Wednesday, August 03, 2011

Rancangan Penyelamatan

Kesedihan memenuhi syurga bila menyedari manusia itu telah sesat dan bumi yang dicipta itu akan dipenuhi dengan manusia fana yang akan dirundung kesengsaraan, penyakit dan kematian. Tidak ada jalan kelepasan bagi mereka yang bersalah. Seluruh ahli keluarga Adam mesti mati. Aku nampak betapa indahnya Yesus dengan kesedihan dan simpati memancar dari wajahnya. Kemudian aku melihat Dia menuju ke arah cahaya yang sangat terang menyelubungi Bapa. Malaikat pengiringku mengatakan yang Dia sedang berbicara dangan Bapa-Nya. Kerisauan di kalangan para malaikat nampaknya semakin hebat ketika Yesus bermusyawarah dengan Bapa. Tiga kali Dia diselubungi dengan sinar kemuliaan Bapa. Pada kali yang ketiga Dia keluar daripada Bapa, peribadi-Nya dapat dilihat. Wajah-Nya tenang, bebas dari segala kerisauan dan keraguan serta memperlihatkan sifat kemurahan dan kebaikan yang sukar dinyatakan dengan kata-kata. Kemudian Yesus memaklumkan kepada seluruh malaikat bahawa jalan kelepasan telah disediakan untuk manusia yang telah hilang itu. Dia  memberitahu mereka yang Dia telah merayu kepada Bapa supaya Dia dapat menyerahkan hidup-Nya sebagai penebus. Dia sendiri yang akan menerima hukuman mati supaya melalui-Nya manusia beroleh keampunan. Melalui kewajaran darah-Nya dan penurutan undang-undang Tuhan, mereka beroleh kemurahan Tuhan, dan akan dibawa ke taman yang indah dan makan buah pohon kehidupan.

Pada mulanya para malaikat tidak dapat  bergembira  dengan  Panglima mereka yang tidak berselindung-selindung lagi menjelaskan rancangan penyelamatan itu di hadapan mereka. Yesus menjelaskan yang Dia akan menjadi penghalang di antara murka Bapa-Nya dengan manusia yang bersalah. Dia akan menanggung ketidakadilan dan cemuhan dan sedikit sahaja yang akan menerima-Nya sebagai Anak. Hampir semua orang akan membenci dan menolak-Nya. Dia akan meninggalkan kemuliaan-Nya itu di syurga dan turun ke bumi sebagai manusia. Dia akan merendahkan diri sebagai manusia. Dia akan biasa melalui pengalaman-Nya sendiri terhadap pelbagai dugaan yang melanda manusia supaya Dia dapat menolong mereka yang dicubai. Akhirnya, selepas misi-Nya sebagai guru tercapai, Dia akan diserahkan ke tangan manusia untuk menanggung segala kekejaman dan penderitaan yang diilhamkan kepada mereka oleh Syaitan dan para iblisnya. Dia akan mati melalui kematian yang paling zalim. Dia akan digantung di antara langit dan bumi sebagai manusia yang bersalah. Dia akan menempuh beberapa jam penderitaan yang amat menakutkan sehinggakan para malaikat pun tidak sanggup melihatnya bahkan akan menutup mata mereka daripada penglihatan tersebut. Bukan sahaja derita badani yang akan dialami-Nya tetapi juga derita mental yang tidak dapat dibandingkan dengan derita badani. Bebanan dosa seluruh dunia adalah terletak pada bahunya. Dia menjelaskan kepada para malaikat itu yang Dia akan mati dan bangkit semula pada hari ketiga. Dia akan terangkat kepada Bapa selepas itu sebagai pengantara bagi manusia bersalah yang tidak terkawal lagi di muka bumi ini.

Para malaikat sujud di hadapan-Nya. Mereka menawarkan nyawa masing-masing. Yesus menjelaskan kepada mereka bahawa dengan kematian-Nya itu nanti, Dia akan dapat menyelamatkan banyak orang. Nyawa satu malaikat tidak dapat melunaskan hutang itu. Nyawa-Nya sahaja yang dapat diterima oleh Bapa sebagai penebus manusia yang sudah jatuh ke dalam dosa.

Yesus juga memberitahu bahawa mereka juga mempunyai peranan untuk dimainkan iaitu bersama-sama dengan Dia dan menguatkan-Nya pada masa-masa tertentu. Dia akan mengambil sifat manusia yang telah jatuh. Kekuatan-Nya tidak akan menyamai kekuatan mereka.
Mereka akan menjadi saksi bagaimana Dia menanggung malu dan mengalami penderitaan yang teramat sangat itu nanti.

Sementara mereka menyaksikan penderitaan-Nya dan kebencian manusia terhadap-Nya, mereka akan terusik dengan emosi yang sangat mendalam. Memandangkan kasih para malaikat kepada-Nya sangat mendalam, mereka ingin menyelamatkan dan membebaskan Dia daripada pembunuh-pembunuh-Nya. Tetapi mereka tidak harus campur tangan dengan menghalang apa-apapun yang mereka nampak. Mereka akan mengambil satu peranan pada kebangkitan-Nya nanti. Rancangan penyelamatan manusia telah diatur dan Bapa telah menerima rancangan tersebut.

