Tuesday, October 11, 2011

Reformasi

20

Meskipun dengan segala penganiayaan dan pembunuhan orang-orang salih, namun para saksi hidup dibangkitkan dari setiap tempat. Para malaikat Tuhan menjalankan pekerjaan yang diamanahkan kepada mereka. Mereka mencari di tempat-tempat yang paling gelap dan dari tempat kegelapan itu dipilih orang-orang yang jujur dalam hati mereka. Mereka semua telah terkubur dalam kesalahan, namun Tuhan telah memilih mereka seperti yang dilakukan-Nya kepada Saulus sebagai saluran pilihan untuk membawa kebenaran-Nya serta mengangkat suara-suara mereka bagi menentang dosa orang-orang yang mengaku umat-Nya. Malaikat-malaikat Tuhan bekerja atas Martin Luther, Melancthon dan yang lain-lain dari pelbagai tempat, agar merasa dahaga akan kesaksian hidup firman Tuhan. Musuh datang bagaikan air bah dan oleh sebab itu piawai mestilah dinaikkan untuk menentangnya. Luther dipilih untuk mengharungi ribut dan berdiri menentang kemarahan satu gereja yang sudah jatuh, menguatkan beberapa orang yang setia kepada kepercayaan suci mereka. Dia begitu takut menyinggung Tuhan. Dia mencuba melalui perbuatan-perbuatan untuk menyenangkan hati Tuhan tetapi dia tidak puas hati sehiggalah satu sinar terang dari syurga yang telah menyisihkan kegelapan daripada mindanya dan membawanya bersandar bukan kepada perbuatan-perbuatan tetapi pada kewajaran darah Kristus serta datang kepada Tuhan untuk dirinya sendiri bukan melalui pope atau orang-orang yang kita beri pengakuan, sebaliknya melalui Yesus Kristus sahaja. Oh betapa bernilainya pengetahuan ini kepada Luther! Dia sangat menghargai terang baru dan amat bernilai itu yang telah menyinari pemahaman gelapnya dan telah membuang kepercayaan karutnya, lebih tinggi daripada harta duniawi yang termahal. Firman Tuhan adalah baru. Setiap perkara telah berubah. Buku yang dibenci disebabkan dia tidak dapat melihat keindahan di dalamnya merupakan kehidupan, KEHIDUPAN untuknya. Buku itu merupakan kegembiraannya, penghiburan baginya dan gurunya yang berbahagia. Tidak ada sesuatupun yang boleh memujuknya untuk meninggalkan pembelajarannya ke atas buku itu. Dia takut akan kematian tetapi setelah membaca firman Tuhan itu semua kegerunannya pun hilang. Dia mengagumi sifat-sifat Tuhan dan mengasihi-Nya. Dia menyelidiki firman Tuhan untuk dirinya sendiri. Dia berpesta ke atas harta yang terkandung di dalamnya dan kemudian dia menyelidik lagi untuk gereja. Dia begitu meluat dengan dosa-dosa orang-orang yang diberinya kepercayaan untuk keselamatan. Dia melihat terlalu banyak yang diselubungi dalam kegelapan yang sama telah menyelubunginya dahulu. Dia dengan bersungguh-sungguh mencari peluang untuk mengarahkan mereka kepada Anak Domba Yahweh. Dia sahaja yang membuang dosa-dosa dunia. Dia mengangkat suaranya menentang kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa gereja Pope dan dengan  sesungguhnya rindu untuk memecahkan rantai kegelapan yang telah mengurung beribu-ribu orang dan menyebabkan mereka meletakkan kepercayaan kepada perbuatan-perbuatan untuk mendapatkan keselamatan. Dia begitu rindu untuk mampu membuka minda mereka berkenaan dengan kekayaan kasih kurnia Tuhan dan kecemerlangan keselamatan yang diperolehi melalui Yesus Kristus. Dia mengangkat suaranya dengan sungguh-sungguh dan dalam kuasa Roh Kudus berseru menentang dosa-dosa yang ada pada para pemimpin gereja. Ketika berhadapan dengan ribut penentangan para paderi, semangatnya tidak pernah pudar sebab dia dengan teguh bersandar pada tangan Tuhan yang kuat dan dengan yakin berserah kepada-Nya untuk kemenangan. Ketika dia meneruskan perjuangannya itu lebih dekat, kemarahan para paderi itu semakin bernyala-nyala terhadapnya. Mereka tidak ingin dipulihkan.
Mereka memilih dibiarkan dalam kesenangan, dalam keseronokan yang jahat, dalam kejahatan. Mereka ingin supaya gereja itu dibiarkan dalam kegelapan.

Aku melihat Luther adalah seorang yang ghairah, bersungguh-sungguh, tidak mengenal erti takut, berterus terang mengutuk dosa dan membela kebenaran. Dia tidak peduli orang-orang jahat atau iblis. Dia tahu ada Satu yang lebih gagah daripada mereka semua. Luther mempunyai sifat-sifat kesungguhan, keberanian, berterus terang dan kadangkala dalam bahaya menjadi pelampau. Tetapi Tuhan telah membangkitkan Melancthon. Perwatakannya berlawanan dengan Luther. Dialah yang banyak membantu Luther melaksanakan pekerjaan reformasi. Melancthon adalah seorang yang  penakut, tetapi waspada dan panjang sabar. Dia sangat dikasihi Tuhan. Pengetahuannya tentang Alkitab sangat luas. Hikmat dan pertimbangannya sangat baik. Kasihnya terhadap perjuangan untuk Tuhan adalah sama dengan Luther. Tuhan telah merapatkan hati kedua-dua mereka. Mereka adalah sahabat yang tidak dapat dipisahkan. Luther adalah penolong yang besar bagi Melancthon bila dalam keadaan ketakutan atau lambat bertindak. Sebaliknya Melancthon pula merupakan penolong besar kepada Luther dalam kegopohan. Pandangan jauh Melancthon yang waspada itu kerap kali dapat mencegah berlakunya kesusahan yang mungkin akan timbul jika gerakan reformasi itu diserahkan kepada Luther bersendirian. Kadangkala, gerakan reformasi itu tidak dapat bergerak maju jika Melancthon dibiarkan menerajuinya sendirian. Aku telah diperlihatkan hikmat Tuhan dalam memilih dua orang ini yang mempunyai keperibadian yang berbeza untuk melaksanakan reformasi tersebut.

Aku kemudiannya dibawa ke zaman rasul-rasul dan melihat bahawa Tuhan telah memilih sebagai pasangan Petrus seorang yang ghairah dan bersungguh-sungguh dengan Yohanes seorang yang rendah hati, sabar dan lemah lembut. Kadang kala Petrus gopoh dan murid yang dikasihi itu selalu menahan Petrus apabila kesungguhan dan keghairahannya membawanya terlampau jauh, tetapi perbuatannya itu tidak membaharui Petrus. Tetapi selepas Petrus menyangkal Tuhannya, bertaubat, berubah, apa yang diperlukannya adalah peringatan lembut daripada Yohanes untuk menahan keghairahan dan kesungguhannya. Perjuangan Kristus akan terjejas jika diserahkan kepada Yohanes sahaja. Kesungguhan Petrus adalah diperlukan. Keberanian dan tenaganya selalu dapat mengeluarkan mereka dari keadaan yang sukar dan mendiamkan musuh-musuh mereka. Yohanes menang. Dia telah memenangi banyak orang ke dalam perjuangan Kristus dengan kesabaran dan ketekunannya yang bersungguh-sungguh.

Tuhan telah membangkitkan orang-orang yang berseru-seru menentang dosa-dosa yang dilakukan oleh gereja Papal dan memperjuangkan reformasi. Syaitan berusaha untuk menghapuskan saksi-saksi hidup itu, tetapi Tuhan telah membuat pagar di sekeliling mereka. Sesetengah orang, demi kemuliaan nama-Nya, diizinkan memeteraikan kesaksian yang mereka bawa itu dengan darah mereka sendiri. Tetapi ada juga orang-orang yang kuat seperti Luther dan Melanchton yang lebih baik memuliakan Tuhan dengan hidup dan berseru dengan kuat menentang dosa-dosa para pope, para paderi dan raja-raja. Mereka gementar mendengar suara Luther. Melalui orang-orang yang dipilih itu, sinar terang mula menerobos kegelapan dan ramai orang yang dengan gembira menerima terang itu dan berjalan dalam terang itu. Apabila seorang saksi dibunuh, dua orang lagi dibangkitkan untuk mengambil tempat orang itu.


