Thursday, August 25, 2011

Paulus Melawat Yerusalem

16

Tidak lama selepas menjadi Kristian, Paulus melawat Yerusalem. Di situ dia memberitakan Yesus dan keajaiban kasih kurnia-Nya. Paulus menceritakan mukjizat pertaubatannya yang telah menimbulkan  kemarahan imam-imam dan para pemerintah. Oleh sebab itu mereka mencari jalan untuk membunuhnya. Bagaimanapun, untuk menyelamatkan nyawanya, Yesus menampakkan diri-Nya sekali lagi dalam satu penglihatan ketika dia sedang berdoa. Yesus berkata kepadanya, “Segeralah engkau keluar dari Yerusalem, sebab mereka tidak akan menerima kesaksian tentang Aku.” Paulus bersungguh-sungguh merayu kepada Yesus, “Tuhan, mereka tahu aku telah memenjarakan dan memukul setiap orang yang percaya akan engkau dalam rumah-rumah ibadat. Ketika darah Stefanus yang syahid itu tertumpah, aku juga berdiri dekat situ dan berkenan kepada kematiannya dan menyimpan pakaian mereka yang membunuhnya.” Paulus fikir orang-orang Yahudi di Yerusalem itu tidak akan menolak kesaksiannya dan mereka akan memberi pertimbangan bahawa perubahan besar dalam hidupnya itu hanya dapat dilakukan oleh kuasa Tuhan. Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Bertolaklah kerana Aku akan menghantar engkau jauh ke tempat orang-orang bukan Yahudi.

Sepeninggalannya daripada Yerusalem, Paulus telah menulis banyak surat ke pelbagai tempat menceritakan pengalamannya dan memikul kesaksian yang sangat kuat. Tetapi ada beberapa orang yang berusaha untuk menghapuskan pengaruh surat-surat tersebut. Mereka terpaksa mengakui bahawa surat-suratnya itu berat dan berkuasa, namun mengisytiharkan bahawa kehadirannya secara badani adalah lemah dan ucapan-ucapannya itu kekejian.

Aku melihat bahawa Paulus adalah seorang yang berpendidikan tinggi dan hikmat dan penampilannya menawan para pendengarnya. Orang-orang yang berpelajaran berasa senang dengan pengetahuannya dan banyak di antara mereka yang percaya akan Yesus. Ketika di hadapan raja-raja dan di perhimpunan-perhimpunan besar dia akan meluahkan dengan kepetahan sehingga semua orang terdiam dihadapannya. Hal ini menimbulkan kemarahan di kalangan para imam dan para penatua. Paulus bersedia untuk berdebat lebih mendalam, menjulang tinggi, membawa umat itu bersamanya dalam perjalanan pemikiran yang paling tinggi dan membawa mereka melihat kasih kurnia yang maha besar dari Tuhan. Seterusnya memaparkan di hadapan mereka kasih ajaib Kristus. Kemudian dengan cara yang mudah, dengan kefahaman orang-orang biasa dan dalam cara yang sangat kuat dia menceritakan pengalamannya yang dapat menimbulkan satu keinginan ghairah dalam diri mereka untuk menjadi murid-murid Kristus.

Tuhan menyatakan kepada Paulus yang dia harus pergi ke Yerusalem lagi, kali ini dengan dibelenggu dan menderita kerana nama-Nya. Walaupun dia sudah menjadi banduan begitu lama namun Tuhan meneruskan pekerjaan istimewa-Nya itu melalui Paulus. Belenggu Paulus akan menjadi alat penyebaran pengetahuan akan Kristus dan dengan itu akan memuliakan Tuhan. Ketika dia dihantar dari bandar ke bandar untuk perbicaraannya, kesaksiannya berkenaan Yesus dan insiden pertaubatannya diceritakan di hadapan raja-raja dan gabenor-gabenor supaya mereka tidak tertinggal mendengar kesaksian berkenaan Yesus. Beribu-ribu orang yang percaya kepadanya dan bergirang dalam nama-Nya. Aku melihat bahawa tujuan istimewa Tuhan itu telah digenapi dalam perjalanan Paulus di laut apabila anak-anak kapal menyaksikan kuasa Tuhan melalui Paulus dan juga orang-orang kafir akan mendengar nama Yesus. Ramai orang yang bertaubat melalui ajarannya dan dengan menyaksikan mukjizat yang dilakukannya. Raja-raja dan gabenor-gabenor tertarik dengan hujah-hujahnya.

Dengan kesungguhannya dan oleh kuasa Roh Kudus, dia berkhutbah tentang Yesus dan menceritakan peristiwa-peristiwa menarik dari pengalamannya, keyakinan dalam diri mereka diperteguhkan lagi bahawa Yesus adalah anak Yahweh. Manakala sebahagian pendengar tercengang-cengang dengan kekaguman ketika mendengar khutbah Paulus, seseorang berkata, “Hampir sahaja engkau menjadikan aku seorang Kristian.” Namun mereka berfikir bahawa pada satu masa akan datang mereka akan mempertimbangkan apa yang telah mereka dengar. Syaitan mengambil kesempatan penangguhan itu dan bila mereka mengabaikan peluang itu ketika hati mereka masih lembut lagi, kesempatan itu tidak akan datang lagi. Hati mereka menjadi keras.

Aku telah diperlihatkan pekerjaan Syaitan, pertama pada masa pembutaan mata orang-orang Yahudi supaya mereka tidak akan menerima Yesus sebagai Juruselamat mereka. Selepas itu dalam memimpin mereka melalui kedengkian oleh kerana pekerjaan-Nya yang hebat itu, mengingini nyawa-Nya. Syaitan memasuki salah seorang pengikut Yesus sendiri, memimpin orang itu mengkhianati-Nya ke tangan orang-orang Yahudi dan mereka menyalibkan Tuhan kehidupan dan kemuliaan. Selepas Yesus bangkit daripada kematian, orang-orang Yahudi menambahkan dosa kepada dosa apabila mereka cuba menyembunyikan fakta kebangkitan-Nya dengan cara mengupah pengawal Roma dengan wang supaya memberi kesaksian dusta. Bagaimanapun kebangkitan Yesus dipastikan dua kali oleh kebangkitan banyak orang saksi-saksi yang bangkit bersama-sama dengan Dia. Yesus menampakkan diri-Nya di hadapan murid-murid dan di hadapan lima ratus orang pada masa yang sama. Manakala mereka yang Yesus bawa bersama-Nya menampakkan diri mereka kepada banyak orang, mengisytiharkan bahawa Yesus telah bangkit.

Syaitan menyebabkan orang-orang Yahudi memberontak menentang Tuhan dengan enggan menerima Anak Yahweh dan dengan menodai tangan-tangan mereka oleh darah yang mahal itu melalui penyaliban-Nya. Bagaimana kuat sekalipun bukti-bukti yang diberikan bahawa Yesus adalah Anak Yahweh, Penebus dunia, mereka telah membunuh-Nya juga dan tidak dapat menerima bukti-bukti yang memihak kepada-Nya. Satu-satunya pengharapan dan penghiburan bagi mereka, sebagaimana halnya Syaitan selepas kejatuhannya, adalah untuk cuba menang menentang Anak Yahweh. Mereka meneruskan pemberontakan mereka dengan menganiaya murid-murid Yesus dan membunuh mereka. Tidak ada satupun yang sangat menyakitkan telinga mereka selain nama Yesus yang mereka salibkan dan mereka bertekad untuk tidak mendengar apa-apa buktipun yang berpihak kepada-Nya. Seperti hal Stefanus, bila Roh Kudus melaluinya mengisytiharkan bukti yang amat kuat bahawa Yesus adalah Anak Yahweh, mereka menutup telinga, jika tidak mereka akan diyakinkan. Sementara Stefanus diselubungi dengan kemuliaan Tuhan, mereka melemparinya dengan batu hingga mati. Syaitan mendapatkan pembunuh-pembunuh Yesus dengan segera ke dalam tangannya. Melalui pekerjaan jahat itu, mereka telah menyerahkan diri mereka sebagai pengikutnya yang rela dan melalui mereka Syaitan akan bekerja untuk menyusahkan dan mengganggu orang-orang yang percaya kepada Kristus. Dia bekerja melalui orang-orang Yahudi untuk menghasut orang-orang bukan Yahudi menentang nama Yesus dan para pengikuti-Nya serta yang percaya dalam nama-Nya. Tetapi Tuhan telah mengutus malaikat-Nya untuk memperkuatkan murid-murid melakukan pekerjaan mereka untuk bersaksi tentang hal-hal yang mereka telah lihat dan dengar. Akhirnya dalam keteguhan pendirian mereka itu, kesaksian mereka itu dimeteraikan dengan darah mereka sendiri.

Syaitan bergembira melihat orang-orang Yahudi selamat dalam jeratnya. Mereka masih meneruskan upacara tradisi mereka yang tidak berguna, persembahan-persembahan korban dan upacara-upacara keagamaan lain.

Ketika Yesus tergantung di salib dan berseru, “Sudah selesai!” tabir kaabah terkoyak di tengah dari atas hingga ke bawah yang menandakan bahawa Tuhan tidak lagi akan menemui imam-imam di kaabah untuk menerima persembahan-persembahan korban dan upacara-upacara mereka. Hal itu juga menunjukkan bahawa dinding pemisah di antara Yahudi dan bukan Yahudi telah diruntuhkan. Yesus telah mengadakan persembahan dengan diri-Nya sendiri untuk orang Yahudi dan bukan Yahudi. Jika diselamatkan, kedua-duanya mestilah percaya  dalam Yesus sebagai satu-satunya persembahan untuk dosa dan Juruselamat untuk dunia.

Ketika Yesus masih tergantung di kayu salib, askar menikam rusuk-Nya dengan lembing, mengalirlah keluar darah dan air dalam dua aliran yang berbeza. Satu aliran darah dan satu aliran air yang jernih. Darah itulah yang membasuh bersih dosa-dosa mereka yang percaya dalam nama-Nya. Air itu pula melambangkan air kehidupan yang diperolehi daripada Yesus  untuk memberi hidup kepada orang-orang percaya.

Rujuk : Matius 27:51; Yohanes 19:34; Kisah Para Rasul 24 & 26.

Wednesday, August 24, 2011

Orang-orang Yahudi Hendak Membunuh Paulus

15

Imam-imam ketua dan pemerintah-pemerintah terangsang dengan kebencian terhadap Paulus ketika menyaksikan kesan dari huraian pengalamannya. Mereka melihatnya berkhutbah dengan berani tentang Yesus, mengadakan mukjizat dalam nama-Nya, tidak terkira banyaknya orang yang mendengar khutbahnya dan berpaling daripada tradisi mereka dan  memandang mereka sebagai pembunuh Anak Yahweh. Kemarahan mereka meluap-luap dan mereka berhimpun untuk membincangkan langkah-langkah terbaik yang akan diambil untuk meredakan keghairahan itu. Mereka bersetuju bahawa satu-satunya jalan yang selamat bagi mereka adalah untuk membunuh Paulus. Tetapi Tuhan mengetahui niat mereka. Tuhan mengutus malaikat-Nya untuk menjaga Paulus supaya dia boleh hidup untuk menyelesaikan misinya dan menderita kerana nama Yesus.

