Wednesday, February 08, 2012

Kebangkitan Kedua

40
Yesus Kristus, semua rombongan malaikat suci dan semua orang salih yang diselamatkan meninggalkan kota itu. Malaikat-malaikat  suci itu mengelilingi Panglima agung mereka. Para malaikat itu mengiringi-Nya di sepanjang perjalanan-Nya, diikuti oleh rombongan orang salih yang diselamatkan. Dalam keagungan yang hebat dan menggerunkan, Yesus memanggil keluar orang-orang yang tidak percaya dari kematian. Mereka bangkit dengan tubuh mereka yang sama seperti pada masa mereka dikuburkan. Lemah dan sakit. Peristiwa itu sungguh dahsyat. Satu pemandangan yang menakjubkan. Pada saat pertama kebangkitan itu, semua orang bangkit serentak bagaikan kembangan kekal, tetapi selepas itu tanda-tanda kutuk jelas kelihatan pada setiap manusia. Raja-raja dan para bangsawan bumi yang berdarjat tinggi dan rendah, yang berpelajaran dan yang tidak berpelajaran tampil bersama-sama ke hadapan. Mereka semua memandang ke arah Anak Manusia. Orang-orang yang menghina dan mengolok-olok Yesus, orang-orang yang meletakkan mahkota duri di dahi suci-Nya dan yang memukulnya dengan batang buluh melihat-Nya dalam segala keagungan raja. Mereka yang meludahi-Nya ketika Dia dalam dewan pengadilan, kini berpaling daripada renungan-Nya yang tajam dan daripada kemuliaan wajah-Nya. Mereka yang telah menukulkan paku hingga menembusi tangan dan kaki-Nya memandang ke arah bekas-bekas penyaliban-Nya. Mereka yang telah menikam rusuk-Nya dengan lembing, kini memandang tanda-tanda kezaliman pada tubuh-Nya. Mereka menyedari bahawa Dialah yang mereka telah salibkan dan ejek-ejek ketika mengalami kesakitan yang teramat perit. Kemudian, bergema tangisan panjang yang berterusan akibat kesakitan ketika mereka melarikan diri menyembunyikan diri dari kehadiran Raja atas segala raja dan Tuhan atas segala tuhan.

Wednesday, February 01, 2012

Bumi Dikosongkan

39
 
Kemudian aku memandang ke bumi. Orang-orang jahat sudah mati. Mayat mereka bergelimpangan di muka bumi. Murka Tuhan dalam tujuh bala terakhir telah menimpa penghuni bumi menyebabkan mereka menggigit lidah. Mereka menggigit lidah kerana kesakitan yang teramat perit. Mereka mengutuk Tuhan. Para gembala palsu menjadi objek tanda kemurkaan Tuhan. Biji mata mereka hancur dalam soketnya. Lidah musnah dalam mulut mereka ketika mereka masih berdiri di atas kaki masing-masing. Selepas orang-orang salih diselamatkan dengan firman Tuhan, kumpulan lautan manusia yang masih berada di bumi melepaskan rasa marah dan geram kepada sesama mereka. Bumi seperti dilanda banjir darah. Mayat bergelimpangan menutupi seluruh permukaan bumi.

Bumi kelihatan seperti padang belantara yang tandus. Gempa bumi yang amat dahsyat telah meruntuhkan bandaraya-bandaraya dan kampung-kampung menjadi longgokan-longgokan kemusnahan di merata tempat. Gunung-ganang sudah beralih dari tempatnya meninggalkan gua-gua besar. Laut memuntahkan batu-batu bergerigis ke daratan dan batu-batu terkoyak dari permukaan bumi dan bertaburan di seluruh permukaan bumi. Bumi kelihatan seperti padang belantara yang tandus. Pokok-pokok kayu besar tercabut dengan akar-akarnya berselerak di merata tempat. Inilah tempat tinggal bagi Syaitan dan para iblisnya selama satu ribu tahun. Di sinilah mereka dibelenggu. Mereka merayau-rayau ke sana ke mari di permukaan bumi yang telah hancur, melihat kesan pemberontakan mereka terhadap undang-undang Tuhan. Selama tempoh seribu tahun itulah mereka akan merasai hasil kutuk akibat perbuatan mereka. Pergerakan Syaitan dan iblis terbatas di bumi sahaja. Mereka tidak akan berpeluang mengunjungi planet-planet lain untuk menggoda dan mengganggu penghuninya yang belum jatuh ke dalam dosa. Selama inilah Syaitan akan mengalami penderitaan yang teramat sangat. Sejak kejatuhannya, dia telah melaksanakan segala kejahatannya. Tetapi ketika ini dia tidak lagi dapat menggunakan kuasanya. Dia dibiarkan merenung kembali peranan yang dimainkannya semenjak kejatuhannya sementara menanti dengan perasaan gementar dan ketakutan yang teramat sangat menghadapi masa depan yang dahsyat bila dia akan menerima akibat perbuatannya yang jahat itu. Dia akan dihukum kerana dosa-dosa yang telah dilakukannya.

