Showing posts with label second angel message. Show all posts
Showing posts with label second angel message. Show all posts

Monday, December 12, 2011

Perutusan Malaikat ketiga Ditutup

35
Perhatianku dibawa kepada masa apabila perutusan malaikat ketiga hendak ditutup. Kuasa Tuhan hinggap pada umat-Nya. Mereka telah menyelesaikan pekerjaan dan disediakan untuk menghadapi masa kesukaran di hadapan mereka. Mereka telah menerima hujan akhir atau disegarkan oleh kehadiran Tuhan. Kesaksian hidup telah dipulihkan. Amaran keras terakhir diberitakan ke segala tempat. Perkara ini telah membangkitkan dan menimbulkan kemarahan kepada seluruh penduduk bumi yang tidak menerima perutusan itu.

Aku melihat malaikat-malaikat sibuk ke sana dan ke sini di syurga. Satu malaikat kembali dari bumi dengan buli-buli dakwat penulis di sisinya melaporkan kepada Yesus bahawa pekerjaannya telah di laksanakan dan orang-orang salih telah dihitung dan dimeteraikan. Kemudian aku melihat Yesus yang telah melakukan pelayanan-Nya di hadapan Peti Perjanjian yang mengandungi Sepuluh Hukum, melemparkan ukupan ke bawah. Dia mengangkat tangan-Nya ke atas dan dengan suara yang kuat, berkata, “Sudah selesai!” Seluruh malaikat syurga menanggalkan mahkota masing-masing ketika Yesus membuat pengisytiharan penuh takzim, “Barang siapa yang berbuat jahat, biarlah ia terus berbuat jahat; barang siapa yang cemar, biarlah ia terus cemar; dan barang siapa yang benar, biarlah ia terus berbuat kebenaran; barang siapa yang kudus, biarlah ia terus menguduskan dirinya!”

Aku melihat bahawa setiap kes telahpun ditetapkan sama ada mati atau hidup. Yesus telah menghapuskan dosa-dosa umat-Nya. Dia telah menerima kerajaan-Nya dan pendamaian telah dilakukan untuk warga negara kerajaan-Nya. Ketika Yesus sedang mengadakan pelayanan-Nya dalam Sanktuari, penghakiman dijalankan ke atas orang-orang benar yang sudah mati diikuti dengan orang-orang benar yang masih hidup. Rakyat kerajaan itu sudah ditetapkan. Perkahwinan Domba sudah selesai. Kerajaan itu dan kebesaran kerajaan itu di bawah seluruh langit telah dikurniakan kepada Yesus dan pewaris keselamatan. Yesus memerintah sebagai Raja atas segala raja dan Tuhan atas segala tuhan.

Ketika Yesus bergerak keluar dari tempat Maha Suci, aku mendengar deringan loceng-loceng pada pakaian-Nya dan ketika Dia meninggalkan tempat itu, satu awan gelap menutupi penghuni bumi. Pada ketika itu tidak ada lagi pengantara di antara orang-orang bersalah dengan Tuhan yang telah disinggung. Pada masa Yesus masih berdiri di antara Tuhan dengan manusia yang bersalah, satu kekangan diberikan kepada manusia. Tetapi bila Yesus berpindah dari perantaraan antara manusia dengan Bapa, kekangan itu telah dilepaskan dan Syaitan pun berkuasa atas manusia. Adalah mustahil malapetaka dicurahkan selagi Yesus masih menjalankan upacara-Nya di Sanktuari. Tetapi bila pekerjaan-Nya di situ sudah selesai, bila pengantaraan-Nya sudah berakhir, tidak ada satupun yang akan dapat menahan murka Tuhan. Murka-Nya itu akan memecahkan kepala orang-orang berdosa yang bersalah yang tanpa pelindung itu yang telah meremehkan keselamatan dan membenci teguran. Selepas pengantaraan Yesus tamat, masa ini adalah yang menakutkan.  Orang-orang salih pada masa yang menakutkan itu, selepas berakhirnya pengantaraan Yesus, hidup dalam pandangan Tuhan yang kudus tanpa satu pengantara. Setiap kes sudah diputuskan dan setiap permata telah dikira. Yesus berlengah sekejap di luar apartmen Sanktuari syurga. Dosa-dosa yang telah diakui ketika Yesus berada di tempat Maha Suci, Yesus letakkan semula kepada pemula dosa iaitu si Jahat. Dia mesti menerima hukuman dari dosa-dosa ini.

