Tuesday, November 29, 2011

Penggoncangan

32
Aku melihat sesetengah orang yang kuat iman dan berseru dengan rasa derita, merayu kepada Tuhan. Wajah mereka pucat. Ketara sekali sangat cemas yang menggambarkan ada pergelutan dalaman dalam diri mereka. Ada ketegasan dan kegigihan yang besar terpantul dari wajah-wajah mereka. Sementara itu titisan peluh banyak terkumpul di dahi mereka lalu gugur berjatuhan. Sekali sekala wajah-wajah mereka bercahaya dengan tanda restu Tuhan. Sekali lagi kelihatan pandangan cemas, sungguh-sungguh dan serius  terpantul dari wajah mereka.

Para iblis berkumpul mengelilingi dan menekan kegelapan ke atas mereka untuk menutup Yesus dari pandangan mereka. Dengan itu mata mereka tertarik kepada kegelapan yang menyelubungi mereka dan mereka tidak akan mempercayai Tuhan bahkan merungut terhadap-Nya. Satu-satunya keselamatan bagi mereka adalah dengan menetapkan pandangan mata ke atas. Malaikat-malaikat mempunyai tanggungjawab ke atas umat Tuhan. Bila suasana beracun dari para iblis menyelubungi orang-orang yang cemas itu, malaikat-malaikat yang diberi tanggungjawab ke atas orang-orang itu terus-menerus mengibas-ngibaskan sayap-sayap bagi menyuraikan kegelapan tebal yang menyulubungi mereka.

Aku melihat sebahagian lagi tidak menyertai pekerjaan yang menyeksa dan merayu itu. Mereka nampaknya tidak menghiraukan dan tidak ambil peduli. Mereka tidak melawan kegelapan yang menyelubungi mereka. Kegelapan itu menutupi mereka bagaikan satu awan tebal. Malaikat-malaikat Tuhan meninggalkan mereka dan beredar untuk membantu mereka yang sedang berdoa dengan tekun. Aku melihat Tuhan bergegas menolong semua orang yang berjuang dengan seluruh tenaga mereka untuk melawan para iblis dan cuba membantu diri mereka dengan tabah memanggil Tuhan. Tetapi malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka yang tidak berusaha menolong diri sendiri dan aku tidak lagi dapat melihat malaikat-malaikat itu.

Pada masa orang-orang yang berdoa meneruskan doa dengan bersungguh-sungguh, satu sinar terang daripada Yesus memancar ke arah mereka, mendorong hati mereka dan menyinari wajah-wajah mereka.

Aku bertanya akan makna penggoncangan yang telah kusaksikan itu. Aku telah ditunjukkan bahawa itu adalah disebabkan oleh kesaksian jujur yang dipanggil keluar oleh mesyawarah Saksi yang betul kepada orang-orang Laodikia. Kesaksian jujur itu akan memberi kesan kepada hati penerima kesaksian dan itu akan membawa dia meninggikan piawaian. Seterusnya mencurahkan keluar kebenaran terus terang itu. Kesaksian jujur ini tidak akan dipikul oleh sesetengah orang. Mereka akan bangkit menentangnya dan ini menyebabkan penggoncangan di kalangan umat Tuhan.

Aku melihat bahawa kesaksian Saksi Benar itu tidak separuhpun dipedulikan. Kesaksian serius itu di mana tergantung takdir gereja, dipandang ringan jika tidak diabaikan seluruhnya. Kesaksian ini mesti bekerja menanamkan pertaubatan yang sesungguhnya supaya semua orang yang betul-betul menerimanya  akan menurutinya dan ditulenkan.

Kata malaikat itu, “Dengarkan!” Segera selepas itu aku mendengar satu suara seperti bunyi banyak alat muzik, satu alunan suara yang harmoni, merdu dan sempurna. Jauh lebih merdu daripada segala muzik yang pernah aku dengar. Bunyi itu kedengaran seperti suara yang penuh dengan belas kasihan, penyayang, mengangkat, keriangan suci. Ia bergetar di seluruh jiwaku. Malaikat itu berkata, “Lihatlah.” Perhatianku kemudiannya tertumpu kepada kumpulan yang pernah aku lihat sebelum itu yang digoncang dengan hebatnya.

Aku ditunjukkan kepada mereka yang sebelum itu kelihatan menangis dan berdoa dengan roh yang azab. Aku melihat bahawa kumpulan malaikat penjaga di sekeliling mereka itu telah bertambah dua kali ganda. Mereka berpakaian perisai dari kepala hingga ke kaki. Mereka bergerak betul-betul teratur tegap seperti sekumpulan tentera. Wajah-wajah mereka menggambarkan konflik yang teruk pernah mereka tanggung dan perjuangan yang menyakitkan pernah mereka tempuhi. Namun sifat-sifat mereka yang ditandai dengan keazaban dalaman yang teruk, kini bersinar dengan terang dan kemuliaan syurga. Mereka telah memperolehi kemenangan dan hal itu menimbulkan perasaan bersyukur yang sangat mendalam, suci dan kegirangan kudus.

