Tuesday, October 25, 2011

Perutusan Malaikat Pertama

23

Aku melihat bahawa Tuhan ada di dalam pengisytiharan masa pada tahun 1843. Hal itu adalah rancangan-Nya untuk membangkitkan semangat di kalangan umat dan membawa mereka ke satu titik ujian di mana mereka harus membuat keputusan. Para pembimbing rohani telah diyakinkan dan berasa yakin terhadap betulnya kedudukan yang diambil berkenaan dengan tempoh nubuatan. Dengan yang demikian mereka rela melepaskan  kemegahan diri, gaji dan gereja mereka dan pergi dari satu tempat ke satu tempat mengisytiharkan perutusan itu. Namun apabila pengisytiharan dari syurga itu mendapat tempat dalam hati orang-orang yang mengaku sebagai pelayan-pelayan Kristus, dalam bilangan yang kecil sahaja, pekerjaan itu dibentangkan kepada banyak orang yang bukan pengkhutbah. Ada di kalangan mereka yang meninggalkan ladang-ladang untuk menyampaikan perutusan itu, manakala yang lain dipanggil keluar dari kedai-kedai dan perniagaan mereka. Bahkan para profesional juga terdorong meninggalkan pekerjaan mereka untuk melibatkan diri dalam pekerjaan yang tidak popular itu bagi menyampaikan perutusan perutusan malaikat pertama. Para pembimbing rohani mengetepikan pandangan-pandangan dan perasaan-perasaan sektarian dan bersatu dalam mengisytiharkan kedatangan Yesus. Umat akan bangkit di mana sahaja perutusan itu akan sampai. Orang-orang berdosa bertaubat, menangis dan berdoa memohon keampunan. Mereka yang hidup bergelumang dengan ketidakjujuran berbesar hati untuk memulangkan harta bukan miliknya.

Ibu bapa merasakan suatu perasaan mengambil berat yang sangat mendalam terhadap anak-anak mereka. Mereka yang telah menerima perutusan itu bekerja bagi saudara mara dan sahabat handai yang belum bertaubat. Dengan jiwa mereka yang tertunduk oleh beban perutusan yang berat, mereka menyampaikan amaran dan merayu supaya mereka bersedia untuk kedatangan Anak Manusia. Mereka yang sudah begitu keras sehingga tidak mahu menyerah kepada beban bukti akan pulang ke rumah bersama dengan amaran yang ikhlas. Pekerjaan menyucikan jiwa ini akan membawa perasaan kasih sayang jauh daripada hal-hal duniawi kepada pentahbisan yang belum pernah dialami sebelum itu. Beribu-ribu orang telah dibawa untuk mendakap kebenaran yang dikhutbahkan oleh William Miller. Hamba-hamba Tuhan telah dibangkitkan dalam roh dan kuasa Elia untuk mengabarkan perutusan itu. Mereka yang menyampaikan perutusan yang serius itu seperti Yohanes perintis bagi Yesus, berasa terdorong mengapak akar pohon itu dan memanggil orang untuk membawa buah-buah untuk pertaubatan. Kesaksian mereka disediakan sedemikian rupa untuk menaikkan semangat dan memberi kesan kepada gereja dengan penuh kuasa serta menyatakan sifat mereka yang sebenar. Ketika mereka menyorakkan amaran yang berat itu supaya lari daripada murka yang akan datang, banyak orang yang menyatukan diri dengan gereja-gereja akan menerima perutusan yang menyembuhkan. Mereka melihat kemurtadan mereka. Dengan air mata pertaubatan yang pahit dan keazaban jiwa yang sangat dalam, mereka merendahkan hati di hadapan Tuhan. Ketika Roh Tuhan hinggap pada mereka, mereka pula membantu mengumandangkan seruan, “Takutlah akan Tuhan dan muliakanlah Dia kerana telah tiba saat penghakiman-Nya.”

Pengisytiharan masa tertentu mengenai kedatangan kali kedua Kristus telah mendapat tentangan hebat dari semua lapisan, dari mereka yang melayani di mimbar hinggalah di kalangan mereka yang semborono, orang berdosa paling nekad. “Tidak ada orang yang mengetahui hari atau jamnya!” adalah ungkapan yang kedengaran diucapkan oleh para pendeta hipokrit dan dari para pencemuh yang lantang.

Tidak ada yang akan ditunjuk ajar dan diperbetulkan dalam penggunaan ayat-ayat oleh mereka yang menunjuk kepada tahun bila mereka percaya yang tempoh nubuatan akan berakhir dan kepada tanda-tanda yang menunjukkan Kristus sudah hampir, bahkan sudah di ambang pintu. Banyak di antara orang-orang yang mengaku mengasihi Juruselamat mengatakan bahawa mereka tidak menentang terhadap kedatangan-Nya yang kedua kali, tetapi semata-mata membantah masa yang ditentukan. Tuhan yang melihat semua hal dapat membaca hati mereka. Mereka tidak ingin akan hampirnya Yesus itu. Mereka tahu bahawa kehidupan mereka yang tidak bersifat kristian tidak akan bertahan terhadap ujian. Sebab mereka tidak berjalan pada jalan daif yang dibentangkan oleh-Nya. Gembala-gembala palsu ini menjadi penghalang kepada pekerjaan Tuhan. Kebenaran yang dikhutbahkan dalam kuasanya yang meyakinkan kepada umat menaikkan semangat mereka dan seperti pegawai penjara, mereka mula bertanya, “Apakah yang harus kubuat supaya selamat.” Tetapi gembala-gembala ini menjadi penghalang di antara kebenaran dan umat yang berkhutbah akan hal-hal yang menyenangkan untuk memesongkan mereka daripada kebenaran. Mereka berpadu dengan Syaitan dan para iblisnya lalu berseru, “Damai, damai” ketika tidak ada damai. Aku melihat bahawa malaikat-malaikat Tuhan telah mencatat semuanya itu. Pakaian-pakaian  pada gembala-gembala yang tidak ditahbiskan itu dilumuri dengan darah jiwa-jiwa. Mereka yang menyenangi keselesaan itu dan berpuas hati dengan hubungan renggang dengan Tuhan tidak akan bangkit daripada buaian rasa selamat duniawi.

