Wednesday, February 08, 2012

Kebangkitan Kedua

40
Yesus Kristus, semua rombongan malaikat suci dan semua orang salih yang diselamatkan meninggalkan kota itu. Malaikat-malaikat  suci itu mengelilingi Panglima agung mereka. Para malaikat itu mengiringi-Nya di sepanjang perjalanan-Nya, diikuti oleh rombongan orang salih yang diselamatkan. Dalam keagungan yang hebat dan menggerunkan, Yesus memanggil keluar orang-orang yang tidak percaya dari kematian. Mereka bangkit dengan tubuh mereka yang sama seperti pada masa mereka dikuburkan. Lemah dan sakit. Peristiwa itu sungguh dahsyat. Satu pemandangan yang menakjubkan. Pada saat pertama kebangkitan itu, semua orang bangkit serentak bagaikan kembangan kekal, tetapi selepas itu tanda-tanda kutuk jelas kelihatan pada setiap manusia. Raja-raja dan para bangsawan bumi yang berdarjat tinggi dan rendah, yang berpelajaran dan yang tidak berpelajaran tampil bersama-sama ke hadapan. Mereka semua memandang ke arah Anak Manusia. Orang-orang yang menghina dan mengolok-olok Yesus, orang-orang yang meletakkan mahkota duri di dahi suci-Nya dan yang memukulnya dengan batang buluh melihat-Nya dalam segala keagungan raja. Mereka yang meludahi-Nya ketika Dia dalam dewan pengadilan, kini berpaling daripada renungan-Nya yang tajam dan daripada kemuliaan wajah-Nya. Mereka yang telah menukulkan paku hingga menembusi tangan dan kaki-Nya memandang ke arah bekas-bekas penyaliban-Nya. Mereka yang telah menikam rusuk-Nya dengan lembing, kini memandang tanda-tanda kezaliman pada tubuh-Nya. Mereka menyedari bahawa Dialah yang mereka telah salibkan dan ejek-ejek ketika mengalami kesakitan yang teramat perit. Kemudian, bergema tangisan panjang yang berterusan akibat kesakitan ketika mereka melarikan diri menyembunyikan diri dari kehadiran Raja atas segala raja dan Tuhan atas segala tuhan.

Mereka mencari persembunyian di celah-celah batu, menyembunyikan diri daripada kehebatan kemuliaan-Nya, Dia yang pada satu ketika dahulu mereka ejek-ejek. Dalam keadaan tenggelam dan terseksa oleh kemuliaan-Nya yang maha besar dan kehebatan-Nya yang teramat sangat, dengan keluhan teruk yang sangat nyata, mereka dalam satu nada, bersuara, “Diberkatilah Dia yang datang dalam nama Tuhan.”

Kemudian, Yesus dan para malaikat suci diiringi oleh semua orang salih sekali lagi masuk ke kota. Ketika ini ratapan dan tangisan pahit orang-orang jahat yang akan dibinasakan itu bergema di angkasa. Aku melihat Syaitan itu sekali lagi memulakan pekerjaannya. Dia menemui para pengikutnya. Syaitan membuatkan yang lemah dan tidak berdaya itu menjadi kuat. Dia memberitahu mereka bahawa dia dan para iblisnya adalah sangat berkuasa. Dia menunjuk ke arah manusia yang telah dibangkitkan. Tidak terhitung juta banyaknya. Dalam himpunan besar itu terdapat raja-raja dan pejuang yang mahir dalam pertempuran dan pernah menakluki kerajaan-kerajaan. Terdapat juga manusia yang gagah perkasa dan sangat berani yang tidak pernah kalah dalam pertempuran. Kelihatan juga Napoleon yang bongkak, seorang yang bercita-cita tinggi dengan pendekatannya yang menyebabkan kerajaan-kerajaan di bumi dalam zamannya gementar. Terdapat juga manusia yang berdiri dengan badannya sangat tinggi dan perawakan mulia yang telah gugur dalam pertempuran ketika berasa dahaga untuk menakluki. Ketika keluar daripada kubur masing-masing, mereka menyambung pemikiran mereka yang terhenti pada saat mereka menghembuskan nafas yang terakhir. Mereka masih mempunyai keinginan untuk menakluki, satu keinginan yang menguasai ketika mereka gugur. Syaitan bermuafakat dengan para iblisnya.

Kemudian Syaitan berpakat dengan para raja-raja, para penakluk dan orang-orang yang gagah perkasa. Kemudian Syaitan memandang ke arah himpunan tentera yang amat besar. Dia memberitahu mereka bahawa bilangan penghuni di kota itu kecil sahaja dan lemah. Dia mengatakan bahawa mereka boleh pergi ke situ, menawan kota itu, membuang keluar penghuninya dan seterusnya memiliki kekayaan dan kemuliaan untuk diri mereka.

Syaitan berjaya menipu mereka. Angkatan tentera itu kemudiannya menyediakan diri untuk menyerang. Terdapat orang-orang yang mahir dalam angkatan tentera besar itu. Mereka membuat segala jenis senjata perang. Dengan Syaitan sebagai ketua, angkatan tentera itu maju ke hadapan. Raja-raja dan panglima perang menyusul tidak jauh dari belakang Syaitan. Anggota tentera secara berpasukan itu mengikuti dari belakang raja-raja dan panglima perang mereka. Setiap pasukan mempunyai pemimpin. Peraturan dipatuhi ketika mereka berjalan melalui permukan bumi yang sudah pecah-pecah menuju Kota Suci itu. Yesus menutup pintu Kota itu. Angkatan tentera besar itu mengepung Kota itu dan mengambil kedudukan untuk menyerang. Mereka sudah menyediakan semua jenis senjata perang menjangka akan berhadapan dengan satu peperangan yang dahsyat. Mereka mengatur kedudukan bagi mengepung Kota itu. Yesus dan seluruh malaikat dengan mahkota yang gemerlapan di kepala mereka masing-masing dan semua orang salih dengan mahkota cerah naik ke atas tembok Kota. Yesus berkata dengan keagungan, kata-Nya “Kamu orang-orang berdosa, lihatlah upah orang-orang yang benar! Kamu umat-Ku yang telah diselamatkan, lihatlah upah orang-orang jahat! Kumpulan besar manusia itu melihat kemuliaan kumpulan orang di atas tembok Kota itu. Ketika orang-orang di luar kota itu menyaksikan kehebatan mahkota-mahkota mereka yang gemerlapan itu dan melihat muka mereka yang bersinar-sinar dengan kemuliaan yang memantulkan imej Yesus, kemudian melihat kemuliaan dan kehebatan Raja atas segala raja dan Tuhan atas segala tuhan yang tiada tolok bandingnya, semangat mereka menjadi pudar. Rasa memiliki dan kemuliaan yang mereka telah hilang itu dengan tiba-tiba timbul dalam sanubari mereka dan kini mereka menyedari bahawa upah dosa adalah maut. Mereka melihat kumpulan suci dan gembira, dahulunya mereka benci, kini diselubungi kemuliaan, kehormatan, keabadian dan hidup kekal sementara mereka  berada di luar Kota dengan segala kejahatan dan hal-hal yang menjijikkan.

Rujuk : Matius 23:29; Wahyu 6:15-16, 20:7-9, 22:12-15.

2 comments:

  1. Thanks for sharing this. Yesus itu juruselamat kita semua..

    ReplyDelete
  2. artikel g dapat menambah pengetahuan kawan
    terima kasih sudah berbagi

    ReplyDelete