kepada penyamar itu,  gelaran yang mereka berikan kepada Yesus. Oleh kerana takut kehilangan kuasa dan otoriti, Pilatus berkenan menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus. Bagaimanapun, dia meletakkan darah Yesus kepada tanggungan para pendakwa-Nya. Orang ramai itu menerimanya dengan sahutan, “Biarlah darah-Nya ditanggungkan atas kami dan atas anak-anak kami.” Tetapi, Pilatus tidak pasti. Dia tetap bersalah atas darah Yesus. Kerana kepentingan dirinya sendiri dan cintanya kepada pujian para pembesar bumi, dia menjatuhkan hukuman mati kepada orang yang tidak bersalah. Jika Pilatus menuruti kepercayaannya sendiri, dia tidak akan terkait dengan perbuatan menjatuhkan hukuman kepada Yesus.

Perbicaraan dan hukuman ke atas Yesus itu telah memberi kesan mendalam dalam minda orang-orang  yang hadir ketika itu. Kesan pengaruh yang tertanam dalam minda orang ramai itu jelas kelihatan selepas kebangkitan-Nya. Banyak orang ditambahkan kepada Gereja yang pengalaman dan keyakinannya telah bermula sejak perbicaraan Yesus.

Keberangan Syaitan meluap-luap bila melihat segala kezaliman yang diilhamkannya kepada orang Yahudi itu untuk ditimpakan ke atas Yesus tidak sedikitpun menimbulkan rungutan daripada-Nya. Aku melihat bahawa, walaupun Yesus telah mengambil sifat manusia, Dia terpelihara oleh ketabahan salih-Nya. Dia sedikitpun tidak berganjak daripada kehendak Bapa-Nya.

Rujuk: Matius 26:57-75; 27:1-31; Markus 14:53-72; 15:1-20; Lukas 22:47-71; 23:1-25; Yohanes 18; 19:1-16

No comments:

Post a Comment