Tuesday, November 08, 2011

Satu lagi Illustrasi

26

Aku telah ditunjukkan kepada minat seluruh syurga terhadap pekerjaan yang sedang berlangsung di muka bumi. Yesus menyuruh satu malaikat yang kuat dan perkasa turun ke bumi untuk memberi amaran kepada seluruh penghuni bumi supaya bersedia menghadapi kedatangan-Nya yang kedua kali. Aku melihat malaikat perkasa itu meninggalkan hadirat Yesus di syurga. Di hadapannya berangkat satu cahaya yang sangat terang dan penuh kemuliaan. Aku diberitahu bahawa misinya adalah untuk menerangi bumi dengan kemuliaannya dan memberi amaran kepada manusia akan murka Tuhan yang akan datang. Beribu-ribu orang menerima terang itu. Sebahagian daripada mereka kelihatan serius manakala yang lain menerimanya dengan girang dan terpesona. Terang itu dipancarkan kepada semua orang tetapi sebahagian hanya datang dibawah pengaruh terang itu dan tidak sepenuh hati menerimanya. Semua yang menerimanya menengadahkan muka mereka ke langit di atas dan memuliakan Tuhan. Banyak orang yang dilanda kemarahan. Para pelayan rohani dan orang-orang yang bersatu dengan kekejian dengan tegas menolak terang yang dipancarkan oleh malaikat perkasa itu. Orang-orang yang menerima terang itu menyingkirkan diri dari dunia dan bersatu dengan rapat bersama-sama.

Syaitan dan para iblisnya sibuk bekerja berusaha menarik minda semua yang mereka boleh lakukan untuk menjauhi terang itu. Kumpulan-kumpulan yang menolak terang itu ditinggalkan dalam kegelapan. Aku melihat malaikat itu memerhatikan dengan penuh minat orang-orang yang mengaku umat Tuhan, mencatat tingkah laku yang mereka bangunkan ketika perutusan yang berasal dari syurga itu diperkenalkan kepada mereka. Ketika begitu banyak orang yang mengaku mengasihi Yesus berpaling daripada perutusan syurgawi dengan cemuhan, ejekan dan kebencian, satu malaikat dengan kertas kulit pada tangannya membuat catatan yang memalukan. Seluruh syurga penuh dengan kemarahan oleh sebab Yesus telah dihina oleh orang-orang yang mengaku sebagai pengikut-Nya.

Aku melihat kekecewaan orang-orang yang percaya. Mereka tidak dapat bertemu dengan Tuhan pada masa yang dijangkakan. Adalah menjadi tujuan Tuhan untuk menyembunyikan masa hadapan dan membawa umat-Nya kepada satu titik keputusan. Tanpa titik masa ini, pekerjaan rancangan Tuhan tidak akan dapat diselesaikan. Syaitan mengetuai minda-minda banyak orang jauh ke masa yang akan datang. Satu tempoh masa yang diisytiharkan untuk kedatangan Kristus mesti membawa minda bersungguh-sungguh mencari satu persediaan masa kini. Sementara masa berlalu, mereka yang tidak menerima sepenuhnya terang daripada malaikat itu bersatu dengan mereka yang memandang hina perutusan syurgawi. Mereka memandang orang-orang yang kecewa itu dengan ejekan. Aku melihat malaikat di syurga berunding dengan Yesus. Mereka telah mencatatkan keadaan orang-orang yang mengaku pengikut Kristus. Berlalunya masa yang telah ditetapkan itu telah menguji dan mematangkan mereka. Banyak orang telah ditimbang dalam neraca dan didapati berkekurangan. Mereka semua dengan suara yang kuat mengaku sebagai orang-orang Kristian, namun gagal menuruti Kristus dalam setiap perkara. Syaitan sangat bergembira dengan keadaan orang-orang yang mengaku sebagai pengikut Kristus. Syaitan memasukkan mereka ke dalam perangkapnya. Syaitan telah membawa yang majoriti itu untuk meninggalkan jalan yang lurus dan mereka cuba memanjat naik ke syurga dengan cara-cara yang lain. Malaikat-malaikat melihat orang-orang yang tulen, yang bersih, dan yang suci. Semuanya bercampur dengan orang-orang berdosa di Sion serta orang-orang hipokrit pencinta dunia. Mereka telah menjaga kekasih-kekasih Yesus yang benar tetapi yang cemar memberikan kesan yang suci.