Aku mendengar sorakan kemenangan dari malaikat-malaikat dan orang-orang salih yang telah diselamatkan. Kedengarannya seperti bunyi sepuluh ribu alat muzik sebab mereka tidak lagi akan diganggu dan digoda oleh Iblis. Para penghuni dunia lain pula terselamat daripada pencerobohan dan pencubaannya.

Kemudian aku melihat takhta-takhta. Yesus dan orang salih yang terselamat duduk di atas takhta-takhta itu. Orang-orang salih itu telah diangkat sebagai raja-raja dan imam-imam bagi Tuhan. Kristus bersama-sama dengan umat-Nya menghakimi orang-orang mati yang tidak percaya, membandingkan perbuatan mereka yang tercatat dalam Buku Peringatan dengan Firman Tuhan. Mereka membuat keputusan ke atas setiap perkara menurut perbuatan orang-orang mati itu di dalam tubuh. Yesus dan orang-orang salih yang menghakimi itu melaksanakan hukuman yang wajib ditimpakan kepada setiap orang yang tidak percaya, menurut perbuatan masing-masing dan yang tertulis di samping nama mereka dalam buku maut. Syaitan dan para iblisnya juga dihakimi oleh Yesus dan orang-orang salih. Hukuman ke atas Syaitan adalah jauh lebih berat daripada yang menimpa orang-orang yang disesatkannya sehingga hukuman yang akan dijatuhkan kepada Syaitan itu tidak boleh dibandingkan dengan hukuman ke atas orang-orang yang disesatkannya. Lagipun mereka yang telah disesatkannya telahpun binasa sedangkan Syaitan masih hidup dan akan menahan sengsara lebih lama lagi.

Selepas penghakiman ke atas orang-orang yang tidak percaya tamat pada akhir satu ribu tahun, Yesus meninggalkan kota itu. Dia diiringi oleh orang-orang salih dan sebarisan para malaikat yang setia. Yesus mendarat di sebuah gunung besar.  Pada saat kaki Yesus menyentuh gunung itu, gunung itu terbelah menjadi sebuah dataran yang teramat luas. Kemudian kami mendongak ke atas dan melihat sebuah kota yang teramat besar dan tersangat indah. Dasarnya dua belas. Pintu gerbangnya dua belas buah. Tiga buah pintu gerbang di setiap sisi. Satu malaikat berjaga pada setiap pintu gerbang itu. Kami berseru, “Kota itu, kota yang agung! Kota itu turun dari syurga daripada Tuhan!” Kota itu turun dengan segala kegemilangannya dan kerlipan kemuliaannya, berdiri megah di atas dataran yang teramat besar disediakan oleh Yesus.

