Wednesday, November 02, 2011

Pergerakan Advent Diilustrasikan

25

Aku melihat sebilangan kumpulan-kumpulan yang kelihatan seperti diikat bersama dengan tali pintal. Banyak orang dalam kumpulan-kumpulan itu betul-betul dalam kegelapan. Mata mereka tertuju ke bawah, ke bumi dan di sana kelihatan seperti tidak ada kaitan di antara mereka dengan Yesus. Aku melihat orang-orang perseorangan yang bertaburan di kalangan kumpulan-kumpulan yang berbeza itu, wajah-wajah kelihatan terang dan mata mereka menengadah ke langit. Pancaran terang dari Yesus, seperti sinar terang dari matahari dipantulkan kepada mereka. Satu malaikat menyuruh aku melihat dengan teliti dan aku melihat satu malaikat menjaga setiap orang yang mempunyai satu sinar terang manakala para iblis mengelilingi mereka yang dalam kegelapan. Aku mendengar suara satu malaikat berseru, “Takutlah akan Tuhan dan muliakanlah Dia kerana telah tiba saat penghakiman-Nya.”

Satu terang kemuliaan hinggap di atas kumpulan-kumpulan ini untuk menerangi semua yang akan menerimanya. Sesetengah mereka yang berada dalam kegelapan menerima terang itu dan bergembira manakala yang lain menolak terang dari syurga itu. Mereka mengatakan yang terang itu adalah satu penipuan untuk menyesatkan mereka. Terang itu berlalu daripada mereka dan meninggalkan mereka dalam kegelapan. Mereka yang telah menerima terang dari Yesus itu dengan riang ria menghargai peningkatan terang yang bernilai dipancarkan kepada mereka. Wajah-wajah mereka bersinar-sinar dan memancarkan keriangan suci sementara pandangan mereka dengan penuh minat menengadah kepada Yesus. Suara mereka kedengaran harmoni dengan suara para malaikat yang berseru, “Takutlah akan Tuhan dan muliakanlah Dia kerana telah tiba saat penghakiman-Nya.” Ketika mereka mengumandangkan seruan itu, aku melihat orang-orang dalam kegelapan itu meradak mereka dengan sisi dan dengan bahu. Kemudian banyak di kalangan yang menghargai terang kudus itu memutuskan tali pintal yang menjadi penghalang dan memisahkan diri daripada kumpulan-kumpulan itu. Apabila semakin banyak orang yang memutuskan tali pintal yang mengikat itu, orang-orang milik kumpulan-kumpulan yang berbeza ini, yang dimuliakan oleh mereka, melintasi kumpulan-kumpulan itu. Sebahagian dengan kata-kata yang menyenangkan manakala yang lain menunjukkan muka yang garang serta mengancam, mengikatkan tali pintal itu yang semakin lemah serta terus menerus berkata, “Tuhan beserta kita. Kita berdiri dalam terang. Kita mempunyai kebenaran.” Aku bertanya siapakah orang-orang itu. Aku diberitahu bahawa mereka itu adalah pelayan rohani dan orang-orang penting, yang telah menolak terang itu dan tidak rela orang lain menerimanya. Aku melihat mereka yang memelihara terang itu menengadah ke langit penuh minat dan berkeinginan ghairah, menantikan kedatangan Yesus untuk membawa mereka kepada-Nya. Segera selepas itu sekepul awan melintasi di atas mereka yang bergembira dalam terang itu. Muka mereka kelihatan sedih. Aku bertanya penyebab awan itu. Aku telah ditunjukkan bahawa itu adalah kekecewaan yang mereka alami. Pada ketika itu penantian kedatangan Juruselamat telah berlalu tetapi Yesus tidak juga datang. Kekecewaan menyelubungi mereka dan orang-orang yang dahulu pernah kulihat iaitu para pelayan rohani dan orang-orang penting, bergembira. Mereka yang telah menolak terang itu berasa telah menang besar manakala Syaitan dan para iblisnya turut bergembira di sekeliling mereka.

Kemudian aku mendengar suara malaikat yang lain, berkata, “Sudah roboh! sudah roboh Babel!” Satu terang bersinar ke atas orang-orang yang putus harapan. Dengan keinginan ghairah akan kedatangan-Nya, mereka sekali lagi menumpukan mata mereka kepada Yesus.