Mereka yang mempunyai hati yang bernyala-nyala dengan satu kerinduan dan keinginan menebal untuk melihat Yesus telah ditegah oleh orang-orang yang mengaku sebagai saudara daripada bersuara tentang kedatangan-Nya. Malaikat-malaikat telah melihat seluruh pemandangan dan bersimpati dengan umat sisa yang suka akan ketibaan-Nya. Satu malaikat perkasa lain telah disuruh turun ke bumi. Yesus menaruh pada tangannya satu tulisan. Ketika dia sampai ke bumi, dia berseru, “Sudah roboh! sudah roboh Babel!” Kemudian aku melihat orang-orang yang kecewa sekali lagi kelihatan girang, mengangkat mata mereka ke langit, mencari dengan iman dan berharap kepada ketibaan Tuhan. Tetapi banyak orang kekal dalam kebodohan seolah-olah sedang tidur. Namun aku dapat melihat tanda-tanda kesedihan besar pada wajah-wajah mereka. Orang-orang yang telah mengalami kekecewaan melihat dari Alkitab bahawa mereka berada dalam tempoh perlengahan dan mereka haruslah dengan sabar menunggu kegenapan penglihatan. Bukti-bukti yang telah membawa mereka kepada penantian akan Tuhan pada tahun 1843 juga telah membawa mereka menantikan kedatangan-Nya pada tahun 1844. Aku melihat bahawa majoriti mereka tidak mempunyai tenaga yang menandai iman mereka pada tahun 1843. Kekecewaan itu telah melunturkan iman mereka. Tetapi ketika orang-orang yang kecewa itu bersatu dalam seruan malaikat kedua, seluruh syurga memandang dengan minat yang mendalam dan menandai kesan perutusan itu. Syurga melihat orang-orang yang membawa nama Kristian berpaling dengan ejekan dan cemuhan kepada orang-orang yang telah mengalami kekecewaan itu. Apabila kata-kata keluar dari mulut pengolok-pengolok, “Kamu belum lagi naik ke atas!” Satu malaikat mencatatnya. Malaikat itu berkata, “Mereka mengolok-olok Tuhan.”

Aku ditunjukkan kepada masa ketika Elia diubah. Mantelnya jatuh kepada Elisa dan kanak-kanak jahat (atau anak-anak muda) mengikutinya mengolok-olok dengan seruan, “Naiklah botak, naiklah botak!” Mereka mengolok-olok Tuhan dan di sana mereka telah dijatuhkan hukuman. Mereka telah mempelajari hal itu daripada ibubapa mereka. Mereka yang mengejek-ejek dan mengolok-olok terhadap idea tentang orang-orang salih naik ke atas akan ditimpa malapetaka dari Tuhan dan akan menyedari bahawa itu bukan perkara kecil yang harus diremehkan dengan-Nya.

Yesus menyuruh malaikat-malaikat lain untuk terbang cepat bagi memulihkan dan memperkuatkan iman umat-Nya yang sedang menurun, menyediakan mereka untuk memahami perutusan malaikat yang kedua dan juga memahami langkah penting yang akan segera dilakukan di syurga. Aku melihat malaikat-malaikat ini menerima kuasa besar dan terang daripada Yesus, terbang laju ke bumi untuk memenuhi suruhan membantu malaikat kedua dalam pekerjaannya. Satu terang besar bersinar ke atas umat Tuhan ketika malaikat itu berseru, “Lihatlah Mempelai datang, pergilah kamu menyongsong dia.” Kemudian aku melihat mereka yang kecewa itu bangkit dan secara harmoni dengan malaikat kedua, mengisytiharkan, “Lihatlah Mempelai datang, pergilah kamu menyongsong Dia.” Terang daripada malaikat-malaikat itu menerobos kegelapan di merata tempat. Syaitan dan para iblisnya berusaha untuk menghalang terang itu daripada tersebar dan menyebabkan kesan-kesan yang telah ditentukan. Syaitan dan para iblisnya menegaskan kepada para malaikat Tuhan, memberitahu mereka bahawa Tuhan telah menipu orang-orang itu dan dengan seluruh terang dan kuasa, mereka tidak akan dapat membuat orang-orang itu percaya  bahawa Yesus akan datang. Malaikat-malaikat Tuhan meneruskan pekerjaan mereka walaupun Syaitan berusaha menghalang perjalanan pekerjaan itu dan menarik perhatian minda orang-orang itu daripada terang. Mereka yang menerima terang itu kelihatan gembira. Mereka menetapkan pandangan mata mereka ke langit dan merindui akan ketibaan Yesus. Sesetengah mereka dalam keadaan cemas, menangis dan berdoa. Mata mereka seperti tertumpu kepada diri mereka sendiri dan mereka tidak berani menengadah ke atas.

