Saturday, December 17, 2011

Masa Kesusahan Yakub

Aku melihat orang-orang kudus meninggalkan bandar-bandar dan kampung-kampung. Mereka bergabung bersama dalam kumpulan-kumpulan. Mereka tinggal di tempat-tempat yang paling terpencil. Para malaikat membekalkan makanan dan minuman kepada mereka tetapi orang-orang yang tidak percaya menderita kelaparan dan kehausan. Kemudian aku melihat para pemimpin bumi mengadakan perundingan. Syaitan dan para iblisnya pula sibuk di sekeliling mereka. Aku melihat satu surat dengan salinan-salinannya  bertaburan di merata tempat di seluruh negeri. Surat itu memerintahkan: kecuali orang-orang salih meninggalkan kepercayaan mereka yang khusus itu, meninggalkan Sabat dan memelihara hari yang pertama dalam minggu, selepas satu tempoh yang ditentukan, orang-orang yang tidak percaya itu adalah bebas untuk membunuh mereka. Tetapi dalam tempoh ujian ini, orang-orang kudus bersikap tenang dan tenteram. Mereka percaya kepada Tuhan. Mereka bersandar kepada janji-Nya bahawa akan disediakan jalan kelepasan bagi mereka. Di beberapa tempat yang lain, belumpun sampai masanya perintah itu dikuatkuasakan, orang-orang jahat itu bergegas maju ke arah orang-orang kudus untuk membunuh mereka. Tetapi para malaikat yang menyerupai pahlawan perang menentang mereka. Syaitan ingin sekali mengambil kesempatan itu untuk memusnahkan dan menghapuskan umat-umat kudus Yang Maha Tinggi. Tetapi Yesus menyuruh para malaikat-Nya melindungi mereka. Tuhan akan dipermuliakan di hadapan orang-orang yang tidak percaya di sekeliling umat-Nya dengan membuat satu perjanjian dengan mereka yang memelihara undang-undang-Nya. Yesus akan dipermuliakan dengan mengubah mereka yang setia tanpa mengalami kematian, mereka adalah orang-orang yang telah lama menunggu kedatangan Yesus.

Monday, December 12, 2011

Perutusan Malaikat ketiga Ditutup

35
Perhatianku dibawa kepada masa apabila perutusan malaikat ketiga hendak ditutup. Kuasa Tuhan hinggap pada umat-Nya. Mereka telah menyelesaikan pekerjaan dan disediakan untuk menghadapi masa kesukaran di hadapan mereka. Mereka telah menerima hujan akhir atau disegarkan oleh kehadiran Tuhan. Kesaksian hidup telah dipulihkan. Amaran keras terakhir diberitakan ke segala tempat. Perkara ini telah membangkitkan dan menimbulkan kemarahan kepada seluruh penduduk bumi yang tidak menerima perutusan itu.

Aku melihat malaikat-malaikat sibuk ke sana dan ke sini di syurga. Satu malaikat kembali dari bumi dengan buli-buli dakwat penulis di sisinya melaporkan kepada Yesus bahawa pekerjaannya telah di laksanakan dan orang-orang salih telah dihitung dan dimeteraikan. Kemudian aku melihat Yesus yang telah melakukan pelayanan-Nya di hadapan Peti Perjanjian yang mengandungi Sepuluh Hukum, melemparkan ukupan ke bawah. Dia mengangkat tangan-Nya ke atas dan dengan suara yang kuat, berkata, “Sudah selesai!” Seluruh malaikat syurga menanggalkan mahkota masing-masing ketika Yesus membuat pengisytiharan penuh takzim, “Barang siapa yang berbuat jahat, biarlah ia terus berbuat jahat; barang siapa yang cemar, biarlah ia terus cemar; dan barang siapa yang benar, biarlah ia terus berbuat kebenaran; barang siapa yang kudus, biarlah ia terus menguduskan dirinya!”

Aku melihat bahawa setiap kes telahpun ditetapkan sama ada mati atau hidup. Yesus telah menghapuskan dosa-dosa umat-Nya. Dia telah menerima kerajaan-Nya dan pendamaian telah dilakukan untuk warga negara kerajaan-Nya. Ketika Yesus sedang mengadakan pelayanan-Nya dalam Sanktuari, penghakiman dijalankan ke atas orang-orang benar yang sudah mati diikuti dengan orang-orang benar yang masih hidup. Rakyat kerajaan itu sudah ditetapkan. Perkahwinan Domba sudah selesai. Kerajaan itu dan kebesaran kerajaan itu di bawah seluruh langit telah dikurniakan kepada Yesus dan pewaris keselamatan. Yesus memerintah sebagai Raja atas segala raja dan Tuhan atas segala tuhan.

