Sunday, November 13, 2011

Perutusan Malaikat ketiga

28
Ketika pelayanan Yesus di Tempat Suci berakhir, Dia beredar ke Tempat Yang Maha Suci dan berdiri di hadapan peti yang mengandungi undang-undang Tuhan, Dia mengutuskan satu malaikat perkasa yang lain ke bumi membawa perutusan yang ketiga. Dia menaruhkan satu kertas kulit ke tangan malaikat itu. Ketika malaikat itu turun ke bumi dalam kuasa dan kehebatan, dia mengisytiharkan satu amaran yang paling menakutkan, ancaman paling mengerikan pernah ditanggung oleh manusia. Perutusan ini diadakan untuk menyedarkan umat Tuhan supaya sentiasa berjaga-jaga dan untuk menunjukkan kepada mereka bahawa masa pencubaan dan keazaban itu ada di hadapan mereka. Kata malaikat itu, “Mereka akan dibawa kepada pertempuran jarak dekat dengan binatang itu dan imejnya. Satu-satunya harapan keselamatan kekal bagi mereka adalah tetap berpegang teguh. Walaupun kehidupan mereka menghadapi risiko namun mereka harus berpegang teguh kepada kebenaran.” Malaikat ketiga itu mengakhiri perutusannya dengan kata-kata, “Di sinilah kesabaran orang-orang salih, di sinilah mereka yang memelihara hukum-hukum Tuhan dan mempunyai iman kepada Yesus.” Ketika dia mengulangi kata-kata ini, dia menunjuk ke arah Sanktuari syurga. Minda mereka yang menuruti perutusan ini diarahkan kepada Tempat Maha Suci di mana Yesus berdiri di hadapan peti itu, melakukan pengantaraan-Nya yang terakhir bagi pihak semua orang yang belas kasihan masih diperlengahkan dan juga untuk orang-orang yang secara jahil telah melanggar undang-undang Tuhan. Pendamaian ini dilakukan untuk orang-orang mati yang benar dan juga untuk orang-orang hidup yang benar. Yesus melakukan pendamaian bagi mereka yang telah mati, iaitu yang belum menerima terang atas hukum-hukum Tuhan dan yang berdosa secara jahil.

Selepas Yesus membuka pintu bilik Maha Suci, terang Sabat itu kelihatan dan umat Tuhan diuji dan dimatangkan sebagaimana Tuhan mematangkan anak-anak Israel pada zaman dahulu. Ujian itu adalah untuk menentukan sama ada mereka akan memelihara undang-undang-Nya atau tidak. Aku melihat malaikat yang ketiga menghala ke arah atas, menunjukkan kepada orang-orang yang kecewa jalan ke tempat Maha Suci Sanktuari syurga. Mereka mengikut Yesus dengan iman ke dalam Tempat Maha Suci. Sekali lagi mereka telah menemui Yesus. Kegirangan dan pengharapan tumbuh menjadi baru. Aku melihat mereka menoleh ke belakang mengimbas kembali masa yang lalu, bermula dari pengisytiharan kedatangan kali kedua Yesus dan menyusur perjalanan mereka melampaui tempoh pada tahun 1844. Mereka telah melihat bagaimana kekecewaan yang mereka alami itu dijelaskan. Kegirangan dan kepastian sekali lagi menghidupkan mereka. Malaikat ketiga itu telah menerangi masa yang telah berlalu, kini dan akan datang. Mereka tahu bahawa Tuhan benar-benar telah memimpin mereka dengan hemah-Nya yang penuh misteri.

Digambarkan kepadaku yang umat sisa itu telah mengikuti Yesus ke tempat Maha Suci, melihat peti itu dan tutup pendamaian. Aku tertawan oleh kemuliaan mereka. Yesus mengangkat penutup peti itu dan lihat! Loh-loh batu dengan sepuluh hukum tertulis di atasnya. Mereka menyusur keramat hidup itu tetapi mereka kembali semula ke pangkal. Mereka menggeletar apabila melihat hukum keempat itu berada di antara sepuluh peraturan-peraturan suci itu. Cahaya yang lebih terang bersinar ke atasnya daripada cahaya yang bersinar ke atas yang sembilan lagi. Tambahan pula satu halo kemuliaan melingkarinya. Mereka tidak menemui sesuatupun di situ yang menyatakan bahawa Sabat itu telah dimansuhkan atau telah diubah kepada hari pertama dalam minggu.