Banyak pelayan rohani tidak mahu menerima perutusan yang menyelamatkan ini manakala mereka yang ingin menerimanya dihalangi. Darah jiwa-jiwa tertanggung atas mereka. Para pengkhutbah dan umat bergabung menentang perutusan dari syurga ini. Mereka menganiaya William Miller dan orang-orang yang bergabung dengannya dalam pekerjaan itu. Kepalsuan disebarkan untuk mencacatkan pengaruhnya. Pada masa yang lain selepas dia dengan jelasnya menyatakan nasihat-nasihat Tuhan, dengan mengaplikasikan kebenaran-kebenaran yang menyentuh hati para pendengar, keberangan besar bernyala-nyala  menentangnya. Ketika dia meninggalkan tempat pertemuan itu, beberapa orang menyerang hendap untuk membunuhnya. Tetapi malaikat Tuhan diutus untuk memelihara nyawanya dan membawanya jauh daripada gerombolan yang marah itu. Pekerjaannya belum lagi diselesaikan.

Orang-orang yang paling setia menerima perutusan itu dengan senang hati. Mereka tahu perutusan itu datangnya daripada Tuhan dan disampaikan tepat pada masanya. Para malaikat memandang dengan minat yang sangat mendalam terhadap hasil perutusan syurgawi itu. Bila gereja-gereja berpaling daripada perutusan itu dan menolaknya, para malaikat itu dengan sedih bertanya kepada Yesus. Dia memalingkan muka-Nya daripada gereja-gereja itu dan menyuruh malaikat-malaikat menjaga dengan setia mereka yang dihargai, yang tidak menolak kesaksian itu sebab ada terang lain yang akan menyinari mereka.

Aku melihat bahawa jika orang-orang yang mengaku Kristian mengingini kedatangan Juruselamat, jika kasih mereka terletak pada-Nya, jika mereka merasakan bahawa tidak ada sesuatupun di dunia ini yang setanding dengan-Nya, mereka seharusnya mengalu-alukan dengan keriangan tanda-tanda pertama kedatangan-Nya. Tetapi ketidaksenangan yang mereka tunjukkan itu apabila mereka mendengar kedatangan Tuhan merupakan bukti kukuh bahawa mereka tidak mengasihi-Nya. Syaitan dan para iblisnya berasa menang dan melemparkan tohmahan ke muka Yesus dan para malaikat-Nya yang suci bahawa orang-orang yang mengaku pengikut Yesus amatlah kecil kasih kepada-Nya sehingga mereka tidak mengingini kedatangan-Nya kali yang kedua itu.

Aku melihat umat Tuhan riang ria dalam penantian, menunggu Tuhan mereka. Tetapi rancangan Tuhan adalah untuk mematangkan mereka. Tangan-Nya menutup satu kesilapan dalam penghitungan tempoh nubuatan. Mereka yang menunggu-nunggu akan Tuhan tidak menemuinya dan orang-orang paling berpelajaran yang menentang tempoh itu pun gagal melihat kesilapan itu. Tuhan telah menetapkan yang umat-Nya harus mengalami kekecewaan.

Masa berlalu dan mereka yang menantikan dengan riang-ria akan kedatangan Juruselamat mereka berasa sedih dan tawar hati. Manakala mereka yang tidak mengingini kedatangan Yesus tetapi menerima perutusan itu kerana rasa takut, berasa lega yang Dia tidak datang pada masa yang dinanti-nantikan. Pegangan mereka tidak memberi kesan dalam hati dan tidak juga menulenkan hati mereka. Masa yang berlalu memang telah diperhitungkan untuk mendedahkan hati mereka. Merekalah yang pertama berlari dan mencemuh orang-orang yang bersedih, yang kecewa, yang benar-benar merindui kedatangan Juruselamat. Aku melihat hikmat Tuhan dalam mematangkan umat-umat-Nya dan memberi mereka satu ujian untuk memeriksa bagi mengetahui mereka yang berundur dan berpaling pada masa cubaan yang genting.

Yesus dan seluruh isi syurga melihat dengan simpati dan kasih terhadap mereka yang rindu menantikan dengan manisnya untuk melihat Dia yang sungguh dikasihi oleh jiwa mereka. Para malaikat mengepak-ngepak di awang sekeliling mereka untuk menguatkan mereka dalam masa cubaan mereka itu. Mereka yang tidak peduli untuk menerima perutusan syurgawi itu dibiarkan dalam kegelapan. Murka Tuhan bernyala-nyala terhadap mereka oleh kerana mereka tidak mahu menerima terang yang dikirimkan kepada mereka dari syurga. Mereka yang setia, yang kecewa, yang tidak faham mengapa Tuhan tidak datang, tidak dibiarkan dalam kegelapan. Sekali lagi mereka dibawa kepada Alkitab untuk menyelidiki tempoh-tempoh nubuatan. Tangan Tuhan dialihkan daripada angka-angka itu dan kesilapan pun dijelaskan. Mereka melihat bahawa tempoh-tempoh nubuatan itu sampai ke 1844. Bukti yang sama yang digunakan untuk menunjukkan tempoh nubuatan berakhir pada tahun 1843 membuktikan bahawa tempoh-tempoh nubuatan itu berakhir pada 1844. Terang daripada firman Tuhan bersinar atas kedudukan mereka dan mereka mendapati satu tempoh perlengahan. – Jika penglihatan itu lengah, nantikanlah ia. – Dalam keghairahan mereka menantikan segeranya kedatangan Yesus, mereka terlepas pandang terhadap penglihatan yang lengah, yang dihitung untuk mendedahkan orang-orang yang betul-betul menunggu akan kedatangan-Nya. Sekali lagi mereka mempunyai satu titik masa. Namun banyak di antara mereka yang tidak dapat bangkit mengatasi kekecewaan mereka yang teruk untuk memiliki tingkat semangat dan tenaga yang mewarnai iman mereka pada tahun 1843.

Syaitan dan para iblisnya berasa menang atas mereka. Mereka yang tidak mahu menerima perutusan itu, mengucapkan tahniah kepada diri mereka sendiri di atas pertimbangan berpandangan jauh mereka dan hikmat dalam menolak penipuan itu, demikian kata mereka. Mereka tidak menyedari bahawa mereka telah menolak nasihat Tuhan. Mereka bekerja sehaluan dengan Syaitan dan para iblisnya untuk membingungkan umat Tuhan yang hidup daripada perutusan yang datang dari syurga.Orang-orang yang percaya dalam perutusan ini menerima penindasan di gereja-gereja. Ketakutan telah menahan mereka untuk sementara waktu sehingga mereka tidak bertindak mengikut sentimen dari hati mereka tetapi peredaran masa telah menyatakan perasaan mereka yang sebenar. Mereka ingin menutup kesaksian yang orang-orang percaya terdorong untuk memikulnya, bahawa tempoh nubuatan adalah berlangsung hingga 1844. Dengan terang mereka menjelaskan kesilapan mereka dan memberikan sebab-sebab mengapa mereka menantikan kedatangan Tuhan pada tahun 1844. Para penentang tidak dapat memberikan hujah-hujah bagi menangkis sebab-sebab kukuh yang diberikan.