Paulus dimaklumkan yang orang-orang Yahudi ingin mendapatkan nyawanya. Syaitan menggerakkan orang-orang Yahudi yang tidak percaya itu untuk mengawal pintu masuk ke Damsyik siang dan malam supaya apabila Paulus melaluinya, mereka dapat membunuhnya di situ juga. Tetapi pada malam hari, murid-murid menurunkannya dengan bakul melalui tembok. Di sini, orang-orang Yahudi dipermalukan oleh kegagalan mereka dan tujuan Syaitan dikalahkan. Paulus pergi ke Yerusalem menggabungkan dirinya dengan para rasul. Tetapi mereka semua takut akan Paulus. Mereka tidak dapat mempercayai yang Paulus adalah murid. Nyawanya diburu oleh orang-orang Yahudi di Damsyik dan saudara-saudaranya tidak mahu menerimanya. Tetapi Barnabas menerimanya dan membawa dia kepada rasul-rasul. Dia membuat pengakuan di hadapan mereka bagaimana Paulus melihat Tuhan dalam perjalanan dan dia telah berkhutbah dengan lantang dalam nama Yesus di Damsyik.

Tetapi Syaitan menghasut orang-orang Yahudi untuk membinasakan Paulus dan Yesus menyuruh Paulus meninggalkan Yerusalem. Semasa dia melawat bandar-bandar lain memberitakan Yesus dan mengadakan mukjizat, banyak orang telah bertaubat. Ketika seorang yang tempang sejak sekian lama dipulihkan, orang-orang yang menyembah berhala-berhala sedia memberikan persembahan korban kepada murid-murid. Paulus bersedih dan memberitahu orang-orang itu bahawa murid-murid itu hanyalah manusia biasa, mereka harus menyembah Tuhan yang mencipta langit, bumi, laut dan semua benda yang ada di dalamnya. Paulus meninggikan Tuhan di hadapan mereka, namun dia tidak dapat mengawal orang ramai itu. Pengetahuan pertama tentang iman kepada Tuhan yang benar, penyembahan dan penghormatan kepada-Nya dibentuk dalam minda mereka. Ketika mereka sedang mendengar Paulus, Syaitan mendorong orang-orang Yahudi yang tidak percaya di bandar-bandar lain menyusul Paulus untuk merosakkan pekerjaan baik yang dilakukan melaluinya. Orang-orang Yahudi gempar dan menimbulkan kemarahan penyembah berhala dengan laporan palsu menentang Paulus. Kehairanan dan kesukaan orang-orang itu terhadap Paulus kini bertukar menjadi kebencian. Mereka yang sebentar tadi bersedia untuk menyembah murid-murid, kini melempar Paulus dengan batu dan mengheretnya keluar dari bandar, menganggap yang Paulus sudah mati. Tetapi ketika murid-murid berdiri mengelilingi Paulus, meratapi kematiannya, tiba-tiba sahaja keadaan menjadi gembira bila dia bangun berdiri dan pergi bersama-sama mereka masuk ke bandar.

Ketika Paulus memberitakan Yesus, seorang perempuan yang dirasuk roh tenung mengikuti mereka sambil berseru, “Orang-orang ini adalah hamba Allah Yang Maha Tinggi. Mereka memberitakan kepada kita jalan kepada keselamatan.”

Demikianlah perempuan itu mengikuti mereka selama beberapa hari. Paulus sedih kerana seruan sedemikian telah mengalihkan perhatian orang-orang di bandar itu daripada kebenaran. Tujuan Syaitan memimpin perempuan berbuat demikian adalah untuk menimbulkan rasa meluat di kalangan orang-orang yang mendengar dan untuk memusnahkan pengaruh murid-murid. Namun semangat Paulus meluap dalam dirinya lalu berpaling kepada perempuan itu dan berkata kepada roh itu, “Demi nama Yesus Kristus aku menyuruh engkau keluar dari perempuan ini.” Roh jahat itu ditegur dan meninggalkan perempuan itu.

Tuan-tuan perempuan itu berasa senang melihat perempuan itu berseru-seru mengikuti murid-murid tetapi bila roh jahat itu meninggalkannya dan melihat dia menjadi murid Yesus yang rendah hati, mereka naik berang. Mereka telah mengumpul banyak wang melalui pekerjaan menenung perempuan itu tetapi  harapan mereka untuk mendapat keuntungan kini sudah lenyap. Tujuan Syaitan telah digagalkan. Namun hamba-hambanya telah menangkap Paulus dan Silas dan mengheret mereka ke pasar, mengadap para penguasa dan majistret, berkata, “Ini adalah orang-orang Yahudi yang membuat banyak kekacauan di bandar kami.” Orang ramai bangun menentang mereka. Para Majistret mengoyakkan baju mereka menyuruh orang ramai itu memukul mereka. Setelah orang ramai itu mengenakan banyak calar di badan mereka, mereka disumbatkan ke dalam penjara. Penguasa penjara itu diperintahkan menjaga mereka  supaya tidak terlepas. Dengan perintah itu, penguasa penjara itu memasukkan mereka ke dalam bilik penjara di sebelah dalam sekali dan mengikat mereka pada pasung. Bagaimanapun malaikat Tuhan mengiringi mereka dalam penjara yang dikelilingi tembok itu. Penahanan mereka itu akan menyatakan kemuliaan Tuhan dan menyatakan kepada orang bahawa Tuhan sedang bekerja dan ada bersama-sama dengan orang-orang pilihan-Nya kerana tembok penjara itu dapat digoncang dan palang-palang besi yang kuat sekalipun dengan mudah sahaja dapat dibuka oleh-Nya.

Pada tengah malam itu Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan lagu pujian kepada Tuhan. Tiba-tiba satu gempa bumi besar berlaku sehingga dasar penjara itu bergoncang. Aku melihat malaikat Tuhan telah melepaskan belenggu dari tangan setiap orang. Penguasa penjara terbangun dari tidurnya dan berasa sangat takut apabila melihat pintu-pintu penjara terbuka. Pada sangkaannya orang-orang tahanan itu telah melepaskan diri dan akibatnya dia akan dihukum bunuh. Ketika penguasa penjara itu hendak membunuh dirinya, Paulus berseru dengan suara yang kuat, katanya, “Jangan mencelakakan dirimu.” Kuasa Tuhan meyakinkan penguasa penjara itu. Dia menyuruh membawa suluh, lalu berlari masuk dan dengan gementar tersungkur di hadapan Paulus dan Silas. Dia membawa mereka keluar dan berkata, “Tuan-tuan, apakah yang harus aku buat supaya selamat?” Mereka berkata, “Percayalah kepada Tuhan Yesus Kristus, engkau dan seisi rumahmu akan selamat.” Penguasa penjara itu mengumpul seluruh isi rumahnya dan Paulus memberitakan  Yesus kepada mereka. Hati penguasa penjara itu bersatu dengan saudara-saudara dan membasuh calar-calar Paulus dan murid-murid. Penguasa penjara itu dan seisi rumahnya kemudiannya dibaptiskan pada malam itu. Dia kemudiannya menyediakan makanan kepada mereka, bergembira dengan percaya dalam Tuhan, dia dan seluruh isi rumahnya.

Berita gembira tentang kemuliaan kuasa Tuhan yang ditunjukkan dalam membuka pintu-pintu penjara di samping pertaubatan dan pembaptisan penguasa penjara dan keluarganya tersebar luas. Para pemerintah yang telah mendengar hal tersebut menjadi takut lalu menyampaikan pesan kepada penguasa penjara supaya membebaskan Paulus dan Silas dari penjara itu. Tetapi Paulus tidak mahu meninggalkan penjara itu secara senyap-senyap. Dia berkata kepada mereka, “Tanpa diadili mereka telah mendera kami warga negara Roma di khalayak ramai lalu melemparkan kami ke dalam penjara. Sekarang mereka mahu mengeluarkan kami dengan diam-diam?. Tidak mungkin demikian! Biarlah mereka datang sendiri dan membawa kami keluar.”
Paulus dan Silas tidak rela pernyataan kuasa Tuhan itu harus disembunyikan. Sarjan penjara itu menyampaikan kata-kata itu kepada para majistret. Mereka menjadi takut setelah mendengar yang mereka adalah warga Roma. Majistret dan para penguasa itu datang memohon maaf kepada mereka dan meminta mereka keluar daripada kota itu.

Rujuk : Kisah Para Rasul 14 & 16

Saulus Menjadi Kristian

14

Ketika Saulus dalam perjalanan ke Damsyik membawa surat kuasa untuk menangkap orang lelaki dan perempuan yang berkhutbah tentang Yesus untuk dibawa dengan tangan bergari ke Yerusalem, para iblis bersukacita di sekelilingnya. Tetapi dalam perjalanan itu, tiba-tiba satu cahaya dari langit menyinari sekeliling Paulus menyebabkan iblis-iblis yang mengelilinginya itu bertempiaran lari dan Saulus rebah ke tanah. Dia mendengar satu suara berkata, “Saulus, Saulus, mengapa engkau menganiaya Aku?” Saulus bertanya, “Siapakah Engkau, Tuhan?” Tuhan menjawab, “Akulah Yesus yang kau aniaya itu. Sukar bagi kamu menendang duri.” Saulus menggeletar dan hairan, berkata, “Tuhan, apakah yang Engkau hendak aku lakukan?” Tuhan berkata, “Bangunlah dan pergilah ke kota, di sana akan dikatakan kepadamu apa yang harus kau perbuat.”
                                                                                                                
Teman-teman seperjalanan Paulus terpegun tanpa sepatah katapun. Mereka mendengar suara itu tetapi tidak melihat sesiapapun. Setelah cahaya itu berlalu dan Saulus bangun berdiri lalu membuka matanya, dia tidak dapat melihat sesiapapun. Kemuliaan cahaya syurga telah membutakannya. Mereka memimpin tangan Saulus dan membawanya ke Damsyik. Selama tiga hari dia tidak dapat melihat, tidak makan dan tidak minum. Kemudian Tuhan mengutus malaikat-Nya kepada seorang yang Saulus ingin tangkap. Malaikat itu menyatakan kepadanya dalam satu penglihatan bahawa dia harus pergi ke satu jalan yang disebut Jalan Lurus dan bertanyakan di rumah Yudas seorang yang bernama Saulus orang Tarsus; sebab dia sedang berdoa dan sedang melihat dalam satu penglihatan seorang yang bernama Ananias datang meletakkan tangan ke atasnya supaya dia dapat melihat lagi.

Ananias takut kalau-kalau ada kesilapan dalam hal ini dan mula menceritakan kepada Tuhan apa yang dia telah dengar tentang Saulus. Tetapi Tuhan berkata kepada Ananias, “Pergilah sebab orang ini adalah alat pilihan bagi-Ku untuk memberitakan nama-Ku kepada bangsa-bangsa lain serta raja-raja dan orang-orang Israel. Aku sendiri akan menunjukkan kepadanya betapa banyak penderitaan yang harus ia tanggung oleh kerana nama-Ku.” Ananias mengikuti arahan Tuhan lalu masuk ke dalam rumah dan meletakkan tangannya pada Saulus, dan  berkata, “Saulus, saudaraku, Tuhan Yesus yang telah menampakkan diri kepadamu di jalan yang engkau lalui, telah menyuruh aku kepadamu, supaya engkau dapat melihat lagi dan penuh dengan Roh Kudus.”

