Thursday, December 08, 2011

Seruan Lantang

34
Aku melihat malaikat-malaikat bergegas ke sana ke mari di syurga. Mereka turun ke bumi dan naik lagi ke syurga, bersedia bagi kegenapan beberapa peristiwa penting. Kemudian aku melihat satu lagi malaikat perkasa disuruh turun ke bumi dan menyatukan suaranya dengan malaikat yang ketiga serta memberikan kuasa dan kekuatan kepada perutusannya. Kuasa besar dan kemuliaan diserahkan kepada malaikat itu. Ketika dia turun ke bawah, bumi diterangi dengan kemuliaannya. Terang yang bersinar di belakang dan di hadapan malaikat itu menerobos ke semua tempat ketika dia berseru dengan perkasa, dengan satu suara yang kuat, berkata, “Sudah roboh, sudah roboh Babel kota besar itu, ia telah menjadi tempat kediaman roh-roh jahat dan tempat bersembunyi segala burung yang najis dan yang dibenci.” Mesej kejatuhan Babel yang telah diberikan oleh malaikat kedua diberikan sekali lagi dengan tambahan tentang kecurangan yang telah menyusup masuk ke dalam gereja-gereja sejak 1844. Pekerjaan malaikat ini datang kena pada masanya, bergabung dalam pekerjaan besar terakhir perutusan malaikat ketiga, ketika pekerjaan itu berkembang menjadi satu seruan lantang. Umat Tuhan diangkat di mana-mana untuk berdiri pada masa pencubaan yang mereka akan hadapi tidak lama lagi. Aku melihat satu terang besar bersinar atas mereka  dan mereka bersatu dalam perutusan serta tanpa takut memberitakan dengan kuasa besar perutusan malaikat ketiga.

Malaikat-malaikat diutus untuk membantu malaikat perkasa dari syurga itu dan aku mendengar suara-suara seperti datangnya dari pelbagai arah, mengatakan, “Pergilah kamu, hai umat-Ku, pergilah daripadanya supaya kamu jangan mengambil bahagian dalam dosa-dosanya, dan supaya kamu jangan turut ditimpa malapetaka-malapetakanya.” Perutusan ini kedengarannya seperti satu tambahan kepada perutusan ketiga, bergabung dengannya, seperti seruan tengah malam menyertai perutusan malaikat kedua pada tahun 1844. Kemuliaan Tuhan hinggap pada orang-orang salih yang sabar menanti dan mereka dengan tidak takut-takut memberi amaran terakhir yang penuh takzim, mengisytiharkan kejatuhan Babel dan memanggil umat Tuhan keluar daripadanya supaya mereka terlepas daripada kemusnahan yang mengerikan.

Terang yang dipancarkan kepada orang-orang yang menunggu itu, menerobos ke merata tempat dan mereka yang mempunyai sebarang terang dalam gereja, yang tidak pernah mendengar dan menolak ketiga-tiga perutusan itu menyahut panggilan itu lalu meninggalkan gereja-gereja yang sudah jatuh. Banyak di antara mereka yang telah bertahun-tahun dalam pertanggungjawaban sejak perutusan ini diberikan dan terang bersinar ke atas mereka. Mereka mendapat keistimewaan untuk memilih hidup atau mati. Sebahagian memilih hidup dan mengambil pendirian dengan mereka yang menantikan Tuhan serta menuruti semua hukum-hukum-Nya. Perutusan ketiga adalah untuk melakukan pekerjaannya. Semua orang akan diuji ke atasnya dan mereka yang dikasihi dipanggil keluar daripada pertubuhan keagamaan. Satu kuasa pendorong menggerakkan orang-orang yang jujur sementara manifestasi kuasa Tuhan menimbulkan ketakutan dan mengekang saudara mara dan sahabat handai. Mereka tidak berani dan tidak juga berkuasa menghalang orang-orang yang merasakan pekerjaan Roh Tuhan yang ada pada diri mereka. Panggilan terakhir telah dilaksanakan hingga kepada para hamba yang miskin sekalipun dan yang warak di antara mereka dengan air muka yang rendah hati meluahkan lagu-lagu kegirangan yang teramat sangat kerana menjangkakan penyelamatan mereka yang menggembirakan itu kerana tuan mereka tidak dapat mengawasi mereka lagi, sebab satu ketakutan dan kekaguman membuatkan mereka terdiam.

Mukjizat perkasa pun berlaku, yang sakit disembuhkan, tanda-tanda dan keajaiban mengikuti orang-orang yang percaya. Tuhan melakukan pekerjaan-Nya dan setiap orang salih tanpa menghiraukan akibat-akibatnya menuruti hati nurani masing-masing.

Mereka bersatu dengan kumpulan yang memelihara semua hukum Tuhan dan mereka mengumandangkan perutusan ketiga dengan kuasa hingga ke seberang laut. Aku melihat bahawa perutusan ketiga akan ditutup dengan kuasa dan kekuatan yang jauh lebih besar daripada seruan tengah malam.

Hamba-hamba Tuhan, dikurniakan dengan kuasa dari atas dengan wajah mereka yang bersinar-sinar dan bercahaya dengan penyerahan suci mara terus menyelesaikan pekerjaan mereka dan memberitakan perutusan dari syurga. Jiwa-jiwa yang bertaburan di seluruh badan-badan keagamaan menyahut pangilan itu dan orang-orang yang dikasihi itu bergegas keluar daripada gereja-gereja yang akan mengalami kemusnahan sebagaimana Lot bergegas keluar daripada Sodom sebelum kemusnahannya. Umat Tuhan diangkat dan diperkuatkan dengan kemuliaan gemilang yang jatuh ke atas mereka dengan berkelimpahan, menyediakan mereka untuk bertahan dalam masa godaan. Satu suara banyak orang kedengaran kepadaku di merata tempat, mengatakan, “Di sinilah kesabaran orang-orang salih, merekalah yang memelihara hukum-hukum Tuhan dan iman kepada Yesus.”

Rujuk : Kejadian 19;  Wahyu 14:12, 18:2-5

No comments:

Post a Comment