Syaitan tidak berpuas hati. Dia hanya berkuasa ke atas tubuh. Dia tidak dapat membuat orang percaya melepaskan iman dan pengharapan mereka. Walaupun dalam kematian, mereka masih menang dengan pengharapan berkekalan yang terang pada kebangkitan orang-orang benar. Mereka mempunyai lebih daripada tenaga yang fana.

Mereka tidak berani untuk tidur walaupun buat seketika. Mereka pasangkan perisai Kristian di sekeliling mereka, bersedia untuk konflik, bukan sahaja dengan musuh-musuh rohani tetapi juga dengan Syaitan dalam bentuk manusia yang sentiasa berseru, “Lepaskanlah imanmu atau akan mati.”

Orang-orang Kristian yang sedikit itu kuat dalam Tuhan dan lebih berharga di hadapan Tuhan daripada separuh dunia yang membawa nama Kristus namun pengecut dalam perjuangan-Nya. Sementara gereja itu dianiaya, mereka bersatu dan saling mengasihi. Mereka kuat dalam Tuhan. Orang-orang berdosa tidak dibenarkan bersatu dengan kumpulan itu; tidak juga orang-orang penipu mahupun yang kena tipu. Orang-orang yang sanggup dan rela meninggalkan segala-galanya demi Kristus sahaja yang boleh menjadi murid-murid-Nya. Mereka senang menjadi orang miskin, rendah hati dan menyerupai Kristus.

Rujuk : Lukas 22:61-62; Yohanes 18:10; Kisah 3 dan 4.
Rujuk  “ reformasi” dalam ensiklopedia.

Wednesday, October 05, 2011

Kematian, Bukan Hidup Kekal Dalam Kesengsaraan

19

Syaitan memulakan penipuannya di Eden. Dia berkata kepada Hawa, “Kamu pastinya tidak akan mati.” Ini merupakan pelajaran pertama Syaitan mengenai keabadian jiwa dan dia telah meneruskan penipuan ini sejak itu hingga kini dan akan meneruskannya sehingga penawanan anak-anak Tuhan dilepaskan. Perhatianku dibawa kepada Adam dan Hawa di Eden. Mereka telah memakan buah daripada pohon larangan. Kemudian pedang yang bernyala-nyala itu diletakkan pada pohon kehidupan. Mereka dihalau keluar daripada Taman itu. Jika tidak nanti mereka akan memakan buah daripada pohon kehidupan itu dan akhirnya menjadi orang berdosa selama-lamanya. Pohon kehidupan itu adalah untuk mengabadikan kekekalan hidup. Aku mendengar satu malaikat bertanya, “Siapakah di antara keluarga Adam yang telah melepasi pedang yang bernyala-nyala itu dan memakan buah daripada pohon kehidupan?”  Aku mendengar satu malaikat lain menjawab, “Tidak seorangpun di antara keluarga Adam yang telah melepasi pedang bernyala-nyala itu dan memakan buah dari pohon kehidupan. Oleh sebab itu tidak ada orang yang berdosa hidup kekal selama-lamanya. Jiwa yang berdosa akan mati dengan kematian kekal, satu kematian selama-lamanya di mana tidak ada harapan untuk dibangkitkan. Kemudian murka Tuhan akan padam.”

Adalah menjadi satu kekaguman bagiku yang Syaitan begitu berjaya meyakinkan manusia bahawa firman Tuhan, “Jiwa yang berdosa itu akan mati” bermakna “jiwa yang berdosa tidak akan mati melainkan hidup selama-lamanya dalam penderitaan.” Malaikat itu berkata, “Kehidupan itu adalah kehidupan, sama ada ia dalam kesakitan atau kebahagiaan. Kematian adalah tanpa kesakitan, tanpa kegembiraan, tanpa kebencian.”

Syaitan telah memberitahu para iblisnya supaya mengadakan satu usaha khusus bagi memperluaskan penipuan dan pembohongan pertama yang diulang kepada Hawa di Eden, “Kamu pastinya tidak akan mati.” Bila kesalahan itu diterima oleh orang dan mereka percaya manusia itu hidup abadi, Syaitan membawa mereka lebih jauh untuk mempercayai yang orang-orang berdosa akan hidup kekal dalam penderitaan. Kemudian jalan sudah tersedia bagi Syaitan untuk bekerja melalui wakil-wakilnya dan menunjuk kepada Tuhan di hadapan orang sebagai yang zalim pembalas dendam. Mereka yang tidak menyenangkan-Nya akan dilemparkan ke dalam api neraka dan menyebabkan mereka merasa perit murka-Nya selama-lamanya. Mereka akan menderita keazaban yang tidak terkatakan sementara Dia melihat dengan penuh kepuasan ke arah mereka yang menggeliang-geliut dalam kesengsaraan ngeri dan nyala api kekal. Syaitan tahu bahawa jika kesalahan ini dapat diterima, Tuhan akan amat ditakuti dan dibenci bukannya dikasihi dan dikagumi oleh banyak orang. Kemudian banyak orang akan dibawa untuk mempercayai bahawa ancaman firman Tuhan itu tidak akan digenapi secara literal; sebab hal itu bertentangan dengan sifat-sifat-Nya yang berkemurahan dan kasih jika mencampakkan makhluk yang telah dicipta-Nya ke dalam penyiksaan kekal. Syaitan membawa mereka kepada hal lain yang melampau, untuk melepas pandang keadilan Tuhan dan ancaman-ancaman dalam firman-Nya, menggambarkan Dia sebagai sangat berpengasihan sehingga tidak ada seorangpun yang akan binasa, tetapi semua, yang salih dan yang berdosa akan akhirnya diselamatkan dalam kerajaan-Nya. Akibat daripada kesalahan yang mendapat sambutan besar tentang kekekalan jiwa dan kesengsaraan yang tidak ada pengakhirnya, Syaitan mengambil kesempatan ke atas satu kelas lagi dan membawa mereka untuk menganggap Alkitab itu sebagai buku yang bukan diilhamkan.
Mereka fikir, Alkitab itu mengajar banyak perkara-perkara yang baik tetapi mereka tidak boleh bergantung kepadanya dan menyukainya sebab mereka telah diajar bahawa Alkitab itulah yang mengisytiharkan doktrin kesengsaraan abadi.

Syaitan mengambil kesempatan dari satu kelas manusia lagi dan memimpin mereka lebih jauh hingga menyangkal kewujudan Tuhan. Mereka tidak dapat melihat sifat Tuhan yang konsisten didalam Alkitab jika Tuhan menyeksa sebahagian daripada keluarga manusia dengan penderaan kejam yang berkekalan. Mereka menyangkal Alkitab dan Pengarangnya dan menganggap kematian sebagai tidur berkekalan.

Kemudian Syaitan memimpin satu kelas lagi yang terdiri daripada kumpulan manusia yang berasa takut dan gentar melakukan dosa. Bila mereka melakukan dosa, Syaitan  akan berkata di hadapan mereka bahawa upah dosa bukan kematian tetapi kehidupan kekal dengan menahan seksaan dahsyat sepanjang zaman berkekalan. Syaitan memperbaiki peluang memperbesarkan kedahsyatan seksaan tanpa hujungnya dalam minda mereka yang lemah itu. Syaitan mengambil alih minda mereka dan mereka kehilangan pertimbangan. Syaitan dan para iblisnya bergembira. Orang-orang kafir dan ateis pun turut serta dalam menyebarkan keaiban ke atas orang-orang Kristian. Mereka mengatakan yang akibat-akibat jahat penerimaan cerita dongeng popular ini sebagai hasil daripada mempercayai Alkitab dan Pengarangnya.

Aku melihat seluruh isi syurga dipenuhi dengan kemarahan di atas kerja Syaitan yang sungguh berani itu. Aku bertanya mengapa tipu daya itu dibiarkan berakar dalam minda manusia sedangkan malaikat Tuhan mempunyai kuasa dan jika disuruh sahaja, dengan mudah dapat memecahkan kuasa musuh. Kemudian aku melihat bahawa Tuhan mengetahui yang Syaitan akan mencuba setiap tipu daya untuk memusnahkan manusia. Oleh sebab itu Tuhan telah membuatkan firman-Nya disuratkan dan membuat rancangan-Nya kepada manusia demikian mudah sehingga mereka yang lemah sekalipun tidak harus silap. Selepas Tuhan mengurniakan firman-Nya kepada manusia, Dia dengan teliti memeliharanya supaya Syaitan dan para iblisnya melalui mana-mana ejen-ejennya atau wakil-wakilnya tidak dapat memusnahkannya. Sementara buku-buku lain dapat dibinasakan, Buku suci ini adalah kekal untuk selama-lamanya. Menghampiri dipenghujung masa apabila tipu daya Syaitan bertambah-tambah, salinan-salinan Buku ini akan diperbanyakkkan berlipat kali ganda supaya sesiapa sahaja yang mengingininya akan mendapatkan satu naskah salinan pernyataan kehendak Tuhan kepada  manusia. Jika mereka memperolehinya, mereka boleh memperlengkapkan diri mereka dengan senjata itu bagi menentang penipuan dan kehairanan-kehairanan karut daripada Syaitan.