Kemudian aku melihat bahawa Yesus menanggalkan pakaian keimamatan-Nya dan menggantikannya dengan jubah di raja – pada kepala-Nya banyak mahkota, satu mahkota dalam satu mahkota –dengan dikelilingi oleh seluruh malaikat, Yesus meninggalkan syurga.

Malapetaka demi malapetaka menimpa penghuni bumi. Sebahagian dari mereka mengecam Tuhan dan mengutuk-Nya. Sebahagian yang lain bergegas menemui umat Tuhan dan merayu supaya diajar bagaimana melepaskan diri daripada penghakiman Tuhan. Tetap orang-orang salih itu tidak mempunyai apa-apa lagi untuk mereka. Air mata terakhir bagi orang-orang berdosa telah dicurahkan. Doa mengazabkan yang terakhir telahpun dilafazkan. Beban terakhir telahpun dipikul. Tidak ada lagi suara belas kasihan yang merdu menjemput mereka. Nota amaran terakhir telahpun diberikan. Pada masa orang-orang salih dan seluruh syurga berminat untuk keselamatan mereka, orang-orang berdosa itu sendiri tidak berminat untuk diselamatkan. Kehidupan dan kematian telah disediakan di hadapan mereka. Banyak orang yang mengingini kehidupan tetapi mereka langsung tidak berusaha mendapatkannya. Mereka tidak memilih kehidupan dan kini tidak ada lagi darah pendamaian untuk menyucikan orang-orang berdosa. Tidak ada lagi Juruselamat berbelas kasihan yang merayu untuk mereka dan berseru, “Kasihanilah, kasihanilah orang berdosa itu untuk seketika lamanya.” Seluruh syurga bersatu dengan Yesus, ketika mereka mendengar kata-kata yang menggerunkan, “Sudah selesai. Sudah berakhir.” Rancangan penyelamatan telah dilaksanakan. Tetapi sedikit sahaja orang yang menerima rancangan itu. Ketika suara merdu belas kasihan semakin padam, rasa ketakutan dan kegerunan menyelubungi mereka. Amat jelas sekali dalam pendengaran mereka, kata-kata, “Sudah terlambat! Sudah terlambat!”

Mereka yang tidak menghargai firman Tuhan bergegas ke sana dan ke sini. Mereka mengembara dari laut ke laut dan dari utara ke timur mencari firman Tuhan. Malaikat itu berkata, “Mereka tidak akan menemuinya, akan ada kebuluran di daratan. Bukan kebuluran akan roti atau dahagakan air tetapi mendengar akan Firman Tuhan. Apakah yang mereka tidak akan berikan untuk satu kata restu dari Tuhan? Tetapi tidak, mereka mesti terus lapar dan dahaga. Hari demi hari mereka meremehkan penyelamatan. Mereka lebih menghargai keseronokan dan kekayaan duniawi daripada tarikan dan harta syurga. Mereka telah menolak Yesus dan menghina orang-orang salih-Nya. Mereka yang cemar tetap cemar untuk selama-lamanya.”