Kemarahan gereja-gereja bernyala-nyala ke atas mereka. Gereja-gereja bertekad untuk tidak mahu mendengar apa-apa buktipun dan menutup kesaksian mereka daripada gereja-gereja supaya yang lain tidak dapat mendengarnya. Mereka yang tidak berani menahan terang yang Tuhan telah berikan kepada mereka untuk diberikan kepada orang lain juga dikeluarkan daripada gereja-gereja. Tetapi Yesus menyertai mereka. Mereka riang ria dalam terang wajah-Nya. Mereka telah bersedia untuk menerima perutusan malaikat yang kedua.

Rujuk : Daniel 8:14; Habakuk 2:1-4; Maleaki 3,4; Matius 24:36; Wahyu 14:6-7.

Friday, October 21, 2011

William Miller

22

Aku melihat bahawa Tuhan telah mengutus malaikat-Nya untuk menggerakkan hati seorang petani yang tidak pernah mempercayai Alkitab, lalu membawanya untuk mengkaji nubuatan-nubuatan. Malaikat-malaikat Tuhan berulangkali mengunjungi orang yang dipilih itu, memimpin mindanya dan membuka pemahamannya terhadap nubuatan yang selama ini kekal gelap pada pengertian umat Tuhan. Permulaan rantaian kebenaran telah diberikan kepadanya. Dia telah dibawa untuk mencari pautan demi pautan sehingga dia melihat dengan kehairanan dan kekaguman terhadap firman Tuhan. Dia melihat satu rantaian kebenaran yang sempurna. Firman itu yang selama ini dianggapnya sebagai bukan diilhamkan, kini terbuka di hadapan penglihatannya dengan keindahan dan kemuliaan. Dia melihat satu bahagian kitab itu menjelaskan bahagian yang lain. Apabila satu bahagian kitab itu tertutup daripada pengertiannya, dia menemui di kitab yang lain firman yang menjelaskannya. Dia memandang firman Tuhan yang suci itu dengan riang, dengan rasa hormat yang mendalam serta rasa takjub.

Ketika dia menyusuri nubuatan itu, dia mendapati bahawa penduduk bumi sedang hidup pada senario penutup sejarah dunia ini namun mereka tidak mengetahuinya. Dia memandang kepada penodaan gereja-gereja dan melihat bahawa kasih mereka telah diambil daripada Yesus dan meletakknnya diletakkan pada dunia. Mereka lebih mencari kehormatan duniawi daripada kehormatan yang datang dari atas, bercita-cita mendapatkan kekayaan duniawi daripada menyimpan harta mereka di syurga. Dia melihat kepura-puraan, kegelapan dan kematian di merata tempat. Semangatnya bangkit dalam dirinya. Tuhan telah memanggilnya untuk meninggalkan ladangnya sebagaimana Elisa disuruh meninggalkan lembu sapi dan ladang pekerjaannya untuk mengikuti Elia. Dengan menggeletar, William Miller mula membuka misteri-misteri kerajaan Tuhan itu kepada umat. Dia memperolehi kekuatan daripada setiap usaha. Dia telah membawa umat itu menyusuri nubuatan-nubuatan hingga ke masa kedatangan Yesus kali yang kedua. Sebagaimana Yohanes Pembaptis menandakan kedatangan Yesus yang pertama dan menyediakan jalan bagi kedatangan-Nya, demikian juga William Miller dan mereka yang bersama dengan dia, mengisytiharkan kedatangan kedua kali Anak Yahweh.

Aku telah dibawa kepada zaman murid-murid dan diperlihatkan kepada Yohanes yang dikasihi. Tuhan mempunyai satu pekerjaan khusus baginya untuk diselesaikan. Syaitan pula bertekad untuk menghalang pekerjaan itu. Syaitan mendorong hamba-hambanya untuk membinasakan Yohanes. Tetapi Tuhan mengutus malaikat-Nya dan memeliharanya dengan luar biasa. Semua orang yang menyaksikan kuasa besar Tuhan yang dimanifestasikan dalam penyelamatan Yohanes berasa takjub dan banyak orang berkeyakinan bahawa Tuhan ada bersama dengannya, dan bahawa kesaksian yang dibawanya berkenaan dengan Yesus adalah betul. Mereka yang mencari jalan untuk membinasakannya berasa takut untuk cuba sekali lagi membunuhnya. Dia dibenarkan untuk terus menderita kerana Yesus. Yohanes dituduh secara palsu oleh musuh-musuhnya dan tidak lama dari itu telah dibuang ke sebuah pulau yang terpencil di mana Tuhan telah mengutus malaikat-Nya untuk menyatakan kepadanya perkara-perkara yang tidak lama lagi akan berlaku di bumi ini serta keadaan gereja sepanjang zaman sehingga akhir; kemurtadan-kemurtadan gereja, kedudukan yang gereja harus duduki sekiranya berkenan di hadapan Tuhan dan akhirnya menang. Malaikat dari syurga datang kepada Yohanes dalam kehebatan. Wajahnya bersinar dengan kemuliaan gemilang syurga.
Dia menyatakan kepada Yohanes penglihatan-penglihatan menarik dan sangat bermakna berkenaan dengan gereja Tuhan dan memaparkan di hadapannya konflik-konflik berbahaya yang akan diharungi oleh gereja.

Yohanes telah melihat mereka menempuh cubaan-cubaan yang berapi-api, menjadi putih dan teruji, akhirnya mengatasi dengan menang, diselamatkan dengan mulianya ke dalam kerajaan Tuhan. Wajah malaikat itu bersinar lebih cerah lagi dengan kegembiraan, dengan berlimpah-limpah kemuliaan ketika dia menunjukkan kepada Yohanes kemenangan akhir gereja Tuhan. Yohanes terpesona melihat penyelamatan akhir gereja dan ketika dia dibawa dengan kemuliaan penglihatan itu dengan penuh takzim dan takjub, dia tersungkur di kaki malaikat itu hendak menyembahnya. Malaikat itu dengan serta merta mengangkatnya berdiri dan dengan lembut menegurnya. Kata malaikat itu, “Janganlah berbuat demikian! Aku adalah hamba sama seperti engkau dan saudara-saudaramu, yang memiliki kesaksian Yesus. Sembahlah Yahweh! Kerana kesaksian Yesus adalah Roh Nubuat.” Malaikat itu kemudiannya menunjukkan kepada Yohanes kota syurgawi dengan semua keindahan dan kemuliaan yang gemilang. Yohanes terpesona dan terpegun dengan kemuliaan kota itu. Dia tidak ingat teguran terdahulu daripada malaikat itu lalu dia mula tersungkur menyembah di hadapan kaki malaikat itu yang sekali lagi menegurnya, “Janganlah berbuat demikian! Aku adalah hamba sama seperti engkau dan saudara-saudaramu para nabi, serta mereka yang memelihara perkataan daripada buku ini. Sembahlah Yahweh.”