Aku melihat bahawa Tuhan telah melindungi Alkitab secara khusus. Namun ketika salinan Alkitab itu masih sedikit, manusia yang berpelajaran telah mengubah perkataan-perkataan tertentu. Mereka berbuat demikian dengan niat untuk menjadikan firman itu lebih jelas difahami. Apabila mereka bingung terhadap perkatan yang terang itu, mereka membuat pemahaman bersandarkan pandangan mereka yang sudah terbentuk iaitu yang dipengaruhi oleh tradisi. Tatapi aku melihat bahawa firman Tuhan itu secara keseluruhannya masih merupakan satu rantaian sempurna, satu bahagian Alkitab menjelaskan bahagian yang lain. Seseorang yang benar-benar mencari kebenaran tidak harus buat silap sebab bukan sahaja firman Tuhan itu jelas dan mudah untuk menyatakan jalan kepada kehidupan tetapi juga Roh Kudus telah diberikan untuk memimpin dalam memahami jalan kehidupan yang tercatat dalam firman-Nya.

Aku melihat bahawa malaikat-malaikat Tuhan tidak pernah mengawal kehendak manusia. Tuhan telah menetapkan kepada manusia kehidupan dan kematian. Manusia boleh membuat pilihannya sendiri. Ramai yang ingin hidup tetapi terus berjalan di jalan yang lebar sebab mereka tidak memilih kehidupan.
Aku melihat belas kasihan dan kasih Yahweh dalam menyerahkan Anak-Nya untuk mati bagi manusia bersalah.

Orang yang tidak menerima keselamatan yang telah dibeli dengan mahal untuk mereka akan dihukum. Makhluk yang diciptakan Tuhan telah memberontak menentang kerajaan-Nya. Tetapi aku melihat Tuhan tidak menyumbatkan mereka ke neraka untuk mengalami sengsara yang berkekalan. Tuhan tidak dapat membawa mereka ke syurga sebab jika mereka dikumpulkan bersama dengan orang-orang yang bersih dan suci mereka akan merasakan seksaan yang sesungguhnya. Tuhan tidak akan membawa mereka ke syurga dan tidak juga akan membuat mereka terseksa berkekalan. Tuhan akan memusnahkan mereka sepenuhnya seolah-olah mereka tidak pernah dilahirkan. Dengan yang demikian keadilan Tuhan akan digenapi. Tuhan telah membentuk manusia daripada debu tanah dan mereka yang tidak taat dan tidak suci akan dihanguskan oleh api dan kembali menjadi debu lagi. Aku melihat bahawa kemurahan dan belas kasihan Tuhan dalam hal  ini seharusnya telah membawa manusia untuk mengkagumi sifat Tuhan dan memuja-Nya. Selepas orang-orang jahat dimusnahkan daripada muka bumi ini, seluruh isi syurga akan berkata, “Amen.”

Syaitan sangat berpuas hati dengan mereka yang mengaku nama Kristus dan berpegang teguh kepada penipuan ini yang dirancangnya sendiri. Pekerjaannya adalah untuk sentiasa merancang penipuan-penipuan baru. Kuasanya meningkat dan dia bertambah licik. Dia memimpin wakil-wakilnya, para pope dan paderi, untuk meninggikan diri mereka. Dia menghasut orang untuk menganiaya dengan kejamnya mereka yang mengasihi Tuhan dan yang tidak mahu menyerah terhadap penipuannya yang diperkenalkan melalui ejen-ejennya itu. Syaitan menggerakkan ejen-ejennya untuk menghapuskan pengikut-pengikut setia Kristus. Oh, penderitaan-penderitaan dan azab yang mereka tanggungkan ke atas umat kesayangan Tuhan!  Malaikat-malaikat dengan setia mencatat semua peristiwa itu. Tetapi Syaitan dan para iblisnya sangat bergembira dan memberitahu para malaikat yang membuat catatan itu dan yang menguatkan orang-orang salih yang menderita itu, bahawa dia akan membunuh mereka sehingga tidak akan ada seorangpun orang Kristian benar yang tertinggal di muka bumi ini. Aku melihat bahawa gereja Tuhan masa itu adalah tulen. Tidak ada bahaya daripada orang-orang yang hatinya telah ternoda datang ke gereja Tuhan sebab orang Kristian benar yang berani mengisytiharkan imannya akan berhadapan dengan bahaya pangkin dan tiang penyeksa serta setiap bentuk penyeksa yang pernah dicipta oleh Syaitan dan para iblisnya dan ditanamkan ke dalam minda manusia.

Rujuk  :   Kejadian 3; Pengkhotbah 9:5, 12:7; Lukas 21:33; Yohanes 3:16; 2 Timotius 3:16;  Wahyu 20:14-15, 21:1, 22:12-19

Sunday, September 25, 2011

Misteri Ketidakadilan

18

Adalah menjadi rancangan Syaitan untuk menarik perhatian orang daripada Yesus kepada manusia dan untuk menghapuskan kebertanggungjawaban individu. Syaitan telah gagal dalam rancangannya ketika mencubai Anak Yahweh. Dia sangat berjaya pula bila dia berhadapan dengan manusia yang telah jatuh. Ajaran Kristian diselewengkan. Pope dan paderi diangkat untuk mengambil kedudukan yang ditinggikan. Syaitan mengajar orang supaya mencari pope dan paderi untuk mengampuni dosa-dosa mereka dan bukan mencari Yesus untuk diri mereka sendiri. Alkitab dijauhkan daripada mereka bagi menutup kebenaran yang menyalahkan pemimpin agama itu.

Semua orang telah ditipu. Mereka telah diajar bahawa pope dan paderi itu sebagai wakil Kristus. Sebenarnya mereka itu adalah wakil-wakil Syaitan. Apabila orang tunduk kepada mereka, itu bermakna menyembah Syaitan. Bila orang mencari Alkitab, para paderi menganggap itu sebagai suatu yang berbahaya jika membenarkan mereka membaca sendiri, kalau-kalau mereka diterangi dan dosa-dosa pemimpin agama itu didedahkan. Para penganut itu diajar untuk memandang kepada penipu-penipu itu dan menerima segala kata-kata mereka sebagai firman daripada Tuhan. Pemimpin agama itu memegang kuasa ke atas minda yang sepatutnya Tuhan sahaja yang berhak. Jika ada di antara mereka yang mengikuti keyakinan sendiri, kebencian yang sama yang Syaitan dan orang-orang Yahudi lakukan terhadap Yesus akan bernyala terhadap mereka dan orang-orang yang berkuasa akan dahaga dengan darah mereka. Aku diperlihatkan kepada satu tempoh bila Syaitan mendapat kemenangan. Besar bilangan orang-orang Kristian dibunuh dalam keadaan yang mengerikan kerana mereka memelihara ketulenan agama mereka.

Aliktab dibenci dan usaha-usaha telah dilakukan untuk membersihkan bumi ini daripada firman Tuhan yang amat berharga itu. Membaca Alkitab diharamkan dengan kesakitan kematian dan semua salinan Kitab suci itu yang ditemui akan dibakar. Tetapi aku melihat Tuhan mempunyai penjagaan istimewa untuk firman-Nya. Tuhan melindunginya. Pada tempoh yang berbeza, masih wujud sedikit salinan Alkitab. Namun Tuhan tidak membiarkan firman-Nya lenyap. Pada hari-hari terakhir, salinan-salinan Alkitab akan diperbanyakkan berlipat kali ganda supaya setiap keluarga memilikinya. Aku melihat bahawa pada masa di mana hanya sedikit salinan Alkitab, ia menjadi sangat berharga dan menjadi penghibur kepada pengikut-pengikut Yesus yang dianiaya. Alkitab itu dibaca secara rahsia. Mereka yang berpeluang berbuat demikian merasakan seperti telah menemuramah Yahweh dengan anak-Nya Yesus beserta murid-murid-Nya. Tetapi peluang berbahagia ini mengakibatkan banyak orang kehilangan nyawa. Jika diketahui dan didapati seseorang itu membaca Alkitab,  mereka akan dibawa dari tempat membaca Alkitab itu ke tempat memancung, disalib di tiang, atau dimasukkan ke dalam kurungan bawah tanah dan dibiarkan mati kelaparan.