Ketika Yesus bergerak keluar dari tempat Maha Suci, aku mendengar deringan loceng-loceng pada pakaian-Nya dan ketika Dia meninggalkan tempat itu, satu awan gelap menutupi penghuni bumi. Pada ketika itu tidak ada lagi pengantara di antara orang-orang bersalah dengan Tuhan yang telah disinggung. Pada masa Yesus masih berdiri di antara Tuhan dengan manusia yang bersalah, satu kekangan diberikan kepada manusia. Tetapi bila Yesus berpindah dari perantaraan antara manusia dengan Bapa, kekangan itu telah dilepaskan dan Syaitan pun berkuasa atas manusia. Adalah mustahil malapetaka dicurahkan selagi Yesus masih menjalankan upacara-Nya di Sanktuari. Tetapi bila pekerjaan-Nya di situ sudah selesai, bila pengantaraan-Nya sudah berakhir, tidak ada satupun yang akan dapat menahan murka Tuhan. Murka-Nya itu akan memecahkan kepala orang-orang berdosa yang bersalah yang tanpa pelindung itu yang telah meremehkan keselamatan dan membenci teguran. Selepas pengantaraan Yesus tamat, masa ini adalah yang menakutkan.  Orang-orang salih pada masa yang menakutkan itu, selepas berakhirnya pengantaraan Yesus, hidup dalam pandangan Tuhan yang kudus tanpa satu pengantara. Setiap kes sudah diputuskan dan setiap permata telah dikira. Yesus berlengah sekejap di luar apartmen Sanktuari syurga. Dosa-dosa yang telah diakui ketika Yesus berada di tempat Maha Suci, Yesus letakkan semula kepada pemula dosa iaitu si Jahat. Dia mesti menerima hukuman dari dosa-dosa ini.

Kemudian aku melihat bahawa Yesus menanggalkan pakaian keimamatan-Nya dan menggantikannya dengan jubah di raja – pada kepala-Nya banyak mahkota, satu mahkota dalam satu mahkota –dengan dikelilingi oleh seluruh malaikat, Yesus meninggalkan syurga.

Malapetaka demi malapetaka menimpa penghuni bumi. Sebahagian dari mereka mengecam Tuhan dan mengutuk-Nya. Sebahagian yang lain bergegas menemui umat Tuhan dan merayu supaya diajar bagaimana melepaskan diri daripada penghakiman Tuhan. Tetap orang-orang salih itu tidak mempunyai apa-apa lagi untuk mereka. Air mata terakhir bagi orang-orang berdosa telah dicurahkan. Doa mengazabkan yang terakhir telahpun dilafazkan. Beban terakhir telahpun dipikul. Tidak ada lagi suara belas kasihan yang merdu menjemput mereka. Nota amaran terakhir telahpun diberikan. Pada masa orang-orang salih dan seluruh syurga berminat untuk keselamatan mereka, orang-orang berdosa itu sendiri tidak berminat untuk diselamatkan. Kehidupan dan kematian telah disediakan di hadapan mereka. Banyak orang yang mengingini kehidupan tetapi mereka langsung tidak berusaha mendapatkannya. Mereka tidak memilih kehidupan dan kini tidak ada lagi darah pendamaian untuk menyucikan orang-orang berdosa. Tidak ada lagi Juruselamat berbelas kasihan yang merayu untuk mereka dan berseru, “Kasihanilah, kasihanilah orang berdosa itu untuk seketika lamanya.” Seluruh syurga bersatu dengan Yesus, ketika mereka mendengar kata-kata yang menggerunkan, “Sudah selesai. Sudah berakhir.” Rancangan penyelamatan telah dilaksanakan. Tetapi sedikit sahaja orang yang menerima rancangan itu. Ketika suara merdu belas kasihan semakin padam, rasa ketakutan dan kegerunan menyelubungi mereka. Amat jelas sekali dalam pendengaran mereka, kata-kata, “Sudah terlambat! Sudah terlambat!”