Rujuk : Zakaria 14:4-12; Wahyu 20:2-6, 20:12, 21:10-27

Sunday, January 29, 2012

Upah Orang-Orang Salih

38
Kemudian aku melihat bilangan besar malaikat yang membawa mahkota mulia dari kota kudus. Satu mahkota bagi setiap orang salih yang diselamatkan. Nama penerimanya tertulis pada setiap mahkota itu. Bila Yesus meminta mahkota itu, para malaikat menyerahkan mahkota-mahkota itu kepada-Nya. Yesus yang indah dengan tangan kanan-Nya meletakkan mahkota-mahkota itu di atas kepala setiap orang salih. Dengan cara yang sama para malaikat membawakan kecapi-kecapi dan Yesus mengurniakan kecapi-kecapi itu kepada orang-orang salih. Kemudian para panglima malaikat memainkan muzik diikuti dengan suara yang hebat dan penuh kesyukuran menyanyikan lagu pujian. Setiap tangan orang-orang salih memainkan kecapi masing-masing mendendangkan muzik yang amat merdu. Kemudian aku melihat Yesus mendahului orang-orang yang diselamatkan itu menuju ke pintu kota kudus itu. Yesus dengan tangan pada pintu itu membukanya dan menghayunkannya ke belakang pada engselnya yang gemerlapan dan menjemput semua bangsa yang memelihara kebenaran masuk ke dalam kota itu. Di dalam kota itu terdapat apa sahaja yang menyenangkan mata. Mereka melihat segala kemuliaan berlimpah memenuhi segala ruang. Kemudian Yesus memandang ke arah semua umat-Nya yang telah diselamatkan. Wajah-wajah mereka bersinar-sinar dengan kemuliaan. Ketika Dia menatap mereka dengan pandangan kasih, Dia berkata dengan suara yang teramat merdu, “Aku telah melihat usaha jiwa-Ku dan amat berpuas hati. Kemuliaan yang teramat sangat ini adalah untuk kamu nikmati selama-lamanya. Kesengsaraan kamu telah berakhir. Tidak akan ada lagi kematian atau kesengsaraan atau ratap tangis dan tidak akan ada lagi kesakitan.” Aku melihat semua yang diselamatkan itu meletakkan mahkota masing-masing yang berkilau-kilauan itu di kaki Yesus. Kemudian, sementara Yesus membangkitkan mereka dengan tangan-Nya yang indah itu, mereka memainkan kecapi keemasan masing-masing mendendangkan muzik dan nyanyian pujian Anak Domba yang teramat merdu memenuhi seluruh ruang syurga.

Kemudian aku melihat Yesus mendahului umat-Nya ke pohon kehidupan. Sekali lagi kita mendengar suara-Nya yang amat merdu, lebih merdu daripada mana-mana muzik yang pernah didengar oleh telinga yang fana, berkata, “Daun-daun dari pohon ini adalah untuk menyembuhkan bangsa-bangsa. Kamu makanlah daun-daun itu.” Pada pohon kehidupan itu terdapat buah-buah yang tersangat indah yang boleh dimakan oleh orang-orang salih dengan bebas. Di tengah kota itu terletak takhta yang teramat mulia. Dari takhta itu mengalir air sungai kehidupan yang jernih seperti hablur. Pada kedua-dua tebing sungai kehidupan itu terdapat pohon yang indah dengan buah-buah yang baik untuk dimakan. Bahasa manusia adalah sangat lemah untuk menghuraikan suasana syurga. Ketika penglihatan itu ditayangkan di hadapanku, aku kelu dalam kekaguman. Kerana terbawa-bawa dengan kehebatan yang teramat sangat dan kemuliaan yang tidak terkatakan, aku meletakkan pen dan meluahkan perasaan, “Oh, betapa kasihnya! Betapa amat indahnya kasih!” Bahasa yang paling tinggi pun tidak dapat menghuraikan kemuliaan syurga atau mengukur betapa dalamnya kasih Juruselamat.

Rujuk : Wahyu 21:4; 22:1-2

Wednesday, January 04, 2012

Pembebasan Orang-Orang Salih

37
Pada tengah malam itu Tuhan datang menyelamatkan umat-Nya. Ketika orang-orang jahat sedang mengolok-olok di sekeliling mereka, dengan tidak semena-mena matahari kelihatan menyinarkan terang penuhnya. Pada ketika yang sama bulan masih pada tempatnya. Orang-orang jahat melihat keadaan itu dengan penuh kehairanan. Tanda-tanda dan keajaiban silih berganti begitu cepat sekali. Segala-galanya kelihatan seperti tergelincir daripada landasannya. Tetapi orang-orang salih kelihatan diselubungi kegembiraan melihat tanda penyelamatan mereka itu.

Sungai berhenti mengalir. Awan-awan tebal dan gelap tiba-tiba sahaja timbul dan saling bertembung satu sama yang lain. Tetapi ada satu tempat jelas bagi kemuliaan yang sudah bertapak dari mana suara Tuhan menderu bagaikan bunyi air banyak mengalir, menggoncangkan langit dan bumi. Gempa bumi yang amat dahsyat juga berlaku. Kubur-kubur terbuka. Mereka yang telah mati dalam iman di bawah perutusan malaikat ketiga dan yang memelihara Sabat, bangkit dari pembaringan yang berdebu. Mereka itu dimuliakan. Mereka yang memelihara undang-undang-Nya diperdengarkan dengan janji keamanan daripada Tuhan.