Wednesday, February 08, 2012

Kebangkitan Kedua

40
Yesus Kristus, semua rombongan malaikat suci dan semua orang salih yang diselamatkan meninggalkan kota itu. Malaikat-malaikat  suci itu mengelilingi Panglima agung mereka. Para malaikat itu mengiringi-Nya di sepanjang perjalanan-Nya, diikuti oleh rombongan orang salih yang diselamatkan. Dalam keagungan yang hebat dan menggerunkan, Yesus memanggil keluar orang-orang yang tidak percaya dari kematian. Mereka bangkit dengan tubuh mereka yang sama seperti pada masa mereka dikuburkan. Lemah dan sakit. Peristiwa itu sungguh dahsyat. Satu pemandangan yang menakjubkan. Pada saat pertama kebangkitan itu, semua orang bangkit serentak bagaikan kembangan kekal, tetapi selepas itu tanda-tanda kutuk jelas kelihatan pada setiap manusia. Raja-raja dan para bangsawan bumi yang berdarjat tinggi dan rendah, yang berpelajaran dan yang tidak berpelajaran tampil bersama-sama ke hadapan. Mereka semua memandang ke arah Anak Manusia. Orang-orang yang menghina dan mengolok-olok Yesus, orang-orang yang meletakkan mahkota duri di dahi suci-Nya dan yang memukulnya dengan batang buluh melihat-Nya dalam segala keagungan raja. Mereka yang meludahi-Nya ketika Dia dalam dewan pengadilan, kini berpaling daripada renungan-Nya yang tajam dan daripada kemuliaan wajah-Nya. Mereka yang telah menukulkan paku hingga menembusi tangan dan kaki-Nya memandang ke arah bekas-bekas penyaliban-Nya. Mereka yang telah menikam rusuk-Nya dengan lembing, kini memandang tanda-tanda kezaliman pada tubuh-Nya. Mereka menyedari bahawa Dialah yang mereka telah salibkan dan ejek-ejek ketika mengalami kesakitan yang teramat perit. Kemudian, bergema tangisan panjang yang berterusan akibat kesakitan ketika mereka melarikan diri menyembunyikan diri dari kehadiran Raja atas segala raja dan Tuhan atas segala tuhan.

Wednesday, February 01, 2012

Bumi Dikosongkan

39
 
Kemudian aku memandang ke bumi. Orang-orang jahat sudah mati. Mayat mereka bergelimpangan di muka bumi. Murka Tuhan dalam tujuh bala terakhir telah menimpa penghuni bumi menyebabkan mereka menggigit lidah. Mereka menggigit lidah kerana kesakitan yang teramat perit. Mereka mengutuk Tuhan. Para gembala palsu menjadi objek tanda kemurkaan Tuhan. Biji mata mereka hancur dalam soketnya. Lidah musnah dalam mulut mereka ketika mereka masih berdiri di atas kaki masing-masing. Selepas orang-orang salih diselamatkan dengan firman Tuhan, kumpulan lautan manusia yang masih berada di bumi melepaskan rasa marah dan geram kepada sesama mereka. Bumi seperti dilanda banjir darah. Mayat bergelimpangan menutupi seluruh permukaan bumi.