Sebahagian besar orang-orang jahat itu sangatlah marah bila menderita dari kesan-kesan malapetaka itu. Suatu pemandangan azab yang menakutkan. Ibubapa dengan pahitnya menegur anak-anak mereka dan anak-anak menegur ibu bapa mereka, anak-anak lelaki menegur anak-anak perempuan dan sebaliknya. Suara tangisan yang kuat kedengaran dari segala arah, “kamulah yang telah menghalang saya daripada menerima kebenaran itu, kebenaran yang dapat menyelamatkan saya daripada tempoh yang amat teruk ini. Orang-orang itu berpaling kepada para pelayan rohani dengan kebencian yang sangat pahit, menegur dan mengatakan kepada mereka, “Kamu tidak pernah memberi amaran kepada kami. Kamu telah memberitahu kami bahawa seluruh bumi akan diubah dan berseru, “Damai, damai”  untuk melenyapkan rasa ketakutan yang timbul. Kamu tidak pernah memberitahu kami tentang masa ini. Mereka yang memberi amaran kepada kami tentang masa ini, kamu kata fanatik dan orang jahat yang akan merosakkan kami.” Aku melihat pelayan-pelayan rohani itu tidak terlepas daripada murka Tuhan. Hukuman yang dijatuhkan kepada mereka adalah sepuluh kali ganda lebih berat daripada yang dialami oleh para pengikut mereka.

Rujuk : Yehzkiel 9:2-11; Daniel 7:27; Hosea 6:3; Amos 8:11-13; Wahyu 16, 17:14

Tuesday, November 01, 2011

Perutusan Malaikat Kedua

24
Gereja-gereja tidak akan menerima terang daripada perutusan malaikat pertama. Bila mereka menolak terang daripada syurga, mereka tidak akan diperkenankan Tuhan. Mereka percaya kepada kekuatan mereka sendiri. Dengan penentangan mereka terhadap perutusan pertama, mereka meletakkan diri mereka di mana mereka tidak dapat melihat terang malaikat yang kedua. Tetapi kekasih Tuhan yang ditindas, menyahut perutusan itu, “Babilon sudah jatuh,” lalu meninggalkan gereja-gereja yang jatuh itu.

Pada pengakhir perutusan malaikat yang kedua, aku melihat satu terang besar daripada syurga bersinar ke atas umat Tuhan. Sinaran terang ini nampak terang seperti matahari. Aku mendengar suara-suara para malaikat berseru, “Lihatlah mempelai datang, keluarlah kamu menyongsong-Nya.”

Seruan tengah malam diberikan untuk memberi kuasa kepada perutusan malaikat kedua. Para malaikat dari syurga diutuskan untuk membangunkan orang-orang salih yang tawar hati dan menyediakan mereka untuk menghadapi pekerjaan besar di hadapan mereka. Orang-orang yang paling berbakat bukanlah orang yang pertama menerima perutusan ini. Para malaikat telah diutus kepada orang-orang yang rendah hati, yang setia dan memaksa mereka melaungkan seruan, “Lihatlah mempelai datang, keluarlah kamu menyongsong-Nya.” Mereka yang dipertanggungjawabkan dengan seruan itu pun bergegas dan dengan kuasa Roh Kudus menyebarkan seruan itu, membangkitkan saudara-saudara yang telah tawar hati. Seruan ini tidak berdiri pada hikmat dan kebijaksanaan manusia tetapi dalam kuasa Tuhan. Orang-orang salih Tuhan yang telah mendengar seruan itu tidak dapat menahannya. Orang-orang yang penuh dengan kerohanian akan lebih dahulu menerima perutusan ini dan mereka yang dahulunya mempelopori pekerjaan ini adalah yang terakhir menerima dan membantu mengumandangkan seruan, “Lihatlah mempelai datang, keluarlah kamu menyongsong-Nya.”