Para pengkhutbah dan umat memandang ke atas buku Wahyu sebagai misteri dan kurang penting daripada bahagian-bahagian lain Alkitab suci. Tetapi aku melihat bahawa buku ini sebenarnya sebuah wahyu yang diberikan untuk faedah khusus kepada mereka yang hidup pada hari-hari terakhir. Buku ini akan memimpin mereka untuk mempastikan kedudukan yang betul bagi mereka dan tanggungjawab mereka. Tuhan telah memimpin minda William Miller kepada nubuatan dan memberikannya terang besar ke atas buku Wahyu.

Jika buku Daniel telah difahami, umat itu seharusnya dapat memahami dengan lebih baik visi Yohanes. Tetapi pada masa yang tepat, Tuhan telah datang kepada hamba pilihan-Nya yang mempunyai pengertian jelas. Dalam kuasa Roh Kudus nubuatan dibuka, menunjukkan kepadanya keharmonian visi Daniel dan Yohanes dan lain-lain bahagian Alkitab, ditekankan ke dalam hati umat amaran firman yang suci serta menggerunkan, supaya bersedia bagi kedatangan Anak manusia. Keyakinan yang sesungguhnya dan mendalam bertapak dalam minda orang-orang yang mendengar hujah-hujahnya. Para pembimbing rohani dan orang-orang biasa, orang-orang berdosa dan kafir mula berpaling kepada Tuhan untuk menyediakan diri menghadapi penghakiman.

Malaikat-malaikat Tuhan mengiringi William Miller dalam misinya. Dia tegas dan tidak mudah patah semangat. Dia dengan berani mengisytiharkan perutusan yang di pertanggungjawabkan kepadanya. Satu dunia yang bergelumang dengan kejahatan dan satu gereja yang dingin dan duniawi sudah cukup memanggilnya bertindak dengan bertenaga dan membawanya untuk rela bertahan terhadap kerja keras, serba kekurangan dan dalam penderitaan. Walaupun ditentang oleh orang-orang yang mengaku sebagai Kristian dan oleh dunia serta ditampan oleh Syaitan dan para iblisnya, dia tidak berhenti daripada berkhutbah tentang Injil kekal di mana sahaja dia dijemput datang. Dia mengumandangkan seruan, “Takutlah akan Tuhan dan muliakanlah Dia kerana telah tiba saat penghakiman-Nya.”

1Raja-raja 19:16-21; Daniel 7-12; Wahyu 1, 14:7, 19:8-10, 22:6-10.

Thursday, October 13, 2011

Gereja Dan Dunia Bersatu

21

Syaitan kemudian berunding dengan para iblisnya. Mereka menimbangkan apa yang telah mereka perolehi. Memang betul mereka telah menghalang beberapa jiwa pengecut daripada memeluk kebenaran melalui rasa takut akan mati, tetapi ramai termasuk yang paling pengecut pun telah menerima kebenaran dan dengan serta merta selepas itu ketakutan dan rasa pengecut itupun meninggalkan mereka. Ketika orang-orang ini menyaksikan kematian saudara-saudara seiman mereka, melihat kesabaran dan keteguhan pendirian mereka, orang-orang ini mengetahui bahawa Tuhan dan para malaikat telah menolong mereka untuk bertahan terhadap penderitaan. Mereka telah bertambah lantang dan berani. Apabila mereka disuruh melepaskan nyawa masing-masing, mereka masih memelihara iman yang sedemikian sabar dan pendirian yang teguh sehingga pembunuh mereka itu pun gementar. Syaitan dan para iblisnya membuat keputusan bahawa ada cara yang lebih berjaya untuk memusnahkan jiwa dan lebih pasti pada akhirnya. Mereka melihat bahawa walaupun mereka telah menyebabkan orang-orang Kristian menderita, keteguhan pendirian mereka dan pengharapan cerah yang mendorong mereka menyebabkan orang-orang yang paling lemah bertambah kuat sehingga pangkin penyeksa dan api yang bernyala-nyala pun tidak dapat menyerikkan mereka. Mereka mencontohi perangai mulia Yesus apabila berhadapan dengan pembunuh-pembunuh-Nya. Banyak orang berasa yakin terhadap kebenaran itu dengan menyaksikan kesetiaan mereka dan kemuliaan Tuhan yang turun atas mereka. Syaitan membuat keputusan yang dia mesti datang dalam bentuk yang lebih sederhana. Dia telah menodai doktrin Alkitab dengan tradisi yang sudah berakar umbi dan telah merosakkan jutaan orang. Dia menahan kebenciannya dan memutuskan tidak akan mengenakan penganiayaan yang sedemikian pahit terhadap sasarannya sebaliknya membawa gereja bersaing, bukan untuk iman yang suatu ketika dikurniakan kepada orang-orang salih tetapi untuk pelbagai tradisi.  Ketika dia membawa gereja untuk menerima kesenangan dan kehormatan dunia dengan kepura-puraan yang palsu untuk menguntungkan gereja, maka gereja mulai kehilangan restu dari Tuhan. Secara perlahan-lahan, gereja mulai kehilangan kuasanya apabila ia mengelak daripada mengisytiharkan bahawa kebenaran yang lurus iaitu yang menyingkirkan pencinta keseronokan dan sahabat kepada dunia.

Gereja itu bukan lagi umat yang tersendiri dan istimewa sebagaimana ianya ketika api penganiayaan bernyala-nyala menentangnya. Bagaimanakah emas menjadi pudar? Bagaimanakah emas yang paling murni telah berubah? Aku melihat bahawa jika gereja sentiasa memelihara ciri-ciri khusus dan sucinya, kuasa Roh Kudus yang diberikan kepada murid-murid akan kekal bersamanya. Orang-orang sakit akan disembuhkan, roh-roh jahat akan ditegur dan dibuang keluar dan gereja akan menjadi kuat serta mendatangkan kegerunan kepada musuh-musuhnya.

