29
Aku melihat satu kumpulan orang yang berpegang kepada pendirian dan sudah bersedia, tidak memberi muka kepada mereka yang cuba mengubah kepercayaan yang sudah sedia wujud oleh tubuh itu. Tuhan merestui pendirian mereka. Aku telah diperlihatkan tiga langkah – satu, dua dan tiga - perutusan malaikat pertama, kedua dan ketiga. Kata malaikat itu, malang kepada yang mengubah satu blok atau mengocak satu pin perutusan-perutusan ini. Pengertian yang betul terhadap perutusan ini amatlah penting. Akhir nasib seseorang itu bergantung kepada cara bagaimana mereka menerima perkhabaran tersebut. Sekali lagi aku dibawa untuk mengimbas kembali perutusan-perutusan tersebut dan melihat betapa besar pengorbanan umat Tuhan menempuh pengalaman yang mereka lalui. Pengalaman itu mereka perolehi melalui penderitaan dan konflik yang berat. Tuhan memimpin mereka, langkah demi langkah sepanjang jalan sehingga Tuhan meletakkan mereka pada pelantar kukuh yang tidak dapat digoyahkan lagi. Kemudian aku melihat orang-orang perseorangan yang menghampiri pelantar tersebut, sebelum menaikinya mereka memeriksa dasarnya. Ada di antara mereka yang bergirang dengan serta merta naik ke atasnya. Ada pula yang lain mula mencari kecacatan letak dasarnya. Mereka ingin pembaikan dilakukan supaya pelantar itu lebih sempurna dan orang akan lebih gembira. Ada pula yang melangkah turun untuk memeriksa dasarnya, menemui kesilapan pada dasar itu dan mengatakan dasar itu terletak pada tempat yang salah. Tetapi aku melihat hampir semua yang berdiri teguh di atas pelantar menggesa mereka yang telah turun itu supaya menghentikan rungutan mereka kerana Tuhan adalah Jurubina Agung dan mereka hendak menentang Dia. Mereka telah mengimbas kembali pekerjaan indah Tuhan yang telah membawa mereka kepada pelantar yang kukuh itu. Dengan seia sekata mereka mengangkat mata mereka ke langit dan dengan suara yang kuat memuliakan Tuhan. Perkara ini memberi kesan kepada mereka yang telah merungut dan meninggalkan pelantar itu. Kemudian dengan pandangan rendah hati mereka naik semula ke atas pelantar itu.