Syaitan tidak dapat menghalang rancangan penyelamatan. Yesus telah disalibkan dan bangun semula pada hari ketiga. Syaitan memberitahu para iblisnya yang dia akan menjadikan cerita penyaliban dan kebangkitan itu berpihak kepada-Nya. Dia rela menerima kenyataan bahawa mereka yang mengaku iman kepada Yesus harus percaya bahawa undang-undang yang mengatur persembahan dan upacara Yahudi terhenti pada kematian Kristus, jika dia dapat mengasak mereka lebih jauh lagi sehingga membuat mereka percaya bahawa Hukum Sepuluh itu telah mati bersama Kristus.

Aku melihat bahawa banyak orang yang bersedia menyerah kepada alat Syaitan. Seluruh syurga tergerak dengan kemarahan bila mereka melihat undang-undang suci Tuhan diinjak-injak dibawah kaki. Yesus dan seluruh isi syurga mengetahui sifat undang-undang Tuhan.

Mereka tahu bahawa Tuhan tidak akan mengubah atau menghapuskannya. Keadaan tanpa pengharapan manusia menyebabkan kesedihan yang mendalam di syurga dan mengerakkan Yesus menawarkan diri untuk mati di atas pelanggaran undang-undang suci Tuhan. Jika undang-undang itu boleh dihapuskan, manusia boleh diselamatkan tanpa kematian Yesus. Kematian Kristus tidak menghapuskan undang-undang Bapa-Nya. Sebaliknya memuatkan undang-undang itu lebih jelas dan terhormat dan menguatkuasakan penurutan ke atas semua peraturan-peraturan sucinya. Kalaulah gereja kekal tulen dan bertahan, Syaitan tidak mungkin dapat menipu mereka dan memimpin mereka menginjak-injak undang-undang Tuhan. Dalam rancangannya yang berani itu, Syaitan menyerang terus ke dasar kerajaan Tuhan di syurga dan bumi. Pemberontakannya itu menyebabkan dia dilemparkan keluar daripada syurga. Selepas pemberontakannya dan untuk menyelamatkan dirinya, dia minta Tuhan mengubah undang-undang-Nya. Tetapi Tuhan memberitahu Syaitan di hadapan seluruh isi syurga bahawa undang-undang-Nya tidak dapat diubah. Syaitan mengetahui bahawa jika dia dapat menyebabkan orang lain mencabuli undang-undang Tuhan, dia pasti akan akibat atas mereka, sebab setiap pelanggar undang-undang-Nya pasti akan mati.

Syaitan mengambil keputusan untuk pergi lebih jauh. Dia memberitahu para iblisnya bahawa beberapa orang akan sangat cemburu terhadap undang-undang Tuhan sehingga mereka tidak dapat ditangkap dengan perangkap ini. Hukum Sepuluh itu sangat jelas sehingga mereka percaya bahawa hukum itu masih sah berlaku. Oleh sebab itu Syaitan akan berusaha untuk menyelewengkan hukum keempat yang dapat membawa pengertian kepada Tuhan yang hidup itu. Dia memimpin wakil-wakilnya cuba untuk mengubah Sabat dan menukar satu-satunya hukum daripada sepuluh itu yang membawa penglihatan terhadap Tuhan yang benar, pencipta langit dan bumi. Syaitan membentangkan di hadapan para iblisnya berkenaan kebangkitan Yesus yang gilang gemilang dan memberitahu mereka bahawa dengan kebangkitannya pada hari pertama dalam minggu itu Yesus telah mengubah Sabat daripada hari ketujuh kepada hari pertama dalam minggu. Dengan yang demikian Syaitan telah menggunakan kebangkitan itu untuk mencapai tujuannya. Dia dan para iblisnya sangat gembira kerana kesalahan yang mereka sediakan itu mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan orang-orang yang mengaku sebagai sahabat-sahabat Yesus. Apa yang dianggap oleh seseorang sebagai kengerian agama, orang lain pula menerimanya. Berbagai kesalahan akan diterima dan dipertahankan dengan penuh semangat. Kehendak Tuhan yang amat jelas dinyatakan dalam firman-Nya ditutupi dengan kesalahan-kesalahan dan tradisi yang diajar sebagai hukum Tuhan. Walaupun penipuan berani menghadapi ilahi itu dibiarkan berterusan sepanjang zaman sehingga kedatangan Yesus yang kedua kali, namun sepanjang tempoh kesalahan dan penipuan itu berlaku, Tuhan tidak pernah terbiar tanpa satu saksipun. Terdapat saksi-saksi setia dan benar yang memelihara semua hukum Tuhan sepanjang tempoh kegelapan dan penganiayaan gereja.

Aku melihat para malaikat diselubungi kehairanan ketika melihat penderitaan dan kematian Raja kemuliaan. Tetapi aku melihat bahawa bukan suatu yang menakjubkan bagi seluruh malaikat bahawa Tuhan kehidupan dan kemuliaan, yang memenuhkan seluruh syurga dengan kegembiraan dan kehebatan, harus memecahkan ikatan kematian dan berjalan keluar daripada rumah penjara-Nya sebagai penakluk yang menang. Jika salah satu daripada peristiwa ini harus diperingati dengan hari perhentian, penyaliban itulah satu-satunya. Tetapi aku melihat bahawa tidak satupun daripada peristiwa itu yang dirancang untuk mengubah atau menghapuskan undang-undang Tuhan, sebaliknya peristiwa itu memberi bukti kukuh kekekalannya.

Kedua-dua peristiwa penting ini mempunyai peringatannya sendiri. Dengan cara mengambil bahagian dalam perjamuan Tuhan, roti yang dipecahkan dan buah anggur kita melihat kematian Tuhan sehingga kedatangan-Nya kembali. Dengan mengamalkan tanda peringatan itu senario penderitaan dan kematian-Nya akan sentiasa diperbaharui dalam minda kita.
Kebangkitan Kristus diperingati melalui penguburan kita dengan Dia melalui pembaptisan kemudian dibangkitkan daripada kuburan berair itu sebagaimana kebangkitan-Nya untuk hidup dalam kehidupan yang baru.

Aku telah diperlihatkan bahawa undang-undang Tuhan akan tetap berdiri teguh selama-lamanya dan keluar di bumi baru hingga kekal abadi. Pada penciptaan apabila dasar bumi dibentangkan, anak-anak Tuhan melihat penuh kagum terhadap pekerjaan Pencipta dan seluruh isi syurga bersorak gembira. Kemudian pada penciptaan itu juga dasar Sabat dibentangkan. Pada penutup enam hari penciptaan, Tuhan berhenti pada hari ketujuh daripada semua pekerjaan-Nya yang telah dilakukan-Nya itu dan Dia memberkati hari yang ketujuh serta menguduskannya kerana di dalamnya Dia telah berhenti daripada semua pekerjaan-Nya. Sabat telah dibangunkan di Eden sebelum kejatuhan dan dipelihara oleh Adam dan Hawa dan seluruh isi syurga. Tuhan telah berhenti pada hari ketujuh dan memberkati dan menguduskannya. Aku melihat bahawa Sabat tidak akan dihapuskan tetapi orang-orang salih yang telah diselamatkan dan seluruh malaikat akan memeliharanya sebagai menghormati Pencipta Maha Besar hingga kekal abadi.

Rujuk : Daniel 7; 2 Tesalonika 2.

