40
Yesus Kristus, semua rombongan malaikat suci dan semua orang salih yang diselamatkan meninggalkan kota itu. Malaikat-malaikat suci itu mengelilingi Panglima agung mereka. Para malaikat itu mengiringi-Nya di sepanjang perjalanan-Nya, diikuti oleh rombongan orang salih yang diselamatkan. Dalam keagungan yang hebat dan menggerunkan, Yesus memanggil keluar orang-orang yang tidak percaya dari kematian. Mereka bangkit dengan tubuh mereka yang sama seperti pada masa mereka dikuburkan. Lemah dan sakit. Peristiwa itu sungguh dahsyat. Satu pemandangan yang menakjubkan. Pada saat pertama kebangkitan itu, semua orang bangkit serentak bagaikan kembangan kekal, tetapi selepas itu tanda-tanda kutuk jelas kelihatan pada setiap manusia. Raja-raja dan para bangsawan bumi yang berdarjat tinggi dan rendah, yang berpelajaran dan yang tidak berpelajaran tampil bersama-sama ke hadapan. Mereka semua memandang ke arah Anak Manusia. Orang-orang yang menghina dan mengolok-olok Yesus, orang-orang yang meletakkan mahkota duri di dahi suci-Nya dan yang memukulnya dengan batang buluh melihat-Nya dalam segala keagungan raja. Mereka yang meludahi-Nya ketika Dia dalam dewan pengadilan, kini berpaling daripada renungan-Nya yang tajam dan daripada kemuliaan wajah-Nya. Mereka yang telah menukulkan paku hingga menembusi tangan dan kaki-Nya memandang ke arah bekas-bekas penyaliban-Nya. Mereka yang telah menikam rusuk-Nya dengan lembing, kini memandang tanda-tanda kezaliman pada tubuh-Nya. Mereka menyedari bahawa Dialah yang mereka telah salibkan dan ejek-ejek ketika mengalami kesakitan yang teramat perit. Kemudian, bergema tangisan panjang yang berterusan akibat kesakitan ketika mereka melarikan diri menyembunyikan diri dari kehadiran Raja atas segala raja dan Tuhan atas segala tuhan.