Seketika itu juga Saulus dapat melihat, dia bangun berdiri lalu dibaptiskan. Dia kemudiannya berkhutbah tentang Kristus di rumah-rumah ibadat, bahawa Yesus adalah Anak Yahweh. Semua orang yang mendengar khutbahnya berasa kagum dan bertanya, “Bukankah dia ini yang di Yerusalem mahu membinasakan barang siapa yang memanggil nama Yesus ini? Bukankah ia datang ke sini dengan maksud untuk menangkap dan membawa mereka ke hadapan imam-imam kepala?” Saulus semakin besar pengaruhnya dan membingungkan orang-orang Yahudi. Mereka sekali lagi dalam kesusahan. Saulus dalam kuasa Roh Kudus menceritakan pengalamannya. Semua orang mengetahui tentang penentangan Saulus ke  atas Yesus dan kesungguhannya memburu semua orang yang percaya dalam nama-Nya untuk dihukum bunuh. Mukjizat pertaubatannya telah meyakinkan banyak orang bahawa Yesus adalah Anak Yahweh. Saulus menceritakan pengalamannya bahawa dia menganiaya sehingga mati, menangkap lelaki dan perempuan dan memasukkan mereka ke dalam penjara, tetapi pada ketika dalam perjalanan ke Damsyik, tiba-tiba satu cahaya yang sangat terang dari langit menyinari sekelilingnya dan Yesus menyatakan diri-Nya kepadanya, memberitahunya bahawa Dia adalah Anak Yahweh.

Bila Saulus berkhutbah dengan beraninya tentang Yesus, dia membawa pengaruh yang sangat kuat bersamanya. Dia mempunyai pengetahuan tentang kitab-kitab dan selepas pertaubatannya, satu terang ilahi bersinar ke atas nubuatan tentang Yesus yang membolehkannya menyampaikan kebenaran dengan jelas dan berani serta memperbetulkan mana-mana penyelewengan ke atas kitab-kitab. Dengan Roh Tuhan yang berdiam dalam dirinya, Saulus dapat membawa para pendengarnya menyusur nubuatan-nubuatan ke masa kedatangan Yesus yang pertama dengan amat jelas dan penuh kuasa. Dia dapat menunjukkan kepada mereka bahawa kitab-kitab telah digenapi, iaitu merujuk kepada penderitaan Kristus, kematian dan kebangkitan-Nya.

Rujuk : Kisah 9

Monday, August 22, 2011

Kematian Stefanus

 13

Murid-murid bertambah banyak berlipat kali ganda di Yerusalem. Firman Tuhan meningkat dan banyak daripada imam-imam menjadi penurut iman itu. Stefanus yang dipenuhi iman, telah melakukan banyak kehairanan dan mukjizat yang hebat di kalangan umat. Banyak pihak yang marah sebab imam-imam sudah berpaling daripada tradisi mereka, daripada korban-korban dan persembahan-persembahan dan menerima Yesus sebagai korban agung. Stefanus yang mempunyai kuasa daripada syurga, menegur para imam dan para penatua serta meninggikan Yesus di hadapan mereka. Mereka tidak dapat bertahan terhadap hikmat dan kuasa terhadap apa yang diperkatakannya. Apabila mereka menyedari yang mereka tidak dapat mengatasi Stefanus, mereka mengupah orang-orang tertentu untuk bersaksi dusta mengatakan mereka telah mendengar Stefanus mengeluarkan kata-kata hujat terhadap Musa dan menentang Tuhan. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Stefanus dan dengan cara saksi dusta, menuduhnya berkata-kata menentang rumah-rumah ibadat dan undang-undang. Mereka bersaksi bahawa mereka ada mendengar Stefanus mengatakan bahawa Yesus orang Nazareth itu akan menghapuskan adat istiadat yang diberikan Musa kepada mereka.

Semua orang yang duduk menghakimi Stefanus melihat sinar kemuliaan Tuhan pada wajahnya. Wajahnya bersinar-sinar bagaikan rupa malaikat. Dia berdiri tegak penuh iman dan Roh Kudus. Stefanus  menghuraikan bermula dengan para nabi sehinggalah ketibaan Yesus, penyaliban-Nya, kebangkitan dan kenaikan-Nya dan menunjukkan kepada mereka bahawa Tuhan tidak tinggal dalam rumah-rumah ibadat buatan tangan manusia. Merekalah yang menyembah rumah-rumah ibadat itu. Apapun yang diperkatakan menentang rumah ibadat akan menimbulkan kemarahan yang lebih besar daripada mengata menentang Tuhan. Semangat Stefanus berapi-api dengan kemarahan syurgawi ketika dia berseru menentang mereka yang bersikap jahat dan mempunyai hati yang tidak bersunat, katanya, “Kamu sentiasa melawan Roh Kudus.” Mereka memelihara peraturan-peraturan luaran tetapi hati mereka busuk dan penuh dengan kejahatan yang membinasakan. Stefanus merujukkan mereka kepada kezaliman nenek moyang mereka yang telah menganiayai para nabi dengan mengatakan, “Mereka membunuh orang-orang yang lebih dahulu memberitakan tentang kedatangan Orang Benar, yang sekarang ini kamu telah menjadi pengkhianat dan pembunuh.”

Imam-imam ketua dan pemerintah-pemerintah naik marah bila mendengar kebenaran yang jelas lagi tajam itu lalu menyerbu Stefanus. Cahaya dari syurga bersinar ke atas Stefanus dan dia mendongak tegak ke atas. Satu penglihatan kepada kemuliaan Tuhan diberikan kepadanya dan para malaikat mengepak-ngepak di awang tempat dia berdiri. Dia berseru, “Sungguh, aku melihat langit terbuka dan Anak Manusia berdiri di sebelah kanan Yahweh.” Mereka berteriak-teriak dengan suara yang kuat sambil menutup telinga. Dengan sepakat mereka mengheret dia keluar dari kota lalu melontarinya dengan batu. Stefanus berlutut dan berseru dengan suara yang kuat, katanya, “Tuhan janganlah tanggungkan dosa ini kepada mereka.”

Aku melihat bahawa Stefanus adalah seorang yang kuat datangnya daripada Tuhan, diankat khusus untuk mengisi satu tempat penting dalam gereja. Syaitan begitu gembira bila Stefanus dilempar dengan batu hingga mati sebab dia mengetahui yang para murid akan sangat terasa kehilangannya. Tetapi kemenangan Syaitan sekejap sahaja sebab ada seorang yang berdiri di kalangan yang menyaksikan kematian Stefanus, yang kepadanya Yesus akan menyatakan diri-Nya.

Walaupun dia sendiri tidak mengambil bahagian melempar Stefanus dengan batu, namun dia berkenan dengan kematiannya.

Saulus adalah seorang yang bersungguh-sungguh menganiaya gereja Tuhan, memburu mereka, menangkap mereka di rumah sendiri dan menyerahkan mereka kepada orang-orang yang ingin membunuh mereka. Syaitan menggunakan Saulus dengan berkesan sekali. Tetapi Tuhan boleh mematahkan kuasa Iblis dan membebaskan orang-orang yang dipenjarakan olehnya. Saulus adalah seorang yang berpelajaran dan Syaitan dengan kemenangan menggunakan kebolehan-kebolehannya membantu melaksanakan penentangan terhadap Anak Yahweh dan mereka yang percaya kepada-Nya. Tetapi Yesus telah memilih Saulus sebagai saluran terpilih untuk mengajar nama-Nya, menguatkan murid-murid dalam pekerjaan mereka lebih daripada mengambil tempat Stefanus. Saulus adalah seorang yang dihormati oleh orang-orang Yahudi. Kesungguhan dan pelajarannya amat menyenangkan mereka dan menimbulkan ketakutan pada kebanyakan murid-murid.

Kisah Para Rasul 6 & 7.

Thursday, August 18, 2011

Murid-Muris Kristus

Dengan kuasa yang amat kuat para murid mengkhutbahkan satu Juruselamat yang telah disalibkan dan bangkit daripada kematian. Mereka menyembuhkan yang sakit, bahkan seorang yang dilahirkan tempang telah dipulihkan menjadi seorang yang tidak bercacat dan masuk ke kdalam kaabah bersama-sama mereka, berjalan dan melompat-lompat sambil memuji Tuhan di khalayak orang ramai. Ramai orang yang berlari bersama, terperanjat dan takjub melihat penyembuhan yang telah berlaku.

Imam-imam ketua fikir jika Yesus sudah mati, tidak akan ada lagi mukjizat-mukjizat yang akan berlaku di kalangan murid-murid-Nya sehingga keghairahan akan mati dan orang ramai akan kembali memberi tumpuan kepada tradisi manusia. Tetapi, nah! Betul-betul di tengah-tengah mereka, para murid sedang mengadakan mukjizat dan rakyat dipenuhi dengan ketakjuban serta menatap dengan rasa keajaiban terhadap hal-hal yang mereka lihat. Yesus telahpun disalibkan dan mereka kehairanan darimana murid-murid-Nya mendapatkan kuasa sedemikian. Ketika Yesus masih hidup, mereka fikir Yesuslah yang memberikan kuasa kepada murid-murid-Nya. Mereka menjangkakan yang apabila Yesus mati, semua mukjizat itu akan berakhir. Petrus memahami kebingungan mereka itu lalu berkata, “Hai orang Israel, mengapa kamu hairan tentang kejadian itu dan mengapa kamu menatap kami seolah-olah kami membuat orang ini berjalan kerana kuasa atau kesalihan kami sendiri? Yahweh Abraham, Ishak dan Yakub, Yahweh nenek moyang kita telah memuliakan Hamba-Nya, iaitu Yesus yang kamu serahkan dan tolak di depan Pilatus, walaupun Pilatus berpendapat bahawa Ia harus dilepaskan. Tetapi kamu telah menolak Yang Kudus dan Benar serta menghendaki seorang pembunuh sebagai hadiahmu. Demikianlah Ia, Pemimpin kepada hidup, telah kamu bunuh tetapi Yahweh telah membangkitkan Dia dari antara orang mati, dan tentang hal itu kami adalah saksi.” Petrus memberitahu mereka bahawa iman dalam Yesuslah yang membuat orang yang dahulunya tempang tetapi kini sempurna tanpa cacat cela.