Kemudian aku melihat sebilangan malaikat bercakap dengan malaikat kedua yang berseru, “Sudah roboh! Sudah roboh Babel!” Malaikat-malaikat itu mengangkat suara mereka bersama malaikat kedua dan berseru, “Lihatlah, Mempelai sudah datang! Keluarlah kamu menyongsong Dia!” Alunan suara merdu para malaikat itu bagaikan berkumandang ke merata tempat. Satu cahaya yang sangat terang dan mulia menyinari sekeliling mereka yang memelihara terang yang telah diberikan kepada mereka. Muka mereka bercahaya dengan kemuliaan gemilang dan mereka bersatu dengan malaikat-malaikat dalam seruan, “Lihatlah, Mempelai sudah datang!” Ketika mereka mengangkat seruan dengan harmoni di kalangan kumpulan-kumpulan yang berbeza itu, orang-orang yang menolak terang itu menolak mereka dan dengan pandangan yang marah, menghina dan mengejek-ejek mereka. Tetapi malaikat-malaikat Tuhan mengipas-ngipaskan sayap ke atas orang-orang yang dianiaya. Syaitan dan para iblisnya pula berusaha menekankan kegelapannya ke sekelliling mereka, membawa mereka untuk menolak terang dari syurga.

Kemudian aku mendengar satu suara berkata kepada mereka yang telah ditolak-tolak dan diejek-ejek, “keluarlah kamu daripada mereka dan janganlah sentuh yang najis”. Sebilangan besar memutuskan tali pintal yang mengikat itu, mengikuti suara itu dan meninggalkan mereka yang dalam kegelapan. Mereka bersatu dengan yang terdahulu telah memutuskan tali pintal itu dan dengan riang ria menyatukan suara mereka dengan suara kumpulan kedua itu. Aku mendengar suara doa azab dan sungguh-sungguh dari segelintir yang masih bersama dengan kumpulan-kumpulan yang masih dalam kegelapan. Para pelayan rohani dan orang-orang penting itu mengelilingi dalam kumpulan-kumpulan yang berbeza, mengikat tali pintal dengan lebih kuat, tetapi aku masih mendengar suara doa yang bersungguh-sungguh. Kemudian aku mendengar mereka yang telah berdoa menjangkaukan tangan-tangan untuk mendapatkan pertolongan ke arah kumpulan yang bersatu dan telah bebas, bersuka ria dalam Tuhan. Jawapan daripada mereka, ketika dengan tekun menengadah ke langit dan menunjuk ke atas, adalah, “Keluarlah kamu daripada mereka dan asingkan diri.” Aku melihat orang-orang perseorangan bergelut untuk membebaskan diri dan akhirnya mereka dapat memutuskan tali pintal yang mengikat mereka itu.  Mereka menentang usaha-usaha yang telah dilakukan untuk mengikat tali pintal itu dengan lebih ketat lagi dan tidak menghiraukan kenyataan tegas, “Tuhan ada bersama kita, Kita mempunyai kebenaran itu.” Orang-orang perseorangan terus menerus meninggalkan kumpulan-kumpulan dalam kegelapan dan bergabung dengan kumpulan bebas yang nampak seperti berada di lapangan terbuka, terangkat lebih tinggi dari bumi. Tatapan mata mereka adalah ke arah atas dan kemuliaan Tuhan hinggap atas mereka. Mereka melaungkan pujian kepada Tuhan. Mereka bersatu dan nampak seperti telah dibungkus dengan terang syurga. Di sekeliling kumpulan ini adalah beberapa orang yang datang di bawah pengaruh terang itu tetapi tidak menyatukan diri dengan kumpulan tersebut. Semua orang yang menghargai terang yang menyinari mereka menatap ke atas dengan penuh minat. Yesus memandang ke arah mereka dengan perkenan bahagia. Mereka menjangka bahawa Yesus akan datang. Mereka merindui kedatangan-Nya. Mereka tidak lagi memandang ke bumi walau sekali imbas pun. Sekali lagi aku melihat sekepul awan menyelubungi mereka yang sedang menunggu. Aku melihat mereka mengalihkan pandangan mata mereka yang letih itu ke bawah. Aku bertanyakan penyebab perubahan ini. Malaikat pengiringku berkata, “Mereka sekali lagi kecewa dalam penantian itu. Yesus belum lagi boleh datang ke bumi. Mereka harus menderita lagi untuk Yesus dan menahan ujian yang lebih besar lagi. Mereka harus meninggalkan kesalahan-kesalahan dan tradisi-tradisi daripada manusia dan kembali sepenuhnya kepada Tuhan dan firman-Nya. Mereka mesti ditulenkan, diputihkan dan diuji. Mereka yang dapat bertahan menghadapi cubaan yang pahit akan memperolehi kemenangan kekal.