Aku melihat bahawa satu kumpulan besar yang mengaku nama Kristus, tetapi Tuhan tidak mengakui mereka sebagai umat-Nya. Dia tidak berkenan kepada mereka. Syaitan bagaikan telah menggunakan perwatakan agama dan sangat-sangat rela menerima saranan agar orang ramai sentiasa berfikir yang mereka adalah orang-orang Kristian. Syaitan sangat-sangat rela menerima yang mereka harus percaya kepada Yesus, penyaliban-Nya dan kebangkitan-Nya. Syaitan sendiri dan para iblisnya pun percaya penuh tentang semua ini dan rasa gementar. Tetapi jika iman ini tidak menimbulkan pekerjaan yang baik dan tidak membawa mereka yang mengakui hal-hal itu mencontohi kehidupan penyangkalan diri Yesus, Syaitan tidak akan berasa terganggu. Sebab mereka hanya mengambil nama Kristian sedangkan hati mereka masih duniawi.
Syaitan boleh menggunakan mereka dalam perkhidmatannya lebih baik lagi daripada tidak mempunyai kepercayaan. Di bawah nama Kristian, mereka telah menyembunyikan kecacatan. Mereka terus hidup dengan sifat-sifat yang tidak disucikan dan nafsu-nafsu jahat yang tidak ditaklukkan.

Hal ini memberi kesempatan kepada orang-orang yang tidak percaya melemparkan ketidaksempurnaan orang-orang itu ke muka Yesus Kristus, memalukan-Nya dan menyebabkan mereka yang beragama murni dan tidak bernoda mendapat nama buruk.

Para pelayan berkhutbah tentang hal-hal yang menyenangkan bagi para profesor yang berhati duniawi. Inilah kemahuan Syaitan. Mereka tidak berani berkhutbah tentang Yesus dan kebenaran daripada Alkitab yang melukakan. Sebab jika mereka berkhutbah tentang kebenaran, para profesor tidak akan mendengar apa yang mereka khutbahkan. Kebanyakan para profesor itu adalah kaya-kaya belaka dan harus dipelihara kehadiran mereka dalam gereja, walaupun mereka tidak lagi layak berada di situ sebagaimana Syaitan dan para iblisnya. Agama Yesus dibuat kelihatan terkenal dan terhormat di hadapan mata dunia. Semua orang diberitahu bahawa mereka yang beragama akan lebih dihormati oleh dunia. Ajaran sedemikan jauh berbeza daripada ajaran Kristus. Ajaran Kristus dan ajaran duniawi tidak mungkin berdamai. Mereka yang mengikuti Yesus mestilah meninggalkan hal-hal duniawi. Perkara-perkara yang menyenangkan hati itu berasal daripada Syaitan dan para iblisnya. Mereka mengadakan rancangan dan para profesor melaksanakannya. Hipokrit dan orang-orang berdosa bersatu dengan gereja. Ajaran-ajaran karut yang menyenangkan diajarkan dan mendapat sambutan yang amat baik. Tetapi jika kebenaran dikhutbahkan dalam kemurniannya, hal itu akan menutup pintu kepada hipokrit dan orang-orang berdosa. Tetapi tidak ada bezanya di antara orang-orang yang mengaku sebagai pengikut Yesus dan dunia. Aku melihat bahawa jika topeng itu dapat dikoyakkan daripada para anggota gereja-gereja, tentu sekali akan mendedahkan kejahatan, kekejian dan  kecurangan, sehingga anak Tuhan yang paling tidak yakin pun tidak akan teragak-agak memanggil mereka dengan nama mereka yang sebenar, anak-anak bapa mereka, si Iblis; sebab pekerjaannya yang mereka lakukan. Yesus dan seluruh isi syurga melihat dengan rasa meluat akan pemandangan itu. Namun Tuhan mempunyai perutusan yang suci dan penting kepada gereja. Jika diterima, ia akan membuat pembaharuan menyeluruh dalam gereja, memulihkan kesaksian hidup yang akan membersihkan gereja daripada orang-orang yang bersikap hipokrit dan orang-orang berdosa dan sekali lagi gereja menjadi kesenangan kepada Tuhan.

Rujuk : Yes. 30:8-21; Yakubus 2:19; Wahyu 3.

Tuesday, October 11, 2011

Reformasi

20

Meskipun dengan segala penganiayaan dan pembunuhan orang-orang salih, namun para saksi hidup dibangkitkan dari setiap tempat. Para malaikat Tuhan menjalankan pekerjaan yang diamanahkan kepada mereka. Mereka mencari di tempat-tempat yang paling gelap dan dari tempat kegelapan itu dipilih orang-orang yang jujur dalam hati mereka. Mereka semua telah terkubur dalam kesalahan, namun Tuhan telah memilih mereka seperti yang dilakukan-Nya kepada Saulus sebagai saluran pilihan untuk membawa kebenaran-Nya serta mengangkat suara-suara mereka bagi menentang dosa orang-orang yang mengaku umat-Nya. Malaikat-malaikat Tuhan bekerja atas Martin Luther, Melancthon dan yang lain-lain dari pelbagai tempat, agar merasa dahaga akan kesaksian hidup firman Tuhan. Musuh datang bagaikan air bah dan oleh sebab itu piawai mestilah dinaikkan untuk menentangnya. Luther dipilih untuk mengharungi ribut dan berdiri menentang kemarahan satu gereja yang sudah jatuh, menguatkan beberapa orang yang setia kepada kepercayaan suci mereka. Dia begitu takut menyinggung Tuhan. Dia mencuba melalui perbuatan-perbuatan untuk menyenangkan hati Tuhan tetapi dia tidak puas hati sehiggalah satu sinar terang dari syurga yang telah menyisihkan kegelapan daripada mindanya dan membawanya bersandar bukan kepada perbuatan-perbuatan tetapi pada kewajaran darah Kristus serta datang kepada Tuhan untuk dirinya sendiri bukan melalui pope atau orang-orang yang kita beri pengakuan, sebaliknya melalui Yesus Kristus sahaja. Oh betapa bernilainya pengetahuan ini kepada Luther! Dia sangat menghargai terang baru dan amat bernilai itu yang telah menyinari pemahaman gelapnya dan telah membuang kepercayaan karutnya, lebih tinggi daripada harta duniawi yang termahal. Firman Tuhan adalah baru. Setiap perkara telah berubah. Buku yang dibenci disebabkan dia tidak dapat melihat keindahan di dalamnya merupakan kehidupan, KEHIDUPAN untuknya. Buku itu merupakan kegembiraannya, penghiburan baginya dan gurunya yang berbahagia. Tidak ada sesuatupun yang boleh memujuknya untuk meninggalkan pembelajarannya ke atas buku itu. Dia takut akan kematian tetapi setelah membaca firman Tuhan itu semua kegerunannya pun hilang. Dia mengagumi sifat-sifat Tuhan dan mengasihi-Nya. Dia menyelidiki firman Tuhan untuk dirinya sendiri. Dia berpesta ke atas harta yang terkandung di dalamnya dan kemudian dia menyelidik lagi untuk gereja. Dia begitu meluat dengan dosa-dosa orang-orang yang diberinya kepercayaan untuk keselamatan. Dia melihat terlalu banyak yang diselubungi dalam kegelapan yang sama telah menyelubunginya dahulu. Dia dengan bersungguh-sungguh mencari peluang untuk mengarahkan mereka kepada Anak Domba Yahweh. Dia sahaja yang membuang dosa-dosa dunia. Dia mengangkat suaranya menentang kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa gereja Pope dan dengan  sesungguhnya rindu untuk memecahkan rantai kegelapan yang telah mengurung beribu-ribu orang dan menyebabkan mereka meletakkan kepercayaan kepada perbuatan-perbuatan untuk mendapatkan keselamatan. Dia begitu rindu untuk mampu membuka minda mereka berkenaan dengan kekayaan kasih kurnia Tuhan dan kecemerlangan keselamatan yang diperolehi melalui Yesus Kristus. Dia mengangkat suaranya dengan sungguh-sungguh dan dalam kuasa Roh Kudus berseru menentang dosa-dosa yang ada pada para pemimpin gereja. Ketika berhadapan dengan ribut penentangan para paderi, semangatnya tidak pernah pudar sebab dia dengan teguh bersandar pada tangan Tuhan yang kuat dan dengan yakin berserah kepada-Nya untuk kemenangan. Ketika dia meneruskan perjuangannya itu lebih dekat, kemarahan para paderi itu semakin bernyala-nyala terhadapnya. Mereka tidak ingin dipulihkan.
Mereka memilih dibiarkan dalam kesenangan, dalam keseronokan yang jahat, dalam kejahatan. Mereka ingin supaya gereja itu dibiarkan dalam kegelapan.