Imam-imam ketua dan penatua tidak tahan dengan kata-kata tersebut. Mereka menangkap murid-murid itu dan menahan mereka di rumah tahanan. Namun begitu beribu-ribu orang telah bertaubat dan percaya dengan kebangkitan dan kenaikan Kristus melalui pendengaran satu syarahan sahaja daripada murid-murid itu. Imam-imam ketua dan para penatua berasa susah hati. Mereka telah membunuh Yesus dengan harapan minda umat akan kembali kepada mereka namun perkara tersebut kini lebih buruk lagi daripada sebelumnya. Mereka secara terbuka dituduh oleh murid-murid sebagai pembunuh Anak Yahweh. Mereka tidak dapat menentukan setakat manakah perkembangan perkara tersebut atau bagaimanakah pandangan umat terhadap mereka. Mereka dengan senang hati menjatuhkan hukuman bunuh ke atas murid-murid itu tetapi mereka tidak berani berbuat demikian kerana takut mereka akan dilempar dengan batu. Jadi mereka meminta supaya murid-murid itu dibawa ke hadapan majlis. Orang-orang yang beria-ia sekali berseru meminta darah Yesus yang tidak bersalah juga ada di situ. Mereka telah mendengar penyangkalan pengecut Petrus dengan sumpah seranah ketika dia didakwa sebagai salah seorang murid-murid-Nya. Mereka berfikir untuk menakut-nakutkan Petrus tetapi kini dia adalah seorang yang telah bertaubat. Di sini satu peluang bagi Petrus untuk meninggikan Yesus. Satu ketika dia telah menyangkal-Nya tetapi kini dia boleh menanggalkan noda-noda penyangkalan tergesa-gesa secara pengecut dan memberi kepujian kepada nama yang pernah disangkalnya itu. Tidak ada kegentaran penakut bertakhta di dada Petrus ketika itu tetapi dengan keberanian suci dalam kuasa Roh Kudus, dia dengan tanpa takut-takut mengisytiharkan kepada mereka,
“Dalam nama Yesus Kristus dari Nazareth yang kamu salibkan, yang dibangkitkan Yahweh daripada kematian, bahkan oleh Dia juga orang ini berdiri dengan sehat sekarang di hadapan kamu semua. Yesus adalah batu yang dibuang oleh tukang-tukang bangunan, iaitu kamu, namun ia telah menjadi batu penjuru. Keselamatan tidak ada di dalam siapapun juga selain di dalam Dia, sebab di bawah kolong langit ini tidak ada nama lain yang diberikan kepada manusia yang olehnya kita dapat diselamatkan.”

Orang ramai berasa takjub dengan keberanian Petrus dan Yohanes. Mereka mengetahui yang murid-murid itu pernah bersama Yesus, memandangkan perilaku mulia dan tanpa takut sama seperti keadaan Yesus ketika Dia dianiaya oleh pembunuh-pembunuh-Nya. Yesus dengan pandangan sedih dan kasih menegur Petrus selepas menyangkal-Nya. Kini dengan beraninya dia mengakui Tuhannya. Petrus telah diperkenankan dan diberkati. Sebagai tanda perkenan Yesus, dia telah dipenuhi oleh Roh Kudus.

Imam-imam ketua tidak berani menunjukkan perasaan bencinya kepada murid-murid. Mereka menyuruh supaya murid-murid itu dibawa keluar daripada majlis itu dan para imam berbincang sesama mereka dan berkata, “Tindakan apakah yang harus kita ambil terhadap orang-orang ini? Sebab telah nyata kepada semua penduduk Yerusalem, bahawa mereka telah mengadakan suatu mukjizat yang menyolok dan kita tidak dapat menyangkalnya.” Mereka takut pekerjaan baik itu akan tersebar luas. Jika hal itu tersebar, mereka akan kehilangan kuasa dan mereka akan dianggap sebagai pembunuh-pembunuh Yesus. Apa yang mereka boleh buat hanyalah dengan mengugut murid-murid itu dan menyuruh mereka tidak lagi berkata-kata dalam nama Yesus jika tidak mereka akan dibunuh. Bagaimanapun Petrus dengan berani mengatakan bahawa  mereka tidak akan berdiam diri melainkan berkata tentang hal-hal yang mereka telah lihat dan dengar.

Dengan kuasa Yesus, murid-murid meneruskan penyembuhan ke atas orang-orang yang menderita dan sakit yang dibawa kepada mereka. Imam-imam ketua dan para penatua dan orang-orang tertentu yang berurusan dengan mereka berasa cemas. Beratus-ratus orang tersenarai setiap hari di bawah panji-panji Juruselamat yang telah disalib, bangkit dan naik ke syurga. Mereka menahan murid-murid itu ke dalam penjara dan berharap agar semangat berapi-api itu akan pudar. Syaitan mencapai kemenangan dan iblis-iblis jahat itu berasa terangkat. Namun malaikat-malaikat Tuhan telah diutus untuk membuka pintu-pintu penjara. Tidak seperti yang diperintahkan oleh Imam-imam ketua dan para penatua, malaikat-malaikat itu menyuruh mereka pergi ke kaabah dan menyampaikan segala perkataan tentang hidup ini. Majlispun bersidang dan meminta tahanan itu dibawa mengadap. Pegawai-pegawai membuka pintu-pintu penjara itu tetapi mereka tidak mendapati orang-orang tahanan yang mereka kehendaki dalam penjara mereka. Mereka kembali kepada kepada imam-imam ketua dan penatua-penatua dan berkata kepada mereka, “Kami mendapati penjara terkunci dengan sangat rapinya dan semua pengawal ada di tempatnya di muka pintu, tetapi setelah kami membukanya, tidak seorangpun yang kami temukan di dalamnya.” Kemudian datang seorang memberitahu mereka, berkata, “Lihat, orang-orang yang telah kamu masukkan ke dalam penjara, ada di dalam Bait Yahweh dan mereka mengajar orang banyak.”  Ketua pengawal dan para pegawai pergi ke Bait Yahweh dan menangkap mereka lalu membawa mereka tanpa kekerasan oleh kerana mereka takut akan orang ramai itu akan melempar mereka dengan batu.

Setelah mereka sampai ke dewan itu, mereka didudukkan di hadapan majlis dan Imam-imam ketua menyoal mereka, dan berkata, “Dengan keras kami melarang kamu mengajar dalam Nama itu. Namun ternyata kamu telah memenuhi Yerusalem dengan ajaranmu dan kamu hendak menanggungkan darah Orang itu kepada kami.”

Mereka adalah hipokrit dan suka akan sanjungan manusia lebih daripada mengasihi Tuhan. Hati mereka telah keras dan perbuatan-perbuatan murid-murid yang lebih menakjubkan akan menambahkan lagi kemarahan mereka. Mereka mengetahui jika murid-murid itu berkhutbah tentang Yesus, penyaliban-Nya, kebangkitan dan kenaikan-Nya, itu akan mengikat kesalahan itu kepada mereka dan mengisytiharkan mereka sebagai pembunuh.
Mereka tidak lagi rela menerima darah Yesus sebagaimana halnya ketika beria-ia berseru, “Biarlah darah-Nya tertanggung atas kami dan anak-anak kami.”

Murid-murid dengan berani mengisytiharkan bahawa mereka wajib menurut Tuhan daripada manusia. Kata Petrus, “Yahweh nenek moyang kita telah membangkitkan Yesus yang kamu gantungkan pada kayu salib dan kamu bunuh. Dialah yang telah ditinggikan oleh Yahweh sendiri dengan tangan kanan-Nya menjadi pemimpin dan Juruselamat supaya Israel dapat bertaubat dan menerima pengampunan dosa. Kami adalah saksi dari segala sesuatu itu, kami dan Roh Kudus, yang dikurniakan Yahweh kepada semua orang yang mentaati Dia.”

Pembunuh-pembunuh itu menjadi berang. Mereka ingin melumuri tangan-tangan mereka dengan darah sekali lagi dengan membunuh para rasul tersebut. Mereka sedang merancang bagaimana hendak melakukan hal itu ketika satu malaikat Tuhan datang kepada Gamaliel menggerakkan hatinya menasihati imam ketua dan para pemerintah. Gamaliel berkata, “Janganlah bertindak terhadap orang-orang ini. Biarkanlah mereka, sebab jika maksud dan perbuatan mereka berasal daripada manusia, tentu akan lenyap. Tetapi kalau berasal dari Yahweh, kamu tidak akan dapat melenyapkan orang-orang ini. Mungkin ternyata juga nanti, bahawa kamu melawan Yahweh.” Para iblis sedang menghasut imam-imam dan para penatua untuk menghukum bunuh rasul-rasul itu. Namun Yahweh mengutus malaikat-malaikat-Nya menghalang hal itu daripada berlaku dengan mengangkat satu suara yang berpihak kepada murid-murid di kalangan ahli-ahli majlis itu sendiri.

Pekerjaan rasul-rasul belum selesai lagi. Mereka harus dibawa di hadapan raja-raja bersaksi bagi nama Yesus dan memberi kesaksian tentang hal-hal yang mereka telah lihat dan dengar. Tetapi sebelum imam-imam ketua dan para penatua membebaskan mereka, mereka terlebih dahulu dipukul dan diberi amaran supaya tidak lagi berkata dalam nama Yesus. Mereka keluar dari majlis itu dengan memuji nama Tuhan kerana mereka layak menderita atas nama yang dikasihi itu. Mereka meneruskan misi itu, berkhutbah di rumah-rumah ibadat dan di setiap rumah di mana mereka dijemput datang. Firman Tuhan bertumbuh dan berganda. Syaitan mengilhamkan Imam-imam ketua dan para penatua untuk mengupah pengawal Rom untuk berbohong dengan mengatakan bahawa rasul-rasul itu telah mencuri tubuh Yesus ketika mereka sedang tidur. Imam-imam ketua dan para penatua itu berharap pembohongan itu dapat menutup fakta yang sebenarnya. Tetapi, nah! Bukti-bukti kuat tiba-tiba sahaja berdiri di sekeliling mereka bahawa Yesus telah bangkit dari kematian. Rasul-rasul memberi kesaksian dengan lantang dan berani mengenai kebangkitan itu, dan memberi kesaksian ke atas hal-hal yang mereka telah lihat dan dengar. Melalui nama Yesus itulah mereka mengadakan mukjizat-mukjizat yang hebat. Mereka dengan lantang dan berani meletakkan darah Yesus ke atas mereka yang dahulunya rela menerimanya, ketika mereka dibenarkan mempunyai kuasa ke atas Anak Yahweh.

Aku melihat bahawa malaikat-malaikat Tuhan disuruh memberi penjagaan istimewa dan melindungi kebenaran penting dan suci itu yang merupakan sauh penguat murid-murid Yesus sepanjang setiap generasi.

Roh Kudus hinggap khususnya pada rasul-rasul yang telah menyaksikan penyaliban Yesus, kebangkitan dan kenaikan-Nya – kebenaran penting yang sepatutnya menjadi pengharapan bagi Israel.

Semua seharusnya memandang kepada Juruselamat dunia sebagai satu-satunya pengharapan dan berjalan dalam cara yang Yesus telah buka melalui pengorbanan nyawa-Nya sendiri, memelihara undang-undang Tuhan dan hidup. Aku telah melihat hikmat dan kebaikan Yesus dalam memberikan kuasa kepada murid-murid untuk melaksanakan pekerjaan yang sama yang menyebabkan orang-orang Yahudi membenci dan membunuh-Nya. Mereka mempunyai kuasa untuk mengalahkan pekerjaan Syaitan.

Mereka melakukan tanda-tanda dan kehairanan-kehairanan melalui nama Yesus yang dibenci dan dibunuh oleh tangan-tangan orang-orang jahat. Satu lingkaran cahaya dan kemuliaan berkelompok pada masa kematian dan kebangkitan Yesus, mengabadikan fakta suci bahawa Yesus adalah Juruselamat dunia.

Rujuk : Kisah Para Rasul 3 – 5.