Dengan kesedihan suci, Yesus menghibur dan memberi semangat kepada para malaikat itu. Yesus memberitahu mereka bahawa mereka yang diselamatkan itu akan bersama-sama dengan Dia selepas itu dan selama-lamanya tinggal dengan Dia. Dengan kematian-Nya, Dia menebus semua manusia dan membinasakan dia yang mempunyai kuasa maut. Bapa akan menyerahkan kerajaan dan keagungan kerajaan itu di bawah langit kepada-Nya. Dia akan memiliki kerajaan itu selama-lamanya. Syaitan dan manusia berdosa akan dibinasakan dan mereka tidak akan dapat lagi mengganggu gugat syurga atau bumi baru yang ditulenkan itu. Yesus menjemput seluruh penghuni syurga menerima rancangan yang telah diterima oleh Bapa. Yesus menyeru mereka supaya bergembira kerana melalui kematian-Nya, manusia yang telah jatuh itu akan dapat ditinggikan lagi untuk menerima kemurahan Tuhan dan menikmati kebahagiaan  syurga.

Kemudian suasana riang ria dan kegembiraan yang tidak terkatakan memenuhi syurga. Seluruh penghuni syurga menyanyikan lagu pujian dan pujaan. Mereka memainkan kecapi dan mendendangkan not yang lebih tinggi daripada not yang pernah mereka nyanyikan. Kerana kasih-Nya yang besar dan berkenan menyerahkan Anak yang dikasihi untuk mati bagi bangsa manusia yang telah ingkar. Puji-pujian dan pujaan dilimpahkan ke atas penyangkalan diri dan pengorbanan Yesus, kesanggupan-Nya meninggalkan pangkuan Bapa dan memilih kehidupan yang derita dan sengsara, seterusnya mati dengan kematian yang mengaibkan supaya dengan cara itu manusia beroleh hidup.

Kata malaikat itu, “Terfikirkah engkau bahawa Bapa akan menyerahkan Anak yang dikasihi itu dengan mudah tanpa pergelutan? Tidak, tidak. Bagi Tuhan di syurga, untuk memutuskan sama ada membiarkan manusia bersalah itu binasa atau menyerahkan Anak untuk mati ganti manusia adalah satu pergelutan.” Para malaikat di syurga sangat berminat dengan penyelamatan manusia sehinggakan ada di antara mereka itu yang sanggup melepaskan kemuliaan dan menyerahkan -Nyawa mereka ganti manusia yang sedang menempuh kebinasaan. Kata malaikat pengiring itu, “Tetapi itu tidak akan dapat menghasilkan apa-apa. Pelanggaran itu begitu besar hinggakan nyawa satu malaikat pun tidak dapat membayar hutang itu. Tidak ada satupun yang dapat membayar hutang itu dan menyelamatkan manusia daripada penderitaan, kesedihan dan tanpa pengharapan kecuali dengan kematian dan pengantaraan Anak.”

Tugas yang diserahkan kepada malaikat disamping melayani-Nya adalah untuk naik dan turun membawa salap penguat daripada kemuliaan bagi melegakan Anak itu ketika Dia dalam penderitaan-Nya. Selain itu, mereka juga ditugaskan untuk memelihara hal-hal kasih kurnia daripada dicemari oleh para iblis dan kegelapan yang ditebarkan ke sekeliling mereka oleh Syaitan. Aku melihat bahawa adalah mustahil bagi Tuhan meminda atau mengubah undang-undang-Nya bagi menyelamatkan manusia yang telah hilang dan menghadapi kebinasaan. Oleh sebab itu Dia membiarkan Anak yang dikasihi itu mati kerana pelanggaran manusia.

Sekali lagi Syaitan dan para iblisnya bersuka ria kerana dengan kejayaannya menjatuhkan manusia, dia telah menurunkan kedudukan Anak daripada kedudukan-Nya yang tinggi itu.
Dia memberitahu para iblisnya yang dia akan dapat mengalahkan Kristus dan mematahkan rancangan penyelamatan itu apabila Dia mengambil sifat manusia  berdosa.

Aku telah diperlihatkan tentang Syaitan ketika dia masih malaikat yang termulia dan berbahagia di Syurga. Kemudian aku diperlihatkan kepada Syaitan dalam keadaannya kini. Dia masih mempunyai bentuk seperti raja.

Raut mukanya masih mengagumkan, kerana dia adalah dahulunya malaikat tetapi kini sudah jatuh. Tetapi pantulan dari wajahnya memperlihatkan dirinya penuh dengan kerisauan, kerunsingan, kesedihan, berniat jahat, pembenci, pengacau, penuh tipu daya dengan segala jenis kejahatan. Dahinya yang pada satu masa dahulu adalah mengagumkan telah menarik perhatianku. Dahinya bermula dari paras mata kelihatan telah merosot ke belakang. Dapat diperhatikan juga, oleh kerana dia telah begitu lama cenderung berbuat jahat sehingga setiap kualiti yang baik padanya telah berkurangan manakala setiap ciri jahat bertambah matang. Matanya memperdayakan, licik dan dapat menembus apa yang dia pandang. Susuk tubuhnya besar tetapi isinya kendur seperti tergantung longgar pada tangan dan mukanya. Ketika aku memandang ke arahnya, dagunya terampai di atas tangan kirinya. Kelihatannya dia sedang berfikir dalam-dalam. Wajahnya menampakkan senyuman yang membuatkan aku menggeletar. Senyuman yang penuh dengan kejahatan dan kelicikan syaitan. Senyuman inilah yang digunakannya untuk menarik perhatian mangsanya. Setelah mangsanya terpedaya dengan jeratnya itu, senyumannya itu melebar menjadi  satu pemandangan yang menggerunkan.

Rujuk Yesaya 53

No comments:

Post a Comment