Aku melihat Luther adalah seorang yang ghairah, bersungguh-sungguh, tidak mengenal erti takut, berterus terang mengutuk dosa dan membela kebenaran. Dia tidak peduli orang-orang jahat atau iblis. Dia tahu ada Satu yang lebih gagah daripada mereka semua. Luther mempunyai sifat-sifat kesungguhan, keberanian, berterus terang dan kadangkala dalam bahaya menjadi pelampau. Tetapi Tuhan telah membangkitkan Melancthon. Perwatakannya berlawanan dengan Luther. Dialah yang banyak membantu Luther melaksanakan pekerjaan reformasi. Melancthon adalah seorang yang  penakut, tetapi waspada dan panjang sabar. Dia sangat dikasihi Tuhan. Pengetahuannya tentang Alkitab sangat luas. Hikmat dan pertimbangannya sangat baik. Kasihnya terhadap perjuangan untuk Tuhan adalah sama dengan Luther. Tuhan telah merapatkan hati kedua-dua mereka. Mereka adalah sahabat yang tidak dapat dipisahkan. Luther adalah penolong yang besar bagi Melancthon bila dalam keadaan ketakutan atau lambat bertindak. Sebaliknya Melancthon pula merupakan penolong besar kepada Luther dalam kegopohan. Pandangan jauh Melancthon yang waspada itu kerap kali dapat mencegah berlakunya kesusahan yang mungkin akan timbul jika gerakan reformasi itu diserahkan kepada Luther bersendirian. Kadangkala, gerakan reformasi itu tidak dapat bergerak maju jika Melancthon dibiarkan menerajuinya sendirian. Aku telah diperlihatkan hikmat Tuhan dalam memilih dua orang ini yang mempunyai keperibadian yang berbeza untuk melaksanakan reformasi tersebut.

Aku kemudiannya dibawa ke zaman rasul-rasul dan melihat bahawa Tuhan telah memilih sebagai pasangan Petrus seorang yang ghairah dan bersungguh-sungguh dengan Yohanes seorang yang rendah hati, sabar dan lemah lembut. Kadang kala Petrus gopoh dan murid yang dikasihi itu selalu menahan Petrus apabila kesungguhan dan keghairahannya membawanya terlampau jauh, tetapi perbuatannya itu tidak membaharui Petrus. Tetapi selepas Petrus menyangkal Tuhannya, bertaubat, berubah, apa yang diperlukannya adalah peringatan lembut daripada Yohanes untuk menahan keghairahan dan kesungguhannya. Perjuangan Kristus akan terjejas jika diserahkan kepada Yohanes sahaja. Kesungguhan Petrus adalah diperlukan. Keberanian dan tenaganya selalu dapat mengeluarkan mereka dari keadaan yang sukar dan mendiamkan musuh-musuh mereka. Yohanes menang. Dia telah memenangi banyak orang ke dalam perjuangan Kristus dengan kesabaran dan ketekunannya yang bersungguh-sungguh.

Tuhan telah membangkitkan orang-orang yang berseru-seru menentang dosa-dosa yang dilakukan oleh gereja Papal dan memperjuangkan reformasi. Syaitan berusaha untuk menghapuskan saksi-saksi hidup itu, tetapi Tuhan telah membuat pagar di sekeliling mereka. Sesetengah orang, demi kemuliaan nama-Nya, diizinkan memeteraikan kesaksian yang mereka bawa itu dengan darah mereka sendiri. Tetapi ada juga orang-orang yang kuat seperti Luther dan Melanchton yang lebih baik memuliakan Tuhan dengan hidup dan berseru dengan kuat menentang dosa-dosa para pope, para paderi dan raja-raja. Mereka gementar mendengar suara Luther. Melalui orang-orang yang dipilih itu, sinar terang mula menerobos kegelapan dan ramai orang yang dengan gembira menerima terang itu dan berjalan dalam terang itu. Apabila seorang saksi dibunuh, dua orang lagi dibangkitkan untuk mengambil tempat orang itu.


Syaitan tidak berpuas hati. Dia hanya berkuasa ke atas tubuh. Dia tidak dapat membuat orang percaya melepaskan iman dan pengharapan mereka. Walaupun dalam kematian, mereka masih menang dengan pengharapan berkekalan yang terang pada kebangkitan orang-orang benar. Mereka mempunyai lebih daripada tenaga yang fana.

Mereka tidak berani untuk tidur walaupun buat seketika. Mereka pasangkan perisai Kristian di sekeliling mereka, bersedia untuk konflik, bukan sahaja dengan musuh-musuh rohani tetapi juga dengan Syaitan dalam bentuk manusia yang sentiasa berseru, “Lepaskanlah imanmu atau akan mati.”