Wednesday, August 17, 2011

Kenaikan Kristus

Seluruh syurga sedang menunggu saat kemenangan itu bila Yesus naik kepada BapaNya. Para malaikat datang menyambut Raja kemuliaan dan mengiringi-Nya ke syurga dengan penuh kemenangan. Selepas Yesus memberkati murid-murid-Nya, Dia berpisah dengan mereka. Dia dibawa pergi ke syurga. Ketika Yesus mendahului perjalanan naik ke angkasa, sekumpulan orang yang telah dibangkitkan pada hari kebangkitan-Nya juga turut mengikuti-Nya dari belakang. Sekumpulan besar penghuni syurga juga turut sama dalam perjalanan itu. Sementara itu, sekumpulan malaikat lagi yang tidak terkira banyaknya sedang menunggu ketibaan-Nya di syurga. Ketika mereka naik masuk ke dalam Kota Kudus, para malaikat yang mengiringi Yesus berseru, “Angkatlah kepalamu, hai pintu-pintu gerbang, dan terangkatlah kamu hai pintu-pintu yang berabad-abad, supaya masuk Raja Kemuliaan!” Para malaikat di dalam kota itu bersorak dengan satu tempikan, “Siapakah itu Raja Kemuliaan? Malaikat pengiring menjawab dengan jawapan kemenangan, “Tuhan jaya dan perkasa, Tuhan, perkasa dalam peperangan! Angkatlah kepalamu, hai pintu-pintu gerbang, dan terangkatlah kamu hai pintu-pintu yang berabad-abad, supaya masuk Raja Kemuliaan! Sekali lagi para malaikat di dalam kota itu bertanya, “Siapakah Dia itu Raja Kemuliaan?” Malaikat pengiring menjawab dengan satu nyanyian yang merdu, “Tuhan semesta alam. Dialah Raja Kemuliaan!” Dan keretapi syurga itu bergerak masuk ke dalam kota Tuhan. Kemudian, seluruh penghuni syurga mengelilingi Anak Yahweh, Panglima mereka yang hebat dan agung itu. Dengan pemujaan yang mendalam, mereka sujud meletakkan mahkota mereka yang gemerlapan itu di kaki-Nya. Kemudian mereka memetik kecapi emas masing-masing. Seluruh ruang syurga dipenuhi dengan irama muzik dan nyanyian yang sungguh merdu dipersembahkan untuk Domba yang telah disembelih tetapi hidup kembali dalam keagungan dan kemuliaan.

Selepas itu aku diperlihatkan pada ketika para murid menatap dengan sedihnya ke arah langit untuk melihat kali terakhir wajah Tuhan yang sedang naik ke angkasa. Dua malaikat yang berpakaian putih berdiri bersama mereka berkata, “Hai orang-orang Galilea, mengapakah kamu berdiri melihat ke langit? Yesus ini, yang terangkat ke syurga meninggalkan kamu, akan datang kembali dengan cara yang sama seperti kamu melihat Dia naik ke syurga,”  Para murid dan ibu Yesus yang telah menyaksikan Anak Yahweh naik ke syurga berkumpul sepanjang malamnya memperkatakan perbuatan-perbuatan baik Yesus dan peristiwa-peristiwa penuh kemuliaan serta menakjubkan yang telah berlaku dalam tempoh yang singkat itu.

Syaitan sekali lagi bermusyawarah dengan para iblisnya. Dengan perasaan penuh kebencian terhadap kerajaan Tuhan, Syaitan memberitahu para iblisnya bahawa sementara dia masih memiliki kuasa dan otoritinya ke atas bumi, mereka perlu meningkatkan usaha-usaha sepuluh kali ganda menentang pengikut-pengikut Yesus. Mereka tidak mendapat apa-apa kemenangan menentang Yesus tetapi jika mungkin, mereka mestilah menjatuhkan para pengikut-Nya. Pada setiap generasi, mereka mestilah mencari jalan menjerat mereka yang akan percaya kepada Yesus. Dia memberitahu para iblisnya bahawa Yesus telah memberikan kuasa kepada murid-murid-Nya mengherdik dan membuang mereka keluar daripada orang-orang yang dirasuk serta menyembuhkan orang-orang yang ditimpa penyakit oleh mereka.

Kemudian para iblis dan Syaitan beredar dengan marah bagaikan singa yang mengaum-ngaum mencari mana-mana pengikut Kristus untuk dibinasakan.

Rujuk:  Mazmur 24:7-10; Kisah Para Rasul 1:1-11

Tuesday, August 16, 2011

Kebangkitan Kristus

Murid-murid Yesus rehat pada hari Sabat. Mereka bersedih kerana kematian Tuhan mereka. Sementara itu, Yesus, Raja Kemuliaan terbaring dalam kubur. Malam bergerak perlahan. Ketika suasana masih gelap, para malaikat yang berlegar-legar di awang-awang kuburan itu mengetahui masa untuk melepaskan Anak yang dikasihi, panglima mereka yang dijunjung tinggi itu sudah hampir tiba. Ketika mereka dengan emosi yang sangat mendalam menunggu saat-saat kemenangan-Nya, satu malaikat perkasa terbang laju dari syurga. Mukanya seperti kilat dan pakaiannya putih seperti salji. Cahayanya yang menerangi kegelapan di sepanjang laluannya itu menyebabkan para iblis yang dengan megahnya menuntut tubuh Yesus itu lari bertempiaran mengelakkan diri dari kemuliaan dan terang cahayanya. Satu daripada malaikat-malaikat yang menyaksikan peristiwa penghinaan terhadap Yesus dan yang mengawal tempat istirehat-Nya menyertai malaikat dari syurga itu. Kedua-dua malaikat itu turun ke kubur Yesus. Bumi bergegar dan bergoncang ketika mereka mendarat. Satu gempa bumi yang besar berlaku. Malaikat kuat dan perkasa memegang batu penutup kuburan itu dan dengan segera menggolekkannya dari pintu kubur lalu duduk di atasnya.

Rasa takut yang tidak terhingga menyelubungi para pengawal. Di manakah kuasa mereka untuk mengawal jenazah Yesus itu sekarang? Mereka tidak lagi memikirkan tugas atau mengambil kisah tentang murid-murid Yesus yang akan datang mengambil dan melarikan tubuh-Nya. Mereka berasa sangat hairan dan takut ketika terang malaikat itu menyinari persekitaran, lebih terang daripada matahari. Para pengawal Rom melihat malaikat-malaikat itu lalu jatuh bergelimpangan seperti orang mati. Satu daripada malaikat itu menolak batu penutup pintu kuburan itu dalam kemenangan. Dengan suara yang kuat dan terang, malaikat itu berseru, “Engkau Anak, Bapa-Mu memanggil Engkau! Bangunlah.” Kematian tidak lagi dapat menguasai-Nya. Yesus bangkit daripada kematian. Satu malaikat yang lain masuk ke dalam kubur dan pada ketika Yesus hendak bangun dalam kemenangan, dia menanggalkan pembalut kepala Yesus lalu berjalan ke hadapan sebagai penakluk yang telah menang. Seluruh malaikat syurgawi menatap peristiwa itu dengan penuh kekaguman. Ketika Yesus keluar daripada liang kubur itu dalam keagungan, para malaikat yang bercahaya itu sujud ke tanah menyembah dan memuji-Nya dengan nyanyian kejayaan dan kemenangan bahawa kematian tidak lagi dapat menahan tahanan dari syurga itu. Syaitan tidak menang sekarang. Iblis-iblis itu pula bertempiaran melarikan diri daripada cahaya terang malaikat-malaikat dari syurga yang menerobos ke semua arah. Mereka mengadu kepada raja mereka mengatakan mangsa mereka itu telah dirampas dengan ganasnya daripada tangan mereka. Dia yang mereka sungguh amat benci itu telah bangkit dari kematian.

Syaitan dan seluruh iblisnya amat berbangga dengan kuasa mereka menawan manusia yang telah berdosa yang menyebabkan Tuhan atas kehidupan telah menjadi jasad dalam kuburan. Bagaimanapun kemenangan jahat mereka itu begitu singkat. Bila Yesus keluar dari penjara-Nya sebagai penakluk yang berjaya, Syaitan mengetahui bahawa selepas suatu tempoh dia akan mati dan kerajaannya akan diserahkan kepada Dia yang berhak memilikinya sejak dari mula. Syaitan mengeluh dan berang kerana dengan segala usahanya, Yesus masih tidak dapat dikalahkan. Sebaliknya telah membuka jalan keselamatan kepada manusia supaya barang siapa yang berjalan melalui jalan itu akan diselamatkan.

Buat seketika Syaitan nampak sedih dan menunjukkan rasa cemas. Dia mengadakan musyawarah dengan para iblisnya untuk mempertimbangkan bagaimana mereka harus meneruskan penentangan terhadap kerajaan Tuhan pada masa akan datang. Syaitan berkata, “Pergilah segera menemui Imam-imam ketua dan para penatua. Kita telah berjaya menyesatkan mereka, membutakan mata mereka dan mengeraskan hati mereka menentang Yesus. Kita telah membuatkan mereka percaya bahawa Dia adalah penyamar. Para pengawal Rom akan membawa berita buruk bahawa Yesus telah bangkit. Kita telah memimpin para imam dan penatua supaya mereka terus membenci dan membunuh Yesus. Sekarang, jelaskan dengan terus terang kepada mereka di khalayak ramai bahawa jika kebangkitan Yesus dari kematian telah menjadi pengetahuan umum, bermakna mereka akan dilempar dengan batu oleh rakyat kerana telah menghukum mati orang yang tidak berdosa.”

Aku melihat bila malaikat-malaikat itu kembali ke syurga, terang dan kemuliaan tidak lagi kelihatan, para pengawal Rom itu memberanikan diri mengangkat kepala dan mempastikan keadaan mengizinkan untuk mereka melihat-lihat di sekeliling. Para pengawal itu sangat hairan dan kagum melihat batu penutup pintu kubur itu telah dialihkan dari tempatnya dan tubuh Yesus tidak ada lagi dalam liang kubur itu. Mereka bergegas menemui Imam-imam ketua dan penatua bangsa Israel dengan kisah menarik tentang apa yang mereka telah lihat. Ketika pembunuh-pembunuh itu mendengar laporan yang menakjubkan itu, muka mereka menjadi pucat lesi. Perasaan gerun menyelubungi diri mereka memikirkan apa yang telah mereka lakukan. Mereka menyedari bahawa jika laporan itu betul, alamatnya nahaslah mereka. Buat seketika, mereka duduk tanpa kata, saling memandang muka yang lain, tidak tahu apa yang hendak dibuat atau apa yang hendak dikatakan. Mereka diletakkan pada tempat yang mereka tidak percayai kecuali untuk menghukum diri mereka sendiri. Mereka pergi ke tepi berunding bagi memutuskan apa yang harus dilakukan. Mereka memutuskan bahawa sekiranya berita tentang kebangkitan Yesus dari kematian dan laporan tentang kemuliaan yang menakjubkan yang telah menyebabkan para pengawal jatuh bergelimpangan bagaikan orang mati tersebar luas kepada orang ramai, rakyat tentu akan naik marah dan akan membunuh mereka. Mereka membuat keputusan mengupah askar pengawal itu supaya merahsiakan peristiwa tersebut. Mereka telah menawarkan sejumlah besar wang kepada pengawal-pengawal itu. Kata mereka, “Kamu harus mengatakan bahawa murid-murid-Nya datang malam-malam dan mencuri-Nya ketika kamu sedang tidur.” Bila pengawal-pengawal itu bertanya apa yang akan berlaku ke atas mereka yang tidur ketika bertugas, pegawai-pegawai Yahudi itu berjanji akan meyakinkan gabenor dan menjamin keselamatan mereka. Demi wang, pengawal Rom itu sanggup menjual maruah mereka dengan menurut nasihat para imam dan para penatua bangsa itu.