Satu terang yang sangat disenangi daripada syurga memisahkan kegelapan daripada mereka. Mata mereka yang tertumpu terhadap diri mereka dalam keputusasaan beralih menengadah ke atas manakala rasa terima kasih dan kegirangan suci terpancar dari setiap wajah.
Yesus dan seluruh malaikat memandang mereka dan berkenan sepenuhnya terhadap mereka yang setia menunggu itu.

Mereka yang menolak dan menentang terang perutusan malaikat pertama kehilangan terang yang kedua dan tidak mendapat faedah dengan kuasa dan kemuliaan yang menyertai perutusan yang ketiga, “Lihatlah mempelai datang.” Yesus berpaling daripada mereka dengan satu kerutan. Mereka telah menghina dan menolak-Nya. Mereka yang telah menerima perutusan itu dibalut dalam sekepul awan kemuliaan. Mereka menunggu dan berjaga serta berdoa untuk mengetahui kehendak Tuhan. Mereka sangat takut menyinggung Tuhan. Aku melihat syaitan dan para iblisnya berusaha untuk menutup terang syurgawi ini daripada umat Tuhan. Tetapi selagi orang-orang yang menunggu itu memelihara terang dan  menetapkan mata mereka terangkat dari bumi kepada Yesus, Syaitan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mereka daripada terang yang berharga ini.

Perutusan yang diberi dari syurga itu menimbulkan kemarahan Syaitan dan para iblisnya serta orang-orang yang mengaku mengasihi Yesus tetapi membenci kedatangan-Nya, mencemuh dan mengejek-ejek yang percaya dan setia. Tetapi satu malaikat mencatatkan semua penghinaan, semua cacian, setiap penderaan yang mereka alami dari orang-orang yang mengaku saudara. Terlalu banyak orang mengangkat suara mereka untuk berseru, “Lihatlah Mempelai datang,” dan meninggalkan saudaranya yang tidak menyukai kemunculan Yesus serta menghalang mereka daripada mengambil perhatian terhadap kedatangan-Nya yang kedua kali. Aku melihat Yesus memalingkan muka daripada orang-orang yang menolak dan membenci kedatangan-Nya. Kemudian Dia menyuruh malaikat-malaikat-Nya memimpin umat-Nya keluar daripada orang-orang yang cemar itu, jika tidak mereka juga akan tercemar. Mereka yang setia kepada perutusan berdiri bebas dan bersatu. Satu terang gemilang dan suci bersinar ke atas mereka. Mereka menolak dunia, memutuskan keinginan-keinginan mereka daripadanya dan mengorbankan kepentingan-kepentingan duniawi mereka. Mereka melepaskan harta dunia dan perhatian ghairah mereka tujukan kepada syurga, menjangka akan melihat Pembebas mereka yang dikasihi. Satu kegirangan suci dan murni terpancar daripada wajah-wajah mereka, membayangkan kedamaian dan kegirangan yang muncul dari dalam diri mereka. Yesus menyuruh malaikat-malaikat-Nya menguatkan mereka sebab masa pencubaan untuk mereka sudah di ambang pintu. Aku melihat bahawa orang-orang yang sedang menunggu itu belum lagi diuji seperti yang seharusnya. Mereka belum bebas daripada kesalahan. Aku melihat belas kasihan dan kebaikan Tuhan dalam mengirimkan satu amaran kepada manusia di bumi dan perutusan-perutusan yang berulang kali. Semua itu adalah untuk membawa mereka kepada satu tempoh yang telah ditetapkan untuk memimpin mereka kepada penyelidikan yang teliti. Juga untuk diri mereka sendiri supaya mereka boleh melepaskan diri daripada kesalahan-kesalahan yang telah diturunkan kepada mereka melalui ajaran-ajaran kafir dan pope. Melalui perutusan-perutusan ini, Tuhan telah membawa keluar umat-Nya di mana Dia boleh bekerja untuk mereka dalam kuasa yang lebih besar dan dimana mereka dapat memelihara semua hukum-hukum-Nya.

Rujuk : 2 Raja-raja 2:11-25; Daniel 8:14; Habakuk 2:1-4; Matius 25:6; Wahyu 14:8, 18:1-5

No comments:

Post a Comment