Bilangan kumpulan ini telah berkurangan. Sebahagian telah digoncang keluar dan meninggalkan kumpulan itu. Orang-orang yang cuai dan tidak ambil peduli, iaitu yang tidak menyertai orang-orang yang cukup menghargai kemenangan dan keselamatan untuk merasa azab, bertahan dan merayu bagi hal itu,, tidak memperolehinya. Mereka ditinggalkan dalam kegelapan dan bilangan mereka dengan segera digantikan oleh orang lain yang berpegang teguh kepada kebenaran dan datang kepada kumpulan tersebut. Namun demikian para iblis itu terus juga menghimpit di sekeliling mereka tetapi tidak mempunyai kuasa ke atas mereka.

Aku mendengar mereka yang berpakaian perisai itu memberitakan kebenaran dengan kuasa yang besar. Ada kesannya. Aku melihat mereka yang telah diikat. Sebahagian isteri telah diikat oleh para suami dan sebahagian anak-anak telah diikat oleh ibubapa. Orang-orang jujur yang telah ditahan atau dihalang daripada mendengar kebenaran, kini berbesar hati memegang kebenaran yang dikhutbahkan itu. Segala ketakutan terhadap saudara-mara mereka telah lenyap. Kebenaran itu satu-satunya yang telah ditinggikan kepada mereka. Kebenaran itu sungguh disenangi dan lebih berharga daripada nyawa. Mereka sudah sekian lama lapar dan dahaga akan kebenaran. Aku bertanya apakah penyebabnya perubahan besar itu. Satu malaikat menjawab , “Hujan akhirlah penyebabnya, kesegaran daripada kehadiran Tuhan, seruan kuat daripada malaikat ketiga.”

Kuasa besar ada bersama dengan orang-orang terpilih itu. Kata malaikat itu, “Lihatlah.” Perhatianku dialihkan kepada orang-orang jahat atau yang tidak percaya. Mereka semua sibuk. Kesungguhan dan kuasa yang menyertai umat Tuhan telah membangkitkan dan menaikkan kemarahan mereka. Kebingungan,, kebingungan, berada di segala tempat. Aku melihat ada usaha-usaha dilakukan menentang kumpulan ini yang mempunyai kuasa dan terang Tuhan. Kegelapan menebal di sekeliling mereka Namun mereka tetap berdiri teguh di situ, diperkenankan Tuhan, memberi kepercayaan penuh kepada-Nya. Aku melihat mereka bingung. Selepas itu aku mendengar mereka berseru dengan tekun kepada Tuhan. Siang dan malam mereka berseru tidak henti-henti. Aku mendengar kata-kata ini, “Kehendak-Mu ya Tuhan, itulah yang berlaku! Jika hal itu dapat memuliakan nama-Mu, sediakanlah jalan kelepasan bagi umat-Mu! Lepaskanlah kami daripada orang-orang kafir di sekeliling kami! Mereka telah menetapkan yang kami akan dibunuh, tetapi tangan-Mu membawa keselamatan.” Inilah semua perkataan itu yang dapat aku ingat. Mereka seperti mempunyai satu perasaan mendalam terhadap keadaan mereka yang tidak berharga itu, dimanifestasikan keseluruhan penyerahan kepada kehendak Tuhan. Namun setiap mereka, tanpa pengecualian, merayu dengan tekun dan bergelut seperti Yakub untuk penyelamatan.

Segera selepas mereka memulakan seruan yang bersungguh-sungguh, malaikat-malaikat itu dengan rasa simpati mahu menyelamatkan mereka. Tetapi satu ketua malaikat yang berperawakan tinggi tidak membenarkan mereka. Katanya, “Kehendak Tuhan belum lagi digenapi. Mereka mesti minum daripada cawan itu. Mereka mesti dibaptiskan dengan baptisan itu.”

Segera selepas itu aku mendengar suara Tuhan yang menggegarkan langit dan bumi. Satu gempa bumi yang sangat besar berlaku. Bangunan-bangunan bergoncang dan runtuh.
Kemudian aku mendengar tempikan kemenangan, kuat, merdu dan jelas. Aku memandang ke arah kumpulan yang sebentar tadi dalam keadaan tertekan dan terikat. Keadaan mereka yang tertawan itu telah berubah. Satu terang gemilang memancar ke atas mereka. Betapa indahnya mereka kelihatan saat itu. Segala keletihan dan tanda-tanda beban telahpun lenyap.

Kesihatan dan keanggunan kelihatan pada setiap wajah. Musuh-musuh mereka, orang-orang kafir di sekeliling mereka, bergelimpangan seperti orang-orang mati. Mereka tidak dapat bertahan terhadap terang yang menyinari orang-orang suci yang telah diselamatkan itu. Terang dan kemuliaan ini kekal atas mereka sehingga Yesus kelihatan di awan-awan syurgawi dan orang-orang yang setia, kumpulan yang telah diuji diubah dalam masa singkat, dalam sekelip mata sahaja, dari kemuliaan kepada kemuliaan. Kuburan-kuburan terbuka dan orang-orang salih keluar dengan berpakaian kekekalan, berseru dengan seruan kemenangan ke atas kematian dan kuburan. Bersama dengan mereka adalah orang-orang salih yang masih hidup diangkat naik menyongsong Tuhan di angkasa. Sementara itu, seruan-seruan merdu dan indah yang penuh kemuliaan dan kemenangan diluahkan oleh setiap lidah berkekalan, diteruskan oleh setiap bibir suci yang dikuduskan.

Rujuk: Maz. 86; Hosea 6:3; Haggai 2:21-23; Mat. 10:35-39; 20:23; Efe. 6:10-18; 1Tes. 4:14-18;
            Wah. 3:14-22

No comments:

Post a Comment