Thursday, September 15, 2011

Kemurtadan Besar

17
Aku telah dibawa kepada masa orang-orang pagan penyembah berhala dengan kejamnya menganiaya orang-orang Kristian dan membunuh mereka. Darah mengalir mencurah-curah. Para bangsawan, ilmuan dan rakyat biasa sama-sama dibunuh tanpa belas kasihan. Keluarga-keluarga kaya menjadi miskin oleh sebab mereka tidak menyerahkan agama mereka. Walaupun sedemikian penganiayaan dan penderitaan yang ditanggung oleh orang-orang Kristian, mereka tetap tidak merendahkan piawai. Mereka memelihara ketulenan agama. Aku melihat Syaitan bergembira dan bersukaria ke atas penderitaan umat-umat Tuhan. Tetapi Tuhan nampak berkenan kepada umat setia yang syahid itu. Orang-orang Kristian yang hidup pada masa yang menggerunkan itu merupakan yang amat dikasihi-Nya sebab mereka dengan rela menderita demi Tuhan. Setiap penderitaan yang digagahi oleh mereka akan menambahkan pahala mereka di syurga. Walaupun Syaitan bergembira kerana orang-orang salih menderita namun dia tidak berpuas hati. Dia mahu mengawal minda dan juga tubuh. Penderitaan yang ditanggung oleh orang-orang Kristian itu membawa mereka lebih dekat kepada Tuhan, mendorong mereka mengasihi satu dengan yang lain dan menyebabkan mereka takut lebih daripada menyinggung-Nya. Syaitan berhasrat agar mereka akan menimbulkan ketidaksenangan Tuhan, kemudian mereka akan kehilangan kekuatan, kecekalan dan keteguhan. Walaupun beribu-ribu orang telah dibunuh tetapi orang-orang lain bangkit mengambil tempat mereka. Syaitan melihat bahawa dia sedang kehilangan taklukannya. Walaupun mereka menderita akibat penganiayaan dan kematian namun mereka telah ditambahkan kepada Yesus untuk menjadi warga kerajaan-Nya. Syaitan menyediakan rancangannya dengan lebih rapi supaya lebih berjaya menentang kerajaan Tuhan dan menjatuhkan gereja. Dia memimpin penyembah-penyembah berhala pagan menganuti sebahagian daripada kepercayaan Kristian. Mereka mengaku percaya terhadap penyaliban dan kebangkitan Yesus tanpa perubahan hati. Mereka mengisytiharkan akan bersatu dengan pengikut-pengikut Yesus. Oh satu bahaya yang menakutkan bagi gereja! Satu tempoh keazaban mental. Sesetengah orang berfikir jika mereka turun dan bersatu dengan penyembah-penyembah berhala yang menganuti sebahagian daripada kepercayaan Kristian, cara itu merupakan satu jalan pertaubatan bagi mereka. Syaitan berusaha untuk merosakkan ajaran Alkitab. Akhirnya aku melihat standard itu telah direndahkan dan orang-orang pagan itu telah bersatu dengan orang-orang Kristian. Mereka itu dahulunya adalah penyembah berhala dan walaupun mereka mengaku sebagai penganut Kristian, mereka bawa bersama upacara penyembahan berhala. Mereka hanya mengubah benda yang mereka sembah kepada patung-patung orang salih bahkan patung Yesus dan Maria ibu Yesus. Kristian secara perlahan-lahan bersatu dengan mereka dan agama Kristian menjadi cemar, manakala gereja pula kehilangan ketulenan dan kuasa. Sebahagian di antara mereka enggan bersatu dengan kumpulan itu sebaliknya memelihara ketulenannya dan menyembah hanya Tuhan semata-mata. Mereka tidak akan tunduk kepada patung apapun di langit di atas atau di bumi di bawah.

Syaitan bergembira di atas kejatuhan banyak orang. Kemudian dia menggerakkan gereja murtad itu memaksa mereka yang memelihara ketulenan agama mereka, sama ada mereka menerima upacara-upacara dan penyembahan patung-patung atau akan dibunuh. Api-api penganiayaan sekali lagi bernyala menentang gereja benar Yesus Kristus dan berjuta-juta orang dibunuh tanpa belas kasihan.
Hal itu diperlihatkan di hadapanku seperti ini: Sekumpulan besar orang-orang penyembah berhala pagan yang memegang panji-panji yang terlukis gambarajah matahari, bulan dan bintang-bintang. Kumpulan tersebut kelihatan sangat garang dan marah.