Yesus masih tergantung di kayu salib ketika Dia berseru, “Sudah selesai,” dan bukit batu itupun bergegar, bumi bergoncang dan sebahagian kubur-kubur terbuka. Sementara bumi masih bergoyang dan kemuliaan syurga menyinari sekitar tempat suci itu, Yesus bangkit sebagai pemenang dari kematian dan kubur. Sebilangan di kalangan orang benar yang telah mati itu patuh kepada panggilan-Nya tampil ke hadapan menjadi saksi-saksi kepada kebangkitan-Nya. Mereka yang disayangi, orang-orang salih yang dibangkitkan tampil ke hadapan penuh kemuliaan. Mereka adalah orang-orang yang terpilih dan suci dari segala umur sejak penciptaan sehinggalah pada hari Kristus itu. Dengan yang demikian, sementara para pemimpin mencari jalan menyembunyikan kebenaran tentang kebangkitan Yesus, Tuhan telah memilih untuk mengangkat satu kumpulan orang dari kuburan untuk bersaksi bahawa Yesus telah bangkit dan mengisytiharkan kemuliaan-Nya.

Mereka yang dibangkitkan itu mempunyai perawakan dan bentuk yang berbeza. Aku diberitahu bahawa penduduk bumi telah menjadi kerdil, kekuatan mereka telah berkurangan dan kurang lawa. Syaitan mempunyai kuasa penyakit dan kematian. Semakin berumur bumi ini, lebih terang kesan sumpahan dosa dan kuasa Syaitan semakin jelas kelihatan. Sebahagian nampak lebih mulia dari yang lain. Bentuk, kekuatan dan kecantikan mereka yang hidup sezaman dengan Nuh dan Abraham lebih menyerupai malaikat. Tetapi keturunan-keturunan berikutnya semakin lemah, selalu dijangkiti penyakit dan umur mereka lebih pendek. Syaitan telah mempelajari bagaimana hendak mengganggu dan melemahkan bangsa manusia.

Mereka yang telah tampil ke hadapan selepas kebangkitan Yesus kelihatan kepada banyak orang, memberitahu mereka bahawa korban untuk manusia telah selesai disempurnakan. Yesus yang disalibkan oleh orang-orang Yahudi itu telah bangkit dari kematian. Sebagai bukti kepada kata-kata mereka itu, mereka mengisytiharkan, “Kami bangkit bersama-sama dengan Dia.” Mereka menjadi saksi bahawa dengan kekuatan-Nya mereka telah dipanggil keluar daripada kuburan mereka. Walaupun laporan pembohongan orang-orang Farisi itu sudah tersebar luas, namun kebangkitan Yesus tidak dapat disembunyikan oleh Syaitan, para iblisnya atau para imam. Kumpulan orang suci yang dipanggil keluar dari kuburan itu telah menyebarkan berita indah yang menggembirakan. Tambahan pula Yesus telah menampakkan diri-Nya kepada murid-murid yang telah hancur hati dan sedang bersedih. Yesus telah melenyapkan ketakutan dan membuatkan mereka gembira dan riang ria.

Ketika berita itu tersebar dari kota ke kota dan dari bandar ke bandar, tiba giliran bagi orang-orang Yahudi berasa takut kehilangan nyawa mereka. Kini mereka menyembunyikan kebencian yang meluap-luap terhadap murid-murid. Satu-satunya harapan mereka adalah penyebaran laporan palsu. Mereka yang berharap bahawa berita palsu itu adalah benar, mempercayainya. Pilatus sendiri menggeletar. Dia percaya terhadap kesaksian kukuh yang disampaikan kepadanya bahawa Yesus telah bangkit dari kematian dan banyak lagi orang yang dibangkitkan bersama-Nya. Dengan yang demikian kedamaian telah meninggalkan Pilatus untuk selama-lamanya. Demi kehormatan duniawi, kerana takut kehilangan kuasa dan nyawanya, dia serahkan Yesus untuk mati. Kini dia begitu yakin bahawa bukan semata-mata dia bersalah kepada darah seorang manusia biasa yang tidak bersalah tetapi juga kepada darah Anak Yahweh. Sengsaranya hidup Pilatus, sengsara hingga akhir hayatnya. Putus asa dan rasa terseksa meremukkan setiap harapan dan rasa riang. Dia enggan dihiburkan. Dia mati dengan kematian yang amat menyedihkan.

Hati Herodes bertambah keras. Apabila dia mendengar berita tentang Yesus telah bangkit daripada kematian, dia tidak berasa begitu susah hati. Dia telah mengambil nyawa Yakubus dan apabila dia melihat perbuatannya itu menyenangkan orang-orang Yahudi, dia pun menangkap Petrus juga dengan tujuan untuk menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya. Namun Tuhan ada tugas untuk Petrus laksanakan. Lalu Tuhan mengirimkan malaikat-Nya dan membebaskan Petrus. Herodes didatangi hukuman. Tuhan memukulnya dihadapan khalayak ramai ketika dia cuba meninggikan dirinya di hadapan mereka. Dia mati dengan kematian yang mengerikan.

Pada awal pagi hari, ketika fajar belum lagi menyingsing, perempuan-perempuan suci itu datang ke kuburan membawa rempah-rempah harum untuk mengurapi tubuh Yesus. Setiba mereka di perkuburan itu, mereka mendapati batu besar penutup pintu kubur itu telah dialihkan dari tempatnya dan tubuh Yesus tidak ada di dalam kubur itu. Hati mereka tenggelam dalam diri mereka. Mereka takut musuh-musuh mereka telah mencuri tubuh Yesus dari dalam kubur-Nya. Tiba-tiba mereka terlihat dua malaikat berpakaian putih berdiri di samping mereka. Muka mereka terang benderang dan bersinar-sinar.

Makhluk-makhluk syurgawi memahami apa yang dilakukan oleh perempuan-perempuan itu. Malaikat itu tanpa berlengah lagi memberitahu yang mereka sedang mencari Yesus tetapi Dia tidak ada dalam kubur itu. Malaikat itu memberitahu mereka yang Yesus telah bangkit dari kematian dan mereka boleh melihat tempat pembaringan-Nya. Makhluk-makhluk syurgawi itu menyuruh mereka memberitahu murid-murid-Nya bahawa Dia akan mendahului mereka ke Galilea. Perempuan-perempuan itu takut dan sangat hairan. Mereka bergegas kembali untuk menemui murid-murid yang berkabung dan tidak dapat dihiburkan kerana Tuhan mereka telah disalibkan. Dengan tergesa-gesa mereka datang memberitahu murid-murid itu perkara-perkara yang mereka telah lihat dan dengar.

Murid-murid itu tidak percaya yang Yesus telah bangkit dari kematian tetapi setelah mendengar laporan dari perempuan-perempuan tersebut, mereka berlari menuju ke kuburan. Bila sampai di kuburan itu mereka mendapati Yesus tidak ada dipembaringan-Nya. Kain linen-Nya masih di atas tempat pembaringan itu tetapi masih tidak percaya khabar baik bahawa Yesus telah bangkit dari kematian. Mereka balik ke rumah dengan perasaan takjub dengan apa yang mereka telah lihat dan juga terhadap laporan yang disampaikan kepada mereka oleh perempuan-perempuan itu. Maria memilih untuk berlegar-legar di sekitar kuburan itu. Dia memikirkan tentang apa yang telah dilihatnya. Dia berasa sedih dengan suatu perasaan yang kemungkinan dia telah ditipu. Dia merasakan cubaan baru sedang menantinya. Dia bertambah sedih. Dia menangis tidak terkawal lagi. Dia membongkok melihat sekali lagi ke dalam kuburan. Dia melihat dua malaikat berpakaian putih. Wajah mereka cerah dan bersinar. Satu daripada malaikat itu duduk di bahagian kepala bekas pembaringan tubuh Yesus. Malaikat yang satu lagi duduk di sebelah kaki. Mereka berkata kepada Maria dengan lemah lembut dan bertanya mengapa dia menangis. Maria menjawab, “Tuhanku telah diambil orang dan aku tidak tahu di mana Ia diletakkan.”

Ketika Maria menoleh ke belakang dari  kuburan dia melihat Yesus sedang berdiri di sampingnya tetapi Maria tidak mengenali Dia. Yesus dengan lemah lembut bertanyakan sebab kesedihannya dan hendak mencari siapa. Maria fikir orang yang bertanya kepadanya itu adalah tukang kebun di perkuburan itu. Dia merayu kepada-Nya, kalau Dia telah mengambil tubuh Yesus supaya memberitahunya di mana Ia diletakkan supaya dia dapat mengambil-Nya. Yesus berkata kepadanya dengan suara syurgawi-Nya, “Maria!” Dia biasa dengan nada suara yang merdu itu dan dengan segera menjawab, “Guru!” dan dengan rasa sangat girang, dia hendak memeluk-Nya, Yesus berkata “Janganlah engkau memegang Aku, sebab Aku belum pergi kepada Bapa, tetapi pergilah kepada saudara-saudara-Ku dan katakanlah kepada mereka, bahawa sekarang Aku akan pergi kepada Bapa-Ku dan Bapamu, kepada Tuhan-Ku dan kepada Tuhanmu.” Dengan rasa riang ria dia bergegas pergi menemui murid-murid Yesus dengan membawa berita baik. Yesus segera naik kepada Bapa-Nya untuk mendengar dari mulut-Nya bahawa Dia menerima persembahan korban itu dan untuk menerima segala kuasa di syurga dan di bumi daripada Bapa-Nya..

Para malaikat syurga bagaikan awan mengelilingi Anak Yahweh dan menyuruh pintu-pintu kekekalan di angkat tinggi supaya Raja kemulian masuk ke dalam. Aku melihat ketika Yesus bersama dengan seluruh penghuni syurga yang terang benderang, dalam kehadiran Tuhan dan di selubungi dengan kemuliaan-Nya, Dia tidak lupa akan murid-murid-Nya yang bersedih di bumi, tetapi Dia datang menerima kuasa daripada Bapa-Nya supaya Dia kembali untuk mengurniakan kuasa kepada mereka. Pada hari yang sama Dia kembali ke bumi dan menampakkan diri-Nya kepada murid-murid-Nya. Pada ketika itu Dia membiarkan mereka menyentuh tubuh-Nya kerana Dia telah naik kepada Bapa-Nya dan telah menerima kuasa.