Mereka yang tidak menghargai firman Tuhan bergegas ke sana dan ke sini. Mereka mengembara dari laut ke laut dan dari utara ke timur mencari firman Tuhan. Malaikat itu berkata, “Mereka tidak akan menemuinya, akan ada kebuluran di daratan. Bukan kebuluran akan roti atau dahagakan air tetapi mendengar akan Firman Tuhan. Apakah yang mereka tidak akan berikan untuk satu kata restu dari Tuhan? Tetapi tidak, mereka mesti terus lapar dan dahaga. Hari demi hari mereka meremehkan penyelamatan. Mereka lebih menghargai keseronokan dan kekayaan duniawi daripada tarikan dan harta syurga. Mereka telah menolak Yesus dan menghina orang-orang salih-Nya. Mereka yang cemar tetap cemar untuk selama-lamanya.”

Sebahagian besar orang-orang jahat itu sangatlah marah bila menderita dari kesan-kesan malapetaka itu. Suatu pemandangan azab yang menakutkan. Ibubapa dengan pahitnya menegur anak-anak mereka dan anak-anak menegur ibu bapa mereka, anak-anak lelaki menegur anak-anak perempuan dan sebaliknya. Suara tangisan yang kuat kedengaran dari segala arah, “kamulah yang telah menghalang saya daripada menerima kebenaran itu, kebenaran yang dapat menyelamatkan saya daripada tempoh yang amat teruk ini. Orang-orang itu berpaling kepada para pelayan rohani dengan kebencian yang sangat pahit, menegur dan mengatakan kepada mereka, “Kamu tidak pernah memberi amaran kepada kami. Kamu telah memberitahu kami bahawa seluruh bumi akan diubah dan berseru, “Damai, damai”  untuk melenyapkan rasa ketakutan yang timbul. Kamu tidak pernah memberitahu kami tentang masa ini. Mereka yang memberi amaran kepada kami tentang masa ini, kamu kata fanatik dan orang jahat yang akan merosakkan kami.” Aku melihat pelayan-pelayan rohani itu tidak terlepas daripada murka Tuhan. Hukuman yang dijatuhkan kepada mereka adalah sepuluh kali ganda lebih berat daripada yang dialami oleh para pengikut mereka.

Rujuk : Yehzkiel 9:2-11; Daniel 7:27; Hosea 6:3; Amos 8:11-13; Wahyu 16, 17:14

Thursday, December 08, 2011

Seruan Lantang

34
Aku melihat malaikat-malaikat bergegas ke sana ke mari di syurga. Mereka turun ke bumi dan naik lagi ke syurga, bersedia bagi kegenapan beberapa peristiwa penting. Kemudian aku melihat satu lagi malaikat perkasa disuruh turun ke bumi dan menyatukan suaranya dengan malaikat yang ketiga serta memberikan kuasa dan kekuatan kepada perutusannya. Kuasa besar dan kemuliaan diserahkan kepada malaikat itu. Ketika dia turun ke bawah, bumi diterangi dengan kemuliaannya. Terang yang bersinar di belakang dan di hadapan malaikat itu menerobos ke semua tempat ketika dia berseru dengan perkasa, dengan satu suara yang kuat, berkata, “Sudah roboh, sudah roboh Babel kota besar itu, ia telah menjadi tempat kediaman roh-roh jahat dan tempat bersembunyi segala burung yang najis dan yang dibenci.” Mesej kejatuhan Babel yang telah diberikan oleh malaikat kedua diberikan sekali lagi dengan tambahan tentang kecurangan yang telah menyusup masuk ke dalam gereja-gereja sejak 1844. Pekerjaan malaikat ini datang kena pada masanya, bergabung dalam pekerjaan besar terakhir perutusan malaikat ketiga, ketika pekerjaan itu berkembang menjadi satu seruan lantang. Umat Tuhan diangkat di mana-mana untuk berdiri pada masa pencubaan yang mereka akan hadapi tidak lama lagi. Aku melihat satu terang besar bersinar atas mereka  dan mereka bersatu dalam perutusan serta tanpa takut memberitakan dengan kuasa besar perutusan malaikat ketiga.

Malaikat-malaikat diutus untuk membantu malaikat perkasa dari syurga itu dan aku mendengar suara-suara seperti datangnya dari pelbagai arah, mengatakan, “Pergilah kamu, hai umat-Ku, pergilah daripadanya supaya kamu jangan mengambil bahagian dalam dosa-dosanya, dan supaya kamu jangan turut ditimpa malapetaka-malapetakanya.” Perutusan ini kedengarannya seperti satu tambahan kepada perutusan ketiga, bergabung dengannya, seperti seruan tengah malam menyertai perutusan malaikat kedua pada tahun 1844. Kemuliaan Tuhan hinggap pada orang-orang salih yang sabar menanti dan mereka dengan tidak takut-takut memberi amaran terakhir yang penuh takzim, mengisytiharkan kejatuhan Babel dan memanggil umat Tuhan keluar daripadanya supaya mereka terlepas daripada kemusnahan yang mengerikan.