Orang-orang Kristian yang sedikit itu kuat dalam Tuhan dan lebih berharga di hadapan Tuhan daripada separuh dunia yang membawa nama Kristus namun pengecut dalam perjuangan-Nya. Sementara gereja itu dianiaya, mereka bersatu dan saling mengasihi. Mereka kuat dalam Tuhan. Orang-orang berdosa tidak dibenarkan bersatu dengan kumpulan itu; tidak juga orang-orang penipu mahupun yang kena tipu. Orang-orang yang sanggup dan rela meninggalkan segala-galanya demi Kristus sahaja yang boleh menjadi murid-murid-Nya. Mereka senang menjadi orang miskin, rendah hati dan menyerupai Kristus.

Rujuk : Lukas 22:61-62; Yohanes 18:10; Kisah 3 dan 4.
Rujuk  “ reformasi” dalam ensiklopedia.

Wednesday, October 05, 2011

Kematian, Bukan Hidup Kekal Dalam Kesengsaraan

19

Syaitan memulakan penipuannya di Eden. Dia berkata kepada Hawa, “Kamu pastinya tidak akan mati.” Ini merupakan pelajaran pertama Syaitan mengenai keabadian jiwa dan dia telah meneruskan penipuan ini sejak itu hingga kini dan akan meneruskannya sehingga penawanan anak-anak Tuhan dilepaskan. Perhatianku dibawa kepada Adam dan Hawa di Eden. Mereka telah memakan buah daripada pohon larangan. Kemudian pedang yang bernyala-nyala itu diletakkan pada pohon kehidupan. Mereka dihalau keluar daripada Taman itu. Jika tidak nanti mereka akan memakan buah daripada pohon kehidupan itu dan akhirnya menjadi orang berdosa selama-lamanya. Pohon kehidupan itu adalah untuk mengabadikan kekekalan hidup. Aku mendengar satu malaikat bertanya, “Siapakah di antara keluarga Adam yang telah melepasi pedang yang bernyala-nyala itu dan memakan buah daripada pohon kehidupan?”  Aku mendengar satu malaikat lain menjawab, “Tidak seorangpun di antara keluarga Adam yang telah melepasi pedang bernyala-nyala itu dan memakan buah dari pohon kehidupan. Oleh sebab itu tidak ada orang yang berdosa hidup kekal selama-lamanya. Jiwa yang berdosa akan mati dengan kematian kekal, satu kematian selama-lamanya di mana tidak ada harapan untuk dibangkitkan. Kemudian murka Tuhan akan padam.”

Adalah menjadi satu kekaguman bagiku yang Syaitan begitu berjaya meyakinkan manusia bahawa firman Tuhan, “Jiwa yang berdosa itu akan mati” bermakna “jiwa yang berdosa tidak akan mati melainkan hidup selama-lamanya dalam penderitaan.” Malaikat itu berkata, “Kehidupan itu adalah kehidupan, sama ada ia dalam kesakitan atau kebahagiaan. Kematian adalah tanpa kesakitan, tanpa kegembiraan, tanpa kebencian.”

Syaitan telah memberitahu para iblisnya supaya mengadakan satu usaha khusus bagi memperluaskan penipuan dan pembohongan pertama yang diulang kepada Hawa di Eden, “Kamu pastinya tidak akan mati.” Bila kesalahan itu diterima oleh orang dan mereka percaya manusia itu hidup abadi, Syaitan membawa mereka lebih jauh untuk mempercayai yang orang-orang berdosa akan hidup kekal dalam penderitaan. Kemudian jalan sudah tersedia bagi Syaitan untuk bekerja melalui wakil-wakilnya dan menunjuk kepada Tuhan di hadapan orang sebagai yang zalim pembalas dendam. Mereka yang tidak menyenangkan-Nya akan dilemparkan ke dalam api neraka dan menyebabkan mereka merasa perit murka-Nya selama-lamanya. Mereka akan menderita keazaban yang tidak terkatakan sementara Dia melihat dengan penuh kepuasan ke arah mereka yang menggeliang-geliut dalam kesengsaraan ngeri dan nyala api kekal. Syaitan tahu bahawa jika kesalahan ini dapat diterima, Tuhan akan amat ditakuti dan dibenci bukannya dikasihi dan dikagumi oleh banyak orang. Kemudian banyak orang akan dibawa untuk mempercayai bahawa ancaman firman Tuhan itu tidak akan digenapi secara literal; sebab hal itu bertentangan dengan sifat-sifat-Nya yang berkemurahan dan kasih jika mencampakkan makhluk yang telah dicipta-Nya ke dalam penyiksaan kekal. Syaitan membawa mereka kepada hal lain yang melampau, untuk melepas pandang keadilan Tuhan dan ancaman-ancaman dalam firman-Nya, menggambarkan Dia sebagai sangat berpengasihan sehingga tidak ada seorangpun yang akan binasa, tetapi semua, yang salih dan yang berdosa akan akhirnya diselamatkan dalam kerajaan-Nya. Akibat daripada kesalahan yang mendapat sambutan besar tentang kekekalan jiwa dan kesengsaraan yang tidak ada pengakhirnya, Syaitan mengambil kesempatan ke atas satu kelas lagi dan membawa mereka untuk menganggap Alkitab itu sebagai buku yang bukan diilhamkan.
Mereka fikir, Alkitab itu mengajar banyak perkara-perkara yang baik tetapi mereka tidak boleh bergantung kepadanya dan menyukainya sebab mereka telah diajar bahawa Alkitab itulah yang mengisytiharkan doktrin kesengsaraan abadi.

Syaitan mengambil kesempatan dari satu kelas manusia lagi dan memimpin mereka lebih jauh hingga menyangkal kewujudan Tuhan. Mereka tidak dapat melihat sifat Tuhan yang konsisten didalam Alkitab jika Tuhan menyeksa sebahagian daripada keluarga manusia dengan penderaan kejam yang berkekalan. Mereka menyangkal Alkitab dan Pengarangnya dan menganggap kematian sebagai tidur berkekalan.

Kemudian Syaitan memimpin satu kelas lagi yang terdiri daripada kumpulan manusia yang berasa takut dan gentar melakukan dosa. Bila mereka melakukan dosa, Syaitan  akan berkata di hadapan mereka bahawa upah dosa bukan kematian tetapi kehidupan kekal dengan menahan seksaan dahsyat sepanjang zaman berkekalan. Syaitan memperbaiki peluang memperbesarkan kedahsyatan seksaan tanpa hujungnya dalam minda mereka yang lemah itu. Syaitan mengambil alih minda mereka dan mereka kehilangan pertimbangan. Syaitan dan para iblisnya bergembira. Orang-orang kafir dan ateis pun turut serta dalam menyebarkan keaiban ke atas orang-orang Kristian. Mereka mengatakan yang akibat-akibat jahat penerimaan cerita dongeng popular ini sebagai hasil daripada mempercayai Alkitab dan Pengarangnya.