Hukum itu dibaca sebagaimana yang difirmankan oleh mulut Tuhan dalam kekhusyukan dan kehebatan kegemilangan-Nya di atas gunung sementara kilat sabung menyabung dan guruh berdentuman.

Sama seperti yang ditulis dengan jari suci-Nya di atas loh-loh batu itu. “Enam hari lamanya kamu bekerja dan mengerjakan semua pekerjaanmu, tetapi hari yang ketujuh adalah Sabat Tuhan Yahwehmu.” Mereka kagum bila melihat bagaimana penjagaan rapi dikenakan kepada hukum sepuluh itu. Mereka melihat hukum itu diletakkan berhampiran dengan Yahweh, dibayangi dan dilindungi oleh kesucian-Nya. Mereka melihat bahawa mereka telah menginjak-injak hukum yang keempat daripada sepuluh hukum itu dan memelihara satu hari yang diturunkan oleh orang-orang kafir dan pope dan bukan hari yang disucikan oleh Yahweh. Mereka merendahkan diri di hadapan Tuhan, meratapi pelanggaran mereka terhadap hukum pada masa yang lampau.

Aku melihat dupa dalam asap pedupaan ketika Yesus mempersembahkan pengakuan dan doa mereka kepada Bapa-Nya. Ketika asap itu naik, satu cahaya terang hinggap pada Yesus dan di atas tutup pendamaian. Orang-orang yang berdoa dengan tekun itu, yang dalam kesusahan disebabkan mereka telah mendapati diri mereka telah melanggar undang-undang Tuhan telah diberkati dan wajah mereka bersinar dengan harapan dan kegirangan. Mereka menyertai pekerjaan malaikat ketiga, mengangkat suara mereka memberitakan amaran serius itu. Pada mulanya sedikit orang sahaja yang menerima perutusan itu, namun mereka meneruskan pekerjaan mereka dengan bertenaga, mengberitakan amaran itu. Kemudian aku melihat banyak orang menyambut perutusan malaikat yang ketiga itu dan menyatukan suara mereka dengan suara orang-orang yang pertama bagi memberitakan amaran itu. Mereka meninggikan dan memperbesarkan Tuhan dengan mengamalkan hari Rehat yang disucikan-Nya.

Banyak orang yang menerima perutusan malaikat ketiga tidak mempunyai pengalaman dalam dua perutusan terdahulu. Syaitan faham dengan keadaan itu dan matanya yang jahat itu memerhatikan untuk menjatuhkan mereka. Tetapi malaikat yang ketiga itu menghalakan mereka ke tempat Maha Suci dan mereka yang mempunyai pengalaman perutusan yang lampau telah menunjukkan kepada mereka jalan ke Sanktuari syurga. Perutusan-perutusan ini dibentangkan kepadaku sebagai sauh untuk mengikat tubuh. Ketika individu menerima dan memahaminya, mereka dilindungi daripada banyak delusi dan penipuan Syaitan.