Ketika ini Thomas tidak ada bersama-sama dengan murid-murid lain yang sedang berkumpul. Dia tidak mudah menerima laporan dari murid-murid yang lain.
Dia berpegang kepada pendirian dan keyakinan diri bahawa dia tidak akan percaya selagi dia belum memasukkan jarinya ke dalam bekas-bekas paku pada tangan dan kaki-Nya dan ke dalam bekas tusukan kejam lembing dirusuk-Nya. Dengan sikapnya itu menunjukkan dia kurang keyakinan terhadap saudara-saudaranya. Jika semua orang memerlukan bukti seperti itu, tidak seorangpun akan dapat menerima Yesus dan percaya kepada kebangkitan-Nya. Tetapi adalah menjadi kehendak Tuhan supaya laporan para murid harus diterima oleh semua orang yang tidak dapat melihat dan mendengar suara Juruselamat yang dibangkitkan itu. Tuhan tidak menyenangi sikap tidak percaya Thomas itu. Bila Yesus sekali lagi menemui murid-murid-Nya, Thomas ada bersama mereka. Bila dia melihat Yesus, barulah dia percaya. Tetapi Thomas mengatakan yang dia tidak akan berpuas hati selagi tidak ada bukti sentuhan di samping bukti penglihatan. Yesus memberikan bukti yang dikehendaki oleh Thomas.
Bila Thomas melihat dan menyentuh bukti itu, dia berseru, “Tuhanku dan Yahwehku.” Tetapi Yesus menegur dia kerana ketidakpercayaannya, kata-Nya, “Kerana engkau telah melihat Aku, maka engkau percaya. Berbahagialah mereka yang tidak melihat, namun percaya.”

Jadi, aku melihat bahawa mereka yang tidak mempunyai pengalaman perkhabaran1 malaikat pertama dan kedua mesti menerimanya daripada mereka yang telah mengalaminya dan menuruti perutusan itu seterusnya. Sebagaimana Yesus disalibkan, begitu juga aku lihat bahawa perutusan ini disalibkan. Ketika para murid mengisytiharkan bahawa tidak ada keselamatan dalam nama lain di bawah langit yang telah diberikan kepada manusia, demikian jugalah sekiranya pelayan-pelayan Tuhan dengan setia dan tanpa takut-takut mengisytiharkan bahawa mereka yang menerima hanya sebahagian daripada kebenaran berkaitan dengan perutusan yang ketiga2 mestilah juga dengan gembira menerima perutusan pertama, kedua dan ketiga sebagaimana Tuhan berikan kepada mereka atau langsung tidak ada bahagian atau peruntukan dalam perkara tersebut.

Aku telah diperlihatkan sementara perempuan-perempuan suci itu membawa laporan bahawa Yesus telah bangkit, para pengawal Roma telah mengedarkan pembohongan yang telah ditaruh ke dalam mulut mereka oleh ketua imam-imam dan para penatua, bahawa para murid telah datang pada malam hari ketika mereka tidur dan mencuri jenazah Yesus. Syaitan telah menaruh pembohongan itu ke dalam hati dan mulut ketua imam-imam, dan orang-orang bersedia menerima perkataan mereka itu. Namun begitu Tuhan telah mempastikan perkara itu dan meletakkan peristiwa penting ini, di mana tergantung keselamatan, tanpa sebarang keraguan lagi, dan di mana mustahil bagi ketua imam-imam dan para penatua menutupinya. Para saksi telah dibangkitkan daripada kubur untuk bersaksi tentang kebangkitan Yesus.


Yesus terus tinggal bersama murid-murid-Nya selama empat puluh hari lagi. Kehadiran Yesus membawa kegirangan dan keceriaan hati mereka bila Yesus menerangkan lebih jelas lagi kenyataan tentang kerajaan Tuhan. Yesus menyuruh mereka memberi kesaksian tentang perkara-perkara yang mereka telah lihat dan dengar berkaitan dengan kesengsaraan, kematian dan kebangkitan-Nya. Seterusnya mereka harus bersaksi bahawa Dia telah menjadi korban untuk dosa dan semua orang yang akan datang kepada-Nya akan menerima hidup. Dengan kesetiaan yang lemah lembut, dia memberitahu bahawa mereka akan dianiaya dan menghadapi kesusahan tetapi mereka akan menerima kelegaan apabila mereka mengenang kembali pengalaman dan mengingat semula kata-kata yang pernah diucapkan-Nya. Dia memberitahu mereka bahawa Dia telah mengatasi cubaan Syaitan dan memperolehi kemenangan melalui ujian dan penderitaan. Syaitan tidak akan lagi berkuasa ke atas-Nya tetapi akan membawa godaan yang akan menimpa terus kepada mereka dan kepada semua orang yang akan percaya kepada nama-Nya. Tetapi mereka akan dapat mengatasi cubaan itu sebagaimana Dia telah mengatasinya. Yesus mengurniakan kepada murid-murid-Nya kuasa untuk mengadakan mukjizat.

Dia memberitahu bahawa walaupun orang-orang jahat akan berkuasa atas tubuh mereka, Dia akan pada masa-masa tertentu mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan mereka. Nyawa mereka tidak akan diambil sehingga tugas-tugas mereka selesai. Setelah kesaksian mereka selesai, nyawa mereka mungkin dikehendaki untuk memeteraikan kesaksian-kesaksian yang mereka telah pikul. Pengikut-pengikut-Nya dengan besar hati dan girang mendengarkan ajaran-ajaran-Nya. Mereka berpesta di atas setiap perkataan yang keluar dari mulut suci-Nya. Sekarang, mereka begitu pasti bahawa Dia ialah Juruselamat dunia. Kata-kata-Nya tertanam jauh ke dalam lubuk hati mereka. Mereka berdukacita kerana tidak lama lagi mereka akan berpisah dengan Guru syurgawi. Mereka tidak akan lagi mendengar kata-kata yang menghiburkan dan penuh belas kasihan dari bibir-Nya. Tetapi hati mereka dihangatkan dengan kasih dan rasa kegirangan yang besar ketika Yesus memberitahu bahawa Dia akan pergi menyediakan tempat tinggal untuk mereka dan kembali lagi untuk menerima mereka supaya Dia akan sentiasa bersama mereka.

Dia juga berjanji akan menghantar Penghibur iaitu Roh Kudus untuk memimpin, memberkati dan memimpin mereka kepada kebenaran. “Dia mengangkat tangan-Nya dan memberkati mereka.”

1Rujuk: Wahyu 14:6-8. Dihuraikan dalam bab 23 dan 24 buku ini.
2Rujuk: Wahyu 14:9-12. Dihuraikan dalam bab 28 buku ini.
Rujuk: Matius 27:52-52; Matius 28; Markus 16:1-8; Lukas 24:1-50; Yohanes 20; Kisah Para Rasul 12.

Monday, August 15, 2011

Penyaliban Kristus

Anak Yahweh itu diserahkan kepada umat itu untuk disalibkan. Mereka membawa Juruselamat yang dikasihi itu pergi. Dia lemah dan tidak bermaya melalui kesakitan dan penderitaan akibat sebatan dan hentaman yang diterima-Nya. Namun mereka memikulkan kepada-Nya kayu salib yang berat itu dan sebentar lagi pada salib itulah Dia akan dipakukan. Yesus pengsan di bawah beban itu. Tiga kali mereka pikulkan kayu salib itu ke bahu-Nya, tiga kali juga Dia mengalami pengsan itu. Kemudian mereka menangkap salah seorang pengikut Yesus, seorang yang belum lagi secara terbuka mengaku iman dalam nama-Nya, namun percaya kepada-Nya. Mereka memikulkan kepadanya salib itu dan dia membawanya ke tempat maut itu. Pasukan-pasukan para malaikat dikerah berada di awang tempat itu. Sebilangan murid-murid-Nya mengikuti Yesus ke Kalvari dalam kesedihan dan tangisan yang pahit. Mereka terkenang akan perarakan kemenangan Yesus ke Yerusalem, menyusul-Nya dari belakang dan berseru, Hosanna yang tertinggi! Kemudian mereka menghamparkan pakaian mereka dan daun-daun palma yang indah pada laluan Yesus. Mereka fikir Yesus akan mendirikan kerajaan dan memerintah sebagai raja selama-lamanya bagi Israel. Betapa senario itu telah berubah! Betapa hancurnya harapan mereka! Mereka mengekori Yesus, bukan dengan riang ria; bukan dengan hati yang berkobar-kobar dan harapan yang ceria; tetapi dengan hati yang telah ditimpa ketakutan dan putus asa, dengan penuh kesedihan mereka dengan perlahan-lahan menyusul Dia yang telah dihina dan direndahkan dan yang akan mati.

Ibu Yesus ada di situ. Hatinya begitu terseksa dengan perasaan yang tidak pernah dialami oleh sesiapapun kecuali oleh ibu yang suka memanjakan anaknya. Hatinya yang terseksa itu masih berharap, dengan kehadiran murid-murid-Nya, Anaknya itu akan melakukan suatu mukjizat yang hebat dan melepaskan diri-Nya daripada para pembunuh itu. Dia tidak dapat menahan hati memikirkan yang Dia membiarkan sahaja diri-Nya disalibkan. Bagaimanapun, persediaan telahpun selesai. Mereka membaringkan Yesus pada kayu salib itu. Tukul dan paku dibawa ke hadapan. Hati para murid kecut melihat semua itu. Ibu Yesus berasa begitu terseksa, hampir tidak tertahan. Ketika mereka mendepakan Yesus pada salib itu dan pada saat tangan-Nya hendak dipakukan dengan kejamnya pada palang kayu itu, murid-murid Yesus membawa ibu-Nya jauh dari tempat itu supaya dia tidak mendengar bunyi paku yang ditukul menusuk otot-otot dan tulang tangan dan kaki yang lembut itu ke kayu. Yesus tidakpun merungut, sebaliknya mengerang kesakitan. Muka-Nya pucat dan banyak titisan-titisan peluh terkumpul pada kening-Nya. Syaitan begitu gembira dengan penderitaan yang dialami Anak itu namun dia berasa gerun memikirkan kerajaannya telah jatuh dan dia mesti mati.

Selepas Yesus selesai dipakukan, mereka menegakkan kayu salib itu. Dengan satu tolakan yang kuat, pangkal batang salib itu masuk ke dalam lubang yang yang sudah disediakan, mengoyakkan otot-otot-Nya menyebabkan satu penderitaan yang pedih. Mereka membuatkan kematian-Nya itu sehina-hina kematian. Bersama-sama dengan Dia mereka salibkan juga dua orang pencuri, seorang di satu sisi dan seorang di sisi yang lain. Pencuri-pencuri itu dipulas sepenuh kekuatan dan selepas tentangan yang hebat, tangan mereka didepakan untuk dipaku ke kayu salib masing-masing. Tetapi Yesus menurut sahaja kehendak penyalib itu. Dia tidak memerlukan sesiapapun untuk mendepakan dengan paksa tangan-Nya ke palang salib itu. Sementara pencuri-pencuri itu menyumpah seranah para penyalib itu, Yesus dengan kesakitan berdoa untuk musuh-musuh-Nya, “Ya Bapa, ampunilah mereka sebab mereka tidak tahu apa yang mereka perbuat.” Bukan sahaja kepedihan sakit badani yang Yesus alami bahkan beban dosa seluruh dunia menimpa-Nya.

