Tuesday, November 01, 2011

Perutusan Malaikat Kedua

24
Gereja-gereja tidak akan menerima terang daripada perutusan malaikat pertama. Bila mereka menolak terang daripada syurga, mereka tidak akan diperkenankan Tuhan. Mereka percaya kepada kekuatan mereka sendiri. Dengan penentangan mereka terhadap perutusan pertama, mereka meletakkan diri mereka di mana mereka tidak dapat melihat terang malaikat yang kedua. Tetapi kekasih Tuhan yang ditindas, menyahut perutusan itu, “Babilon sudah jatuh,” lalu meninggalkan gereja-gereja yang jatuh itu.

Pada pengakhir perutusan malaikat yang kedua, aku melihat satu terang besar daripada syurga bersinar ke atas umat Tuhan. Sinaran terang ini nampak terang seperti matahari. Aku mendengar suara-suara para malaikat berseru, “Lihatlah mempelai datang, keluarlah kamu menyongsong-Nya.”

Seruan tengah malam diberikan untuk memberi kuasa kepada perutusan malaikat kedua. Para malaikat dari syurga diutuskan untuk membangunkan orang-orang salih yang tawar hati dan menyediakan mereka untuk menghadapi pekerjaan besar di hadapan mereka. Orang-orang yang paling berbakat bukanlah orang yang pertama menerima perutusan ini. Para malaikat telah diutus kepada orang-orang yang rendah hati, yang setia dan memaksa mereka melaungkan seruan, “Lihatlah mempelai datang, keluarlah kamu menyongsong-Nya.” Mereka yang dipertanggungjawabkan dengan seruan itu pun bergegas dan dengan kuasa Roh Kudus menyebarkan seruan itu, membangkitkan saudara-saudara yang telah tawar hati. Seruan ini tidak berdiri pada hikmat dan kebijaksanaan manusia tetapi dalam kuasa Tuhan. Orang-orang salih Tuhan yang telah mendengar seruan itu tidak dapat menahannya. Orang-orang yang penuh dengan kerohanian akan lebih dahulu menerima perutusan ini dan mereka yang dahulunya mempelopori pekerjaan ini adalah yang terakhir menerima dan membantu mengumandangkan seruan, “Lihatlah mempelai datang, keluarlah kamu menyongsong-Nya.”

Di setiap pelusuk negeri, terang telah diberikan kepada perutusan malaikat yang kedua dan seruan itu mencairkan beribu-ribu orang. Perutusan itu bergerak dari kota ke kota dan dari kampung ke kampung sehingga umat Tuhan yang sedang menunggu itu bangun sepenuhnya. Banyak orang tidak membenarkan perutusan ini memasuki gereja-gereja dan satu kumpulan besar yang mempunyai kesaksian hidup dalam diri mereka meninggalkan gereja yang telah jatuh itu. Satu pekerjaan besar telah diselesaikan oleh seruan tengah malam itu. Perutusan itu telah memeriksa hati dan membawa orang-orang percaya untuk mencari pengalaman hidup bagi diri mereka sendiri. Mereka tahu bahawa mereka tidak boleh bersandar atas seorang dengan yang lain.

Orang-orang salih menantikan dengan rasa cemas kedatangan Tuhan dengan berpuasa, berjaga dan hampir sepanjang masa berdoa. Bahkan beberapa orang berdosa menantikan masa itu dengan kegerunan. Sementara itu orang ramai kelihatan seperti terhasut menentang perutusan itu dan menunjukkan roh Syaitan. Mereka mengolok-olok dan mencemuh. Di merata tempat kedengaran, “Tidak ada sesiapapun yang mengetahui hari dan masanya.” Para iblis amat bergembira di sekeliling mereka, menggesa mereka supaya mengeraskan hati dan menolak setiap sinar terang daripada syurga supaya mereka tetap dalam perangkap syaitan. Banyak orang yang mengaku menantikan Tuhan yang bukan sebahagian atau sebagai kumpulan dalam perkara tersebut. Kemuliaan Tuhan yang mereka telah saksikan, kerendahan hati dan kesetiaan mendalam orang-orang yang menunggu itu, bukti-bukti kukuh yang tidak dapat dinafikan menyebabkan mereka mengaku telah menerima kebenaran itu. Tetapi mereka tidak bertaubat. Mereka tidak bersedia. Satu semangat berdoa penuh takzim dan sungguh-sungguh dirasakan orang-orang salih dimerata tempat. Suatu rasa takzim hinggap pada diri mereka.

Para malaikat dengan penuh minat telah melihat hasil, telah mengangkat mereka yang telah menerima perutusan syurgawi dan mengeluarkan mereka daripada hal-hal duniawi untuk memperolehi bekalan besar daripada mata air keselamatan. Umat Tuhan kemudiannya diterima dengan Dia. Yesus memandang kepada mereka dengan kesukaan. Imej-Nya dipantulkan dalam diri mereka. Mereka telah membuat pengorbanan besar, satu penyerahan menyeluruh dan menantikan untuk diubah kepada kekekalan. Tetapi mereka ditakdirkan dengan sedihnya menghadapi kekecewaan. Masa yamg mereka nanti-nantikan untuk diselamatkan telah berlalu. Mereka masih di bumi dan kesan-kesan kutukan nampak lebih jelas lagi. Mereka telah meletakkan keinginan mereka ke atas syurga. Dalam penantian yang manis, mereka telah melalui penyelamatan kekekalan. Namun harapan mereka belum menjadi kenyataan.

Ketakutan yang telah hinggap pada banyak orang tidak hilang serta merta. Mereka tidak dengan serta merta berasa menang ke atas orang-orang yang telah mengalami kekecewaan. Tetapi oleh kerana tidak ada murka Tuhan yang kelihatan dan dirasai, mereka mula sedar dari ketakutan yang menimpa mereka dan memulakan ejekan, olok-olokan dan cemuhan. Umat Tuhan sekali lagi dimatangkan dan diuji. Dunia mentertawakan, mengolok-olokkan dan menegur mereka. Mereka yang percaya tanpa keraguan bahawa Yesus akan datang dan membangkitkan orang yang telah mati, mengubah orang-orang salih yang hidup, mengambil kerajaan dan memilikinya untuk selama-lamanya, merasakan seperti murid-murid Yesus. “Mereka telah mengambil Tuhanku dan aku tidak tahu ke mana mereka sembunyikan-Nya.”

Rujuk :Matius 24:36, 25:6; Yohanes 20:13; Wahyu 14:8

No comments:

Post a Comment