Saturday, December 17, 2011

Masa Kesusahan Yakub

Aku melihat orang-orang kudus meninggalkan bandar-bandar dan kampung-kampung. Mereka bergabung bersama dalam kumpulan-kumpulan. Mereka tinggal di tempat-tempat yang paling terpencil. Para malaikat membekalkan makanan dan minuman kepada mereka tetapi orang-orang yang tidak percaya menderita kelaparan dan kehausan. Kemudian aku melihat para pemimpin bumi mengadakan perundingan. Syaitan dan para iblisnya pula sibuk di sekeliling mereka. Aku melihat satu surat dengan salinan-salinannya  bertaburan di merata tempat di seluruh negeri. Surat itu memerintahkan: kecuali orang-orang salih meninggalkan kepercayaan mereka yang khusus itu, meninggalkan Sabat dan memelihara hari yang pertama dalam minggu, selepas satu tempoh yang ditentukan, orang-orang yang tidak percaya itu adalah bebas untuk membunuh mereka. Tetapi dalam tempoh ujian ini, orang-orang kudus bersikap tenang dan tenteram. Mereka percaya kepada Tuhan. Mereka bersandar kepada janji-Nya bahawa akan disediakan jalan kelepasan bagi mereka. Di beberapa tempat yang lain, belumpun sampai masanya perintah itu dikuatkuasakan, orang-orang jahat itu bergegas maju ke arah orang-orang kudus untuk membunuh mereka. Tetapi para malaikat yang menyerupai pahlawan perang menentang mereka. Syaitan ingin sekali mengambil kesempatan itu untuk memusnahkan dan menghapuskan umat-umat kudus Yang Maha Tinggi. Tetapi Yesus menyuruh para malaikat-Nya melindungi mereka. Tuhan akan dipermuliakan di hadapan orang-orang yang tidak percaya di sekeliling umat-Nya dengan membuat satu perjanjian dengan mereka yang memelihara undang-undang-Nya. Yesus akan dipermuliakan dengan mengubah mereka yang setia tanpa mengalami kematian, mereka adalah orang-orang yang telah lama menunggu kedatangan Yesus.

Segera selepas itu aku melihat orang-orang kudus mengalami seksaan mental. Mereka kelihatan seperti telah dikepung oleh penduduk bumi yang jahat. Setiap yang kelihatan pada masa itu menentang mereka. Ada di kalangan mereka mula berasa takut kalau-kalau Tuhan telah meninggalkan mereka untuk dibinasakan oleh tangan-tangan orang jahat itu. Tetapi kalaulah setiap mata mereka terbuka pada masa itu, mereka akan melihat diri mereka dikelilingi oleh para malaikat Tuhan. Selepas itu mereka terasa seperti dikejar oleh gerombolan besar orang jahat. Kemudian para iblis bergegas menghasut orang jahat itu supaya segera membunuh orang-orang salih. Tetapi sebelum mereka mendekati umat Tuhan, gerombolan orang-orang jahat yang besar jumlahnya itu harus melalui barisan sepasukan malaikat suci yang gagah perkasa. Halangan ini mustahil untuk dilepasi oleh mereka. Kehadiran barisan para malaikat itu menyebabkan gerombolan orang jahat itu bertempiaran lari dan para iblis yang menghasut orang-orang jahat itu berundur ke belakang. Masa kesukaran itu merupakan masa yang amat menakutkan bagi orang-orang salih. Pada ketika itulah derita yang paling teruk akan dialami oleh orang-orang salih. Siang dan malam mereka berseru kepada Tuhan memohon supaya diselamatkan. Berdasarkan apa yang dapat dilihat ketika itu, tidak ada jalan bagi mereka untuk diselamatkan. Gerombolan besar orang-orang jahat itu kelihatan seperti mula mencapai kemenangan. Mereka berteriak, “Mengapa Tuhanmu tidak menyelamatkan kamu dari tangan kami? Mengapa kamu tidak bangun menyelamatkan diri?” Tetapi orang-orang salih itu tidak mempedulikan mereka. Seperti Yakub, mereka bergelut dengan Tuhan. Para malaikat ingin sekali melepaskan mereka tetapi para malaikat itu harus menunggu sedikit masa lagi. Umat Tuhan harus minum daripada cawan dan dibaptiskan dengan baptisan itu. Para malaikat yang setia kepada amanah yang diberikan kepada mereka terus membuat pemerhatian.

Tuhan tidak membiarkan nama-Nya dipersenda-sendakan di kalangan orang-orang yang tidak percaya itu. Masanya hampir tiba bagi-Nya untuk menyatakan kuasa-Nya yang mulia dan perkasa untuk melepaskan umat-Nya yang salih. Bagi kemuliaan nama-Nya, Dia akan menyelamatkan setiap orang yang menunggu dengan sabar akan kedatangan-Nya dan yang namanya tertulis dalam buku itu.

Penglihatanku dibawa kepada Nuh yang setia. Hujan turun dan banjir pun datang, Nuh dan keluarganya masuk ke dalam bahtera dan Tuhan menutup bahtera itu. Nuh dengan setia telah menyampaikan amaran kepada manusia sebelum air bah. Pada masa yang sama orang-orang yang tidak percaya mengolok-olok dan mengejek-ejek Nuh. Ketika hujan mula turun ke bumi dengan lebatnya dan satu demi satu manusia itu mati lemas, mereka memandang ke arah bahtera itu, yang selalu mereka jadikan bahan gelak ketawa, terapung dengan selamat di permukaan air, menyelamatkan Nuh dan keluarganya yang setia. Demikian jugalah aku melihat umat-umat Tuhan yang setia menyampaikan amaran kepada dunia tentang ketibaan murka-Nya akan diselamatkan. Tuhan tidak membiarkan orang-orang jahat membinasakan orang-orang yang menunggu dengan setia untuk diubah dan yang tidak tunduk kepada perintah binatang itu atau menerima tandanya. Aku melihat jika orang-orang jahat itu dibenarkan membunuh orang-orang salih itu, Syaitan dan semua iblisnya serta semua yang benci kepada Tuhan akan berasa puas. Oh! Bukankah itu satu kemenangan bagi kesyaitanannya yang hebat sekiranya dia mendapat kuasa pada saat terakhir perjuangan menghapuskan umat yang telah sekian lama menunggu untuk melihat Yesus yang mereka kasihi! Mereka yang mengolok-olok idea berkenaan dengan orang salih terangkat ke syurga akan menyaksikan pemeliharaan Tuhan ke atas umat-Nya dan melihat penyelamatan mulia ke atas mereka.

Ketika orang-orang salih meninggalkan bandar-bandar dan kampung-kampung, mereka dikejar oleh orang-orang jahat yang berusaha untuk membunuh mereka. Tetapi pedang yang mereka angkat untuk membunuh umat Tuhan itu patah dan jatuh bagaikan jerami. Malaikat-malaikat Tuhan melindungi umat Tuhan. Ketika mereka berseru siang dan malam memohon keselamatan, seruan mereka itu sampai di hadapan Tuhan.

Rujukan :  Kejadian 6 & 7, 32:24-28; Mazmur 91; Matius 20:23; Wahyu 13:11-17

No comments:

Post a Comment