Tuesday, August 09, 2011

Perubahan Wajah


Aku melihat bahawa iman para murid Yesus telah diperkuatkan ketika peristiwa perubahan rupa itu. Tuhan memilih untuk memberikan bukti kukuh kepada murid-murid Yesus bahawa Dia adalah Mesias yang dijanjikan itu. Ketika dalam rasa kecewa dan sakit hati yang amat perit bila melihat Yesus disalibkan nanti, mereka tidak akan membuang sepenuhnya keyakinan yang ada pada mereka. Pada peristiwa perubahan wajah itu, Tuhan mengutus Musa dan Elia bertutur kepada Yesus berkenaan dengan penderitaan dan kematian-Nya. Daripada memilih malaikat untuk bertutur kepada Kristus, Tuhan memilih mereka yang telah mengalami ujian-ujian hidup di bumi melakukan tugas itu. Beberapa orang pengikut Yesus diizinkan bersama dengan-Nya dan melihat muka-Nya yang bersinar dengan kemuliaan syurgawi, menyaksikan pakaian-Nya bersinar putih, dan mendengar suara Tuhan dari syurga dengan ketakutan yang hebat, kata-Nya, “Inilah Anak-Ku yang Kukasihi, dengarkanlah Dia”.

Elia telah berjalan dangan Tuhan. Pekerjaannya tidaklah menyeronokkan. Tuhan, melalui Elia, telah menegur dosa-dosa Israel. Elia adalah nabi Tuhan. Begitupun, dia terpaksa melarikan diri dari satu tempat ke satu tempat bagi menyelamatkan dirinya. Dia diburu bagaikan binatang liar dengan tujuan untuk menghapuskannya. Tetapi Tuhan telah mengubah Elia. Para malaikat Tuhan membawanya dalam kemuliaan dan kemenangan ke syurga.

Musa adalah seorang manusia yang telah mendapat kemuliaan daripada Tuhan. Musa lebih besar daripada sesiapapun yang pernah hidup sebelumnya. Dia diberi keistimewaan bertutur dengan Tuhan berhadapan muka dengan muka sebagaimana seseorang berbual dengan sahabatnya. Dia diizinkan melihat cahaya yang terang dan kemuliaan yang hebat menyelubungi Bapa. Melalui Musa, Tuhan telah membebaskan anak-anak Israel daripada perhambaan di Mesir. Musa adalah pengantara anak-anak Israel. Dia kerap kali berdiri di antara mereka dengan murka Tuhan. Apabila murka Tuhan bernyala-nyala terhadap Israel sebab ketidakpercayaan, rungutan-rungutan dan dosa-dosa berat mereka itu, kasih Musa kepada mereka teruji. Tuhan berjanji sekiranya Musa melepaskan dan membiarkan mereka dibinasakan, Tuhan akan menjadikan Musa sebagai satu bangsa yang besar. Musa menyatakan kasihnya terhadap Israel melalui rayuannya yang sungguh-sungguh bagi pihak mereka. Dalam keadaan terdesak itu, dia berdoa supaya Tuhan berpaling daripada murka-Nya yang bernyala-nyala itu dan mengampuni Israel atau menghapuskan namanya daripada kitab Tuhan.

Apabila Israel merungut terhadap Tuhan dan terhadap Musa oleh kerana mereka tidak mendapat air, mereka menuduh Musa sengaja membawa mereka keluar untuk membunuh mereka dan anak-anak mereka. Tuhan mendengar akan rungutan mereka itu dan menyuruh Musa memukul batu itu supaya anak-anak Israel mendapat air. Musa memukul batu itu dengan hati yang sedang marah dan mengambil kemuliaan untuk dirinya. Sifat tidak terkawal dan merungut di kalangan anak-anak Israel menyebabkan kesedihan yang teramat pedih baginya dan buat seketika dia terlupa betapa Tuhan beserta dengan mereka selama ini. Bahkan rungutan-rungutan itu bukan ditujukan kepada Musa tetapi kepada Tuhan. Musa memikirkan hanya kepada dirinya sendiri, bagaimana dirinya sudah begitu jauh dipersalahkan dan betapa begitu sedikitnya penghargaan mereka terhadap dirinya yang sesungguhnya menyayangi mereka. Ketika Musa memukul batu itu, dia gagal memuliakan Tuhan dan meninggikan-Nya di hadapan anak-anak Israel supaya mereka dapat memuliakan Tuhan. Tuhan tidak berkenan dengan kelakuan Musa dan oleh sebab itu Musa tidak dibenarkan masuk ke tanah yang dijanjikan. Hal itu merupakan rancangan Tuhan untuk kerap menguji Israel dengan membawa mereka ke tempat-tempat yang sukar. Apabila dalam keadaan yang genting, Tuhan akan memperlihatkan kuasa-Nya supaya Dia akan hidup dalam ingatan mereka dan mereka akan memuliakan Dia.