Bumi kelihatan seperti padang belantara yang tandus. Gempa bumi yang amat dahsyat telah meruntuhkan bandaraya-bandaraya dan kampung-kampung menjadi longgokan-longgokan kemusnahan di merata tempat. Gunung-ganang sudah beralih dari tempatnya meninggalkan gua-gua besar. Laut memuntahkan batu-batu bergerigis ke daratan dan batu-batu terkoyak dari permukaan bumi dan bertaburan di seluruh permukaan bumi. Bumi kelihatan seperti padang belantara yang tandus. Pokok-pokok kayu besar tercabut dengan akar-akarnya berselerak di merata tempat. Inilah tempat tinggal bagi Syaitan dan para iblisnya selama satu ribu tahun. Di sinilah mereka dibelenggu. Mereka merayau-rayau ke sana ke mari di permukaan bumi yang telah hancur, melihat kesan pemberontakan mereka terhadap undang-undang Tuhan. Selama tempoh seribu tahun itulah mereka akan merasai hasil kutuk akibat perbuatan mereka. Pergerakan Syaitan dan iblis terbatas di bumi sahaja. Mereka tidak akan berpeluang mengunjungi planet-planet lain untuk menggoda dan mengganggu penghuninya yang belum jatuh ke dalam dosa. Selama inilah Syaitan akan mengalami penderitaan yang teramat sangat. Sejak kejatuhannya, dia telah melaksanakan segala kejahatannya. Tetapi ketika ini dia tidak lagi dapat menggunakan kuasanya. Dia dibiarkan merenung kembali peranan yang dimainkannya semenjak kejatuhannya sementara menanti dengan perasaan gementar dan ketakutan yang teramat sangat menghadapi masa depan yang dahsyat bila dia akan menerima akibat perbuatannya yang jahat itu. Dia akan dihukum kerana dosa-dosa yang telah dilakukannya.

Aku mendengar sorakan kemenangan dari malaikat-malaikat dan orang-orang salih yang telah diselamatkan. Kedengarannya seperti bunyi sepuluh ribu alat muzik sebab mereka tidak lagi akan diganggu dan digoda oleh Iblis. Para penghuni dunia lain pula terselamat daripada pencerobohan dan pencubaannya.

Kemudian aku melihat takhta-takhta. Yesus dan orang salih yang terselamat duduk di atas takhta-takhta itu. Orang-orang salih itu telah diangkat sebagai raja-raja dan imam-imam bagi Tuhan. Kristus bersama-sama dengan umat-Nya menghakimi orang-orang mati yang tidak percaya, membandingkan perbuatan mereka yang tercatat dalam Buku Peringatan dengan Firman Tuhan. Mereka membuat keputusan ke atas setiap perkara menurut perbuatan orang-orang mati itu di dalam tubuh. Yesus dan orang-orang salih yang menghakimi itu melaksanakan hukuman yang wajib ditimpakan kepada setiap orang yang tidak percaya, menurut perbuatan masing-masing dan yang tertulis di samping nama mereka dalam buku maut. Syaitan dan para iblisnya juga dihakimi oleh Yesus dan orang-orang salih. Hukuman ke atas Syaitan adalah jauh lebih berat daripada yang menimpa orang-orang yang disesatkannya sehingga hukuman yang akan dijatuhkan kepada Syaitan itu tidak boleh dibandingkan dengan hukuman ke atas orang-orang yang disesatkannya. Lagipun mereka yang telah disesatkannya telahpun binasa sedangkan Syaitan masih hidup dan akan menahan sengsara lebih lama lagi.

Selepas penghakiman ke atas orang-orang yang tidak percaya tamat pada akhir satu ribu tahun, Yesus meninggalkan kota itu. Dia diiringi oleh orang-orang salih dan sebarisan para malaikat yang setia. Yesus mendarat di sebuah gunung besar.  Pada saat kaki Yesus menyentuh gunung itu, gunung itu terbelah menjadi sebuah dataran yang teramat luas. Kemudian kami mendongak ke atas dan melihat sebuah kota yang teramat besar dan tersangat indah. Dasarnya dua belas. Pintu gerbangnya dua belas buah. Tiga buah pintu gerbang di setiap sisi. Satu malaikat berjaga pada setiap pintu gerbang itu. Kami berseru, “Kota itu, kota yang agung! Kota itu turun dari syurga daripada Tuhan!” Kota itu turun dengan segala kegemilangannya dan kerlipan kemuliaannya, berdiri megah di atas dataran yang teramat besar disediakan oleh Yesus.

Rujuk : Zakaria 14:4-12; Wahyu 20:2-6, 20:12, 21:10-27