Sunday, January 29, 2012

Upah Orang-Orang Salih

38
Kemudian aku melihat bilangan besar malaikat yang membawa mahkota mulia dari kota kudus. Satu mahkota bagi setiap orang salih yang diselamatkan. Nama penerimanya tertulis pada setiap mahkota itu. Bila Yesus meminta mahkota itu, para malaikat menyerahkan mahkota-mahkota itu kepada-Nya. Yesus yang indah dengan tangan kanan-Nya meletakkan mahkota-mahkota itu di atas kepala setiap orang salih. Dengan cara yang sama para malaikat membawakan kecapi-kecapi dan Yesus mengurniakan kecapi-kecapi itu kepada orang-orang salih. Kemudian para panglima malaikat memainkan muzik diikuti dengan suara yang hebat dan penuh kesyukuran menyanyikan lagu pujian. Setiap tangan orang-orang salih memainkan kecapi masing-masing mendendangkan muzik yang amat merdu. Kemudian aku melihat Yesus mendahului orang-orang yang diselamatkan itu menuju ke pintu kota kudus itu. Yesus dengan tangan pada pintu itu membukanya dan menghayunkannya ke belakang pada engselnya yang gemerlapan dan menjemput semua bangsa yang memelihara kebenaran masuk ke dalam kota itu. Di dalam kota itu terdapat apa sahaja yang menyenangkan mata. Mereka melihat segala kemuliaan berlimpah memenuhi segala ruang. Kemudian Yesus memandang ke arah semua umat-Nya yang telah diselamatkan. Wajah-wajah mereka bersinar-sinar dengan kemuliaan. Ketika Dia menatap mereka dengan pandangan kasih, Dia berkata dengan suara yang teramat merdu, “Aku telah melihat usaha jiwa-Ku dan amat berpuas hati. Kemuliaan yang teramat sangat ini adalah untuk kamu nikmati selama-lamanya. Kesengsaraan kamu telah berakhir. Tidak akan ada lagi kematian atau kesengsaraan atau ratap tangis dan tidak akan ada lagi kesakitan.” Aku melihat semua yang diselamatkan itu meletakkan mahkota masing-masing yang berkilau-kilauan itu di kaki Yesus. Kemudian, sementara Yesus membangkitkan mereka dengan tangan-Nya yang indah itu, mereka memainkan kecapi keemasan masing-masing mendendangkan muzik dan nyanyian pujian Anak Domba yang teramat merdu memenuhi seluruh ruang syurga.

Kemudian aku melihat Yesus mendahului umat-Nya ke pohon kehidupan. Sekali lagi kita mendengar suara-Nya yang amat merdu, lebih merdu daripada mana-mana muzik yang pernah didengar oleh telinga yang fana, berkata, “Daun-daun dari pohon ini adalah untuk menyembuhkan bangsa-bangsa. Kamu makanlah daun-daun itu.” Pada pohon kehidupan itu terdapat buah-buah yang tersangat indah yang boleh dimakan oleh orang-orang salih dengan bebas. Di tengah kota itu terletak takhta yang teramat mulia. Dari takhta itu mengalir air sungai kehidupan yang jernih seperti hablur. Pada kedua-dua tebing sungai kehidupan itu terdapat pohon yang indah dengan buah-buah yang baik untuk dimakan. Bahasa manusia adalah sangat lemah untuk menghuraikan suasana syurga. Ketika penglihatan itu ditayangkan di hadapanku, aku kelu dalam kekaguman. Kerana terbawa-bawa dengan kehebatan yang teramat sangat dan kemuliaan yang tidak terkatakan, aku meletakkan pen dan meluahkan perasaan, “Oh, betapa kasihnya! Betapa amat indahnya kasih!” Bahasa yang paling tinggi pun tidak dapat menghuraikan kemuliaan syurga atau mengukur betapa dalamnya kasih Juruselamat.

Rujuk : Wahyu 21:4; 22:1-2

No comments:

Post a Comment