Terang yang dipancarkan kepada orang-orang yang menunggu itu, menerobos ke merata tempat dan mereka yang mempunyai sebarang terang dalam gereja, yang tidak pernah mendengar dan menolak ketiga-tiga perutusan itu menyahut panggilan itu lalu meninggalkan gereja-gereja yang sudah jatuh. Banyak di antara mereka yang telah bertahun-tahun dalam pertanggungjawaban sejak perutusan ini diberikan dan terang bersinar ke atas mereka. Mereka mendapat keistimewaan untuk memilih hidup atau mati. Sebahagian memilih hidup dan mengambil pendirian dengan mereka yang menantikan Tuhan serta menuruti semua hukum-hukum-Nya. Perutusan ketiga adalah untuk melakukan pekerjaannya. Semua orang akan diuji ke atasnya dan mereka yang dikasihi dipanggil keluar daripada pertubuhan keagamaan. Satu kuasa pendorong menggerakkan orang-orang yang jujur sementara manifestasi kuasa Tuhan menimbulkan ketakutan dan mengekang saudara mara dan sahabat handai. Mereka tidak berani dan tidak juga berkuasa menghalang orang-orang yang merasakan pekerjaan Roh Tuhan yang ada pada diri mereka. Panggilan terakhir telah dilaksanakan hingga kepada para hamba yang miskin sekalipun dan yang warak di antara mereka dengan air muka yang rendah hati meluahkan lagu-lagu kegirangan yang teramat sangat kerana menjangkakan penyelamatan mereka yang menggembirakan itu kerana tuan mereka tidak dapat mengawasi mereka lagi, sebab satu ketakutan dan kekaguman membuatkan mereka terdiam.

Mukjizat perkasa pun berlaku, yang sakit disembuhkan, tanda-tanda dan keajaiban mengikuti orang-orang yang percaya. Tuhan melakukan pekerjaan-Nya dan setiap orang salih tanpa menghiraukan akibat-akibatnya menuruti hati nurani masing-masing.

Mereka bersatu dengan kumpulan yang memelihara semua hukum Tuhan dan mereka mengumandangkan perutusan ketiga dengan kuasa hingga ke seberang laut. Aku melihat bahawa perutusan ketiga akan ditutup dengan kuasa dan kekuatan yang jauh lebih besar daripada seruan tengah malam.

Hamba-hamba Tuhan, dikurniakan dengan kuasa dari atas dengan wajah mereka yang bersinar-sinar dan bercahaya dengan penyerahan suci mara terus menyelesaikan pekerjaan mereka dan memberitakan perutusan dari syurga. Jiwa-jiwa yang bertaburan di seluruh badan-badan keagamaan menyahut pangilan itu dan orang-orang yang dikasihi itu bergegas keluar daripada gereja-gereja yang akan mengalami kemusnahan sebagaimana Lot bergegas keluar daripada Sodom sebelum kemusnahannya. Umat Tuhan diangkat dan diperkuatkan dengan kemuliaan gemilang yang jatuh ke atas mereka dengan berkelimpahan, menyediakan mereka untuk bertahan dalam masa godaan. Satu suara banyak orang kedengaran kepadaku di merata tempat, mengatakan, “Di sinilah kesabaran orang-orang salih, merekalah yang memelihara hukum-hukum Tuhan dan iman kepada Yesus.”