Yesus tidak datang ke bumi sebagaimana yang dinanti-nantikan dengan gembira oleh kumpulan yang sedang menunggu kedatangan-Nya untuk menyucikan Sanktuari dengan menulenkan bumi dengan api. Aku melihat bahawa mereka betul dalam menghitung tempoh-tempoh nubuatan. Masa nubuatan berakhir pada tahun 1844. Kesilapan mereka adalah tidak memahami apa itu Sanktuari dan bagaimana penyuciannya. Yesus telah masuk ke tempat yang Maha Suci untuk menyucikan Sanktuari pada penghujung zaman itu.
Aku sekali lagi melihat ke arah kumpulan yang telah menunggu dengan kecewa itu. Mereka kelihatan sedih. Mereka dengan teliti memeriksa bukti-bukti iman mereka dan diikuti dengan menyusur hitungan tempoh-tempoh nubuatan namun tidak menemui kesalahan. Masa telah digenapi tetapi dimanakah Juruselamat mereka? Mereka telah kehilangan-Nya.

Kemudian aku ditunjukkan kepada kekecewaan para murid yang datang ke kuburan dan melihat tidak ada jasad Yesus di situ. Kata Maria, “Tuhan telah diambil orang dari kubur-Nya dan kami tidak tahu di mana Ia diletakkan.” Malaikat memberitahu para murid yang berduka cita itu bahawa Tuhan mereka telah bangkit dan akan mendahului mereka ke Galilee.

Aku melihat Yesus memandang ke arah mereka yang mengalami kekecewaan itu dengan penuh belas kasihan. Dia mengutuskan malaikat-malaikat-Nya untuk menunjuk arah minda mereka supaya menemui-Nya dan mengikuti-Nya di mana Dia berada, supaya mereka dapat memahami yang bumi ini bukanlah Sanktuari itu, bahawa Dia perlu masuk ke tempat yang Maha Suci Sanktuari di syurga untuk menyucikannya, untuk mengadakan pendamaian bagi Israel, untuk menerima kerajaan Bapa-Nya dan kemudian kembali ke bumi lalu mengambil mereka untuk tinggal bersama-Nya selama-lamanya. Kekecewaan para murid mewakili dengan tepat kekecewaan mereka yang menantikan Tuhan mereka pada tahun 1844. Aku dibawa semula ke masa bila Kristus dengan perarakan kemenangan masuk ke Yerusalem. Murid-murid yang bersuka ria  itu percaya yang Dia akan mengambil kerajaan itu dan akan memerintah sebagai seorang putera di dunia. Mereka mengikuti Raja mereka dengan harapan tinggi. Mereka mencantas cabang-cabang palma yang indah, menanggalkan pakaian luar mereka dan dengan keghairahan yang sungguh-sungguh menghamparkannya di laluan itu. Beberapa orang di antara mereka berjalan di hadapan dan beberapa orang lagi berjalan di belakang, berseru, “Hosana bagi Anak Daud, diberkatilah Dia yang datang dalam nama Tuhan, hosana di tempat yang maha tinggi!” Keghairahan itu telah mengganggu orang-orang Farisi dan mereka mahu Yesus menegur murid-murid-Nya. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Aku berkata kepadamu, jika mereka ini diam, maka batu ini akan berteriak.” Nubuatan Zakaria 9:9 mesti digenapi, namun aku melihat murid-murid akan mengalami kekecewaan yang amat pahit. Dalam beberapa hari selepas itu, mereka mengikuti Yesus ke Kalvari dan melihat Dia mengalirkan darah dan remuk di kayu salib yang zalim itu. Mereka menyaksikan kematian-Nya yang azab itu dan membaringkan Dia di liang lahad. Hati mereka tenggelam dalam kesedihan. Penantian mereka tidak dapat direalisasikan dalam satu hal yang khusus. Harapan mereka mati bersama Yesus. Tetapi apabila Dia bangkit dari kematian dan menampakkan diri di hadapan murid-murid yang berduka cita, harapan mereka kembali pulih. Mereka telah kehilangan Juruselamat mereka, namun mereka menemui Dia.

Aku melihat bahawa kekecewaan mereka yang percaya dalam kedatangan Tuhan pada tahun 1844 tidak menyamai kekecewaan murid-murid. Nubuatan telah digenapi dalam perutusan malaikat pertama dan kedua. Perutusan itu diberi tepat pada masanya dan menyelesaikan pekerjaan Tuhan yang telah ditetapkan bagi mereka untuk disempurnakan.

Rujuk :      Daniel 8:14; Matius 21:4-16, 25:6; Markus 16:6-7,
Lukas19:35-40; Yohanes 14:1-3, 20:13;  2 Korintus 6:17; Wahyu 10:8-11, 14:7-8.

No comments:

Post a Comment