Selepas kekecewaan besar pada tahun 1844, Syaitan dan para iblisnya begitu sibuk memasang perangkap untuk menjatuhkan orang-orang yang belum menetapkan iman tubuh. Syaitan mengharukan minda-minda individu yang mempunyai pengalaman peribadi dalam perkara-perkara tersebut. Mereka nampak seperti orang yang rendah hati. Mereka mengubah perutusan pertama dan kedua dan menghala ke masa hadapan bagi kegenapannya, manakala yang lain menghala jauh ke belakang di masa yang lampau, mengisytiharkan bahawa mereka berada di sana digenapi. Individu-individu ini telah menarik minda-minda yang tidak berpengalaman itu keluar dan meninggalkan iman mereka. Sesetengah daripada mereka menyelidiki Alkitab untuk membangunkan satu iman bagi mereka sendiri, terasing daripada tubuh. Syaitan sangat bergembira dengan keadaan sedemikian sebab dia mengetahui yang mereka yang terlepas daripada sauh itu, dia boleh mengharukan mereka dengan pelbagai kesalahan dan sesatkan mereka dengan angin doktrin. Banyak di antara mereka yang telah memimpin dalam perutusan pertama dan kedua menyangkal individu itu. Akibatnya perpecahan dan bercelaru di seluruh tubuh itu. Aku kemudiannya melihat William Miller. Dia kelihatan bingung dan tunduk dengan perasaan sedih dan bimbang akan pengikut-pengikutnya. Dia melihat kumpulan itu yang bersatu dan saling mengasihi pada tahun 1844, kini kehilangan kasih satu dengan yang lain dan saling menentang satu dengan yang lain.

Dia melihat mereka berundur kepada satu keadaan murtad yang sejuk. Kesedihan yang melandanya telah menghilangkan kekuatannya. Aku melihat orang-orang yang menjadi pemimpin sedang memerhatikan William Miller. Mereka berasa takut jika William Miller akan menerima perutusan malaikat ketiga dan menuruti hukum Tuhan. Ketika dia hendak menyandar ke arah terang dari syurga, orang-orang ini akan membentangkan suatu rancangan untuk menarik mindanya jauh daripada terang itu.

Aku melihat pengaruh satu manusia digunakan untuk mengikat mindanya dalam kegelapan dan mengekalkan pengaruhnya di antara mereka. Akhirnya William Miller mengangkat suaranya menentang  terang dari syurga. Dia gagal dengan tidak menerima perutusan itu. Perutusan yang dapat menjelaskan sepenuhnya kekecewaannya itu, yang dapat menebarkan satu terang dan kemulian masa lampau yang dapat memulihkan tenaganya yang sudah berkurangan, yang dapat mencerahkan pengharapannya dan membawanya kembali memuliakan Tuhan. Tetapi dia lebih bersandar kepada hikmat manusia daripada hikmat syurgawi. Dia telah dipatahkan oleh penat lelah bekerja untuk perjuangan Tuhan. Oleh kerana umur yang lanjut, dia tidaklah sebegitu dipertanggungjawabkan berbanding dengan orang-orang yang menghalangnya daripada menerima kebenaran itu. Merekalah yang bertanggungjawab dan dosa-dosanya tertanggung atas mereka. Jika William Miller dapat melihat terang perutusan ketiga, banyak perkara yang kelihatan gelap dan misteri baginya akan dapat dijelaskan. Saudara-saudaranya yang mengaku sangat mengasihi dan mengambil berat ke atasnya berfikir yang dia tidak dapat meninggalkan mereka. Hatinya cenderung kepada kebenaran itu, namun dia memandang saudara-saudaranya. Mereka menentangnya. Bolehkan dia melarikan diri daripada mereka yang telah berjuang bersama-sama dalam memberitakan kedatangan Yesus? Dia berfikir yang mereka pasti tidak membawanya ke jalan yang sesat.

Tuhan membiarkannya di bawah kuasa Syaitan dan kematian akan menguasainya. Tuhan menyembunyikan dia dalam kubur, mengasingkannya daripada mereka yang sentiasa menariknya jauh daripada Tuhan. Musa melakukan kesalahan ketika hendak masuk ke tanah perjanjian. Demikian juga aku melihat William Miller melakukan kesalahan ketika hendak masuk ke Kanaan syurgawi dengan membiarkan pengaruhnya menentang kebenaran. Orang-orang yang lain membawanya kepada perkara ini. Mereka mesti dipertanggungjawabkan. Tetapi malaikat-malaikat melindungi debu-debu hamba Tuhan ini dan dia akan dibangkitkan pada gema sangkakala yang terakhir.

Rujuk : Keluaran 20:1-17; 31:18; 1 Tesalonika 4:16; Wahyu 14:9-12

No comments:

Post a Comment