Rujuk : Kejadian 19;  Wahyu 14:12, 18:2-5

Sunday, December 04, 2011

Dosa-Dosa Babilon

33
Aku melihat keadaan pelbagai gereja sejak dari malaikat kedua memberitakan kejatuhan gereja-gereja itu. Mereka telah bertumbuh lebih cemar, namun mereka masih menggunakan nama sebagai penganut-penganut Kristus. Adalah mustahil membezakan di antara mereka dengan dunia. Pemimpin rohani mereka mengambil ayat-ayat daripada Firman tetapi berkhutbah tentang hal-hal yang menyenangkan. Hati yang sudah biasa tidak akan membantah terhadap perkara tersebut. Hanya roh dan kuasa kebenaran dan penyelamatan oleh Kristus yang menjadi kebencian bagi hati duniawi. Tidak ada satupun dalam pelayanan popular yang boleh membangkitkan kemarahan Syaitan menyebabkan orang-orang berdosa menggeletar atau mengenakan kepada hati atau nurani mengenai hakikat yang menakutkan bahawa ada satu penghakiman yang akan datang segera. Manusia jahat biasanya menyenangi satu formaliti tanpa kerohanian yang betul dan mereka akan membantu serta menyokong satu agama sedemikian. Kata malaikat itu, “Tidak ada, yang kurang daripada seluruh perisai kebenaran, yang dapat mengatasi dan mengekalkan kemenangan ke atas kuasa-kuasa kegelapan.” Syaitan telah memiliki sepenuhnya gereja-gereja itu sebagai satu tubuh. Kata-kata dan perbuatan-perbuatan manusia itulah yang diberi tumpuan dan bukannya kebenaran firman Tuhan yang jelas dan terang. Kata malaikat itu, “Persahabatan dan roh dari dunia sedang bermusuhan dengan Tuhan.” Apabila kebenaran dalam kesederhanaan dan dalam kekuatan sebagaimana pada zaman Yesus diangkat menentang roh dunia, roh penganiayaan akan bangkit dengan serta merta. Banyak, sangat banyak orang mengaku sebagai Kristian yang tidak mengenal Tuhan. Ciri-ciri hati yang sudah biasa dengan dunia tidak pernah berubah dan minda duniawi kekal bermusuhan dengan Tuhan. Mereka merupakan hamba-hamba setia Syaitan walaupun mereka menggunakan nama yang lain.

Aku melihat bahawa sejak Yesus meninggalkan tempat yang suci di Sanktuari syurga itu dan telah memasuki kelubung kedua, gereja-gereja itu telah ditinggalkan sebagaimana orang-orang Yahudi. Gereja-gereja itu telah diisi dengan segala burung yang cemar dan dibenci. Aku melihat kekejian dan kejahatan besar dalam gereja-gereja namun mereka masih mengaku sebagai Kristian. Pengakuan-pengakuan, doa-doa  dan gesaan-gesaan mereka merupakan kekejian pada pandangan Tuhan. Kata malaikat itu, “Tuhan tidak akan menghidu di dalam perkumpulan mereka.” Mementingkan diri, menipu dan memperdaya adalah amalan biasa mereka tanpa teguran daripada hati nurani mereka. Di atas semua ciri-ciri kejahatan itu, mereka mencampakkan jubah agama. Aku diperlihatkan kepada keangkuhan gereja-gereja yang pada nama sahaja. Tuhan bukan dalam pemikiran mereka. Tetapi minda duniawi memenuhi diri mereka. Mereka menghiasi tubuh badan mereka yang fana lagi miskin, kemudian memandang kepada diri mereka sendiri dengan penuh kepuasan dan keseronokan. Yesus dan malaikat-malaikat-Nya memandang mereka dalam kemarahan. Kata malaikat itu, “Dosa-dosa dan keangkuhan mereka sudah sampai ke syurga. Bahagian untuk mereka sudah disediakan. Pengadilan dan penghakiman sudah begitu lama tertidur tetapi akan bangun tidak lama lagi.” Firman Tuhan, “Pembalasan kepunyaan-Ku dan Aku akan membalaskannya.” Ancaman yang menakutkan daripada malaikat ketiga akan menjadi kenyataan dan mereka akan minum daripada murka Tuhan. Seluruh iblis yang tidak terkira banyaknya tersebar di seluruh bumi. Gereja-gereja dan pertubuhan-pertubuhan agama dipenuhi oleh iblis-iblis itu. Mereka memandang ke atas badan-badan agama itu dengan penuh kegembiraan, sebab jubah agama telah menutupi jenayah dan kejahatan yang terbesar sekali.

Seluruh syurga melihat dengan marah; manusia, ciptaan Tuhan, telah jatuh kepada keadaan paling rendah, setara dengan ciptaan tidak berakal oleh sesama manusia.