Thursday, September 15, 2011

Kemurtadan Besar

17
Aku telah dibawa kepada masa orang-orang pagan penyembah berhala dengan kejamnya menganiaya orang-orang Kristian dan membunuh mereka. Darah mengalir mencurah-curah. Para bangsawan, ilmuan dan rakyat biasa sama-sama dibunuh tanpa belas kasihan. Keluarga-keluarga kaya menjadi miskin oleh sebab mereka tidak menyerahkan agama mereka. Walaupun sedemikian penganiayaan dan penderitaan yang ditanggung oleh orang-orang Kristian, mereka tetap tidak merendahkan piawai. Mereka memelihara ketulenan agama. Aku melihat Syaitan bergembira dan bersukaria ke atas penderitaan umat-umat Tuhan. Tetapi Tuhan nampak berkenan kepada umat setia yang syahid itu. Orang-orang Kristian yang hidup pada masa yang menggerunkan itu merupakan yang amat dikasihi-Nya sebab mereka dengan rela menderita demi Tuhan. Setiap penderitaan yang digagahi oleh mereka akan menambahkan pahala mereka di syurga. Walaupun Syaitan bergembira kerana orang-orang salih menderita namun dia tidak berpuas hati. Dia mahu mengawal minda dan juga tubuh. Penderitaan yang ditanggung oleh orang-orang Kristian itu membawa mereka lebih dekat kepada Tuhan, mendorong mereka mengasihi satu dengan yang lain dan menyebabkan mereka takut lebih daripada menyinggung-Nya. Syaitan berhasrat agar mereka akan menimbulkan ketidaksenangan Tuhan, kemudian mereka akan kehilangan kekuatan, kecekalan dan keteguhan. Walaupun beribu-ribu orang telah dibunuh tetapi orang-orang lain bangkit mengambil tempat mereka. Syaitan melihat bahawa dia sedang kehilangan taklukannya. Walaupun mereka menderita akibat penganiayaan dan kematian namun mereka telah ditambahkan kepada Yesus untuk menjadi warga kerajaan-Nya. Syaitan menyediakan rancangannya dengan lebih rapi supaya lebih berjaya menentang kerajaan Tuhan dan menjatuhkan gereja. Dia memimpin penyembah-penyembah berhala pagan menganuti sebahagian daripada kepercayaan Kristian. Mereka mengaku percaya terhadap penyaliban dan kebangkitan Yesus tanpa perubahan hati. Mereka mengisytiharkan akan bersatu dengan pengikut-pengikut Yesus. Oh satu bahaya yang menakutkan bagi gereja! Satu tempoh keazaban mental. Sesetengah orang berfikir jika mereka turun dan bersatu dengan penyembah-penyembah berhala yang menganuti sebahagian daripada kepercayaan Kristian, cara itu merupakan satu jalan pertaubatan bagi mereka. Syaitan berusaha untuk merosakkan ajaran Alkitab. Akhirnya aku melihat standard itu telah direndahkan dan orang-orang pagan itu telah bersatu dengan orang-orang Kristian. Mereka itu dahulunya adalah penyembah berhala dan walaupun mereka mengaku sebagai penganut Kristian, mereka bawa bersama upacara penyembahan berhala. Mereka hanya mengubah benda yang mereka sembah kepada patung-patung orang salih bahkan patung Yesus dan Maria ibu Yesus. Kristian secara perlahan-lahan bersatu dengan mereka dan agama Kristian menjadi cemar, manakala gereja pula kehilangan ketulenan dan kuasa. Sebahagian di antara mereka enggan bersatu dengan kumpulan itu sebaliknya memelihara ketulenannya dan menyembah hanya Tuhan semata-mata. Mereka tidak akan tunduk kepada patung apapun di langit di atas atau di bumi di bawah.

Syaitan bergembira di atas kejatuhan banyak orang. Kemudian dia menggerakkan gereja murtad itu memaksa mereka yang memelihara ketulenan agama mereka, sama ada mereka menerima upacara-upacara dan penyembahan patung-patung atau akan dibunuh. Api-api penganiayaan sekali lagi bernyala menentang gereja benar Yesus Kristus dan berjuta-juta orang dibunuh tanpa belas kasihan.
Hal itu diperlihatkan di hadapanku seperti ini: Sekumpulan besar orang-orang penyembah berhala pagan yang memegang panji-panji yang terlukis gambarajah matahari, bulan dan bintang-bintang. Kumpulan tersebut kelihatan sangat garang dan marah.

Aku kemudiannya diperlihatkan kepada satu kumpulan lain yang memegang panji-panji berwarna putih bersih dan pada panji-panji itu tertulis “Ketulenan dan Kesucian bagi Tuhan”. Wajah-wajah mereka memperlihatkan keteguhan pendirian dan berserah kepada ilahi. Aku melihat penyembah berhala pagan itu menghampiri mereka dan berlaku pembunuhan besar-besaran. Orang-orang Kristian itu rebah di hadapan mereka namun kumpulan Kristian itu berpadu lebih rapat satu dengan yang lain serta memegang panji-panji mereka dengan lebih erat lagi. Apabila banyak yang kecundang, yang lain pula datang berhimpun mengelilingi panji-panji itu mengambil tempat mereka yang terkorban.

Aku melihat kumpulan penyembah-penyembah berhala itu berunding bersama. Mereka gagal membuat orang-orang Kristian itu menyerah dan mereka bersetuju untuk melakukan rancangan yang lain. Aku melihat mereka menurunkan panji-panji mereka kemudian menghampiri kumpulan Kristian yang teguh itu  untuk mengemukakan cadangan kepada mereka. Pada mulanya cadangan mereka itu ditolak sepenuhnya. Kemudian aku melihat kumpulan orang-orang Kristian itu berunding bersama. Sebahagian mengatakan mereka akan menurunkan panji-panji, terima cadangan itu, selamatkan nyawa mereka, akhirnya nanti mereka akan memperolehi kekuatan untuk mendirikan panji-panji itu di kalangan penyembah-penyembah berhala itu. Tetapi sebahagian lagi tidak akan menyerah kepada rancangan itu sebaliknya bertekad untuk mempertahankan panji-panji mereka hingga mati daripada menurunkannya. Kemudian aku melihat banyak orang Kristian menurunkan panji-panji mereka lalu bergabung dengan orang-orang kafir manakala mereka yang teguh pendirian dan bertahan merampas panji-panji itu lalu mendirikannya lebih tinggi lagi. Aku melihat banyak individu terus meninggalkan kumpulan yang memegang panji-panji tulen itu lalu menggabungkan diri dengan penyembah berhala itu. Mereka bersatu bersama di bawah panji-panji hitam  menganiaya mereka yang masih berpegang kepada panji-panji putih itu. Akibatnya banyak orang yang terbunuh. Namun panji-panji putih itu diangkat tinggi. Banyak individu dibangkitkan untuk berarak mengelilinginya.

Orang-orang Yahudi yang pertama memulakan kemarahan orang-orang kafir terhadap Yesus tidak akan terlepas. Apabila Pilatus teragak-agak menghukum Yesus, orang-orang Yahudi yang berang di dalam dewan pengadilan itu bertempik, “DarahNya tertanggung atas kami dan anak-anak kami.” Bangsa Yahudi telah mengalami kegenapan sumpah dahsyat itu yang mereka sendiri seru timpakan ke atas kepala mereka. Orang-orang kafir dan Kristian sama-sama menjadi musuh-musuh mereka. Memandangkan orang-orang Yahudi telah menyalibkan Kristus, orang-orang yang mengaku sebagai Kristian dalam keghairahan mereka kepada salib itu berfikir bahawa lebih banyak kesengsaraan yang mereka bawa kepada diri mereka sendiri, lebih menyenangkan Tuhan. Akibatnya banyak orang-orang Yahudi yang tidak percaya terbunuh manakala yang lain dihalau dari satu tempat ke satu tempat dan dihukum  dengan pelbagai bentuk penderaan.

Darah Yesus dan murid-muridNya yang mereka bunuh tertanggung atas mereka. Mereka telah didatangi dalam penghakiman yang dahsyat. Kutuk Tuhan mengekori mereka. Mereka menjadi satu contoh dan satu ejekan kepada orang-orang kafir dan orang-orang Kristian. Mereka dihindari, dihina dan dibenci seolah-olah cap Kain terpampang pada mereka. Namun aku melihat Tuhan dengan cara yang menakjubkan telah memelihara umat itu dan menebarkan mereka di merata tempat di dunia supaya mereka akan dilihat sebagai bangsa yang khusus ditimpa kutuk daripada Tuhan. Aku melihat Tuhan telah meninggalkan Yahudi sebagai satu bangsa.

Namun ada di kalangan rakyatnya yang berupaya mengoyakkan tabir hati mereka. Sebahagian daripada mereka itu belum lagi memahami bahawa nubuatan tentang mereka telahpun digenapi. Mereka akan menerima Yesus sebagai Juruselamat dunia ini. Mereka akan melihat dosa besar bangsa mereka kerana menolak Yesus dan menyalib-Nya. Individu-individu di kalangan bangsa Yahudi itu akan bertaubat tetapi sebagai bangsa,  mereka telah ditinggalkan selama-lamanya oleh Tuhan.