Ketika Yesus tergantung di salib, beberapa orang yang lalu di tempat itu mencerca-Nya, menggoyang-goyangkan kepala mereka bagaikan menyembah seorang raja dan berkata kepada-Nya, “Hai Engkau yang mahu merobohkan Bait Suci dan mahu membangunnya kembali dalam tiga hari, turunlah dari salib itu dan selamatkan diri-Mu. Jikalau Engkau Anak Yahweh, turunlah dari salib itu.”  Syaitan menggunakan kata-kata yang sama ketika mencuba Yesus di padang belantara, “Jika engkau Anak Yahweh.” Ketua imam, para penatua dan ahli-ahli Taurat juga mengolok-olok Dia, “Orang lain Ia selamatkan, tetapi diri-Nya sendiri tidak dapat Ia selamatkan! Ia Raja Israel? Baiklah Ia turun dari salib itu dan kami akan percaya kepada-Nya!” Malaikat-malaikat yang mengepak-ngepak di awang tempat penyaliban Yesus itu berasa marah ketika para pemimpin bangsa mempersendakan Yesus dengan mengatakan jika dia Anak Yahweh, biarkan Dia menyelamatkan diri-Nya sendiri. Mereka ingin ke sana untuk menyelamatkan Yesus dan membebaskan Dia tetapi tidak dibenarkan berbuat demikian. Matlamat misi ini hampir tercapai. Ketika Yesus tergantung pada salib itu selama tempoh yang amat menyakitkan itu, Dia tidak lupa akan ibu-Nya. Ibu Yesus tidak dapat bertahan berjauhan dengan tempat derita itu. Pelajaran terakhir dari Yesus adalah berkenaan dengan belas kasihan dan kemanusiaan. Yesus memandang muka ibu-Nya yang dirundung duka, kemudian ke arah Yohanes, murid yang dikasihi-Nya. Kata Yesus kepada ibu-Nya, “Ibu, inilah anakmu.” Kepada Yohanes, Yesus berkata, “Inilah ibumu!” Sejak dari saat itu, Yohanes membawa dia tinggal di rumahnya.

Yesus berasa dahaga dalam kesakitan-Nya; tetapi mereka menambahkan lagi penghinaan dengan memberi-Nya minum cuka dan hempedu. Malaikat-malaikat melihat senario penyaliban komander mereka yang menyeramkan itu sehingga mereka tidak lagi dapat bertahan melihatnya dan menutup muka dari memandang peristiwa tersebut. Matahari enggan melihat peristiwa buruk itu. Yesus berseru dengan suara yang kuat sehingga menimbulkan ketakutan kepada para pembunuh-Nya, “Sudah selesai.” Kemudian tabir bait suci terkoyak dari atas ke bawah, bumi bergoncang dan batu-batu terbelah. Suasana gelap menutupi bumi. Harapan terakhir para murid nampak seperti telah dihanyutkan ketika Yesus mati. Banyak daripada pengikut-Nya menyaksikan peristiwa penderitaan dan kematian. Cawan kesedihan mereka telah dipenuhkan.

Syaitan tidak lagi bergembira dengan apa yang telah berlaku seperti biasanya. Dia berharap rancangan penyelamatan itu dapat dipatahkannya tetapi itu telah dirancang begitu mendalam. Kini, dengan kematian Yesus, dia tahu akhirnya dia akan mati juga. Kerajaannya akan diambil dan akan diserahkan kepada Yesus. Dia mengadakan mesyawarah dengan iblis-iblisnya. Dia tidak mendapat apa-apa kemenangan ke atas Anak itu. Oleh itu kini mereka mesti berusaha lebih keras lagi. Dengan kelicikan dan kuasa, mereka beralih tumpuan kepada para pengikut Yesus. Mereka mestilah menghalang mereka daripada menerima keselamatan yang telah dibeli untuk mereka oleh Yesus. Dengan cara demikian Syaitan masih dapat bekerja menentang kerajaan Tuhan. Adalah suatu faedah baginya untuk seberapa yang terdaya untuk menghalang mereka daripada menerima Yesus. Dosa-dosa mereka yang ditebuskan oleh darah Yesus dan mengalahkannya akhirnya akan menimpa kembali penyebabnya, iaitu Syaitan sendiri. Dia akan menanggung dosa-dosa mereka. Bagi mereka yang tidak mahu menerima keselamatan melalui Yesus, masing-masing mereka akan menanggung dosa sendiri.

Kehidupan Yesus adalah tanpa kebesaran duniawi atau menunjukkan kehebatan. Kehidupan-Nya yang merendah diri dan penuh penyangkalan itu adalah jauh berbeza dengan kehidupan para imam dan penatua yang ingin akan keselesaan dan kehormatan duniawi. Kehidupan Yesus yang suci dan ketat itu merupakan teguran berterusan kepada mereka, ke atas dosa-dosa mereka.

Mereka memandang hina Yesus kerana merendahkan diri dan kesucian-Nya. Mereka yang memandang hina kepada-Nya di sini, pada satu hari nanti akan melihat-Nya dalam kegemilangan syurgawi dan kemuliaan Bapa-Nya yang tidak terhingga. Dia telah dikelilingi oleh musuh-musuh-Nya dalam dewan penghakiman itu. Mereka dahaga akan darah-Nya. Mereka yang keras hati dan berseru, “Darah-Nya tertanggung ke atas kami dan anak-anak kami,” akan melihat Dia sebagai Raja yang terhormat. Seluruh penghuni syurga akan mengiringi-Nya pada sepanjang perjalanan-Nya dengan lagu-lagu kemenangan, kehebatan dan kekuatan, kepada Dia yang telah dibunuh namun hidup lagi sebagai Penakluk yang perkasa. Orang miskin, lemah dan menderita meludah ke muka Raja kemuliaan ketika satu tempikan kemenangan kejam kedengaran dari gerombolan di tempat yang hina itu. Mereka merosakkan muka itu dengan hentaman dan kekejaman yang mengagumkan seluruh langit. Mereka akan melihat muka itu lagi, cerah bagaikan matahari pada tengah hari dan mereka akan melarikan diri daripada-Nya. Daripada tempikan kemenangan kejam itu, mereka meraung dalam ketakutan kerana Dia. Yesus akan menghulurkan tangan-Nya dengan tanda-tanda penyaliban. Tanda-tanda kekejaman ini akan selama-lamanya kekal pada tangan dan kaki-Nya. Setiap tusukan paku itu akan menyatakan kisah penyelamatan indah terhadap manusia dan harga tak terhingga bagi membayarnya. Orang-orang yang telah meradak rusuk Tuhan kehidupan dengan lembing akan melihat bekas radakan lembing itu. Dia juga akan meratap dengan kesedihan yang tak terkatakan pada bahagian yang dia lakukan untuk merosakkan tubuh-Nya. Pembunuh-pembunuh-Nya begitu terganggu dengan tanda bertulis, Raja Orang Yahudi, dipakukan pada salib di atas kepala-Nya. Tetapi kemudiannya mereka terpaksa juga melihat Dia dalam segala kemuliaan dan kuasa raja. Mereka akan melihat pada jubah-Nya dan paha-Nya, tertulis dengan tulisan hidup, Raja atas segala raja dan Tuhan atas segala tuhan. Mereka berseru kepada-Nya dengan olok-olok ketika Dia tergantung pada kayu salib, baiklah Kristus Raja Orang Israel turun dari salib itu supaya kami dapat melihat dan percaya kepada-Nya. Kemudian nanti mereka akan melihat Dia dengan kuasa dan otoriti raja. Mereka pada masa itu nanti tidak lagi meminta bukti yang Dia adalah Raja Orang Israel, sebaliknya mereka akan ditenggelami dengan kesedaran atas kehebatan dan kemuliaan yang berlimpah-limpah. Mereka dengan sendirinya akan mengakui, “Berbahagialah Dia yang datang dengan nama Tuhan.”

Dengan goncangan bumi, terbelahnya batu-batu, kegelapan menutupi permukaan bumi dan seruan keras dan kuat dari Yesus, “Sudah selesai,” ketika dia menghembuskan nafas-Nya yang terakhir, musuh-musuh-Nya menjadi gempar dan menggeletar. Murid-murid-Nya tertanya-tanya akan paparan-paparan tunggal ini; namun pengharapan mereka semuanya telah hancur. Mereka takut yang orang-orang Yahudi itu akan mencari jalan untuk membunuh mereka juga. Kebencian sedemikian yang ditunjukkan kepada Anak, mereka fikir tidak akan berakhir di situ sahaja. Pada tempoh yang sepi itu para murid bersedih dan menangis atas kekecewaan mereka itu. Mereka menjangka yang Yesus akan menaiki takhta pemerintah, sebaliknya harapan mereka mati bersama Yesus. Mereka ragu-ragu dalam kesedihan dan kekecewaan sama ada Yesus telah menipu mereka atau tidak. Ibunya ditundukkan bahkan imannya meragui diri-Nya sebagai Mesias.

Bagaimana kecewa sekalipun murid-murid itu dalam pengharapan berkenaan Yesus, namun mereka mengasihi-Nya, menghormati dan memuliakan tubuh-Nya tetapi tidak tahu bagaimana cara menuntutnya. Yusof dari Arimathea, seorang ahli majlis yang terhormat, berpengaruh dan merupakan salah seorang yang benar-benar murid Yesus. Dia secara persendirian dengan beraninya mengadap Pilatus menuntut jenazah-Nya. Dia tidak berani berbuat demikian secara terbuka oleh kerana kebencian orang-orang Yahudi yang meluap-luap itu.

Murid-murid Yesus berasa takut orang-orang Yahudi itu akan berusaha untuk menghalang jenazah Yesus daripada mendapat persemadian secara terhormat. Bagaimanapun Pilatus berkenan terhadap permintaan Yusof. Ketika mereka menurunkan jenazah Yesus dari kayu salib itu, kesedihan di hati mereka membara kembali. Mereka berdukacita di atas pengharapan yang sudah hancur dengan azab yang amat menyakitkan. Mereka mengapankan jenazah Yesus dengan kain linen halus. Kemudian Yusof membaringkan jenazah itu di liang kuburannya sendiri yang masih baru dibina. Para wanita yang selama ini merupakan pengikut setia ketika Yesus masih hidup masih lagi mengikuti jenazah-Nya dari dekat dan tidak mahu meninggalkan-Nya sehinggalah jenazah itu dibaringkan di liang kuburan dan sebuah batu besar digolekkan menutupi pintu kuburan itu, takut-takut nanti musuh-musuhnya akan mencari jalan mendapatkan tubuh-Nya. Tetapi mereka tidak harus takut kerana aku melihat malaikat-malaikat dengan minat yang tak terkatakan berjaga di perkuburan itu. Mereka mengawal kuburan itu, dengan sungguh-sungguh menunggu perintah melaksanakan bahagian mereka untuk membebaskan Raja kemuliaan daripada rumah penjara itu.

Pembunuh-pembunuh Kristus berasa takut yang Dia akan hidup lagi dan akan melepaskan diri daripada mereka. Mereka merayu kepada Pilatus untuk menempatkan satu pasukan pengawal untuk menjaga kuburan itu sehingga hari yang ketiga. Pilatus berkenan dengan permintaan mereka dan satu pasukan askar bersenjata dikerah menjaga kuburan itu, memeteraikan batu yang menutupi pintu kuburan itu kalau-kalau murid-murid-Nya akan datang dan mencuri jenazah Yesus lalu membawa pergi dan mengatakan Yesus telah bangkit daripada kematian.

Rujuk : Matius 21:1-11; 27:32-66; Markus 15:21-47; Lukas 23:26-56; Yohanes 19:17-42; Wahyu 19:11-16.