Aku kemudiannya diperlihatkan kepada satu kumpulan lain yang memegang panji-panji berwarna putih bersih dan pada panji-panji itu tertulis “Ketulenan dan Kesucian bagi Tuhan”. Wajah-wajah mereka memperlihatkan keteguhan pendirian dan berserah kepada ilahi. Aku melihat penyembah berhala pagan itu menghampiri mereka dan berlaku pembunuhan besar-besaran. Orang-orang Kristian itu rebah di hadapan mereka namun kumpulan Kristian itu berpadu lebih rapat satu dengan yang lain serta memegang panji-panji mereka dengan lebih erat lagi. Apabila banyak yang kecundang, yang lain pula datang berhimpun mengelilingi panji-panji itu mengambil tempat mereka yang terkorban.

Aku melihat kumpulan penyembah-penyembah berhala itu berunding bersama. Mereka gagal membuat orang-orang Kristian itu menyerah dan mereka bersetuju untuk melakukan rancangan yang lain. Aku melihat mereka menurunkan panji-panji mereka kemudian menghampiri kumpulan Kristian yang teguh itu  untuk mengemukakan cadangan kepada mereka. Pada mulanya cadangan mereka itu ditolak sepenuhnya. Kemudian aku melihat kumpulan orang-orang Kristian itu berunding bersama. Sebahagian mengatakan mereka akan menurunkan panji-panji, terima cadangan itu, selamatkan nyawa mereka, akhirnya nanti mereka akan memperolehi kekuatan untuk mendirikan panji-panji itu di kalangan penyembah-penyembah berhala itu. Tetapi sebahagian lagi tidak akan menyerah kepada rancangan itu sebaliknya bertekad untuk mempertahankan panji-panji mereka hingga mati daripada menurunkannya. Kemudian aku melihat banyak orang Kristian menurunkan panji-panji mereka lalu bergabung dengan orang-orang kafir manakala mereka yang teguh pendirian dan bertahan merampas panji-panji itu lalu mendirikannya lebih tinggi lagi. Aku melihat banyak individu terus meninggalkan kumpulan yang memegang panji-panji tulen itu lalu menggabungkan diri dengan penyembah berhala itu. Mereka bersatu bersama di bawah panji-panji hitam  menganiaya mereka yang masih berpegang kepada panji-panji putih itu. Akibatnya banyak orang yang terbunuh. Namun panji-panji putih itu diangkat tinggi. Banyak individu dibangkitkan untuk berarak mengelilinginya.

Orang-orang Yahudi yang pertama memulakan kemarahan orang-orang kafir terhadap Yesus tidak akan terlepas. Apabila Pilatus teragak-agak menghukum Yesus, orang-orang Yahudi yang berang di dalam dewan pengadilan itu bertempik, “DarahNya tertanggung atas kami dan anak-anak kami.” Bangsa Yahudi telah mengalami kegenapan sumpah dahsyat itu yang mereka sendiri seru timpakan ke atas kepala mereka. Orang-orang kafir dan Kristian sama-sama menjadi musuh-musuh mereka. Memandangkan orang-orang Yahudi telah menyalibkan Kristus, orang-orang yang mengaku sebagai Kristian dalam keghairahan mereka kepada salib itu berfikir bahawa lebih banyak kesengsaraan yang mereka bawa kepada diri mereka sendiri, lebih menyenangkan Tuhan. Akibatnya banyak orang-orang Yahudi yang tidak percaya terbunuh manakala yang lain dihalau dari satu tempat ke satu tempat dan dihukum  dengan pelbagai bentuk penderaan.

Darah Yesus dan murid-muridNya yang mereka bunuh tertanggung atas mereka. Mereka telah didatangi dalam penghakiman yang dahsyat. Kutuk Tuhan mengekori mereka. Mereka menjadi satu contoh dan satu ejekan kepada orang-orang kafir dan orang-orang Kristian. Mereka dihindari, dihina dan dibenci seolah-olah cap Kain terpampang pada mereka. Namun aku melihat Tuhan dengan cara yang menakjubkan telah memelihara umat itu dan menebarkan mereka di merata tempat di dunia supaya mereka akan dilihat sebagai bangsa yang khusus ditimpa kutuk daripada Tuhan. Aku melihat Tuhan telah meninggalkan Yahudi sebagai satu bangsa.

Namun ada di kalangan rakyatnya yang berupaya mengoyakkan tabir hati mereka. Sebahagian daripada mereka itu belum lagi memahami bahawa nubuatan tentang mereka telahpun digenapi. Mereka akan menerima Yesus sebagai Juruselamat dunia ini. Mereka akan melihat dosa besar bangsa mereka kerana menolak Yesus dan menyalib-Nya. Individu-individu di kalangan bangsa Yahudi itu akan bertaubat tetapi sebagai bangsa,  mereka telah ditinggalkan selama-lamanya oleh Tuhan.

No comments:

Post a Comment