Thursday, August 25, 2011

Paulus Melawat Yerusalem

16

Tidak lama selepas menjadi Kristian, Paulus melawat Yerusalem. Di situ dia memberitakan Yesus dan keajaiban kasih kurnia-Nya. Paulus menceritakan mukjizat pertaubatannya yang telah menimbulkan  kemarahan imam-imam dan para pemerintah. Oleh sebab itu mereka mencari jalan untuk membunuhnya. Bagaimanapun, untuk menyelamatkan nyawanya, Yesus menampakkan diri-Nya sekali lagi dalam satu penglihatan ketika dia sedang berdoa. Yesus berkata kepadanya, “Segeralah engkau keluar dari Yerusalem, sebab mereka tidak akan menerima kesaksian tentang Aku.” Paulus bersungguh-sungguh merayu kepada Yesus, “Tuhan, mereka tahu aku telah memenjarakan dan memukul setiap orang yang percaya akan engkau dalam rumah-rumah ibadat. Ketika darah Stefanus yang syahid itu tertumpah, aku juga berdiri dekat situ dan berkenan kepada kematiannya dan menyimpan pakaian mereka yang membunuhnya.” Paulus fikir orang-orang Yahudi di Yerusalem itu tidak akan menolak kesaksiannya dan mereka akan memberi pertimbangan bahawa perubahan besar dalam hidupnya itu hanya dapat dilakukan oleh kuasa Tuhan. Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Bertolaklah kerana Aku akan menghantar engkau jauh ke tempat orang-orang bukan Yahudi.

Sepeninggalannya daripada Yerusalem, Paulus telah menulis banyak surat ke pelbagai tempat menceritakan pengalamannya dan memikul kesaksian yang sangat kuat. Tetapi ada beberapa orang yang berusaha untuk menghapuskan pengaruh surat-surat tersebut. Mereka terpaksa mengakui bahawa surat-suratnya itu berat dan berkuasa, namun mengisytiharkan bahawa kehadirannya secara badani adalah lemah dan ucapan-ucapannya itu kekejian.

Aku melihat bahawa Paulus adalah seorang yang berpendidikan tinggi dan hikmat dan penampilannya menawan para pendengarnya. Orang-orang yang berpelajaran berasa senang dengan pengetahuannya dan banyak di antara mereka yang percaya akan Yesus. Ketika di hadapan raja-raja dan di perhimpunan-perhimpunan besar dia akan meluahkan dengan kepetahan sehingga semua orang terdiam dihadapannya. Hal ini menimbulkan kemarahan di kalangan para imam dan para penatua. Paulus bersedia untuk berdebat lebih mendalam, menjulang tinggi, membawa umat itu bersamanya dalam perjalanan pemikiran yang paling tinggi dan membawa mereka melihat kasih kurnia yang maha besar dari Tuhan. Seterusnya memaparkan di hadapan mereka kasih ajaib Kristus. Kemudian dengan cara yang mudah, dengan kefahaman orang-orang biasa dan dalam cara yang sangat kuat dia menceritakan pengalamannya yang dapat menimbulkan satu keinginan ghairah dalam diri mereka untuk menjadi murid-murid Kristus.

Tuhan menyatakan kepada Paulus yang dia harus pergi ke Yerusalem lagi, kali ini dengan dibelenggu dan menderita kerana nama-Nya. Walaupun dia sudah menjadi banduan begitu lama namun Tuhan meneruskan pekerjaan istimewa-Nya itu melalui Paulus. Belenggu Paulus akan menjadi alat penyebaran pengetahuan akan Kristus dan dengan itu akan memuliakan Tuhan. Ketika dia dihantar dari bandar ke bandar untuk perbicaraannya, kesaksiannya berkenaan Yesus dan insiden pertaubatannya diceritakan di hadapan raja-raja dan gabenor-gabenor supaya mereka tidak tertinggal mendengar kesaksian berkenaan Yesus. Beribu-ribu orang yang percaya kepadanya dan bergirang dalam nama-Nya. Aku melihat bahawa tujuan istimewa Tuhan itu telah digenapi dalam perjalanan Paulus di laut apabila anak-anak kapal menyaksikan kuasa Tuhan melalui Paulus dan juga orang-orang kafir akan mendengar nama Yesus. Ramai orang yang bertaubat melalui ajarannya dan dengan menyaksikan mukjizat yang dilakukannya. Raja-raja dan gabenor-gabenor tertarik dengan hujah-hujahnya.

Dengan kesungguhannya dan oleh kuasa Roh Kudus, dia berkhutbah tentang Yesus dan menceritakan peristiwa-peristiwa menarik dari pengalamannya, keyakinan dalam diri mereka diperteguhkan lagi bahawa Yesus adalah anak Yahweh. Manakala sebahagian pendengar tercengang-cengang dengan kekaguman ketika mendengar khutbah Paulus, seseorang berkata, “Hampir sahaja engkau menjadikan aku seorang Kristian.” Namun mereka berfikir bahawa pada satu masa akan datang mereka akan mempertimbangkan apa yang telah mereka dengar. Syaitan mengambil kesempatan penangguhan itu dan bila mereka mengabaikan peluang itu ketika hati mereka masih lembut lagi, kesempatan itu tidak akan datang lagi. Hati mereka menjadi keras.

Aku telah diperlihatkan pekerjaan Syaitan, pertama pada masa pembutaan mata orang-orang Yahudi supaya mereka tidak akan menerima Yesus sebagai Juruselamat mereka. Selepas itu dalam memimpin mereka melalui kedengkian oleh kerana pekerjaan-Nya yang hebat itu, mengingini nyawa-Nya. Syaitan memasuki salah seorang pengikut Yesus sendiri, memimpin orang itu mengkhianati-Nya ke tangan orang-orang Yahudi dan mereka menyalibkan Tuhan kehidupan dan kemuliaan. Selepas Yesus bangkit daripada kematian, orang-orang Yahudi menambahkan dosa kepada dosa apabila mereka cuba menyembunyikan fakta kebangkitan-Nya dengan cara mengupah pengawal Roma dengan wang supaya memberi kesaksian dusta. Bagaimanapun kebangkitan Yesus dipastikan dua kali oleh kebangkitan banyak orang saksi-saksi yang bangkit bersama-sama dengan Dia. Yesus menampakkan diri-Nya di hadapan murid-murid dan di hadapan lima ratus orang pada masa yang sama. Manakala mereka yang Yesus bawa bersama-Nya menampakkan diri mereka kepada banyak orang, mengisytiharkan bahawa Yesus telah bangkit.

Syaitan menyebabkan orang-orang Yahudi memberontak menentang Tuhan dengan enggan menerima Anak Yahweh dan dengan menodai tangan-tangan mereka oleh darah yang mahal itu melalui penyaliban-Nya. Bagaimana kuat sekalipun bukti-bukti yang diberikan bahawa Yesus adalah Anak Yahweh, Penebus dunia, mereka telah membunuh-Nya juga dan tidak dapat menerima bukti-bukti yang memihak kepada-Nya. Satu-satunya pengharapan dan penghiburan bagi mereka, sebagaimana halnya Syaitan selepas kejatuhannya, adalah untuk cuba menang menentang Anak Yahweh. Mereka meneruskan pemberontakan mereka dengan menganiaya murid-murid Yesus dan membunuh mereka. Tidak ada satupun yang sangat menyakitkan telinga mereka selain nama Yesus yang mereka salibkan dan mereka bertekad untuk tidak mendengar apa-apa buktipun yang berpihak kepada-Nya. Seperti hal Stefanus, bila Roh Kudus melaluinya mengisytiharkan bukti yang amat kuat bahawa Yesus adalah Anak Yahweh, mereka menutup telinga, jika tidak mereka akan diyakinkan. Sementara Stefanus diselubungi dengan kemuliaan Tuhan, mereka melemparinya dengan batu hingga mati. Syaitan mendapatkan pembunuh-pembunuh Yesus dengan segera ke dalam tangannya. Melalui pekerjaan jahat itu, mereka telah menyerahkan diri mereka sebagai pengikutnya yang rela dan melalui mereka Syaitan akan bekerja untuk menyusahkan dan mengganggu orang-orang yang percaya kepada Kristus. Dia bekerja melalui orang-orang Yahudi untuk menghasut orang-orang bukan Yahudi menentang nama Yesus dan para pengikuti-Nya serta yang percaya dalam nama-Nya. Tetapi Tuhan telah mengutus malaikat-Nya untuk memperkuatkan murid-murid melakukan pekerjaan mereka untuk bersaksi tentang hal-hal yang mereka telah lihat dan dengar. Akhirnya dalam keteguhan pendirian mereka itu, kesaksian mereka itu dimeteraikan dengan darah mereka sendiri.