Ketika Musa turun dari gunung membawa dua kepingan batu dan melihat Israel menyembah patung lembu keemasan itu, kemarahannya bernyala-nyala. Dia melontarkan kepingan-kepingan batu itu dan memecahkannya. Aku melihat Musa tidak berdosa dalam hal ini. Dia marah untuk Tuhan, cemburu untuk kemuliaan-Nya. Bagaimanapun apabila dia menyerah kepada perasaan semulajadi dari hati dan mengambil kemuliaan untuk dirinya yang seharusnya layak bagi Tuhan, dia berdosa dan untuk dosa itu, Tuhan tidak membiarkan Musa memasuki tanah perjanjian itu.

Syaitan sudah mencuba mencari sesuatu untuk mendakwa Musa di hadapan malaikat-malaikat. Syaitan telah menang dalam hal ini dengan menyebabkan Musa tidak diperkenankan Tuhan. Dia begitu bergembira dan memberitahu malaikat-malaikat itu bahawa apabila Juruselamat dunia akan datang membebaskan manusia, dia akan dapat mengalahkan-Nya. Dengan pelanggaran itu, Musa sudah di bawah kuasa Syaitan – penguasa kematian. Kalaulah Musa berpegang teguh dan tidak melakukan dosa dengan mengambil kemuliaan untuk dirinya sendiri, tentulah Tuhan membawanya ke tanah perjanjian, kemudian mengubahnya ke syurga tanpa mengalami kematian. Aku melihat bahawa Musa telah menempuh kematian tetapi Mikhael turun dan memberikan kepadanya hidup sebelum tubuhnya mengalami pereputan. Syaitan cuba menghalang tubuh Musa daripada menerima hidup dengan mendakwa bahawa itu adalah miliknya. Tetapi Mikhael membangkitkan Musa dan membawanya bersama ke syurga. Syaitan cuba menahan tubuh itu dan menyelar dengan keras Tuhan serta mengecam-Nya sebagai tidak adil kerana mengizinkan mangsanya itu diambil daripadanya. Mikhael tidak mengherdik Syaitan itu, walaupun hamba Tuhan itu telah jatuh kerana pencubaannya. Sebaliknya dengan lemah lembut Dia merujukkan dia kepada Bapa, mengatakan, “Kiranya Tuhan mengherdik engkau.”

Yesus memberitahu murid-murid-Nya bahawa ada sebahagian  yang berdiri bersama-Nya yang tidak akan mengalami kematian sehingga mereka melihat kedatangan kerajaan Tuhan dengan penuh kuasa. Pada peristiwa perubahan rupa itulah, janji itu digenapi. Wajah Yesus di situ diubah. Wajah-Nya bersinar bagaikan matahari. Pakaiannya putih dan berkilauan. Musa ketika itu hadir bagi mewakili mereka yang akan dibangkitkan daripada kematian pada kedatangan Yesus kali yang kedua. Elia yang telah diangkat tanpa mengalami kematian, mewakili mereka yang akan diubah kepada hidup yang kekal pada kedatangan Yesus kali kedua dan diangkat ke syurga tanpa mengalami kematian. Murid-murid melihat peristiwa itu dengan kagum dan rasa takut akan keagungan Yesus yang gemilang. Mereka juga berasa kagum dan takut melihat awan yang menaungi mereka dan mendengar suara Tuhan dalam keagungan yang hebat, bunyinya, “Inilah Anak yang Kukasihi, kepada-Nyalah Aku berkenan, dengarkanlah Dia.”

Rujuk: Keluaran 32; Bilangan 20:7-12; Ulangan 34:5; 2 Raja-Raja 2:11; Markus 9; Yudas 9.

No comments:

Post a Comment