Orang-orang yang mengaku sebagai pengikut Juruselamat yang dikasihi yang belas kasihan-Nya sentiasa digerakkan ketika Dia menyaksikan penderitaan manusia, benar-benar terlibat dalam dosa besar dan teruk ini, berurusan dengan perhambaan dan jiwa-jiwa manusia. Malaikat-malaikat telah mencatat semuanya itu. Hal itu telah dicatat dalam buku. Air mata hamba abdi salih lelaki dan perempuan, terdiri daripada bapa-bapa, ibu-ibu dan anak-anak, abang-abang dan kakak-kakak, semuanya di simpan di syurga. Azab, keazaban manusia dibawa dari satu tempat ke satu tempat, dijual beli. Tuhan akan menahan murka-Nya untuk sedikit masa sahaja. Kemurkaan-Nya akan membakar bangsa ini, terutama sekali terhadap badan-badan agama yang telah memberi persetujuan dan terlibat secara langsung dalam urusan pedagangan yang dahsyat ini. Dalam ketidakadilan, penindasan dan penderitaan sedemikian, banyak orang yang mangaku sebagai pengikut Yesus, yang penurut dan rendah hati itu, boleh menyaksikan dengan sikap tidak ambil kisah yang tidak berhati perut. Banyak di antara mereka boleh menyusahkan dengan kepuasan yang penuh kebencian, semua keazaban yang tidak dapat dijelaskan oleh mereka sendiri, namun masih berani menyembah Tuhan. Hal itu merupakan betul-betul suatu penghinaan dan Syaitan  sungguh berbesar hati dengan hal tersebut. Syaitan menegur Yesus dan malaikat-malaikat-Nya dengan keadaan yang tidak konsisten itu, dengan perasaan  gembira bagaikan hendak gila, katanya, “Begitulah pengikut Kristus?”

Orang-orang yang mengaku Kristian ini membaca kisah penderitaan orang-orang yang mati syahid dan air mata mengalir membasahi pipi mereka. Mereka tertanya-tanya dalam hati betapa kerasnya hati penganiaya itu yang mengamalkan kezaliman tidak berperikemanusiaan terhadap sesama manusia, tetapi pada masa yang sama orang-orang yang mengaku Kristian ini menahan sesamanya manusia dalam perhambaan. Bukan ini sahaja. Bahkan mereka telah memutuskan ikatan alam dan dengan zalimnya mereka menindas sesamanya manusia setiap hari. Mereka mengenakan penderaan paling tidak berperikemanusiaan dengan kezaliman tak henti-henti. Perbuatan mereka itu samalah seperti kezaliman yang dilakukan oleh pengikut-pengikut pope dan orang-orang kafir terhadap pengikut-pengikut Kristus. Kata malaikat itu, “Boleh lagi ditahan bagi orang-orang kafir dan pengikut-pengikut pope pada hari Tuhan menjatuhkan hukuman berbanding dengan perbuatan orang-orang ini.” Tangisan dan penderitaan orang-orang yang ditindas itu telah sampai ke syurga. Para malaikat berdiri tergamam melihat penderitaan tanpa rasa simpati, tidak terkatakan, mengazabkan, yang manusia, yang diciptakan  menurut imej Penciptanya, lakukan terhadap sesamanya manusia. Kata malaikat itu, “Nama orang-orang itu akan tertulis dalam darah, dipangkah dengan jalur-jalur, dibanjiri dengan air mata penderitaan yang meluap-luap dan mengazabkan.” Kemarahan Tuhan tidak akan padam sehinggalah Dia memberi minum keladak dari cawan murka-Nya kepada tanah terang itu dan sehinggalah Dia memberikan upah-Nya dua kali ganda kepada Babilon. Memberikan upah kepadanya sebagaimana memberi upah kepadamu. Dua kali ganda kepadanya, dua kali ganda menurut perbuatannya: ke dalam cawan yang diisikannya, diisikan kepadanya dua kali ganda.”

Aku melihat pemilik-pemilik hamba abdi akan menjawab bagi jiwa hamba-hamba abdinya yang dibiarkannya dalam kejahilan dan semua dosa hamba abdinya akan ditanggungkan kepada tuannya. Tuhan tidak boleh membawa hamba abdi itu ke syurga, yang dibiarkan dalam kejahilan dan keruntuhan, tidak mengetahui apa-apapun tentang Tuhan atau tentang Alkitab, yang tidak takut kepada sesiapapun kecuali sebatan dari tuannya, yang tidak memegang satu kedudukan yang lebih tinggi daripada binatang-binatang buas milik tuannya.

Tetapi Dia akan melakukan sesuatu yang terbaik kepadanya, yang dapat dilakukan oleh Tuhan yang penuh dengan belas kasihan.Tuhan akan melakukan sesuatu bagaikan mereka itu tidak pernah wujud manakala tuan-tuan mereka akan menderita tujuh bala yang terakhir dan bangkit pada kebangkitan kedua untuk menderita kematian kedua yang amat hebat. Kemudian murka Tuhan akan padam.

Rujuk : Amos 5:21; Roma 12:9; Wahyu 14:9-10, 18:6