Syaitan bergembira melihat orang-orang Yahudi selamat dalam jeratnya. Mereka masih meneruskan upacara tradisi mereka yang tidak berguna, persembahan-persembahan korban dan upacara-upacara keagamaan lain.

Ketika Yesus tergantung di salib dan berseru, “Sudah selesai!” tabir kaabah terkoyak di tengah dari atas hingga ke bawah yang menandakan bahawa Tuhan tidak lagi akan menemui imam-imam di kaabah untuk menerima persembahan-persembahan korban dan upacara-upacara mereka. Hal itu juga menunjukkan bahawa dinding pemisah di antara Yahudi dan bukan Yahudi telah diruntuhkan. Yesus telah mengadakan persembahan dengan diri-Nya sendiri untuk orang Yahudi dan bukan Yahudi. Jika diselamatkan, kedua-duanya mestilah percaya  dalam Yesus sebagai satu-satunya persembahan untuk dosa dan Juruselamat untuk dunia.

Ketika Yesus masih tergantung di kayu salib, askar menikam rusuk-Nya dengan lembing, mengalirlah keluar darah dan air dalam dua aliran yang berbeza. Satu aliran darah dan satu aliran air yang jernih. Darah itulah yang membasuh bersih dosa-dosa mereka yang percaya dalam nama-Nya. Air itu pula melambangkan air kehidupan yang diperolehi daripada Yesus  untuk memberi hidup kepada orang-orang percaya.

Rujuk : Matius 27:51; Yohanes 19:34; Kisah Para Rasul 24 & 26.

Wednesday, August 24, 2011

Orang-orang Yahudi Hendak Membunuh Paulus

15

Imam-imam ketua dan pemerintah-pemerintah terangsang dengan kebencian terhadap Paulus ketika menyaksikan kesan dari huraian pengalamannya. Mereka melihatnya berkhutbah dengan berani tentang Yesus, mengadakan mukjizat dalam nama-Nya, tidak terkira banyaknya orang yang mendengar khutbahnya dan berpaling daripada tradisi mereka dan  memandang mereka sebagai pembunuh Anak Yahweh. Kemarahan mereka meluap-luap dan mereka berhimpun untuk membincangkan langkah-langkah terbaik yang akan diambil untuk meredakan keghairahan itu. Mereka bersetuju bahawa satu-satunya jalan yang selamat bagi mereka adalah untuk membunuh Paulus. Tetapi Tuhan mengetahui niat mereka. Tuhan mengutus malaikat-Nya untuk menjaga Paulus supaya dia boleh hidup untuk menyelesaikan misinya dan menderita kerana nama Yesus.

Paulus dimaklumkan yang orang-orang Yahudi ingin mendapatkan nyawanya. Syaitan menggerakkan orang-orang Yahudi yang tidak percaya itu untuk mengawal pintu masuk ke Damsyik siang dan malam supaya apabila Paulus melaluinya, mereka dapat membunuhnya di situ juga. Tetapi pada malam hari, murid-murid menurunkannya dengan bakul melalui tembok. Di sini, orang-orang Yahudi dipermalukan oleh kegagalan mereka dan tujuan Syaitan dikalahkan. Paulus pergi ke Yerusalem menggabungkan dirinya dengan para rasul. Tetapi mereka semua takut akan Paulus. Mereka tidak dapat mempercayai yang Paulus adalah murid. Nyawanya diburu oleh orang-orang Yahudi di Damsyik dan saudara-saudaranya tidak mahu menerimanya. Tetapi Barnabas menerimanya dan membawa dia kepada rasul-rasul. Dia membuat pengakuan di hadapan mereka bagaimana Paulus melihat Tuhan dalam perjalanan dan dia telah berkhutbah dengan lantang dalam nama Yesus di Damsyik.

Tetapi Syaitan menghasut orang-orang Yahudi untuk membinasakan Paulus dan Yesus menyuruh Paulus meninggalkan Yerusalem. Semasa dia melawat bandar-bandar lain memberitakan Yesus dan mengadakan mukjizat, banyak orang telah bertaubat. Ketika seorang yang tempang sejak sekian lama dipulihkan, orang-orang yang menyembah berhala-berhala sedia memberikan persembahan korban kepada murid-murid. Paulus bersedih dan memberitahu orang-orang itu bahawa murid-murid itu hanyalah manusia biasa, mereka harus menyembah Tuhan yang mencipta langit, bumi, laut dan semua benda yang ada di dalamnya. Paulus meninggikan Tuhan di hadapan mereka, namun dia tidak dapat mengawal orang ramai itu. Pengetahuan pertama tentang iman kepada Tuhan yang benar, penyembahan dan penghormatan kepada-Nya dibentuk dalam minda mereka. Ketika mereka sedang mendengar Paulus, Syaitan mendorong orang-orang Yahudi yang tidak percaya di bandar-bandar lain menyusul Paulus untuk merosakkan pekerjaan baik yang dilakukan melaluinya. Orang-orang Yahudi gempar dan menimbulkan kemarahan penyembah berhala dengan laporan palsu menentang Paulus. Kehairanan dan kesukaan orang-orang itu terhadap Paulus kini bertukar menjadi kebencian. Mereka yang sebentar tadi bersedia untuk menyembah murid-murid, kini melempar Paulus dengan batu dan mengheretnya keluar dari bandar, menganggap yang Paulus sudah mati. Tetapi ketika murid-murid berdiri mengelilingi Paulus, meratapi kematiannya, tiba-tiba sahaja keadaan menjadi gembira bila dia bangun berdiri dan pergi bersama-sama mereka masuk ke bandar.

Ketika Paulus memberitakan Yesus, seorang perempuan yang dirasuk roh tenung mengikuti mereka sambil berseru, “Orang-orang ini adalah hamba Allah Yang Maha Tinggi. Mereka memberitakan kepada kita jalan kepada keselamatan.”

Demikianlah perempuan itu mengikuti mereka selama beberapa hari. Paulus sedih kerana seruan sedemikian telah mengalihkan perhatian orang-orang di bandar itu daripada kebenaran. Tujuan Syaitan memimpin perempuan berbuat demikian adalah untuk menimbulkan rasa meluat di kalangan orang-orang yang mendengar dan untuk memusnahkan pengaruh murid-murid. Namun semangat Paulus meluap dalam dirinya lalu berpaling kepada perempuan itu dan berkata kepada roh itu, “Demi nama Yesus Kristus aku menyuruh engkau keluar dari perempuan ini.” Roh jahat itu ditegur dan meninggalkan perempuan itu.

Tuan-tuan perempuan itu berasa senang melihat perempuan itu berseru-seru mengikuti murid-murid tetapi bila roh jahat itu meninggalkannya dan melihat dia menjadi murid Yesus yang rendah hati, mereka naik berang. Mereka telah mengumpul banyak wang melalui pekerjaan menenung perempuan itu tetapi  harapan mereka untuk mendapat keuntungan kini sudah lenyap. Tujuan Syaitan telah digagalkan. Namun hamba-hambanya telah menangkap Paulus dan Silas dan mengheret mereka ke pasar, mengadap para penguasa dan majistret, berkata, “Ini adalah orang-orang Yahudi yang membuat banyak kekacauan di bandar kami.” Orang ramai bangun menentang mereka. Para Majistret mengoyakkan baju mereka menyuruh orang ramai itu memukul mereka. Setelah orang ramai itu mengenakan banyak calar di badan mereka, mereka disumbatkan ke dalam penjara. Penguasa penjara itu diperintahkan menjaga mereka  supaya tidak terlepas. Dengan perintah itu, penguasa penjara itu memasukkan mereka ke dalam bilik penjara di sebelah dalam sekali dan mengikat mereka pada pasung. Bagaimanapun malaikat Tuhan mengiringi mereka dalam penjara yang dikelilingi tembok itu. Penahanan mereka itu akan menyatakan kemuliaan Tuhan dan menyatakan kepada orang bahawa Tuhan sedang bekerja dan ada bersama-sama dengan orang-orang pilihan-Nya kerana tembok penjara itu dapat digoncang dan palang-palang besi yang kuat sekalipun dengan mudah sahaja dapat dibuka oleh-Nya.