Aku melihat seluruh isi syurga dipenuhi dengan kemarahan di atas kerja Syaitan yang sungguh berani itu. Aku bertanya mengapa tipu daya itu dibiarkan berakar dalam minda manusia sedangkan malaikat Tuhan mempunyai kuasa dan jika disuruh sahaja, dengan mudah dapat memecahkan kuasa musuh. Kemudian aku melihat bahawa Tuhan mengetahui yang Syaitan akan mencuba setiap tipu daya untuk memusnahkan manusia. Oleh sebab itu Tuhan telah membuatkan firman-Nya disuratkan dan membuat rancangan-Nya kepada manusia demikian mudah sehingga mereka yang lemah sekalipun tidak harus silap. Selepas Tuhan mengurniakan firman-Nya kepada manusia, Dia dengan teliti memeliharanya supaya Syaitan dan para iblisnya melalui mana-mana ejen-ejennya atau wakil-wakilnya tidak dapat memusnahkannya. Sementara buku-buku lain dapat dibinasakan, Buku suci ini adalah kekal untuk selama-lamanya. Menghampiri dipenghujung masa apabila tipu daya Syaitan bertambah-tambah, salinan-salinan Buku ini akan diperbanyakkkan berlipat kali ganda supaya sesiapa sahaja yang mengingininya akan mendapatkan satu naskah salinan pernyataan kehendak Tuhan kepada  manusia. Jika mereka memperolehinya, mereka boleh memperlengkapkan diri mereka dengan senjata itu bagi menentang penipuan dan kehairanan-kehairanan karut daripada Syaitan.

Aku melihat bahawa Tuhan telah melindungi Alkitab secara khusus. Namun ketika salinan Alkitab itu masih sedikit, manusia yang berpelajaran telah mengubah perkataan-perkataan tertentu. Mereka berbuat demikian dengan niat untuk menjadikan firman itu lebih jelas difahami. Apabila mereka bingung terhadap perkatan yang terang itu, mereka membuat pemahaman bersandarkan pandangan mereka yang sudah terbentuk iaitu yang dipengaruhi oleh tradisi. Tatapi aku melihat bahawa firman Tuhan itu secara keseluruhannya masih merupakan satu rantaian sempurna, satu bahagian Alkitab menjelaskan bahagian yang lain. Seseorang yang benar-benar mencari kebenaran tidak harus buat silap sebab bukan sahaja firman Tuhan itu jelas dan mudah untuk menyatakan jalan kepada kehidupan tetapi juga Roh Kudus telah diberikan untuk memimpin dalam memahami jalan kehidupan yang tercatat dalam firman-Nya.

Aku melihat bahawa malaikat-malaikat Tuhan tidak pernah mengawal kehendak manusia. Tuhan telah menetapkan kepada manusia kehidupan dan kematian. Manusia boleh membuat pilihannya sendiri. Ramai yang ingin hidup tetapi terus berjalan di jalan yang lebar sebab mereka tidak memilih kehidupan.
Aku melihat belas kasihan dan kasih Yahweh dalam menyerahkan Anak-Nya untuk mati bagi manusia bersalah.

Orang yang tidak menerima keselamatan yang telah dibeli dengan mahal untuk mereka akan dihukum. Makhluk yang diciptakan Tuhan telah memberontak menentang kerajaan-Nya. Tetapi aku melihat Tuhan tidak menyumbatkan mereka ke neraka untuk mengalami sengsara yang berkekalan. Tuhan tidak dapat membawa mereka ke syurga sebab jika mereka dikumpulkan bersama dengan orang-orang yang bersih dan suci mereka akan merasakan seksaan yang sesungguhnya. Tuhan tidak akan membawa mereka ke syurga dan tidak juga akan membuat mereka terseksa berkekalan. Tuhan akan memusnahkan mereka sepenuhnya seolah-olah mereka tidak pernah dilahirkan. Dengan yang demikian keadilan Tuhan akan digenapi. Tuhan telah membentuk manusia daripada debu tanah dan mereka yang tidak taat dan tidak suci akan dihanguskan oleh api dan kembali menjadi debu lagi. Aku melihat bahawa kemurahan dan belas kasihan Tuhan dalam hal  ini seharusnya telah membawa manusia untuk mengkagumi sifat Tuhan dan memuja-Nya. Selepas orang-orang jahat dimusnahkan daripada muka bumi ini, seluruh isi syurga akan berkata, “Amen.”

Syaitan sangat berpuas hati dengan mereka yang mengaku nama Kristus dan berpegang teguh kepada penipuan ini yang dirancangnya sendiri. Pekerjaannya adalah untuk sentiasa merancang penipuan-penipuan baru. Kuasanya meningkat dan dia bertambah licik. Dia memimpin wakil-wakilnya, para pope dan paderi, untuk meninggikan diri mereka. Dia menghasut orang untuk menganiaya dengan kejamnya mereka yang mengasihi Tuhan dan yang tidak mahu menyerah terhadap penipuannya yang diperkenalkan melalui ejen-ejennya itu. Syaitan menggerakkan ejen-ejennya untuk menghapuskan pengikut-pengikut setia Kristus. Oh, penderitaan-penderitaan dan azab yang mereka tanggungkan ke atas umat kesayangan Tuhan!  Malaikat-malaikat dengan setia mencatat semua peristiwa itu. Tetapi Syaitan dan para iblisnya sangat bergembira dan memberitahu para malaikat yang membuat catatan itu dan yang menguatkan orang-orang salih yang menderita itu, bahawa dia akan membunuh mereka sehingga tidak akan ada seorangpun orang Kristian benar yang tertinggal di muka bumi ini. Aku melihat bahawa gereja Tuhan masa itu adalah tulen. Tidak ada bahaya daripada orang-orang yang hatinya telah ternoda datang ke gereja Tuhan sebab orang Kristian benar yang berani mengisytiharkan imannya akan berhadapan dengan bahaya pangkin dan tiang penyeksa serta setiap bentuk penyeksa yang pernah dicipta oleh Syaitan dan para iblisnya dan ditanamkan ke dalam minda manusia.

Rujuk  :   Kejadian 3; Pengkhotbah 9:5, 12:7; Lukas 21:33; Yohanes 3:16; 2 Timotius 3:16;  Wahyu 20:14-15, 21:1, 22:12-19