Di setiap pelusuk negeri, terang telah diberikan kepada perutusan malaikat yang kedua dan seruan itu mencairkan beribu-ribu orang. Perutusan itu bergerak dari kota ke kota dan dari kampung ke kampung sehingga umat Tuhan yang sedang menunggu itu bangun sepenuhnya. Banyak orang tidak membenarkan perutusan ini memasuki gereja-gereja dan satu kumpulan besar yang mempunyai kesaksian hidup dalam diri mereka meninggalkan gereja yang telah jatuh itu. Satu pekerjaan besar telah diselesaikan oleh seruan tengah malam itu. Perutusan itu telah memeriksa hati dan membawa orang-orang percaya untuk mencari pengalaman hidup bagi diri mereka sendiri. Mereka tahu bahawa mereka tidak boleh bersandar atas seorang dengan yang lain.

Orang-orang salih menantikan dengan rasa cemas kedatangan Tuhan dengan berpuasa, berjaga dan hampir sepanjang masa berdoa. Bahkan beberapa orang berdosa menantikan masa itu dengan kegerunan. Sementara itu orang ramai kelihatan seperti terhasut menentang perutusan itu dan menunjukkan roh Syaitan. Mereka mengolok-olok dan mencemuh. Di merata tempat kedengaran, “Tidak ada sesiapapun yang mengetahui hari dan masanya.” Para iblis amat bergembira di sekeliling mereka, menggesa mereka supaya mengeraskan hati dan menolak setiap sinar terang daripada syurga supaya mereka tetap dalam perangkap syaitan. Banyak orang yang mengaku menantikan Tuhan yang bukan sebahagian atau sebagai kumpulan dalam perkara tersebut. Kemuliaan Tuhan yang mereka telah saksikan, kerendahan hati dan kesetiaan mendalam orang-orang yang menunggu itu, bukti-bukti kukuh yang tidak dapat dinafikan menyebabkan mereka mengaku telah menerima kebenaran itu. Tetapi mereka tidak bertaubat. Mereka tidak bersedia. Satu semangat berdoa penuh takzim dan sungguh-sungguh dirasakan orang-orang salih dimerata tempat. Suatu rasa takzim hinggap pada diri mereka.

Para malaikat dengan penuh minat telah melihat hasil, telah mengangkat mereka yang telah menerima perutusan syurgawi dan mengeluarkan mereka daripada hal-hal duniawi untuk memperolehi bekalan besar daripada mata air keselamatan. Umat Tuhan kemudiannya diterima dengan Dia. Yesus memandang kepada mereka dengan kesukaan. Imej-Nya dipantulkan dalam diri mereka. Mereka telah membuat pengorbanan besar, satu penyerahan menyeluruh dan menantikan untuk diubah kepada kekekalan. Tetapi mereka ditakdirkan dengan sedihnya menghadapi kekecewaan. Masa yamg mereka nanti-nantikan untuk diselamatkan telah berlalu. Mereka masih di bumi dan kesan-kesan kutukan nampak lebih jelas lagi. Mereka telah meletakkan keinginan mereka ke atas syurga. Dalam penantian yang manis, mereka telah melalui penyelamatan kekekalan. Namun harapan mereka belum menjadi kenyataan.

Ketakutan yang telah hinggap pada banyak orang tidak hilang serta merta. Mereka tidak dengan serta merta berasa menang ke atas orang-orang yang telah mengalami kekecewaan. Tetapi oleh kerana tidak ada murka Tuhan yang kelihatan dan dirasai, mereka mula sedar dari ketakutan yang menimpa mereka dan memulakan ejekan, olok-olokan dan cemuhan. Umat Tuhan sekali lagi dimatangkan dan diuji. Dunia mentertawakan, mengolok-olokkan dan menegur mereka. Mereka yang percaya tanpa keraguan bahawa Yesus akan datang dan membangkitkan orang yang telah mati, mengubah orang-orang salih yang hidup, mengambil kerajaan dan memilikinya untuk selama-lamanya, merasakan seperti murid-murid Yesus. “Mereka telah mengambil Tuhanku dan aku tidak tahu ke mana mereka sembunyikan-Nya.”

Rujuk :Matius 24:36, 25:6; Yohanes 20:13; Wahyu 14:8