Pada tengah malam itu Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan lagu pujian kepada Tuhan. Tiba-tiba satu gempa bumi besar berlaku sehingga dasar penjara itu bergoncang. Aku melihat malaikat Tuhan telah melepaskan belenggu dari tangan setiap orang. Penguasa penjara terbangun dari tidurnya dan berasa sangat takut apabila melihat pintu-pintu penjara terbuka. Pada sangkaannya orang-orang tahanan itu telah melepaskan diri dan akibatnya dia akan dihukum bunuh. Ketika penguasa penjara itu hendak membunuh dirinya, Paulus berseru dengan suara yang kuat, katanya, “Jangan mencelakakan dirimu.” Kuasa Tuhan meyakinkan penguasa penjara itu. Dia menyuruh membawa suluh, lalu berlari masuk dan dengan gementar tersungkur di hadapan Paulus dan Silas. Dia membawa mereka keluar dan berkata, “Tuan-tuan, apakah yang harus aku buat supaya selamat?” Mereka berkata, “Percayalah kepada Tuhan Yesus Kristus, engkau dan seisi rumahmu akan selamat.” Penguasa penjara itu mengumpul seluruh isi rumahnya dan Paulus memberitakan  Yesus kepada mereka. Hati penguasa penjara itu bersatu dengan saudara-saudara dan membasuh calar-calar Paulus dan murid-murid. Penguasa penjara itu dan seisi rumahnya kemudiannya dibaptiskan pada malam itu. Dia kemudiannya menyediakan makanan kepada mereka, bergembira dengan percaya dalam Tuhan, dia dan seluruh isi rumahnya.

Berita gembira tentang kemuliaan kuasa Tuhan yang ditunjukkan dalam membuka pintu-pintu penjara di samping pertaubatan dan pembaptisan penguasa penjara dan keluarganya tersebar luas. Para pemerintah yang telah mendengar hal tersebut menjadi takut lalu menyampaikan pesan kepada penguasa penjara supaya membebaskan Paulus dan Silas dari penjara itu. Tetapi Paulus tidak mahu meninggalkan penjara itu secara senyap-senyap. Dia berkata kepada mereka, “Tanpa diadili mereka telah mendera kami warga negara Roma di khalayak ramai lalu melemparkan kami ke dalam penjara. Sekarang mereka mahu mengeluarkan kami dengan diam-diam?. Tidak mungkin demikian! Biarlah mereka datang sendiri dan membawa kami keluar.”
Paulus dan Silas tidak rela pernyataan kuasa Tuhan itu harus disembunyikan. Sarjan penjara itu menyampaikan kata-kata itu kepada para majistret. Mereka menjadi takut setelah mendengar yang mereka adalah warga Roma. Majistret dan para penguasa itu datang memohon maaf kepada mereka dan meminta mereka keluar daripada kota itu.

Rujuk : Kisah Para Rasul 14 & 16

Saulus Menjadi Kristian

14

Ketika Saulus dalam perjalanan ke Damsyik membawa surat kuasa untuk menangkap orang lelaki dan perempuan yang berkhutbah tentang Yesus untuk dibawa dengan tangan bergari ke Yerusalem, para iblis bersukacita di sekelilingnya. Tetapi dalam perjalanan itu, tiba-tiba satu cahaya dari langit menyinari sekeliling Paulus menyebabkan iblis-iblis yang mengelilinginya itu bertempiaran lari dan Saulus rebah ke tanah. Dia mendengar satu suara berkata, “Saulus, Saulus, mengapa engkau menganiaya Aku?” Saulus bertanya, “Siapakah Engkau, Tuhan?” Tuhan menjawab, “Akulah Yesus yang kau aniaya itu. Sukar bagi kamu menendang duri.” Saulus menggeletar dan hairan, berkata, “Tuhan, apakah yang Engkau hendak aku lakukan?” Tuhan berkata, “Bangunlah dan pergilah ke kota, di sana akan dikatakan kepadamu apa yang harus kau perbuat.”
                                                                                                                
Teman-teman seperjalanan Paulus terpegun tanpa sepatah katapun. Mereka mendengar suara itu tetapi tidak melihat sesiapapun. Setelah cahaya itu berlalu dan Saulus bangun berdiri lalu membuka matanya, dia tidak dapat melihat sesiapapun. Kemuliaan cahaya syurga telah membutakannya. Mereka memimpin tangan Saulus dan membawanya ke Damsyik. Selama tiga hari dia tidak dapat melihat, tidak makan dan tidak minum. Kemudian Tuhan mengutus malaikat-Nya kepada seorang yang Saulus ingin tangkap. Malaikat itu menyatakan kepadanya dalam satu penglihatan bahawa dia harus pergi ke satu jalan yang disebut Jalan Lurus dan bertanyakan di rumah Yudas seorang yang bernama Saulus orang Tarsus; sebab dia sedang berdoa dan sedang melihat dalam satu penglihatan seorang yang bernama Ananias datang meletakkan tangan ke atasnya supaya dia dapat melihat lagi.

Ananias takut kalau-kalau ada kesilapan dalam hal ini dan mula menceritakan kepada Tuhan apa yang dia telah dengar tentang Saulus. Tetapi Tuhan berkata kepada Ananias, “Pergilah sebab orang ini adalah alat pilihan bagi-Ku untuk memberitakan nama-Ku kepada bangsa-bangsa lain serta raja-raja dan orang-orang Israel. Aku sendiri akan menunjukkan kepadanya betapa banyak penderitaan yang harus ia tanggung oleh kerana nama-Ku.” Ananias mengikuti arahan Tuhan lalu masuk ke dalam rumah dan meletakkan tangannya pada Saulus, dan  berkata, “Saulus, saudaraku, Tuhan Yesus yang telah menampakkan diri kepadamu di jalan yang engkau lalui, telah menyuruh aku kepadamu, supaya engkau dapat melihat lagi dan penuh dengan Roh Kudus.”

Seketika itu juga Saulus dapat melihat, dia bangun berdiri lalu dibaptiskan. Dia kemudiannya berkhutbah tentang Kristus di rumah-rumah ibadat, bahawa Yesus adalah Anak Yahweh. Semua orang yang mendengar khutbahnya berasa kagum dan bertanya, “Bukankah dia ini yang di Yerusalem mahu membinasakan barang siapa yang memanggil nama Yesus ini? Bukankah ia datang ke sini dengan maksud untuk menangkap dan membawa mereka ke hadapan imam-imam kepala?” Saulus semakin besar pengaruhnya dan membingungkan orang-orang Yahudi. Mereka sekali lagi dalam kesusahan. Saulus dalam kuasa Roh Kudus menceritakan pengalamannya. Semua orang mengetahui tentang penentangan Saulus ke  atas Yesus dan kesungguhannya memburu semua orang yang percaya dalam nama-Nya untuk dihukum bunuh. Mukjizat pertaubatannya telah meyakinkan banyak orang bahawa Yesus adalah Anak Yahweh. Saulus menceritakan pengalamannya bahawa dia menganiaya sehingga mati, menangkap lelaki dan perempuan dan memasukkan mereka ke dalam penjara, tetapi pada ketika dalam perjalanan ke Damsyik, tiba-tiba satu cahaya yang sangat terang dari langit menyinari sekelilingnya dan Yesus menyatakan diri-Nya kepadanya, memberitahunya bahawa Dia adalah Anak Yahweh.

Bila Saulus berkhutbah dengan beraninya tentang Yesus, dia membawa pengaruh yang sangat kuat bersamanya. Dia mempunyai pengetahuan tentang kitab-kitab dan selepas pertaubatannya, satu terang ilahi bersinar ke atas nubuatan tentang Yesus yang membolehkannya menyampaikan kebenaran dengan jelas dan berani serta memperbetulkan mana-mana penyelewengan ke atas kitab-kitab. Dengan Roh Tuhan yang berdiam dalam dirinya, Saulus dapat membawa para pendengarnya menyusur nubuatan-nubuatan ke masa kedatangan Yesus yang pertama dengan amat jelas dan penuh kuasa. Dia dapat menunjukkan kepada mereka bahawa kitab-kitab telah digenapi, iaitu merujuk kepada penderitaan Kristus, kematian dan kebangkitan-Nya.

Rujuk : Kisah 9